Sunday, January 26, 2014

Main Kutu

Dulu, waktu masih kecil saya selalu dengar emak menyebut sesuatu tentang kutu. Selain daripada organisma kecil yang pernah menghuni kepala saya, rupanya terma kutu ini terpakai untuk satu perkara yang sama sekali berbeza cirinya. Lama juga masa yang saya ambil sebelum saya faham konsep main kutu yang selalu emak sertai.

Di sekolah rendah, saya dan beberapa kawan pernah mencuba bermain kutu. Waktu itu sekadar beberapa puluh sen sahaja seminggu. Di sekolah menengah pun ada juga kumpulan kutu tetapi saya kurang menyertai.

Apabila saya menjadi guru, kembali saya bertemu dengan permainan ini. Di Raub, saya bermain kutu cuma empat orang, sebanyak RM200 sebulan. Sekejap sahaja sudah habis pusingan. Di Kuala Krai pula, saya bermain untuk beberapa tahun awal sahaja kerana selepas itu saya berfikir, lebih baik saya menyimpan sahaja di Tabung Haji yang ada dividennya.

Di Salor, saya masih jual mahal enggan main kutu. Apabila bertukar ke Chengal, prinsip saya untuk tidak bermain kutu cuma bertahan sehingga 2011. Pada 2012 saya rindu untuk kembali menyertai.

Rupa-rupanya, kumpulan kutu yang saya sertai itu memilih bulan sendiri-sendiri untuk menerima kutu mereka tanpa sistem cabutan. Saya yang terlambat ini, terpaksa redha menjadi penerima terakhir. Apa nak buat!

Mulanya geram juga. Rasa bagai tidak adil tetapi saya pujuk hati dengan menganggap saya sebenarnya sedang membantu mereka yang memerlukan. Memang pun, kerana masing-masing memilih bulan yang mana cukai jalan dan insurans kereta mereka perlu diperbaharui. Tanpa kutu, mereka tidak ada keupayaan untuk membayar jumlah yang besar untuk tujuan itu. Bukankah saya ini sedang membantu mereka?

Memang jika dianalisa, permainan ini menguntungkan mereka yang mendapat giliran awal. Mereka umpama menerima pinjaman tanpa interest. Dapat banyak tu, bayar banyak tu. Golongan penerima terkemudian tentunya antara yang rugi kerana jika jumlah yang sama mereka kreditkan ke institusi kewangan lain, tentu ada dividen dan bonus yang bakal mereka terima.

Pun, begitulah kehidupan. Positifnya bermain kutu ini memberi ruang untuk kita sahabat sekerja saling bantu membantu tanpa perlu menyusahkan siapa-siapa. Di sisi Tuhan, pahala tetap ada jika niat ditanam itu betul dan ikhlas.

Untuk tahun ini, saya bermain RM400 sebulan dan bakal menerima RM4000 apabila tiba giliran saya nanti. Penerima pertama sudah pun mendapat wangnya hari ini, tetapi saya masih belum tahu pada bulan berapakah giliran saya tiba! Kelakar, tetapi itulah kenyataannya. Esok baru saya mahu bertanya.

Bersedia

Banyak perkara dalam dunia ini yang sememangnya tidak mampu kita jangka. Biar bersusun-susun segala perancangan yang diatur, pelaksanaannya tetap tidak mampu kita duga. Kadangkala, segala yang terancang indah itu hilang bak debu berterbangan dek ketidakmampuan kita menelah masa hadapan.

Di sinilah, kita perlu bersedia untuk segala kemungkinan.

Peredaran masa mewujudkan perubahan dalam keutamaan pilihan dalam hidup. Jika dahulu, susun atur sebuah kehidupan berkisar pada belajar, bekerja, berkahwin, dan membina keluarga. Kini ia tidak lagi begitu.

Selepas belajar, alam pekerjaan menjadi sesuatu yang menakutkan. Sukarnya menembus pasaran kerana lambakan graduan yang entah berkualiti entah tidak, menyebabkan seseorang graduan itu tidak lagi boleh bergantung kepada keputusan yang mereka peroleh sewaktu di universiti. Terpaksalah mereka lebih kreatif mencipta, membina dan memulakan sebuah pekerjaan, bukan sekadar mencari.

Satu lagi keperluan fisiologi yang tidak boleh dinafikan ialah untuk mencari pasangan. Saat usia mencecah dua puluh tahun, seseorang individu sudah mula mengangankan sebuah kehidupan berkeluarga dan mula mencipta khayalan indah sebuah perkahwinan.

Rupanya hidup kini tidak semudah dahulu. Mencari pasangan yang sekufu dan punya kualiti yang kita kehendaki tidak boleh hanya dalam masa sehari dua. Setahun pun belum mampu memberi ruang masa menilik dan menilai calon yang ada. Entah kerana apa, ia menjadi sangat sukar.

Lalu, bersedialah untuk sebuah kehidupan yang berbeza.

Bersendiri atau berkeluarga, makan gaji atau berniaga, adalah perkara-perkara yang perlu diberi fokus sama rata. Jika takdir Tuhan tertulis sedemikian rupa, siapalah kita untuk menolaknya?

Pun, janganlah sewenang-wenangnya menyalahkan takdir. Usaha, ikhtiar dan tawakal, itu kata kuncinya. Takdir yang tertulis di hadapan hanya Tuhan yang tahu. Kita tidak perlu risau tentang itu kerana Dia mahu kita melaksanakan tugas kita yang selayaknya sebagai hamba. Sampai bila-bila pun kita tetap seorang hamba maka tidak perlulah gusar dengan aturan Tuhan. Dia membekalkan kita dengan segala yang perlu, maka gunakanlah. Natijahnya nanti akan sentiasa ada nilai positif jika kita tahu menilai.

Tuesday, January 21, 2014

Masterchef

Seronok menonton rancangan sebegini bagi orang yang tidak minat memasak seperti saya ini. Ada pelbagai jenis hidangan dan masakan yang tidak pernah saya dengari dapat saya lihat di sini. Mereka sungguh cekap, saya tidak akan mampu untuk secekap mereka. Saya hanya sekadar menonton aksi-aksi para peserta yang sungguh menghiburkan. Malam ini tinggal empat orang sahaja lagi peserta daripada sejumlah dua puluh orang pada awal rancangan. Sekali lagi, hebat mereka ini. Apa sahaja yang tiga orang chef itu arahkan, mereka mampu merealisasikan.

Minggu depan akan tamatlah Masterchef Malaysia All Stars ini. Saya harap Zamir dapat ke final.


Begini Rasanya

Saya tidak tahu apa tindakan terbaik apabila berhadapan seorang pelajar lelaki yang sangat biadap. Selembut sutera saya melontar kata saat melihat matanya bercelak, sekasar itu dia menjawab. Berdesing telinga saya, hati di dalam apatah lagi.

Benarlah saya masih jahil dalam menangani situasi seperti ini. Sangat sukar untuk menjadi seorang guru yang baik jika setiap kali berhadapan dengan pelajar ini, hati saya kerap membara. Tetapi masih saya enggan melontar kata yang boleh mencederakan perasaan saya dan dia. Saya halang diri sendiri daripada berkata-kata begitu kerana saya tahu, itu tidak akan mampu mengubah apa-apa selain melampias nafsu amarah yang meraja.

Bagaimanakah cara ibu dan ayahnya menegur dia di rumah? Salah keluarganyakah, atau kerana corak pergaulannyakah, atau guru-gurunyakah yang gagal mendidik?

Saya masih mencari-cari.

Sunday, January 19, 2014

Romantika

Dia bukanlah putera idaman yang menjadi impian saya sejak kecil. Dalam khayalan seorang remaja perempuan awal 90-an, saya lebih tertarik dengan paras setampan hero drama Hong Kong yang sering saya tonton saban petang. Macho, gentleman, dan romantik. Begitu juga saat menatap novel cinta Mills and Boon yang amat romantik itu, wajah sekacak Tom Cruise atau John Stamos tergambar dalam fikiran.

Siapa mampu menjangka jodoh ketentuan Tuhan?

Pertama kali wajahnya saya sapa, saat dia bertandang ke rumah saya pada suatu malam bulan Disember 1997. Dia datang selepas solat Isya' bersama abang iparnya untuk melihat-lihat saya. Ketika itu, saya langsung tiada perasaan. Di mata saya penampilannya tampan tidak, hodoh pun tidak. Neutral dengan pH 7. Sungguh, begitu hati saya berkata.

Pun saya ini, bukanlah jelita bak puteri raja yang saya minati Puteri Zarith Sofia dari Perak itu. Juga tidaklah bergaya seperti pelakon Sofia Jane yang popular itu. Saya cuma seorang Noorhayati, anak seorang kerani yang berasal dari Selatan Thailand. Sekadar itu.

Sejak lama, saya adalah seorang yang amat sedar diri. Rupa tiada, harta apatah lagi. Berdagang pula di negeri orang. Perlu apa saya memilih-milih? Emak dan ayah sudah setuju. Perlukah saya membina benteng menghalang sebuah harapan? Bukan saya ingin memperjudi nasib diri, tetapi saya yakin benar dengan janji Tuhan. Dan Dialah yang memberi keyakinan ini untuk saya.

Kami disatukan dalam satu majlis kecil-kecilan dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.

Meneruskan kehidupan sebagai isteri pada peringkat awalnya sangat payah. Tiada siapa tahu betapa dalam kepayahan itu saya bergelumang mencari sebuah kekuatan. Sekitar yang mendera, emosi yang berbeza-beza, ujian demi ujian semuanya menjadi rencah rumahtangga saya. Tuhan tahu betapa saya enggan tewas dalam perjuangan sebegini.

Kami punya banyak perbezaan. Dia agak perengus, saya pula sensitif. Dia cepat bertindak, saya lembab. Dia sangat terperinci, saya cuma melihat di permukaan. Dalam perbezaan yang pelbagai ini, kami bina jambatan yang menghubungkan. Kerana sesungguhnya, kami tidak pernah putus asa pada rahmat-Nya. Biar apa pun halangan, kami mahu tempuh bersama-sama. Saling membantu dan memberi semangat. Saling mencari sebuah pengertian. Kerana sehingga kini pun kami masih belajar untuk saling mengenali walaupun sudah menginjak ke tahun ketujuh belas melayari kehidupan berumahtangga.

Terima kasih Tuhan memberi kami rasa yang begini. Ada kala kami bertelingkah dek perkara-perkara kecil yang tidak diduga, tetapi penyelasaian menjadi satu pengalaman yang mematangkan kami.

Terima kasih Tuhan atas rahmat ini.

Wednesday, January 08, 2014

Marah

Sekian lama saya mengajar diri untuk menguasai perasaan marah dan mengelak sedaya mungkin daripada membiarkan perasaan marah menguasai saya. Lama. Sungguh lama saya mendidik diri sendiri untuk perkara yang satu ini. Saya amat tidak suka perasaan itu kerana ia menghilangkan seluruh rasa tenang.

Jika perasaan itu kelihatannya menghampiri, saya bawa diri untuk berdiam. Saya tidak akan menambah bara kepadanya. Biar marah itu padam sendiri.

Semalam, setelah lama saya mampu menguasai marah, tiba-tiba kemampuan itu hampir musnah. Saya nyaris tertewas.

Apabila berdepan dengan suara-suara biadap anak-anak murid yang menganggap itu hanya satu jenaka, jiwa saya bagai terbakar. Kata-kata mereka sungguh seperti api yang marak menyala. Saya cuba bertenang tetapi gelora dalam hati kian bergelombang. Saya rasa panas.

Alhamdulillah, saya masih mampu mengawal diri. Belum tergadai lagi sebuah pegangan dan harapan.

Saya memaku diri. Membiar mereka berkata-kata dan berketawa. Saya merenung jauh dari jendela kelas itu, melihat kehijauan pokok-pokok dan keindahan sawah padi yang begitu jelas dari tingkat empat itu. Mata saya tiba-tiba berair. Pilu rasa hati seorang guru apabila anak-anak murid yang sedang saya depani ini bersikap sebegitu hodoh.

Sejak di sini, ini kali pertama saya berasa begini. Pada hal, setiap tahun saya mengajar kelas tercorot. Saya tidak pernah kisah jika mereka lemah dalam pelajaran, kerana apa yang saya lebih utamakan ialah akhlak dan peribadi. Kali ini, kumpulan pelajar yang saya sedang berhadapan ini bukan sahaja tercorot dalam pelajaran, tetapi juga tercorot dalam moral dan akhlak. Mereka tega mempermainkan kata-kata saya hanya kerana mereka mahu berjenaka. Sedih saya tidak mampu saya sembunyikan.

Ini baru permulaan tahun. Masih ada berbulan-bulan lagi untuk saya meneruskan hidup bersama mereka. Akan bagaimanakah nanti, hanya pada Allah saya bermohon. Beri saya kekuatan untuk meneruskan sebuah tanggungjawab yang terasa memberat ini Rabb!

Wednesday, January 01, 2014

Hari ini 2014

Alhamdulillah, saya masih diberi kesempatan untuk menghirup udara tahun baru dalam kesihatan yang baik dan hati yang penuh tenang.

Tepat 5.39 pagi, jam telefon saya berdering. Serasa malas berganjak dari katil lantaran Subuh masih belum tiba. Saya peram lagi tidur saya, dan deringan jam telefon yang saya tetapkan berbunyi setiap sepuluh minit itu saya biarkan untuk ketiga kali.

5.59 pagi baru upaya saya tiba untuk memaksa diri bingkas. Mandi, bersolat dan bersiap seadanya tidaklah memakan masa yang lama. Hujan kedengaran menimpa bumi, tetapi ini hari pertama untuk saya bertugas bagi tahun ini. Biar hujan, biar ribut, saya wajib kembali ke sekolah untuk meneruskan sebuah perjuangan. Rindu juga sebenarnya pada suasana hingar SMKKC, biarpun kenyataannya bercuti itu lebih indah!

Jam 6.56 pagi kereta Toyota Camry kami yang berusia tiga tahun lapan bulan itu selamat tiba di perkarangan SMKKC. Suasana masih gelap kerana cuaca yang redup ditambah musim Subuh lewat ini. Kesejukan menggigit, dan saya dapat rasakan kenikmatan berselimut di atas katil pada kala ini! Pun, saya tidak mahu melupakan nikmat sebuah tanggungjawab yang menanti.

Saya tiba serentak dengan Cikgu Zainon dan Cikgu Zurainey manakala Cikgu Rohani sudah lebih dahulu sampai. 

Masa yang masih ada sebelum sesi perhimpunan pada 7.30 pagi saya manfaatkan dengan menulis buku rancangan mengajar. Kali ini saya tidak mahu mengulang sejarah. Kesilapan saya pada hari pertama persekolahan tahun lepas masih segar dalam ingatan. Ia pengajaran berguna dan saya amat menghargainya.

Usai perhimpunan pada jam 8.30 memberi ruang untuk saya bersarapan sebelum ke kelas pada jam 9.00. Sepinggan nasi berlaukkan ikan keli goreng, hati ayam, ulam timun dan kuah kari menjadi rezeki yang saya syukuri. Hari ini kami makan 'free' kerana tuan kantin bermurah hati untuk mengalu-alukan kedatangan kami pada hari pertama ini tanpa bayaran. Terima kasih Puan Aminah.

Kelas pertama saya ialah Matematik Tingkatan 5 Ibnu Firnas. Impresi saya positif. Kelihatan mereka sangat sopan santun dan berhemah. Semoga semangat mereka tinggi dan sifat murni mereka hari ini berterusan hingga ke akhirnya. Lima belas orang pelajar perempuan dan tujuh orang pelajar lelaki menjadikan jumlah mereka dua puluh dua orang. Sedang elok untuk saya memberi perhatian yang jitu.

Seterusnya, selepas dua puluh minit berehat, saya melangkah ke Tingkatan 5 Ibnu Baitar pula, juga untuk mata pelajaran Matematik. Saya sydah biasa dengan mereka kerana tahun lepas saya juga yang mengajar mereka, jadi amat mudah untuk saya mendepani anak-anak ini. Cuma lima belas orang, dan saya seronok sekali berbual dan bercerita dengan mereka.

Jam 11.20 saya berehat sebentar. Empat puluh minit yang terluang ini saya manfaatkan dengan menyiapkan lagi buku rancangan mengajar saya dan buku kedatangan pelajar 5 Ibnu Firnas. Memang sedikit mencabar untuk saya memegang jawatan guru kelas ini apabila turut sama menjawat jawatan lain yang lebih perlukan ruang masa, tetapi saya mahu mencuba. Semoga saya tidak kecundang.

Jam 12.00 tengah hari, saya ke kelas 4 Ibnu Nafis pula. Kelas ini mungkin sedikit mencabar kerana ia ranking kedua akhir. Lapan belas pelajar, hanya lima perempuan dan tahap kebisingannya agak tinggi. Saa belum memulakan sebarang pengajaran kerana mereka tidak menyediakan apa-apa pun. Saya berbual dan bercerita seadanya. Semoga mereka menjadi lebih baik untuk hari-hari mendatang. Amin.

Tepat jam 1.20 tengah hari, tamatlah kelas saya. Saya bergerak ke bilik saya untuk sedikit rehat dan mengambil peluang untuk melayari internet.

Sebentar lagi, jam dua petang ada taklimat untuk semua guru di bilik mesyuarat. Nampaknya, hari pertama sudah pulang lewat. Tak mengapa, sekolah bestarilah katakan!