Tuesday, June 25, 2013

Perjalanan 1

31hb Mei 2013

Pagi Jumaat yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelma jua. Saat jam berdering pada pukul 3.00 pagi, terus saya bangun dan mendail nombor ma. Saya mahu ma juga bangun dan bersiap-siap tanpa lengah kerana bimbang masa menjadi suntuk.

Sejam kemudian saya dan suami turun dari rumah beriring doa dan harapan agar perjalanan kami ini diberkati. Kami menuju ke rumah mek dan kemudian ke rumah ma. Alhamdulillah segalanya sangat tersusun dan penerbangan kami jam 6.40 pagi dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa bergerak lancar.
 
Tiba di KLIA, kami sedikit teraba-raba. Lapangan Terbang yang sebegini besar agak mengelirukan dan kami bimbang untuk bergerak pantas. Mata sentiasa tercari-cari Mutawif yang belum begitu kami kenali untuk menunjuk arah dan membawa kami ke tempat yang kami tuju.

Penerbangan kami ke Madinah ialah pada 10.10 pagi. Senggang masa yang ada sangat pendek. Hendak membeli makanan untuk ma dan umi pun tidak sempat. Sedih juga hati saya sebab saya tahu ma lapar, tetapi mujurlah umi ada membawa bekal. Sedikit waffle sebagai mengalas perut, jadilah.

Pak Su Soh dan Mak Su juga Rifqi dan keluarga mahu datang mengiring kami di sini. Hati saya sedikit risau, bimbang jika mereka tidak tiba dalam selang waktu ini dan gagal bertemu kami. Tentu ada kecewa dan terkilan di hati kami yang akan terbawa-bawa ke bumi Arab nanti. Saya tidak henti-henti berdoa agar mereka semua dapat tiba dan berada di sisi kami di sini.

Allah itu Maha Mendengar. Doa saya terjawab, dan kami sempat berkumpul bersama-sama sebelum penerbangan kami walaupun dalam tempoh beberapa minit cuma. Terima kasih atas kesudian kalian memperuntuk masa di sini.

Penerbangan kali ini terasa sangat panjang. Apatah lagi tempat duduk kami berasingan. Kiri dan kanan saya orang lain - bukan suami, bukan ma dan bukan juga umi. Hati saya menjadi tidak begitu tenteram kerana risaukan ma dan umi. Takut kalau-kalau mereka kekok untuk bergerak ke bilik air, atau memerlukan bantuan saya untuk perkara-perkara lain. Mujur mereka boleh berdikari.

Tiba di Madinah, kami berurusan di Lapangan Terbangnya yang tidaklah sebesar mana. Untung juga kecil begini, proses menjadi laju dan kami cepat sahaja selesai. Sekitar jam 2.00 petang kami sudah berada di atas bas.

Cuaca panasnya sungguh menggigit. Ini ujian kami yang pertama, pun Alhamdulillah kami tidak terlalu terkesan dengan kepanasan yang melampau ini.

Kami dibawa ke Hotel Madinah Concorde. Jam 3.30 petang kami selamat berada di lobi hotel tetapi tidak dapat masuk ke bilik lagi kerana penghuninya belum check out. Berlegar-legarlah kami di lobi sementara menunggu.

Suami saya, ma dan umi menuju ke masjid Nabawi untuk bersolat di sana. Saya yang uzur hanya menanti di lobi sambil mengakses internet. Seronok bukan kepalang apabila WiFi percuma kedapatan di lobi ini. Dengan segera saya mengupdate status di Facebook sambil membaca status rakan-rakan. Terima kasih kepada semua yang mendoakan.

Jam lima petang barulah kami mendapat kunci dan terus menuju ke bilik masing-masing. Ma dan umi menginap sebilik bersama seorang lagi rakan baru, Misi Norulhayati di bilik 808. Saya tentunya di sisi suami saya yang setia di bilik 814. Selesa dan nyaman, Alhamdulillah.

Malam pun tiba. Suami, ma dan umi menuju ke masjid untuk berjemaah. Saya hanya berehat di bilik dan berdoa agar segera suci kerana rindu di hati untuk bersolat di Masjid Nabawi tidak mampu saya bendung lagi......

Bersambung

No comments:

Post a Comment