Saturday, May 24, 2014

Rifqi


Semoga Rifqi segera sembuh. Itu doa saya setiap waktu.

Berdepan dengan sesuatu yang tidak dijangka sememangnya mencemaskan. Apatah lagu berkaitan insan terdekat yang sangat dikasihi. Pelbagai kemungkinan mula menerjah fikiran hingga ada waktunya gagal merasionalkan diri.

Khamis itu. 

Apabila mendapat tahu Rifqi sakit,  saya terus menelefon emak. Panggilan pertama, emak tidak banyak bercerita. Mungkin hanya menanti perkembangan. Panggilan kedua barulah emak memberitahu dia mahu ke Johor. Saya menghubungi suami untuk memohon izinnya meneman emak ke Johor. Suami saya merestui tanpa ragu.

Jam sudah menghampiri 11 pagi. Saya perlu bersegera. Sambil menjaga peperiksaan, saya mencari tiket penerbangan di internet. Mujur liputan hari ini tidak menyakitkan hati. Dalam getar dan debar, saya hanya selesai membuat tempahan tiket penerbangan itu pada jam 1.00 tengah hari. 

Jam 2.00 petang kami pulang ke rumah untuk bersiap. Makan ala kadar, mengemas beg juga seringkas yang boleh. Kami bergegas ke rumah emak dan tepat 3.15 petang kami bertolak ke lapangan terbang. 

Penerbangan kami jam 5.10 pm ke KL dan 8.50 pm ke JB. Alhamdulilah semuanya berjalan lancar.

Di JB, kami tiba pada 9.45 pm dan dijemput Abang Ha. Sangka saya kami akan terus dibawa ke hospital tetapi entah kenapa Abang Ha membawa kami pulang ke rumah. Katanya, esoklah ke hospital.

Kami setuju sahaja walaupun dalam hati kami sudah tidak sabar mahu bertemu Rifqi.

Hampir tengah malam, Nab menelefon. Rupanya dia juga menyangka kami akan ke hospital dan tertunggu-tunggu kami di sana. Adik perempuan Nab, Siti dan anak saudaranya Atiq terpaksa ke hospital untuk menjemput Nab pulang. Emak mengikut dan saya ditugaskan menjaga empat beradik yang comel itu di rumah.

Alhamdulillah. Segalanya bagai direstui Tuhan. Anak-anak manis itu sangat ceria dan menceriakan, walaupun sedikit sukar meminta mereka tidur. Hanya pada jam 1.00 pagi baru mereka lena.

Esoknya adinda Zahidah tiba dari Penang. Jam 9.40 pagi barulah kami ke hospital untuk melawat Rifqi.

Di ICU, kami dibenarkan masuk berdua-dua sahaja. Dapat melihat wajahnya seketika pun sudah cukup untuk melegakan hati saya. Alhamdulillah, dia kelihatan semakin pulih.

Seharian saya dan Zahidah menemani Nab menjaga Rifqi di hospital. Tetamu yang datang memang menakjubkan dan ini satu rahmat buat Rifqi sekeluarga. 

Menjelang petang kami pulang dihantar Pak Din. Tinggallah Nab sendirian menguruskan Rifqi.

Dan hari ini, saya terpaksa pulang dahulu. Esok kerja, tiada kompromi.

Sendirian saya mengemudi diri bergerak ke Senai Airport dan seterusnya ke KLIA2. Alhamdullillah saya menggemari perjalanan sebegini kerana ada rasa santai yang tidak dapat diungkap dengan kata-kata.

Semoga Rifqi dan keluarga tabah menghadapi ujian sebegini. Semoga Allah memberi ampunan-nya.

Amin.



Sent from Samsung Mobile

Berita Kepada Kawan

Perjalanan ini terasa sangat menyedihkan
Sayang, engkau tak duduk di sampingku kawan
Banyak cerita yang mestinya kau saksikan
Di tanah kering berbatuan

Tubuh ku tergoncang dihempas batu jalanan
Hati tergetar menampak kering rerumputan
Perjalanan ini pun seperti jadi saksi
Gembala kecil menangis sedih

Kawan cuba dengar apa jawabnya
Ketika ia ku tanya "Mengapa?"
Bapa ibunya telah lama mati
Ditelan bencana tanah ini

Sesampainya di laut 
kukhabarkan semuanya
Kepada karang
Kepada ombak
Kepada matahari
 
Tetapi semua diam
tetapi semua bisu
Tinggal aku sendiri terpaku menatap langit 

Barangkali di sana ada jawabnya
Mengapa di tanahku terjadi bencana 
Mungkin Tuhan mulai bosan
melihat tingkah kita
Yang selalu salah dan bangga
dengan dosa-dosa 

Atau alam mulai enggan
bersahabat dengan kita
Cuba kita bertanya
pada rumput yang bergoyang

Sunday, May 18, 2014

Meniru

"Jawab elok-elok ya, jangan meniru!"

Itulah ucapan saya setiap kali peperiksaan bermula. Saya mahu pelajar-pelajar saya tahu yang meniru itu tidak baik. Pernah saya mengancam dengan berkata, "siapa meniru berdosa. Orang berdosa masuk neraka!"

Tetapi mereka tidak endah.

Ah, budak-budak. Mereka selalu tidak mahu berfikir panjang.  Puas kita leteri mereka tentang keburukan meniru tetapi apa mereka kisah?

Saya dulu pun begitu juga.

Pada peperiksaan akhir tahun tingkatan empat, ada cerita yang masih saya simpan.

Saya, Elin dan Fidah sekelas untuk subjek Pendidikan Islam. Sebelum masuk ke kelas peperiksaan, kami bertiga berjanji untuk duduk berdekatan. Saya memilih meja paling belakang dan paling tepi, manakala Elin di belakang saya dan Fidah di sebelah kiri Elin.

Apabila peperiksaan bermula, kami menjawab dengan khusyuk. Elin berbisik dari belakang bertanya soalan, dan saya menulis jawapan di cebisan kertas. Saya pass pada Elin, dan Elin pass pada Fidah.

Awalnya semua berjalan lancar tanpa disedari sesiapa. Sehinggalah pada satu ketika, sewaktu saya sedang menghulur jawapan kepada Elin, ustaz terpandang gelagat kami.

Ya Allah! Saya ketakutan. Ustaz memandang bersahaja tetapi penuh makna. Saya tahu dia akan bertindak sebab itu saya takut sangat.

Ustaz keluar dari kelas seketika. Tidak lama, ustazah pula masuk dan menuju ke meja Elin. Dia memeriksa bekas pensil Elin dan menemui beberapa cebisan kertas bertulis jawapan.

Saya semakin seram.

Dia beralih ke meja Fidah. Perkara sama dilakukan dan benda sama juga ditemui. Nama mereka berdua diambil dan ustazah pun berlalu.

Alhamdulillah! Saya selamat!

Selesai peperiksaan, saya terfikir kenapa ustaz tidak bertindak sendiri? Ustaz nampak saya dan Elin bertukar jawapan tetapi ustazah menangkap Elin dan Fidah, dan saya selamat! Tentu ustaz memberitahu ustazah, dua orang pelajar di meja belakang sekali meniru. Ustaz maksudkan saya dan Elin tetapi ustazah anggap Elin dan Fidah.

Mujur Elin dan Fidah tidak marah-marah. Mereka mendapat markah kosong untuk kertas itu dan terpaksa mendudukinya semula pada awal semester seterusnya.

Betapa saya bersyukur kerana tidak ditangkap. Dapat saya bayangkan betapa nanti ayah membasuh saya bersih-bersih jika dia tahu saya meniru (memberi tiru sebenarnya).

Friday, May 09, 2014

Puasa

Tinggal beberapa minggu sahaja lagi, Ramadan akan hadir menyapa. Betapa indahnya melalui hari-hari di sisinya, tetapi saya masih belum boleh mencipta rindu itu dengan penuh kekhusyukan kerana hutang puasa masih belum jelas.

Hari ini, 9 Rajab. Ada 20 hari lagi sebelum Syaaban tiba. Ini bermakna hanya kurang lebih 7 minggu sahaja lagi waktu untuk saya menyelesaikan 6 hari hutang puasa yang masih tertunggak.

Saya akui, berpuasa pada bulan selain Ramadan cabarannya hebat. Suasana tiada, dugaan pula berganda-ganda. Saya pula terlalu lemah (iman) hingga berasa diri tidak kuat untuk menempuh cabaran sebegitu.

Saya berhutang 10 hari dan baru selesai 4 hari. Semoga saya mampu menghabiskan semuanya tanpa tertangguh ke tahun mendatang.

Amin.