Sekian lama saya mengajar diri untuk menguasai perasaan marah dan mengelak sedaya mungkin daripada membiarkan perasaan marah menguasai saya. Lama. Sungguh lama saya mendidik diri sendiri untuk perkara yang satu ini. Saya amat tidak suka perasaan itu kerana ia menghilangkan seluruh rasa tenang.
Jika perasaan itu kelihatannya menghampiri, saya bawa diri untuk berdiam. Saya tidak akan menambah bara kepadanya. Biar marah itu padam sendiri.
Semalam, setelah lama saya mampu menguasai marah, tiba-tiba kemampuan itu hampir musnah. Saya nyaris tertewas.
Apabila berdepan dengan suara-suara biadap anak-anak murid yang menganggap itu hanya satu jenaka, jiwa saya bagai terbakar. Kata-kata mereka sungguh seperti api yang marak menyala. Saya cuba bertenang tetapi gelora dalam hati kian bergelombang. Saya rasa panas.
Alhamdulillah, saya masih mampu mengawal diri. Belum tergadai lagi sebuah pegangan dan harapan.
Saya memaku diri. Membiar mereka berkata-kata dan berketawa. Saya merenung jauh dari jendela kelas itu, melihat kehijauan pokok-pokok dan keindahan sawah padi yang begitu jelas dari tingkat empat itu. Mata saya tiba-tiba berair. Pilu rasa hati seorang guru apabila anak-anak murid yang sedang saya depani ini bersikap sebegitu hodoh.
Sejak di sini, ini kali pertama saya berasa begini. Pada hal, setiap tahun saya mengajar kelas tercorot. Saya tidak pernah kisah jika mereka lemah dalam pelajaran, kerana apa yang saya lebih utamakan ialah akhlak dan peribadi. Kali ini, kumpulan pelajar yang saya sedang berhadapan ini bukan sahaja tercorot dalam pelajaran, tetapi juga tercorot dalam moral dan akhlak. Mereka tega mempermainkan kata-kata saya hanya kerana mereka mahu berjenaka. Sedih saya tidak mampu saya sembunyikan.
Ini baru permulaan tahun. Masih ada berbulan-bulan lagi untuk saya meneruskan hidup bersama mereka. Akan bagaimanakah nanti, hanya pada Allah saya bermohon. Beri saya kekuatan untuk meneruskan sebuah tanggungjawab yang terasa memberat ini Rabb!
No comments:
Post a Comment