Sunday, January 19, 2014

Romantika

Dia bukanlah putera idaman yang menjadi impian saya sejak kecil. Dalam khayalan seorang remaja perempuan awal 90-an, saya lebih tertarik dengan paras setampan hero drama Hong Kong yang sering saya tonton saban petang. Macho, gentleman, dan romantik. Begitu juga saat menatap novel cinta Mills and Boon yang amat romantik itu, wajah sekacak Tom Cruise atau John Stamos tergambar dalam fikiran.

Siapa mampu menjangka jodoh ketentuan Tuhan?

Pertama kali wajahnya saya sapa, saat dia bertandang ke rumah saya pada suatu malam bulan Disember 1997. Dia datang selepas solat Isya' bersama abang iparnya untuk melihat-lihat saya. Ketika itu, saya langsung tiada perasaan. Di mata saya penampilannya tampan tidak, hodoh pun tidak. Neutral dengan pH 7. Sungguh, begitu hati saya berkata.

Pun saya ini, bukanlah jelita bak puteri raja yang saya minati Puteri Zarith Sofia dari Perak itu. Juga tidaklah bergaya seperti pelakon Sofia Jane yang popular itu. Saya cuma seorang Noorhayati, anak seorang kerani yang berasal dari Selatan Thailand. Sekadar itu.

Sejak lama, saya adalah seorang yang amat sedar diri. Rupa tiada, harta apatah lagi. Berdagang pula di negeri orang. Perlu apa saya memilih-milih? Emak dan ayah sudah setuju. Perlukah saya membina benteng menghalang sebuah harapan? Bukan saya ingin memperjudi nasib diri, tetapi saya yakin benar dengan janji Tuhan. Dan Dialah yang memberi keyakinan ini untuk saya.

Kami disatukan dalam satu majlis kecil-kecilan dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.

Meneruskan kehidupan sebagai isteri pada peringkat awalnya sangat payah. Tiada siapa tahu betapa dalam kepayahan itu saya bergelumang mencari sebuah kekuatan. Sekitar yang mendera, emosi yang berbeza-beza, ujian demi ujian semuanya menjadi rencah rumahtangga saya. Tuhan tahu betapa saya enggan tewas dalam perjuangan sebegini.

Kami punya banyak perbezaan. Dia agak perengus, saya pula sensitif. Dia cepat bertindak, saya lembab. Dia sangat terperinci, saya cuma melihat di permukaan. Dalam perbezaan yang pelbagai ini, kami bina jambatan yang menghubungkan. Kerana sesungguhnya, kami tidak pernah putus asa pada rahmat-Nya. Biar apa pun halangan, kami mahu tempuh bersama-sama. Saling membantu dan memberi semangat. Saling mencari sebuah pengertian. Kerana sehingga kini pun kami masih belajar untuk saling mengenali walaupun sudah menginjak ke tahun ketujuh belas melayari kehidupan berumahtangga.

Terima kasih Tuhan memberi kami rasa yang begini. Ada kala kami bertelingkah dek perkara-perkara kecil yang tidak diduga, tetapi penyelasaian menjadi satu pengalaman yang mematangkan kami.

Terima kasih Tuhan atas rahmat ini.

No comments:

Post a Comment