Tuesday, July 30, 2013

Internet

Apabila SU Data sekolah meminta semua guru menyemak dan mengemaskini maklumat masing-masing dalam laman e-operasi minggu lepas, pelbagai reaksi terbit daripada sekalian guru. Ada yang tanpa banyak cerita, terus menyemak dan mengemaskini dengan segera. Ada yang menunggu sehingga tarikh akhir. Ada juga yang merungut dan berleter kerana terpaksa menggunakan internet.

Hari ini, tarikh akhir pengemaskinian e-operasi itu. Betapa ia menjadi satu hari yang sungguh kalut.

Seawal pagi lagi, seorang guru bertaraf pentadbir, mula mengomel tanpa henti apabila dia gagal memasuki laman itu. Sebabnya, dia lupa (atau mungkin tidak tahu) ID pengguna dan kata laluannya. Menurutnya, di sekolah lamanya dahulu, pengemaskinian dilakukan oleh SU Data sekolah. Marahlah dia apabila terpaksa melakukan sendiri kerana dia sangat sibuk dengan tugas-tugasnya yang sangat banyak itu (katanya!). Saya hanya melihat bagaimana dia berperang mulut dengan SU Data, yang berlaku secara live di hadapan saya. Saya tidak memberi apa-apa reaksi, cuma saya menilai sikap dan sifat yang ada dalam diri seorang pentadbir sepertinya.

Tidak berapa lama kemudian, datang beberapa orang guru ke tempat saya membawa soalan yang sama. 

"Kak Ti, internet ok tak? Saya nak update e-operasi."

Oh, mereka mahu menggunakan laptop saya untuk tujuan pengemaskinian data mereka.

Jujurnya, saya bukan kedekut. Saya tahu, erti hidup pada memberi tetapi wajarkah mereka sentiasa menjadi penerima? Malah, apabila saya memberitahu mereka "wifi sekolah tak berapa nak laju lah. Kuota dah habis rasanya..", boleh dengan selamba mereka bertanya "Kak Ti bawa broadband tak?"

Amboi!

Semuanya berpunca dari saya juga. Apabila kemasukan markah SAPS tidak berjalan dengan baik setiapkali selepas peperiksaan berlangsung, saya akan membuka kaunter internet percuma di bilik guru menggunakan laptop dan broadband peribadi saya. Ia berlaku berkali-kali dan itu kerana SAPS itu bidang tugas saya. Saya tidak kisah melabur sedikit asal tugas saya cepat selesai.

Malangnya, apabila e-operasi yang tiada kena mengena dengan saya ini perlu dilangsaikan, saya juga yang mereka cari! Semurah itu minda sesetengah guru kita rupanya (yang jika boleh saya katakan minda subsidi). Semua mahu diberi percuma tanpa mahu menyumbang walaupun sedikit. Jika ditanya, banyak sahaja alasannya. Sibuklah, internet tiada di rumah lah, anak kecillah, bla bla bla....

Alasan yang tidak akan habis sampai bila-bila.

Cuti

Hanya dua hari sahaja lagi untuk saya bekerja sebelum cuti dua minggu tiba. Ya, hanya dua hari sahaja lagi!

Memang, sama sahaja seperti orang lain, saya sangat seronok untuk bercuti. Cuti itu satu anugerah, dan ia satu kesempatan untuk saya berehat.

Berehat?

Dari pandangan mata kasar, begitulah. Cuti itu rehat buat kami yang bekerja saban minggu demi mencari rezeki yang halal. Cuti itu sangat berharga kerana kepenatan bekerja tidak mampu dibanding dengan apa pun jua. Sungguh ia begitu. Namun, semua orang maklum betapa hari raya akan menjelma pada Khamis 8hb Ogos nanti. Rasanya, rehat saya akan tamat sebaik hari raya tiba. Begitulah selalunya.

Hari raya adalah hari yang sangat padat. Biarpun rumah emak dan rumah mentua hanya beberapa ratus meter, tetapi saya tidak akan mampu menghabiskan masa yang lama di sana. Suami saya tentu mahu kami bersedia di rumah untuk menerima kunjungan para tetamu. Itu perkara biasa, tetapi sayalah seorang yang akan bersiap segala di dapur kerana tiada orang lain di rumah itu selain saya dan suami!

Apabila tetamu tiba, berkejarlah saya untuk menghidang air, kuih dan apa sahaja yang sesuai. Jika sekadar kuih raya tidaklah saya penat sangat kerana telah pun saya susun indah di ruang tamu. Selalunya jika tetamu itu datang pada waktu makan tengah hari, saya kena masak lunch. Jika waktu petang, sekurang-kurangnya mi goreng. Jika waktu malam, tentunya hidangan malam pula. Dan, saya hanya seorang!

Bayangkan jika tetamu datang pada ketiga-tiga waktu dalam satu hari. Tentunya penat saya akan melonjak ke darjah tertinggi. Tetapi, itulah yang perlu saya hadapi.

Untuk kali ini, saya mahu meningkatkan stamina demi memberi segala yang terbaik buat tetamu-tetamu saya.

Insya Allah.

Sunday, July 28, 2013

Popia Sira Mudah

Entah kenapa dua tiga hari lepas mood memasak popia tiba-tiba datang tanpa diundang. Mungkin masa agak panjang pada hari Jumaat itu, menyebabkan saya mencari idea untuk melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan saya dan suami saat berbuka puasa.

Ini Ramadan yang ketujuh belas saya sambut di sisi suami, jadi saya sudah sangat maklum yang dia gemar amat menikmati popia sira. Lalu, saya mahu melakukan itu untuk dia.

Membelek-belek laman resepi di internet ini, macam-macam penemuan saya dapat. Semuanya macam komplikated dan memakan masa. Saya ni, jenis yang kalau duduk di dapur, mesti nak bagi cepat siap. Tak tahanlah lama-lama kat dapur, panas!

Lalu, saya mencipta resepi sendiri.

Saya tumis hirisan bawang putih dan bawang merah. Saya masukkan isi udang yang sudah saya potong kecil-kecil. Saya letak garam, sedikit gula dan akhir sekali taugeh dan daun sawi yang saya potong halus.

Inti popia saya sudah siap.

Sambil bersila di lantai, saya gulung inti itu dalam kulit popia yang saya beli di pasar. Sekejap sahaja, saya siap menggulung sembilan biji popia dan sedia untuk menggoreng. Hanya beberapa minit, gorengan popia saya selesai.

Kini, proses menyiranya pula.

Saya jerang secawan air dan tiga sudu gula dalam kuali. Saya masukkan satu sudu kecil serbuk cili, seulas bawang putih yang sudah dicincang dan dua sudu besar sos pencecah MH Mohd. Bila dia memekat, saya padamkan api dan masukkan popia saya tadi. Saya gaul rata, dan siap.

Aduhai! Mudahnya resepi saya. Tak sampai setengah jam saya sudah boleh beredar ke bilik untuk urusan peribadi. Cuma, saya tidak sempat mengambil gambar popia sira saya itu untuk diabadikan di sini.

Alhamdulillah, suami saya kata popia itu sangat sedap. Dia mahu saya buat lagi untuk berbuka esok. Wah!!

Thursday, July 25, 2013

Bahasa Arab

Apabila saya tamat darjah enam, arwah ayah mendaftarkan nama saya sebagai pelajar di Maahad Muhammadi Kota Bharu, sebuah sekolah aliran Arab yang sangat tersohor di negeri saya. Saya tidak menolak dan bersedia untuk belajar di sana dengan penuh semangat.

Tetapi apabila tawaran ke MRSM tiba, saya berubah perasaan. Saya teruja untuk belajar di MRSM dan mengetepikan harapan arwah ayah begitu sahaja, tanpa sedikit pun rasa bersalah. Ayah pula, sangat memberi kebebasan kepada saya. Dia tidak langsung meminta saya memikir kembali berkali-kali.

"Jika itu yang Yati pilih, ayah ikut sahaja. Yati yang nak belajar, biar Yati yang putuskan."

Begitulah demokrasinya ayah.

Di MRSM, kami diwajibkan belajar Bahasa Arab sehingga tingkatan tiga. Dalam peperiksaan pertama saya, saya mendapat markah tertinggi untuk Bahasa Arab daripada 160 orag pelajar tingkatan satu. Ayah melihat keputusan itu dengan senyuman dan berkata, "anak ayah ni pandai Bahasa Arab, tetapi tak mau sekolah Arab."

Saya menerima kata-kata itu sebagai satu pujian.

Pun, apalah yang saya mampu kuasai dengan hanya belajar bahasa Arab setakat tingkatan tiga. Walaupun berjaya mendapat gred A dalam percubaan SRP untuk mata pelajaran ini, saya masih terkial-kial untuk memahami ayat-ayatnya. Sedikit-sedikit sahaja saya mampu memanfaatkannya dalam mendalami maksud Al-Quran. Ya, sangat sedikit.

Di universiti, saya meneruskan usaha mendalami bahasa Arab. Kami diwajibkan mengambil enam unit (jam kredit) untuk bahasa asing. Tanpa ragu, saya memilih bahasa Arab.

Sentiasanya, saya mampu mendapat gred yang baik untuk subjek ini tetapi praktikal seakan tiada. Ia hanya berlangsung di kelas dan dewan peperiksaan. Alam realitinya, ia tiada. Hanya saat saya membaca al-Quran sahaja bahasa Arab itu wujud. Waktu-waktu lain, memang tiada.

Kini, saya dapat rasakan betapa saya masih perlu mencarinya. Mendalaminya. Melakukan sesuatu agar bahasa Arab saya tidak berkubur begitu sahaja. Mungkin tidak mampu bertutur, tetapi sekurang-kurangnya mampu membantu saya lebih mengenali agama saya sendiri.

Pesanan

Kata orang, jangan lihat siapa yang menyampai tetapi ambil apa yang disampaikan.

Benarlah itu. 

Namun dalam realiti kehidupan, jika ingin menjadi penyampai yang baik, sewajarnya didiklah diri untuk berakhlak baik. Amat jelik pada pandangan saya orang yang hanya pandai berkata-kata tetapi praktiknya tiada.

Pesanan ini sungguh untuk diri saya sendiri.

Wednesday, July 24, 2013

Cuai?

Maaf, saya tidak boleh menerima kenyataan sebegitu (merujuk kenyataan Menteri Wanita tentang kes kanak-kanak meninggal kerana lemas dalam kereta).

Mudahnya kita menghukum sesedap rasa apabila berlaku sesuatu musibah yang tidak pernah dijangka apa lagi diminta. Mudahnya kita meletakkan kesilapan pada bahu wanita itu yang kita tidak pun berada di tempatnya. Kita tidak tahu pun serabut jiwa dan mindanya. Kita tidak kisah pun tentang hidup matinya selama ini. 

Sesungguhnya dia manusia, dan dia lupa.

Allah sentiasa memaafkan hamba-Nya yang lupa. Kenapa pula kita yang berlebih-lebih?

Dia sudah terhukum dengan kelupaannya. Trauma menghantuinya saban waktu. Hidupnya diselubungi rasa bersalah yang entah bila berlalu. Wajarkah kita menambah bebannya itu?

Kita manusia. Jadilah manusia yang ada kemanusiaan.

Wednesday, July 17, 2013

Bonus

Asal raya, sibuk tanya bonus. Asal bajet, sibuk tanya bonus. Siapa? Kakitangan awam seperti kami inilah!

Saya tumpang gembira apabila diberi bonus, tetapi pada masa yang sama saya sedikit terkilan dengan mentaliti kakitangan awam. Kadang-kadang, rasa malu apabila membaca sindiran dan perlian orang ramai terhadap sikap kita ini.

Tidak salah meminta, tetapi biarlah berpada-pada. Tak perlu disiar dalam segala rupa media yang ada. Malah, berita palsu pun menjadi tajuk utama dalam sesetengah laman sosial. Saya terkedu! 

Saya akui, gaji kakitangan awam di negara ini masih rendah berbanding negara lain, dan sangat rendah berbanding segala kos yang perlu kita biaya. Ansuran rumah, ansuran kereta, pendidikan anak, pusat asuhan, cukai jalan, cukai pendapatan, dan segala macam perkara yang pelbagai - sama ada keperluan atau kehendak - yang tak mampu disenaraikan di sini. Sebab itulah kadar berhutang rakyat kita sangat tinggi, berganda-ganda lebih tinggi daripada negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.

Maka, apabila musim raya tiba, kita mengharapkan kerajaan melakukan sesuatu untuk membolehkan kita beraya dengan sempurna. Kita berdoa agar terbuka hati bapak menteri untuk menganugerahkan kita seketul bonus.

Ya, saya juga berharap begitu. Saya juga berasa seronok menerima pemberian daripada kerajaan walaupun pada kebanyakan waktu saya mencanangkan pada ramai - erti hidup pada memberi. Utamakan memberi daripada menerima. Tetapi kita sudah sering memberi, ada waktunya berharap juga untuk menerima. Itu lumrah, dan tiada yang salah.

Yang salahnya ialah berdegar-degar bertanya dan bercerita tentang harapan kita itu. Ia nampak tidak ikhlas, sekurang-kurangnya pada saya. Biarlah Cuepacs dan konco-konconya meneruskan usaha. Kita menunggu dan berdoa sahajalah. Tak perlu menyebar berita palsu di laman sosial, atau menulis di forum pembaca. Ia umpama manusia yang amat terdesak. Maruah kita akan tercalar.

Bedak

Sebagai wanita normal, memang sangat tidak logik jika tidak berbedak. Mana mungkin kita keluar rumah dengan wajah kusam dan pucat? Nampak macam orang demam pula nanti.

Dulu, sewaktu sekolah menengah, saya selalu membawa bekal bedak talkum bayi yang saya bungkus dalam kertas. Apabila waktu rehat, saya akan 'touch up' wajah saya di bilik air. Bukan apa, kulit muka saya jenis cepat berpeluh dan berminyak. Sangat tidak selesa rasanya apabila ia semakin melekit apabila bedak yang saya sapu pada awal pagi mula berkurang. Keyakinan diri juga berkurang apabila perlu berhadapan dengan guru dan rakan-rakan lelaki.

Apabila memiliki wang biasiswa sendiri, saya mula pandai membeli bedak kompak. Waktu itu, saya hanya mampu memakai bedak kompak jenama Yardley yang hanya berharga RM3.50 sepeket.


Ia kelihatan sempurna di wajah saya.

Bertahun-tahun juga saya mengunakannya, ada ketika saya bertukar kepada jenama-jenama lain yang seharga dengannya sehinggalah saya bekerja.

Tahun 2002, saya berkenalan dengan produk Maybelline. Saya jatuh cinta dengan bedak 2 dalam 1 (two way cake) jenama tersebut yang sangat sesuai dengan kulit wajah saya. Ia tidak langsung bercapuk walaupun saya berpeluh. Harganya agak mahal, mencecah empat puluh ringgit tetapi ia tahan sehingga dua bulan. Pun saya masih perlu mengenakan pelembab sebelum memesrainya di wajah.

Lama saya setia pada Maybelline ini. Daripada bentuk kotak yang tidak secanggih mana, hinggalah bertukar kepada yang lebih elegan, saya masih menggemarinya. Sekali dua saya menukar juga selera. Mencuba bedak Za, Nutrimetics atau Avon tetapi cinta saya tetap pada Maybelline.
 

Beberapa bulan lalu, saya diperkenalkan dengan bedak Arab jenama Kokuryu oleh seorang rakan. Harganya RM60. Saya pernah bersua dengan iklan bedak ini di Facebook, dan pernah membaca tentang keberkesanannya. Malah, Ustazah Laila Aniza yang terkenal itu turut menjual produk yang sama.

Tanpa banyak bicara, saya membeli bedak itu.


Sungguh saya berpuas hati. Bedak arab ini rupa-rupanya sudah lengkap, sudah padat. Tidak perlu lagi saya menggunakan pelembab dan bedak asas kerana ia 3 dalam 1. Juga, sesuai dengan harganya yang agak tinggi, ia mampu bertahan hingga enam bulan. Kini, sudah tiga bulan saya menggunakannya dan rasa saya, memang ia akan mampu bertahan untuk tiga bulan lagi.

Tidaklah saya mampu menelah apakah bedak ini akan menjadi kesukaan saya dalam tempoh yang lama. Sesetia saya kepada bedak Maybelline, tergugat juga dengan kehadiran Kokuryu. Mungkin jika ada yang lebih baik selepas ini, Kokuryu juga akan senasib Maybelline!

Tuesday, July 16, 2013

Memori Puasa

1979 bersamaan 1399 Hijrah, saya berusia 7 tahun. Bulan Ramadan tiba pada 25hb. Julai. Cuaca memang sangat panas.

Saya tidak mampu menyimpan memori yang banyak tetapi apa yang saya ingat, saya hanya berdaya berpuasa selama empat hari sahaja pada tahun tersebut.  Ayah dan emak tidak memaksa, cuma saya yang mahu mencuba.

Tahun-tahun seterusnya pun, saya tetap mencuba untuk berpuasa tetapi tidak pernah mampu berpuasa penuh sebulan. Kudrat seorang kanak-kanak yang sedang membesar ditambah kepanasan cuaca bulan Jun dan Julai sememangnya tidak langsung memberi kekuatan untuk saya berpuasa. Apatah lagi dugaan menonton iklan yang menunjukkan air minuman yang lazat, menggelegakkan rasa dahaga dalam diri. Sehingga darjah enam pun, saya masih gagal berpuasa penuh.

Anehnya, ayah dan emak tidak pernah marah. Mereka membiarkan sahaja saya tidak berpuasa, tetapi pada masa yang sama mereka menanam kesedaran dan pengetahuan tentang kewajipan berpuasa apabila tiba masanya nanti. Saya sedar tentang itu dan apabila saya memasuki alam baligh pada usia 13 tahun 11 bulan, saya tidak lagi ponteng puasa tanpa sebab yang dibenarkan. Saya juga mampu mengqada’ puasa saya pada masa yang ditetapkan, tanpa pernah terlajak tahun. Alhamdulillah. Emak dan ayah begitu berjasa dan berjaya menyemai rasa tanggungjawab dalam diri saya terhadap ibadah ini walaupun sewaktu kecil dahulu mereka tidak terlalu melatih saya berpuasa.

Lalu saya dapat simpulkan secara sendiri yang ibadah puasa ini bukanlah sesuatu yang memerlukan latihan, tetapi yang lebih penting ialah kesedaran dan ilmu yang kukuh. Manakan sama upaya kanak-kanak dibanding orang dewasa, jadi mengapa mahu melatih mereka berpuasa pada saat upaya mereka berbeza?

Cuba bandingkan puasa kita sendiri, sewaktu zaman kanak-kanak dahulu dengan puasa kita sekarang. Tentunya puasa dalam usia sekarang sangat mudah berbanding sewaktu kanak-kanak dahulu. Kita sudah tahu mengawal diri dengan baik dan badan kita sudah mampu menampung zat dan mineral yang perlu dalam tempoh yang lebih lama. Jarang benar kita lembik dan lesu kerana puasa!

Buat ibu bapa di luar sana, puasa tahun ini jatuh dalam bulan yang cukup panas. Jangan sampai mendera anak-anak kita dengan latihan puasa pada hal Allah belum mewajibkan ke atas mereka. Biarkan mereka membesar dengan sihat, dan tanamkan ilmu dan kesedaran yang secukupnya agar mereka mampu memikul tanggungjawab sebagai muslim dengan sempurna apabila mereka dewasa.

Memori....

Bulan puasa 1981. Saya bersekolah petang. Kantin sekolah memang dibuka walaupun pada bulan puasa kerana meraikan kami kanak-kanak yang ramai tak puasa. Pernah beberapa kali, saya berpuasa pada sebelah pagi, tetapi makan di kantin sewaktu rehat. Pulang ke rumah, saya kunci mulut, tak bagitau mak dan ayah yang saya dah tak puasa. Jadi dapatlah saya berbuka dengan meriahnya! Eeeii... bila saya ingat balik, saya rasa saya tak patut buat macam tu. Tapi, budak-budak. Maafkan sahajalah ya!!


 Bulan puasa 1982. Saya bertandang ke rumah kawan sekelas saya pada satu petang hujung minggu. Waktu itu saya berpuasa. Sebaik masuk ke rumahnya, saya terpandang gambar seorang model wanita memegang segelas minuman ais yang sangat lazat di kalendar yang tergantung di dinding ruang tamunya. Gulp! Saya menelan liur. Ya Allah, sedapnya air itu. Saya seperti mahu meminta dia memberi saya minum sedikit kerana saya sungguh tergoda dengan aksinya bersama air itu!

Bulan puasa 1984. Saya darjah enam. Sudah pun berusia 12 tahun tetapi barang diingat, saya masih belum baligh.. Entah kenapa sepanjang bulan puasa tahun ini saya sangat gemar berbasikal setiap petang dengan kawan-kawan sekolah saya. Kami meronda dari kampung ke kampung, dan apabila pulang ke rumah saya kehausan. Melihat saya kepenatan, ayah akan bertanya, nak puasa tak? Memang lah ayah sangat faham jiwa saya. Belum saya minta, ayah dah bagi offer! Makanya, saya puasa tak cukup 9 hari. Isk..!!

Bulan puasa 1985. Saya masih di alam kanak-kanak pra matang walaupun sudah berusia 13 tahun. Sangka saya, saya akan berpuasa penuh untuk kali pertama pada tahun ini kerana saya berada di asrama. Rupanya tidak juga. Sehari sebelum raya, kami sekeluarga bergerak pulang ke kampung di Golok. Tiba di Rantau Panjang, kami singgah di rumah arwah Mak Pah. Kata Mak Pah, Thailand sudah raya hari ini. Ayah lalu mengizinkan kami makan kerana nanti bila tiba di kampung sebelah sana, kami wajib berbuka juga. Saya pun terus merasa kuih yang ada di rumah Mak Pah. Punyalah teruja, saya makan di pintu rumahnya. Tiba-tiba ayah bersuara, "alahai, taulah dah tak puasa tapi sorok-soroklah sikit. Nanti orang tengok tak elok!" Saya senyum je, termalu-malu sendiri...

Itulah memori bulan puasa saya....

Monday, July 15, 2013

Redha

Sudah enam hari Ramadan tiba, belum sekali pun saya memasak sepenuhnya untuk hidangan berbuka kami. Setiap hari, saya hanya memasak nasi dan suami akan membeli lauk pauk dan kuih muih yang sudah siap dimasak. Untuk sahur sahaja saya memasak lengkap. Itu pun, hanya satu dua lauk sahaja yang mudah-mudah seperti ayam goreng, ikan goreng atau telur goreng.

Pernah juga saya bersuara (ketika bukan bulan Ramadan) yang saya mahu belajar memasak nasi dagang yang sedap untuknya kerana saya tahu dia suka nasi dagang. Katanya, tak payahlah. Beli di kedai saja.

Daripada intonasinya, saya tahu dia bukan menyindir.

Ada dua kemungkinan yang boleh saya simpulkan daripada apa yang saya alami. Pertama, dia tidak mahu menyusahkan saya. Memasak memang rumit, cerewet dan memakan masa apatah lagi buat seorang wanita yang tidak gemar memasak seperti saya. Dia tahu itu, dan dia tidak mahu meminta lebih. Cukup dengan apa yang saya mampu.

Atau pun, mungkin selama ini hidangan saya tidak berapa menepati seleranya, lalu dia tidak mahu mengambil risiko membenarkan saya memasak makanan kegemarannya yang sudah dijangka tidak akan sesedap mana.

Apa pun, saya tidak mahu menyesakkan fikir saya dengan pelbagai andaian yang bukan-bukan.

Kalau dia redha, saya juga redha. Pahala seorang isteri tergantung pada redha suaminya. Itu kata kunci yang saya pegang. Bukan semestinya memasak, mengurut, memotong kuku atau melayan dia dengan layanan kelas pertama baru mendapat pahala. Dia redha dengan saya, alhamdulillah. Yang lain-lain itu datang kemudian. Kalau saya mahu memotong kukunya tetapi dia tidak selesa, biar sahaja dia memotong sendiri. Bukankan perkahwinan ini satu persefahaman selain perkongsian?

Anda - para pembaca - bebas memberi ulasan.

Sunday, July 14, 2013

Layar Keinsafan


Sepi benar senja ini
Bayunya semilir
menganak ombak kecil
Jalur ufuk pula mengemas terang
Kapal dan layar terkapar


Mengapa nantikan senja
Barukan terdetik
pulang ke pengkalan
Gusar malam menghampiri
Ku tewas di lautan


Tuhan 
layarkanku ke arah cinta-Mu
Tuntuniku menggapai redha-Mu
Di rimbunan kasih-Mu ku berteduh
Kepada-Mu ya Tuhan


Berikan secebis keinsafan
Bekalan sepanjang perjalanan
Mencari ketenangan


Biar Kau menjadi saksi
Tulus tangisku kala dini hari
Kesempatan yang hanya sebentar
Moga keikhlasanku terlakar

Berikanlah ku hidayah
Agar dikuatkan iman yang lemah
Moga diberkati hidup ini
Menuju bahagia yang kekal abadi


Pada-Mu Tuhan
Kan kuserahkan cinta kepada-Mu


Harapanku 
moga dikurniakan
Manisnya iman berpanjangan
Moga lautan hilang gelora 
untukku belayar

Wednesday, July 10, 2013

Kasihan

Beginilah mentaliti rakyat Malaysia.

Video seorang gadis remaja yang tidak pernah dikenali sebelum ini tiba-tiba menjadi viral. Video itu merakamkan rasa cintanya kepada teman lelakinya sempena seminggu mereka bercouple. Ramailah yang berkongsi, kemudian memberi komen yang pelbagai dan semuanya, saya ulang - SEMUANYA bernilai negatif.

Saya berasa kasihan. Bukan sahaja kepada gadis itu, tetapi kepada rakyat Malaysia yang masih lagi menegatifkan segala perkara. Yang masih gemar bertindak membabi buta.

Bukan saya menyebelahi dia, atau membenarkan perbuatan dia. Tetapi fikirlah, apa yang kita dapat dengan menyebarkan video ini? Apa tujuan kita sebenarnya? Berdakwah? Haktuihhhh!!

Tolonglah betulkan kepincangan sebegini. Mengapa orang kita malas sungguh menggunakan akal kurniaan Allah ini sebaiknya? Tidak nampakkah implikasi yang akan berlaku kepada gadis itu?

Dia masih muda. Beri dia peluang. Kita tidak layak menghukum dia sebegini.

"Apabila engkau terlanjur berbuat dosa, maka jangan engkau putus asa dalam menggapai istiqamah kepada Rabbmu, kerana boleh jadi, itulah dosa terakhir yang ditakdirkan bagimu."
-Syaikh Ibn 'Atha'illah

Saturday, July 06, 2013

Akhirnya

Lama sungguh, kini baru ia terlaksana. Pagi tadi kami membelinya dan sebentar tadi ia tiba. Set sofa baru bagi menggantikan sofa usang kami yang sudah berusia 12 tahun.

Insyaallah, seminggu dua lagi kami akan usahakan langsir baru pula.

Thursday, July 04, 2013

Cabaran

Kalau nak dikira penat, rasa macam nak pencen awal je. Bukan setakat fizikal, mental pun rasa macam dah blocked. Cabaran menjadi guru semakin hebat dari tahun ke tahun dan saya bagai tidak tertanggung.

Pun, kewarasan fikiran masih berada pada tahap normal. Saya masih tahu menimbang tara dan membuat reasoning. Saya perlu meneruskan sebuah perjuangan dalam medan yang saya pilih ini. Berhenti bererti mengaku kalah, dan saya tidak mahu itu berlaku.

Esok dan lusa adalah hari untuk saya bertenang. Cuti mingguan selama dua hari sekurang-kurangnya memberi ruang untuk saya melayan diri sendiri. 

Adik-adik, Pizza Hut ya esok!