Wednesday, September 16, 2015

Rindu

Hati ini disentuh rindu lagi.

Melihat Azrie dan ibu bapanya sibuk ke sana ke mari menyelesaikan pelbagai urusan kemasukannya ke universiti, hati saya disentuh rindu lagi.

Ya, ada rindu yang mengusik rasa.

Jun 1992. Saya sedang mencuci kain di bilik air. Rasanya, sudah hampir tengah hari. Ayah pulang membawa sepucuk surat yang sudah pun dibuka sampulnya. Surat tawaran ke universiti.

"Sukacita dimaklumkan, anda ditawarkan ke Fakulti Sains Matematik dan Komputer, UKM."

Saya tersenyum keriangan. Itulah Fakulti idaman saya! Walaupun kursus belum diberitahu, saya tidak kisah. Mungkin Matematik, mungkin Statistik, mungkin Sains Komputer atau mungkin juga Sains Aktuari - empat kursus yang dinaungi Fakulti itu.

Ayah dan emak juga gembira, seperti saya.

Persediaan tidaklah sebanyak mana. Hanya medical check up dan membeli serba sedikit barang keperluan. Wang yuran juga ayah tidak perlu risau kerana saya sudah ditaja MARA. 

Tiba harinya, kami ke UKM sekeluarga. Itulah kali pertama saya dihantar oleh seluruh ahli keluarga yang ada kerana pada tiga kali sebelum ini - ke MRSM, ke matrikulasi Kulim dan ke matrikulasi Kuala Pilah - saya hanya berdua dengan ayah. Dan sudah tentu rasanya berbeza sekali.

Kami bermalam di rumah Pak Su Soh di Bandar Baru Bangi.

UKM. Saya akui saya bangga menjejak kaki ke sini. Inilah universiti pilihan pertama saya. Biar apa pun rankingnya, UKM tetap nombor satu di hati saya.

Saya rindu kehijauan perbukitannya. Saya rindu perpustakaannya, Tun Seri Lanang. Saya rindu Fakulti saya. Saya rindu Pusanika. Saya rindu Pusat Komputer KUO. Dan lebih-lebih rindu lagi pada Kamsis Ungku Omar yang saya huni empat tahun lamanya.

Biar pun tiada kisah cinta yang saya sulam di sini, tetapi nilai persahabatan dan keakraban sangat tidak mampu saya ungkap. Saya rindu teman sebilik saya pada tahun pertama, Afizan pelajar Ekonomi yang rajin dan baik hati. Kini dia menjawat tugas besar di LHDN. Teman sebilik saya pada tahun tiga, Noor Azhariah yang mesra saya sapa sebagai Az, seorang pelajar Perakaunan yang sungguh cemerlang. Orangnya manis dan sangat rajin belajar, bukan seperti saya yang rajin tidur! Dan teman sebilik saya pada tahun akhir, Siti Aishah dari Pasir Puteh juga sangat saya rindui. Senyum dan tawanya begitu mesra menyinggahi gegendang telinga saya. Keceriaannya sentiasa mendamaikan jiwa saya.

Saya juga rindu teman-teman karib saya Rofizah, Rosmayati, Norazilawati, Zaiton, dan arwah Ratnawati.

Malah, saya juga rindu kelazatan menu di kafeteria kamsis saya. Di sini saya mengenali sayur bayam hijau yang enak, bergedil yang sedap, juga tempe yang digoreng rangup. Semuanya sesuai dengan selera saya walaupun tidak pernah menjamahnya sebelum ini.

Dr. Abu Osman, dekan yang tegas dan disegani juga sangat saya kenangi. Dr. Ghafur yang menjadi penyelia projek tahun akhir saya juga masih saya ingati. Pn. Hafsah yang memperkenalkan Analisis Berangka, Pn. Muriati yang mengajar Pemodelan Matematik, Dr. Salmi yang mendidik saya tentang Kalkulus, Dr Zul Kefli Md Desa yang menunjuk ajar tentang Mantik, Datin Izzah, En. Khairudin, En. Kamaruzaman dan semua yang tidak mampu saya tulis di sini, saya sesungguhnya rindu pada mereka.

Rindu juga saya untuk terkejar-kejar ke sana ke mari apabila jadual kelas sangat padat. Bermula jam lapan pagi dan selesai apabila azan Maghrib berkumandang. Rindu juga untuk dileteri apabila tutorial lambat dihantar, dan kertas projek yang tidak mencapai piawai.

Begitulah. Rindu sungguh rasanya pada waktu-waktu yang telah tiada itu.

Rindu. Serindu-rindunya.

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment