Saturday, February 28, 2015

Biskut


Tuhan, biskutkah kami ini?

Sungguh hati saya tersentuh dengan cara dakwah yang menilai wanita seperti benda, seperti material yang dimiliki kaum lelaki. Rendah benar nilai diri kami di mata mereka.

Padahal, Allah tidak pernah membezakan nilai lelaki dan wanita kecuali takwa mereka (Sebagaimana firmannya dalam surah Al-Hujurat:13).

Benci benar saya jika suara-suara lelaki meletakkan wanita hanya sebagai barangan. Bukan tidak biasa di telinga saya mendengar mereka menyamakan wanita dengan kereta. Seolah-olah dunia ini hanya untuk lelaki dan wanita cuma menjadi barang dagangan mereka. Seolah-olah mereka itu tuan dan kami cuma hamba.

Gila!

Atas nama Islam, maka keluarlah kenyataan-kenyataan bodoh seperti di atas. Konon mahu mendidik wanita tentang aurat tetapi nilai wanita tidak pernah mahu dipandang tinggi.

Cukup-cukuplah. Jadilah lelaki yang membimbing, bukan menyindir. Jadilah lelaki yang menghormati wanita, bukan yang ego. 

Jika kami tidak menutup aurat, bimbinglah kami dengan ilmu bukan dengan sindiran yang menghina kami.

Sent from Samsung Mobile

Friday, February 27, 2015

Mengidam

Jumaat lepas, seperti hari-hari minggu yang selalu, saya ke pasar. Bukanlah pasar tani atau pasar minggu pun, sekadar gerai ikan dan sayur di tepi jalan berhampiran rumah saya. Walaupun cuma kedai tepi jalan, barang jualannya sangat banyak dan bolehlah saya umpamakan kedai Pak Mat itu sebagai one stop place untuk saya.

Ikan, sotong, udang, ayam, daging, sayur-sayuran, barang runcit juga kuih muih semua ada. Saya suka ke sini walaupun manusia agak ramai dan bersesak-sesak.

Saya terpandang ikan siakap dalam timbunan ikan yang banyak itu. Oh! Itu ikan kegemaran saya tetapi suami pula tidak menyukainya. Agak tidak amali untuk saya membeli jika hanya saya seorang yang makan. Jadi saya membeli ikan yang lain.

Di rumah, saya terbayang ikan siakap itu. Masak stim memang sedap tetapi berbaloikah untuk saya membeli, menyiang, menyediakan bahan dan memasak kemudian saya seorang yang makan? Lepas tu kena masak lauk lain pula untuk si dia. Oh tidak! Saya tidak serajin itu.

Pun rasa ingin menikmati siakap stim itu tidak mahu hilang dalam diri saya. Mengidam? Entah.

Beberapa hari selepas itu, saya mengajak suami makan di luar. Saya mahu ke kedai ikan bakar di Batu 4 dan memesan ikan siakap stim untuk saya seorang. Suami saya yang baik hati itu tidak membantah.

Usai Maghrib, kami bergerak ke sana. Hati saya girang bukan kepalang melihat ikan siakap yang segar-segar dalam kotak ikan di kedai itu. Semuanya besar-bedar tetapi demi keinginan saya, tidak saya hiraukan saiznya. Terus saya ambil seekor dan meminta dimasakkan stim limau.

Suami saya memang tidak menggemari pilihan saya. Dia memilih ikannya sendiri. Seekor ikan kembung sederhana besar dan dimasak bakar berempah.

Aduhai! Seekor ikan siakap yang beratnya lebih setengah kilo itu menjadi santapan saya seorang. Sedapnya!

Sent from Samsung Mobile

Thursday, February 26, 2015

Pening

Tiba-tiba saya rasa pening.

Sedang enak saya menghadap komputer riba menyiapkan program HC3 untuk para guru menggunakannya bagi kemasukan markah ujian, ada-ada sahaja gangguan yang datang.

Rakan guru tiba bertanya tentang msword.

Sahabat di sekolah lain menelefon bertanya tentang masalah HC3.

Pelajar pula berpusu-pusu datang meminta slip peperiksaan. 

Saya hilang tumpuan. Dan pening menerkam.

Dalam kelas, saya tidak mampu mengajar lama. Mujur murid-murid saya boleh berdikari. Mereka menjawab latihan dan saya duduk berehat sambil menjawab apabila timbul persoalan.

Begitulah. Faktor usia dan bebanan kerja sememangnya berkadar langsung. Semakin bertbah usia, semakin banyak pula bebanan. Entah terpikul atau tidak.

Jujurnya, saya cintakan tugas dan tanggungjawab saya ini. Belum sedia rasanya untuk bersara biar bebanan masih mahu menghampiri saya.

Sent from Samsung Mobile

Monday, February 23, 2015

Memberi

Ya Allah ya rabbi, aku sesungguhnya memohon keampunan di atas segala keterlanjuranku sama ada dalam perbuatan atau kata-kata.

Aku ini terlalu jahil dan amat jauh daripada kesempurnaan. Sedang Engkau telah mengurniaiku dengan sebegitu banyak anugerah yang tidak mampu aku hitung. Aku mahu bersyukur ya Allah. Aku mahu.

Tetapi bagaimanakah syukur yang terbaik buat aku?

Kata mereka, bersedekahlah. Kata mereka lagi, erti hidup pada memberi. Nanti Engkau akan ganjari dengan rezeki yang berganda-ganda.

Sesungguhnya ya Allah, aku tidak pernah ragu dengan janji-Mu. Engkau Tuhan yang tidak pernah memungkiri.

Aku yakin itu.

Rezeki Engkau maha luas ya Allah. Bukan hanya pada material, tetapi jua spiritual. Pada hati yang tenang, pada jiwa yang lapang, pada kesihatan yang baik, pada keluarga yang molek, pada sahabat yang memahami, pada pasangan yang menghargai.

Semua itu rezeki dari-Mu.

Lalu aku berjanji pada diri, untuk sentiasa memberi. Apabila aku memberi, kebahagiaan aku adalah pada saat aku memikirkan bagaimana pemberian aku itu menjadi satu manfaat. Ganjaran dari-Mu ya Allah biarlah menjadi rahsia. Biarlah ia terbuka apabila aku bertemu-Mu nanti. Aku takut nanti jika aku memberi dan mengharap balasan-Mu yang semerta, aku tidak tergolong dalam pemberi yang ikhlas.

Ya Allah, ampunilah aku yang sering lalai dan lupa ini.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, February 19, 2015

Raya Cina

Saya memiliki cuti selama empat hari bermula semalam.

Rabu. 18 Februari. 

Seawal pagi saya bangun memasak nasi berlaukkan ayam kampung goreng dan sayur pucuk paku. Usai sarapan, suami menghantar saya ke rumah emak sebelum dia bertolak ke Bandar Muadzam Shah. Jam baru ke angka lapan.

Saya sepatutnya turut sama menyertai rombongan pengantin lelaki itu yang juga cucu saudara suami saya tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Suami saya yang amat memahami memberi saya ruang untuk berehat di rumah emak. Terima kasih. 

Tiada yang lebih seronok apabila dapat berkumpul bersama-sama adik-adik dan anak-anak saudara yang sudah lama tidak ketemu. Ustaz Rifqi dan keluarganya tiba dari Johor seawal jam 11.00 pagi dan adinda Zahidah menyusul pada 6.30 petang. Husna dan Aziah juga sama-sama memeriahi hari ini menjadikan suasana riuh dengan suara-suara kecil anak-anak manis.

Khamis. 19 Februari. 

Sarapan pagi dengan nasi berlauk sememangnya menyelerakan. Apatah lagi beramai-ramai begini.

Emak dan adik-adik saya bersiap sedia untuk agenda hari ini. Mereka bakal menziarah ipar Husna yang baru bersalin anak ketiga dan seterusnya bergerak ke Kutan untuk majlis perkahwinan ipar Rifqi pula.

Saya tidak menyertai. Selepas ke rumah mek seketika, saya mohon dihantar pulang ke teratak cinta saya di Chenok. Di rumah, saya boleh melakukan pelbagai kerja yang tertangguh sejak berbulan-bulan.

Tiadalah saya kesunyian biarpun bersendirian. 


Sent from Samsung Mobile

Tok Su

Al Fatihah. 

Pulang sudah dia ke pangkuan Ilahi. Semoga rohnya aman tenteram dalam rahmat Allah jua.

Dia nenek tiri saya. Menjadi isteri ketiga arwah datuk sebelah ibu, yang dikahwini pada 1969 selepas kematian isteri keduanya pada 1968. Selepas arwah datuk meninggal dunia pada 1978, Tok Su kekal bersendirian membesarkan sepasang cahaya mata yang kala itu baru berusia lapan dan enam tahun.

Biarpun cuma memiliki dua anak kandung, Tok Su bertuah kerana anak-anak tirinya yang seramai tujuh orang tidak pernah meminggirkannya. Mereka menganggap Tok Su seumpama ibu kandung walaupun usia anak sulung arwah datuk lebih tua daripada Tok Su.

Saya sempat mengunjungi Tok Su dua hari sebelum kematiannya. Tok Su terlantar lemah dan badannya sangat kurus. Matanya sentiasa pejam walaupun kaki dan tangannya ada kala bergerak-gerak.

Saya hanya mampu memandang. Kosong. Dalam hati saya berdoa agar Allah memudahkan segala urusan. Tiada keajaiban yang saya harapkan, hanya rahmat dan kasih sayang Allah buat Tok Su yang saya kasihi.

Sejahteralah Tok Su. Kami di sini akan menyusuli Tok Su jua nanti.



Sent from Samsung Mobile

Thursday, February 12, 2015

Al Fatihah

KOTA BAHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Pulau Melaka jam 9.40 malam tadi.

Allahyarham sebelum itu dibawa pulang pada 8.40 malam dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan ditemani kaum keluarga.

Terdahulu, anaknya, Nik Mohamad Abdul memaklumkan di dalam Facebook tahap kesihatan bapanya menurun selepas menjalani rawatan ulser, semalam.

10 Januari 1931 - 12 Februari 2015.

Lapan puluh empat tahun Allah pinjamkan Ayahanda Tuan Guru kepada kami, dan kini Allah memanggilnya kembali.

Nyamanlah dikau di sana, ayahanda. Tenanglah. Damailah. Berehatlah.

Jasamu yang ditinggalkan tetap menjadi kenangan abadi. Akan hidup sentiasa di hati kami. 
 

Sent from Samsung Mobile

Kembali Cengeng

Hari ini saya sedikit emosi. Tiada sebab, tiada punca. Jiwa saya tiba-tiba mahu cengeng.

Menatap album gambar-gambar lama, bagai saya berada semula pada waktu itu. Entah mengapa ada rasa ingin menangis. Melihat wajah-wajah yang telah tiada, hati diusik rindu.

Aduhai! Lama sudah rupanya usia saya. Lebih empat puluh tahun saya menghuni dunia dan ia rupanya peluang yang cukup besar Allah berikan. Rahmat dan nikmat. Segalanya.

Wajah emak saya tatap. Dalam-dalam. Banyak kisah hidup yang emak simpan, pelbagai nada dan irama. Nyata emak seorang yang tabah. Terima kasih emak, sudi memahami tutur saya pada saat saya belum pandai berbahasa. Terima kasih emak, berkorban segala untuk saya. Memang cuma Allah yang mampu mengganjari. Saya tidak akan terbalas semua itu sampai bila-bila!

Menilik wajah ayah, air mata bagai tidak tertahankan. Lima belas tahun tanpa ayah rindu tidak pernah padam. Terima kasih ayah, menjadi yang terbaik untuk saya. Memberi makna pada kehidupan saya. Saya yakin ayah akan terus bahagia, dan kita akan kembali bersama di syurga-Nya.

Dan di sisi mereka, ada wajah abang dan adik-adik yang amat saya cintai. Mereka anugerah terindah dalam hidup saya. Doa saya buat mereka tidak pernah putus. Moga kasih sayang antara kita berlapan sentiasa abadi.

Tuhan, berilah kebahagiaan buat kami di dunia dan di akhirat. 

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Sunday, February 08, 2015

Sesak

"Duit ni, lambatnya nak dapat. Tapi bila dah dapat, cepat pulak habis!"

Keluh seorang pengawal keselamatan sekolah saya sewaktu saya duduk-duduk di pondok jaga itu, sambil menunggu suami saya tiba.

"Ya lah, hidup kita sekarang ni terlalu banyak keperluan." Jawab saya, mengiakan kata-katanya.

Saya memang selalu bersembang dengannya apabila menunggu suami saya datang menjemput saya di sekolah. Orangnya masih muda, dalam lingkungan tiga puluhan mungkin. Peramah dan boleh diajak berbual. 

Dia menyambung cerita.

"Semalam, saya tukar tayar kereta tu. Bukan tayar baru pun, second hand je. Habis seratus. Lepas tu buat alignment pulak. Habis seratus sepuluh. Dah dua ratus lebih. Bagi kat isteri lagi... ish!" Keluh beliau lagi sambil memandang ke arah kereta Proton Iswaranya yang saya kira sudah berusia hampir dua puluh tahun.

"Lepas ni, kena tunggu sebulan pula baru masuk duit. Itu pun, tiap hari saya bawa bekal makan. Tak beli... " 

Dia berlalu ke keretanya untuk mengambil bekal tengah harinya. Kebetulan suami saya tiba dan parking betul-betul di belakang keretanya. Saya berjalan menuju ke kereta suami saya.

Dia menyapa.

"Kalau kereta macam tu, tak apalah. Tak rosak!" Katanya sambil menunjuk ke arah kereta Toyota Camry saya dengan jarinya. Saya tersenyum dan menjawab, "Eh, taklah! Rosak jugak..."

Begitulah. Saat mendengar rintihan insan-insan yang kesempitan, hati saya dipagut juga rasa bersalah. Saya yang hidup cuma berdua ini, Allah beri rezeki yang lebih daripada cukup. Sedang dia yang perlu menanggung isteri dan anak-anak, hanya bergaji tidak sampai sesuku daripada gaji saya! Lalu, apa tindakan saya? Mendengar dan melihat sahajakah?

Saya kasihan pada mereka. Saya mahu sekali berkongsi tetapi caranya bagaimana? Setiap bulan saya berzakat, tetapi saya tidak tahu ke mana wang zakat saya dibawa hingga golongan sebegini masih terus merintih. Mereka bukan tidak berusaha tetapi tuntutan hidup kadang-kadang lebih daripada apa yang mereka jangka.

Saya berasa masih banyak lagi ruang untuk saya penuhi dengan bersedekah. Saya mahu sekali, tetapi caranya sering tidak tahu. Saya tidak tahu.....

Sent from Samsung Mobile

Saturday, February 07, 2015

Dalam ingatan

6 Februari 2010. Hari Sabtu. Jam 5.30 petang. Lima tahun lalu. Dia dipanggil pulang.

Hari ini, saya teringat padanya. Seorang wanita tabah berbudi pekerti mulia yang sentiasa memberi segala yang terbaik buat saya. Rupa-rupanya sudah lima tahun dia pulang ke sisi Tuhan. Sudah lima tahun saya kehilangan kemesraannya. Sudah lima tahun dia direhatkan dari segala kemelut dunia.

Bonda Asma'. Itu nama panggilan yang ditulisnya dalam setiap surat-surat yang dikirim pada saya sewaktu saya di asrama dulu. Surat-surat yang sentiasa berisi kata-kata semangat dan panduan. Selain arwah ayah, Bonda Asma' lah yang tidak pernah lupa mengutusi saya selama saya di asrama. Sehinggalah apabila dia berumah tangga.

Siapa tidak rindu pada wanita semulia itu? Saya cuma seorang anak saudara, tetapi dia menganggap saya lebih daripada itu.

Mungkin rindu ini akan terubat apabila kami bertemu di syurga nanti.

Sehingga itu, hanya kiriman doa tulus dariku buatmu.

Allah, ampuni Bonda Asma' dan damaikan dia di sisi Mu.


Sent from Samsung Mobile

Ubat


Empat minggu lalu saya menyambut kedatangan usia saya yang ke-43 tahun. Tiada apa-apa yang berbeza selain nombornya, dan kesihatan saya.

Semalam, saya ke klinik Ikhtiar untuk BP check-up. Saya sudah lama tahu BP saya semakin meninggi tetapi berkali-kali saya yakinkan diri yang saya boleh mengawal sendiri. Jaga makan dan bersenam.

Sungguh ia tak semudah itu. Kesudahannya, doktor memberi saya bekalan ubat darah tinggi untuk sebulan. 

Semoga saya cepat sembuh. Amin.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, February 01, 2015

Mencari Hartini

Saya baru di tingkatan satu waktu itu, waktu kali pertama novel ini saya khatam.

Novel Hartini, karya Aziz Afkar.

Latar masanya sekitar 1960-an dan latar tempatnya di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu. 

Dan saya membaca lagi untuk kali kedua pada tahun berikutnya. Dan kali ketiga sewaktu di matrikulasi.

Ia novel hebat. Bahasanya cantik, ceritanya menyayat rasa. Saya mencari novel itu untuk dijadikan simpanan peribadi tetapi hingga kini belum saya temui.

Hartini, seorang guru muda yang manis dan berjiwa murni, memberi seluruh cintanya pada seorang jejaka miskin bernama Amli tanpa Amli menyedari. 

Apa yang menyentuh sehingga saya menangis teresak-esak biarpun kali keberapa saya membacanya? Malah, pada kali pertama buku itu saya baca, tiba-tiba elektrik terputus di asrama. Saya tega meneruskan bacaan ditemani cahaya lilin dek tidak mampu menahan rasa yang sedang diamuk pilu itu,

Hartini mengenali Amli daripada novel tulisan Amli. Tidak pula dia menyangka, rumah Amli hanya beberap langkah dari tempat tinggalnya di Pasir Panjang itu. Apabila dia mengetahui si penulis novel yang bagus itu hidup miskin dan hanya menjual telur itik, dia rasa sangat kasihan dan ingin sekali membantu.

Hartini begitu lembut dan santun orangnya. Biar betapa dia amat mengasihi Amli, tetapi tidak sekali pun ucapan cinta itu diluahkan. Dia menunjukkan rasa cintanya dengan membantu Amli menjadi penulis terkenal dan keluar dari kepompong kemiskinan. Dia mahu Amli menjadi manusia yang berjasa dan punya kedudukan. Manalah dia tahu, apabila Amli terkenal begitu, ramai pula gadis yang mengejarnya.

Amli pula, sesungguhnya mencintai Hartini tetapi dia tidak berani meluahkan kerana merasa diri terlalu rendah dan hina. Dia hanya seorang anak kampung yang miskin, sedang Hartini seorang pelatih guru yang bijaksana. Biar betapa dalam cinta dan kasihnya kepada Hartini, tidak sekali pun dia meluahkan meskipun pada detik dia sudah kaya dan terkenal. Lalu apabila ada gadis yang mahu mendekatinya, dia menerima sahaja kerana sangkanya Hartini tidak akan sudi menerima cintanya.

Lalu berkahwinlah Amli dengan Azimah, yang juga rakan sepengajian Hartini.

Kecewa hati Hartini hanya Tuhan yang tahu, tetapi dia cuba menyembunyikan semampunya. Amli pula, tidak mampu hidup bahagia dengan Azimah kerana Azimah bukanlah perempuan yang baik.

Penghujung cerita, Amli dan Hartini membawa kisah kasih mereka hingga ke pusara. Hartini meninggal kerana penyakit misteri, dan Amli setelah bercerai dengan Azimah tidak mampu menahan rasa bersalahnya kerana mengecewakan Hartini. Setiap hari pusara Hartini dikunjunginya sehingga ke hujung hayatnya.

Saya rindu kisah itu untuk dihayati lagi. Tetapi pencarian saya masih enggan berakhir.

Sent from Samsung Mobile