Tuesday, June 18, 2013

Kucari kenangan itu

Menyusuri bait-bait kata yang tertulis di lamanmu, menerbit rasa hiba di sudut sanubariku. Ada sendu dalam jiwa sepimu yang seperti ingin sekali aku ubati.

Sesungguhnya dik, kenangan itu wujud sentiasa. Biarpun payah untuk engkau memutarkannya dalam ingatanmu namun segarnya ia tidak pernah layu.

Mana mungkin kita lupa, bagaimana saban pagi ayah mendahului semua orang untuk mengatur langkah menyuci diri demi mengabdi diri kepada Ilahi. Sebelum Subuh tiba, ayah sudah selesa bersimpuh di sejadah, mengalun segala doa dalam kepasrahannya, untuk dia dan kita yang amat dia kasihi.

Adik, mungkin detik-detik kebersamaan kita dengan arwah ayah tidak sama. Meski tempohku lebih lama, namun sebahagian besarnya aku berada di asrama, 1985 hingga 1997. Seterusnya, aku bernikah pada 1998 dan tiada lagi waktu-waktu yang banyak untuk berada di sisi ayah.

Engkau pula, walaupun cuma sepuluh tahun, tetapi sentiasa hampir di sisinya. Sentiasa manja dalam dakapannya. Sentiasa ceria dengan senda guraunya.

Aku pernah juga bersuara sekadar memberitahu, kenapalah ayah memanjakan sangat dirimu wahai adikku? Semua yang engkau mahu ayah sentiasa penuhi. Pernah sekali, aku ingin menggunakan kelebihanmu itu untuk kesempatan diri sendiri. Waktu itu aku meminta engkau memberitahu ayah supaya membeli kamera. Engkau adik yang baik, menurut sahaja arahanku.

Tahu apa yang berlaku?

Masa itu, hanya ayah dan engkau dalam kereta. Rasanya, dalam perjalanan mengambil Ismah di sekolah. Engkau dengan jujur memberitahu ayah, "ayah, belilah kamera. Kak Ti kata dia nak kamera." Begitulah lebih kurang dialogmu dik. Aku tidak pasti apa jawapan ayah, tetapi setiba di rumah ayah mengulang dialog itu di depan aku, dan memberi senyuman cuma. Ah! Aku malu sendiri, dan pastinya dialog itu hanya tinggal dialog. Tiada pun kamera untukku!

Ayah selalu berkata, "alah, dia kecil lagi. Dah besar nanti dia retilah mana betul mana salah" apabila sesekali aku merungut tentang kemanjaanmu. Dik, ternyata kata-kata ayah itu sangat benar. Betapa mustajabnya! Engkau dewasa sebagai puteri suci yang begitu bestari meladeni hidup seharianmu. Aku yakin ayah sentiasa bangga memilikimu walaupun hanya mampu menatapmu di dunia untuk sepuluh tahun cuma.

Adik, yakinlah walaupun ayah tiada di sisi kita, dia tetap bahagia memiliki kita. Dia tetap menanti setiap doa dan ingatan daripada kita. Dia akan tenang dan damai dengan segala kebaikan kita di dunia ini.

Selamat Hari Bapa, ayah.

Daripada anak-anakmu yang tidak pernah lupa padamu.

No comments:

Post a Comment