Wednesday, September 30, 2015

Tukar

Setiap September, portal eg-Tukar akan dibuka dan para guru yang mahu mengubah rasa, bolehlah mengisi permohonan bertukar sekolah pada laman ini. 

Tahun ini menjadi tahun ketujuh saya menyumbang bakti di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Chengal ini. Sekolah yang gah, dikenali dan diyakini untuk terus mengorak kejayaan.

Jika difikirkan lokasi, ia memang sangat strategik. Jarak dari rumah saya ke sekolah ini cuma sepuluh minit perjalanan. Langsung tidak menyusahkan jika ada kecemasan. Memikirkan beban kerja pula, di mana-mana pun tetap sama. Selagi bergelar guru, beban tugas tidak akan pernah berkurang.

Lalu saya redha untuk terus berada di sini sampai ke hujung perkhidmatan saya. Jika mereka yang berkenaan tidak berhasrat menukarkan saya, maka In Shaa Allah, akan di sinilah saya sehingga bersara. Saya tidak terfikir untuk beralih arah kerana di sini cinta saya sudah bersemi.

Semalam, Pengetua mengumumkan lima belas orang guru sekolah ini sudah memohon pertukaran pada kali ini. Jumlah yang dikira teramai sejak sekolah ini dibuka. Mungkin ada pelbagai faktor yang mendesak guru-guru itu memohon pertukaran tetapi saya yakin, faktor beban di sekolah ini turut menjadi salah satu daripadanya.

Entahlah. Beban tetap beban. Selagi nyawa di badan.

Monday, September 28, 2015

Pengisian Cuti

Cuti sekolah yang tiba pada Jumaat 18 September baru-baru ini sudah pun berakhir pada Sabtu 26 September. Sembilan hari yang sangat padat saya lalui dengan penuh rasa tabah dan teruja.

Tabah kerana saya tahu banyak pengisian cuti yang memerlukan tenaga dan masa, tetapi teruja kerana saya bakal menerima adik ipar baru dan juga menghadiri majlis usrah keluarga.

Alhamdulillah, biar pun penat tetapi ia amat berbaloi. Kesemua lapan beradik saya dan keluarga masing-masing pulang berkumpul di rumah emak untuk cuti kali ini. Ia sungguh menyeronokkan.

Kenduri perkahwinan adinda Ismah yang berlangsung meriah pada 22 September sememangnya tiada cacat cela. Semua tetamu dapat menikmati hidangan dengan sempurna. Emak yang kelihatan penat pun tetap ceria dan gembira. Terima kasih ibu-ibu saudara dan sepupu-sepupu dari Golok yang tidak lokek tenaga membantu kami menyediakan segala juadah yang perlu, walaupun jamuan sudah di'cater' untuk 450 orang tetamu.

Hari raya Aidiladha tiba tanpa mungkir. Khamis 24 September saya bersama-sama suami dan ibu mentua bergerak ke masjid menunaikan solat sunat. Emak dan adik-adik saya pula menyambutnya di Golok bersama-sama keluarga di sana.

Usrah keluarga yang dirancang berlangsung di Bakong pada Jumaat 25 September. Emak dan kami berlapan disertai beberapa menantu dan cucu hadir menunjukkan sokongan demi mengerat hubungan kekeluargaan. Seronok sekali apabila dapat bertemu dengan sepupu-sepupu yang sudah lama menyepi. Moga silaturrahmi ini tidak berakhir di sini.

Dan Sabtu 26 September menjadi hari terakhir cuti sekolah yang penuh dengan jemputan kenduri. Lapan tempat kenduri mengalu-alukan kedatangan kami tetapi kami hanya sempat hadir di tiga tempat sahaja. Kami bermula di Meranti, kemudian menuju ke Labok dan berakhir di Dewan Beta. Jalan sesak memang sangat menguji kesabaran tetapi demi ukhuwah kami usahakan juga.

Ahad 27 September, saya kembali ke sekolah menyambung tugas perguruan yang sangat saya kasihi ini. Semoga pengisian cuti yang penuh warna warni bahagia ini, Allah terima sebagai pahala. Amin.
Berseri-seri adinda Ismah



Usrah Haji Walong




Thursday, September 24, 2015

Perkahwinan


Meniti jambatan ini, bagai meniti di atas seutas tali. Perlu sabar dan berhati-hati agar tidak jatuh, sakit dan luka, kerana syarat untuk sebuah bahagia bukanlah mudah. 

Menghuni rumah tangga ini, bagai mengisi ruang-ruang sepi. Perlu seiring dan sehati agar tiada telingkah yang menghampiri.

Ia bukan sukar, tetapi perlu sabar. Mencari mawaddah dan rahmah perlu diiring ikhlas dan redha. Tiada ego. Tiada benci. Hanya ikhlas dan redha. 

Tuhan, beri cahaya-Mu untuk rumah tangga ini.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Monday, September 21, 2015

Kelas Tambahan

Selalunya apabila cuti sekolah menjelang tiba, saya sebagai Setiausaha Kecemerlangan SPM akan bertanggungjawab menyediakan jadual kelas tambahan. Tetapi untuk cuti kali ini, saya melengah-lengahkannya. Saya mahu memohon agar kelas tambahan ditiadakan dek cuti ini bertindih dengan Aidil Adha. Saya mahu PKP memahami suasana hari raya yang sedang kami nantikan ini.

Pun, ia tidak berlaku begitu. Permohonan saya dipandang sepi dan pagi Selasa itu PKP secara rasminya meminta saya menyediakan juga jadual kelas tambahan selama tiga hari dalam cuti ini. Terpaksalah saya memaku diri di hadapan laptop untuk menyiapkan jadual itu segera. Memang memeningkan tetapi saya sudah biasa.

Jam 10.30 hari Selasa itu, jadual itu siap dan saya menghantarnya ke bilik cetak. Harapnya, saya sempat mengedar jadual itu hari ini juga kepada pelajar-pelajar dan guru-guru memandangkan esok, Rabu, cuti Hari Malaysia dan Khamis menjadi hari terakhir persekolahan yang memungkinkan pelbagai situasi.

Jam 10.40 saya menuju ke kelas untuk sesi pengajaran walaupun kepala masih terasa berat dek memaksa diri menyiapkan jadual dalam kadar yang segera itu tadi.

Selesai kelas, saya kembali ke bilik cetak. Sangka saya jadual itu sudah selesai diriso tetapi tidak. Saya bertanya si tukang cetak itu.

"Din, nanti buat yang ini ya?"

"Yang itu tak sempat! Khamis nanti baru saya buat."

"Haa? Ala Din, saya kena edar hari ini juga. Nanti PKP marah..."

"Itu saya tak tau. Banyak lagi ni nak buat. Hari ni saya belum sempat duduk pun!"

Dia seperti meradang. Saya tabahkan hati dan cuba berbicara selembut mungkin. Melihat ada mesin risograph yang boleh saya gunakan, saya bersuara,

"Saya buat sendirilah Din. Boleh?"

"Jangan! Nanti pengetua marah. Nanti dia kata saya suruh cikgu-cikgu cetak sendiri dan saya tak buat kerja pulak!"

"Tapi saya nak segera ni.. bolehlah Din. Kesian saya. Nanti PKP marah lambat edar jadual kat student."

Saya merayu lagi.

"Ok. Tapi kalau pengetua tanya kena pandai jawab. Jangan kata saya suruh pulak.."

Begitulah. Saya pun memulakan proses mencetak itu sendiri dan selesai dalam masa tidak sampai sepuluh minit pun.

Alhamdulillah, saya selesai mengagihkan jadual itu sebelum kelas berakhir pada jam 2 petang.


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, September 16, 2015

Rindu

Hati ini disentuh rindu lagi.

Melihat Azrie dan ibu bapanya sibuk ke sana ke mari menyelesaikan pelbagai urusan kemasukannya ke universiti, hati saya disentuh rindu lagi.

Ya, ada rindu yang mengusik rasa.

Jun 1992. Saya sedang mencuci kain di bilik air. Rasanya, sudah hampir tengah hari. Ayah pulang membawa sepucuk surat yang sudah pun dibuka sampulnya. Surat tawaran ke universiti.

"Sukacita dimaklumkan, anda ditawarkan ke Fakulti Sains Matematik dan Komputer, UKM."

Saya tersenyum keriangan. Itulah Fakulti idaman saya! Walaupun kursus belum diberitahu, saya tidak kisah. Mungkin Matematik, mungkin Statistik, mungkin Sains Komputer atau mungkin juga Sains Aktuari - empat kursus yang dinaungi Fakulti itu.

Ayah dan emak juga gembira, seperti saya.

Persediaan tidaklah sebanyak mana. Hanya medical check up dan membeli serba sedikit barang keperluan. Wang yuran juga ayah tidak perlu risau kerana saya sudah ditaja MARA. 

Tiba harinya, kami ke UKM sekeluarga. Itulah kali pertama saya dihantar oleh seluruh ahli keluarga yang ada kerana pada tiga kali sebelum ini - ke MRSM, ke matrikulasi Kulim dan ke matrikulasi Kuala Pilah - saya hanya berdua dengan ayah. Dan sudah tentu rasanya berbeza sekali.

Kami bermalam di rumah Pak Su Soh di Bandar Baru Bangi.

UKM. Saya akui saya bangga menjejak kaki ke sini. Inilah universiti pilihan pertama saya. Biar apa pun rankingnya, UKM tetap nombor satu di hati saya.

Saya rindu kehijauan perbukitannya. Saya rindu perpustakaannya, Tun Seri Lanang. Saya rindu Fakulti saya. Saya rindu Pusanika. Saya rindu Pusat Komputer KUO. Dan lebih-lebih rindu lagi pada Kamsis Ungku Omar yang saya huni empat tahun lamanya.

Biar pun tiada kisah cinta yang saya sulam di sini, tetapi nilai persahabatan dan keakraban sangat tidak mampu saya ungkap. Saya rindu teman sebilik saya pada tahun pertama, Afizan pelajar Ekonomi yang rajin dan baik hati. Kini dia menjawat tugas besar di LHDN. Teman sebilik saya pada tahun tiga, Noor Azhariah yang mesra saya sapa sebagai Az, seorang pelajar Perakaunan yang sungguh cemerlang. Orangnya manis dan sangat rajin belajar, bukan seperti saya yang rajin tidur! Dan teman sebilik saya pada tahun akhir, Siti Aishah dari Pasir Puteh juga sangat saya rindui. Senyum dan tawanya begitu mesra menyinggahi gegendang telinga saya. Keceriaannya sentiasa mendamaikan jiwa saya.

Saya juga rindu teman-teman karib saya Rofizah, Rosmayati, Norazilawati, Zaiton, dan arwah Ratnawati.

Malah, saya juga rindu kelazatan menu di kafeteria kamsis saya. Di sini saya mengenali sayur bayam hijau yang enak, bergedil yang sedap, juga tempe yang digoreng rangup. Semuanya sesuai dengan selera saya walaupun tidak pernah menjamahnya sebelum ini.

Dr. Abu Osman, dekan yang tegas dan disegani juga sangat saya kenangi. Dr. Ghafur yang menjadi penyelia projek tahun akhir saya juga masih saya ingati. Pn. Hafsah yang memperkenalkan Analisis Berangka, Pn. Muriati yang mengajar Pemodelan Matematik, Dr. Salmi yang mendidik saya tentang Kalkulus, Dr Zul Kefli Md Desa yang menunjuk ajar tentang Mantik, Datin Izzah, En. Khairudin, En. Kamaruzaman dan semua yang tidak mampu saya tulis di sini, saya sesungguhnya rindu pada mereka.

Rindu juga saya untuk terkejar-kejar ke sana ke mari apabila jadual kelas sangat padat. Bermula jam lapan pagi dan selesai apabila azan Maghrib berkumandang. Rindu juga untuk dileteri apabila tutorial lambat dihantar, dan kertas projek yang tidak mencapai piawai.

Begitulah. Rindu sungguh rasanya pada waktu-waktu yang telah tiada itu.

Rindu. Serindu-rindunya.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, September 13, 2015

Musibah

Pagi Sabtu. Usai solat Subuh, seperti biasa saya kembali berbaring di katil sambil menggelintar laman-laman kegemaran saya di Samsung Galaxy Note 2 yang masih setia menemani saya sejak lebih dua tahun lalu. Hati tersentak apabila memandang berita bergambar di Facebook tentang kren runtuh dan menimpa bangunan Masjidil Haram yang seterusnya menghempap jemaah yang berada di dalam masjid itu.

Sekarang ini musim haji. Jutaan jemaah dari seluruh dunia berkumpul di Makkah untuk menunaikan rukun Islam kelima ini. Apabila perkara sebegini berlaku, ia menjadi berita yang mengemparkan seluruh dunia. Apa lagi ia melibatkan beratus-ratus nyawa yang terkorban dan cedera. 

Sebagai manusia biasa, saya hanya mampu berdoa agar segala urusan dipermudahkan Allah. Tiada yang menjangka perkara begini akan berlaku pun sebagai Muslim, redhalah dengan takdir-Nya. Semua yang terjadi pasti diiring hikmah tersendiri.


Thursday, September 10, 2015

DCT 1881

Petang Selasa, 8hb September 2015, Toyota Hilux yang dinanti-nanti akhirnya tiba jua di perkarangan rumah kami. 


Merasmikan penggunaannya, malam itu kami membawanya ke Restoran Manok. Gambar diambil dari jauh, dan tidak begitu jelas.

Sehingga hari ini masih saya tidak sempat menangkap gambar Toyota Hilux saya ini dengan baik. Tiada ruang sebab masih sibuk ke sana ke mari.

Sunday, September 06, 2015

Abad 21

Jam menghampiri 9.40 pagi. Saya bersiap-siap untuk ke dewan kerana waktu untuk saya mengawas peperiksaan sudah tiba. Tiba-tiba telefon berdering. Gambar Pn. Hjh. Wan Shuraya, PKP yang saya hormati tertera di skrin telefon saya. Pantas saya menjawab.

"Ti, lepas ni Ti ada kelas dengan 4 IBK kan?" Suaranya jelas di hujung talian.

"Ya, pukul 10.20 nanti."

"Ti bawa budak-budak ke kelas Abad 21 ya.."

"Err.. boleh, tapi kenapa ya Kak Su?"

"Ada Prof dari POKB datang ni. Dia nak tengok pengajaran abad 21. Ti boleh kan?"

Subhanallah! Saya rasa mahu pengsan! Tanpa persediaan, apa yang boleh saya lakukan?

"Kak Su, saya minta maaf... saya tak ready. Macam mana saya nak buat?"

"Tak ready tak apalah.."

Aduh!

Kadang-kadang, menjadi guru zaman kini tidak semudah yang saya harapkan. Semua benda sudah diletakkan piawaian maka kita sudah tidak mampu lagi menggunakan ilmu yang kita pelajari sewaktu di universiti dahulu. Jika mengajar, perlu mengikut piawaian abad 21 yang saya sendiri pun tidak tahu bagaimana. Yang saya tahu, kelas abad 21 yang disiapkan di aras 2 bangunan sekolah ini memiliki kemudahan internet, ada TV, ada coffee corner dan susun atur meja yang berbeza. Itu sahaja.

Saya berkhayal lagi.

Bagaimana boleh saya memperkenalkan konsep pembezaan prinsip pertama dengan kaedah abad 21 ini? Bolehkah saya melayari internet mencarinya di youtube dan meminta murid mendengar dan memberi respon? Begitukah?

Pada hal, sejak tujuh belas tahun yang lalu saya menggunakan papan hitam dan kapur (kini papan putih dan marker) untuk menerangkan prinsip pertama tanpa gagal. Murid saya tahu bagaimana menjelmakan dy/dx menggunakan kaedah prinsip pertama itu apabila saya menerangkan dan mereka mencuba. Apa perlu lagi abad 21?

Susah juga saya mahu faham.


Mekah

"Kenapa ya, saya tiada rasa teruja pun untuk ke sana..."

Ungkap seorang rakan guru yang seusia saya kepada saya beberapa hari lepas, saat kami beramai-ramai berbual tentang menunaikan haji ke Mekah. Dia bertanya perasaan saya sebelum dipanggil menunaikan haji dahulu. Kata saya, sejak mendaftar pada tahun 2004, setiap tahun saya menanti surat dari Tabung Haji dan setiap tahun saya tidak sabar-sabar untuk ke sana.

"Entahlah. Mungkin kerana saya memikirkan anak-anak saya yang masih kecil, saya tak sanggup tinggalkan mereka." Tambahnya lagi.

Saya kata, adik saya menunaikan haji dan meninggalkan anaknya yang baru berusia tiga tahun tanpa ada apa-apa masalah. Arwah ibu saudara saya juga sama. Sewaktu dia ke Mekah pada 2004 dulu, anak bongsunya baru dua tahun. Malah rakan guru di sekolah ini juga, ustazah Siti Meriam menunaikan haji pada masa anak kecilnya berusia dua tahun juga. Jika ada keinginan, keazaman dan kesungguhan, In Shaa Allah akan dipermudahkan segala urusan oleh-Nya. Kata saya padanya.

"Hmm, harapnya Allah memanggil saya sebelum saya terlalu tua." Dia menyambung dan mematikan bicaranya di situ.

Saya tahu dia bukan tidak mengerti kewajiban yang satu ini. Suaminya malah  seorang ustaz. Tetapi mungkin belum wujud rasa kesungguhan dalam dirinya untuk ke sana kerana memikirkan banyak perkara. Tidak. Saya bukan menyalahkannya. Dia sudah pun mendaftar haji pada 2008 lalu. Mungkin setahun dua lagi dia akan terpilih. Saya doakan begitu.

Pernah seorang rakan di Kuala Krai dahulu menyatakan yang dia tidak akan ke Mekah pada usia muda. Dia belum puas bergaya dengan baju kebaya dan fesyen-fesyen terkini jadi jika dia bergelar Hajjah, dia tidak lagi sesuai bergaya begitu. Katanyalah.

Ada pelbagai pandangan yang menyebabkan seseorang itu tiada keterujaan untuk ke sana. Pada hal, haji itu wajib bagi yang mampu dan saya tahu, semua rakan-rakan saya sangat mampu. Mungkin persepsi kehidupan yang berbeza memberi ruang fikir yang berbeza pada mereka. Sedang saya dahulu, sentiasa mahu dijemput segera ke sana kerana saya sering berasa usia saya sudah di penghujung. Saya takut saya mati sebelum sempat ke sana. Saya jadi takut untuk berbelanja yang bukan-bukan selagi yang wajib belum saya sempurnakan. Alhamdulillah Allah memberi saya ruang seawal usia 38 tahun 9 bulan 9 hari untuk menjejak kaki ke bumi Mekah itu.

Saya doakan agar sahabat dan sanak saudara saya juga akan memiliki rasa keterujaan untuk ke sana.

Amin.

Friday, September 04, 2015

Anak Lelaki

Ada rasa kagum saya terhadap suami saya ini. Biarlah, kali ini saya mahu memujinya. Memuji suami sendiri.

Suami saya bukanlah lulusan agama, malah sehingga kini pun masih mengikuti kelas mengaji Quran seminggu sekali. Dia bukan lelaki warak jauh sekali alim.

Pun, apabila menyentuh hal berkaitan ibunya, sungguh dia amat prihatin. Patutlah Allah mentakdirkan dia sebagai anak lelaki tunggal dan diletak pula bekerja dan berumahtangga berdekatan dengan ibunya. Bukankah selayaknya anak lelaki yang menjaga ibunya?

Sememangnya saya sungguh kagum. Saya tahu dia meletakkan ibunya pada nombor satu dan saya ini selepas ibunya. Pun saya tidak kisah kerana saya tahu sepatutnya begitu. 

Jika ibunya mahu ke mana-mana, tentu sekali dialah yang pertama menawar diri untuk membawa kecuali jika dia bekerja. Itu pun akan tetap diusahakan agar ada ruang untuk dia memenuhi hasrat ibunya.

Seminggu ini pula, keluarga kakaknya diuji dengan wabak denggi. Empat sekeluarga terlantar di katil hospital dan saya nampak suami saya sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu. Katanya kepada saya, anak-anak kakaknya itu umpama anak-anak kita. Apatah lagi mereka yatim.

Saya bersyukur menjadi isterinya. Saya tahu, ibunya lebih-lebih bersyukur memiliki anak sepertinya.

Semoga Allah menerima setiap apa yang suami saya lakukan sebagai pahala dan mengganjari suami saya dengan syurga-Nya.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, September 03, 2015

Bebas

Semalam, artikel ini menggamit rasa saya. Memang ada pelbagai cara, pelbagai tafsiran dan pelbagai pandangan tentang bagaimana seorang isteri menjaga kebebasan kewangannya, dan itu terpulang kepada persepsi masing-masing, keselesaan masing-masing.

Pun, saya punya cara saya sendiri. Secara peribadi, saya tidak menyetujui gaya Puan Mona Din ini. Mengapa mesti wang kita diurus oleh suami? Sehingga begitu rela memberi kad ATM untuk suami pegang dan jaga. Bukan kerana tidak mempercayai suami sendiri, tetapi di mana kebebasan kita mengguna wang kita sendiri?

Saya pernah menulis tentang bagaimana saya mengurus kewangan keluarga. Dalam hal ini, saya boleh menganggap diri saya sebagai pengurus kewangan tetapi saya tidak pula memegang kad ATM suami atau sebaliknya. Dia bebas membelanja wangnya, dan saya bebas membelanja wang saya. Bebas dalam erti kata berhemah. Kami berbincang dalam banyak perkara sebelum membuat keputusan seperti pembelian kereta, gajet, barang kemas atau apa sahaja tetapi kami tidak pernah menyekat kebebasan masing-masing.

Walaupun begitu, suami memberi saya kepercayaan yang tinggi apabila perbankan internetnya di bawah seliaan saya. Saya bebas keluar masuk ke akaun banknya untuk segala transaksi seperti pembayaran bil, pembayaran ansuran kereta dan pemindahan wang. Dia tidak pula pernah bertanya atau tertanya-tanya tentang status kewangannya kerana dia yakin terhadap saya dan percayalah, keyakinannya itu tidak akan saya khianati biar apa pun terjadi.

Mungkin kita punya cara yang berbeza, tetapi saya tidak dapat membayangkan kedudukan saya seperti Puan Mona Din yang perlu meminta wang daripada suami dan tidak pernah mahu tahu jumlah wang dalam akaun sendiri. Saya bukan jenis begitu, kerana saya mahu segala tentang saya jelas dalam pengetahuan saya. Jika nanti ada kecemasan, saya tidak akan terpinga-pinga.

Tuesday, September 01, 2015

Di Sini

Kata orang, sudah lali. Begitulah aku.

Di kiri kanan aku adalah pesakit yang sedang menanti untuk dirawat. Ada yang sama penyakit denganku, ada yang lebih berat dan ada juga yang baru kali pertama bertandang.

Kami sama-sama menanti dalam harap.

Agar tiada berita buruk yang bakal kami terima. Agar segala kesakitan ini cuma sementara. Agar ada nanti kesudahan yang penuh bahagia.

Itulah harapan. Itulah doa.

Kami tidak mahu berputus asa.


Sent from Samsung Mobile