Thursday, October 29, 2015

5 Ibnu Haitam

Istimewa mereka ini.

Kelas ini aliran kemanusiaan dan berada pada kedudukan kelima daripada semua tujuh kelas yang ada. Pelajarnya cuma sembilan belas orang - tiga belas lelaki dan enam perempuan.

Hari ini hari terakhir saya memasuki kelas mereka. Mereka bilang tidak mahu belajar. Mereka mahu bergambar. Saya melayan sahaja.

Seronok.

Walaupun bukan semua mereka mampu fokus pada mata pelajaran Matematik yang saya ajar, tetapi mereka mesra sekali. Ada-ada sahaja jenaka yang mampu menggeletek hati saya. Ada juga masa-masanya saya rasa mahu marah apabila ada yang tidak siapkan kerja, tetapi mereka tidak pula berlaku biadap. Lagi pun, saya cuma marah-marah sayang.

Sembilan belas mereka ada dalam memori saya. Ilmillah, Nik Nuruddin, Syauqi, Rahimatul Azme, Alwi Haikal, Daniel, Abdullah Muiz, Nasri Hafiz, Safwan, Amirul Ashraff, Amirul Syafiq, Luqman dan Irfan. Aziyyati, Zawanah, Khairina, Nabihah, Alisa dan Salwati melengkapkan bilangan. Cukup sembilan belas.

Isnin ini, mereka mula beradu di medan SPM. Kertas Matematik lambat lagi, 16hb November tarikhnya. Saya sudah menjadualkan untuk menemani mereka belajar Matematik sebanyak 3 slot. Semoga mereka berjaya.


Sent from Samsung Mobile

Prestasi

Geger sekejap rakan-rakan guru sekolah saya ini apabila markah prestasi sudah mula dapat disemak melalui laman Hrmis. Masing-masing mula beremosi. Yang dapat markah tinggi gembira bukan main. Yang markah sedang-sedang pula tertanya-tanya markah orang lain dan mula mahu membanding. 

"Kenapa dia dapat markah lebih tinggi? Bukankah aku lebih banyak tugas daripada dia?"

Dan yang dapat markah rendah, menangis tanpa segan silu. Sedih apabila mereka tidak dihargai.

Kawan-kawanku sekalian, terimalah segalanya dengan hati terbuka. Ini hanya penilaian manusia yang tidak dapat tidak, amat dipengaruhi pelbagai sentimen. Jika mahu dikira berpuas hati, siapa pun tidak akan pernah. Markah saya juga jauh daripada sempurna dan ramai rakan lain yang mengatasi. Pun saya terima. Sekurang-kurangnya saya tahu letak duduk saya di mata mereka.

Walaupun mereka manusia, mereka tetap ada kriteria yang digunapakai dalam memberi markah ini. Maka muhasabahlah. Tentu ada ruang-ruang yang selama ini kita abaikan, yang selama ini kita anggap sepi tetapi ada nilai tersendiri.

Apa yang lebih penting, nilai kita di sisi Tuhan. Sama-samalah kita mencari redha-Nya dan berjalanlah dalam laluan menuju syurga.

Abadi.

Sent from Samsung Mobile

Friday, October 23, 2015

Mencari Ikhlas

Cukuplah mempertikai dan membanding-banding.

Setiap kerjaya ada sumbangan dan kepentingan masing2 waima seorang pencuci tandas atau penggembala kambing sekali pun. Mengapa mahu membanding dan mencari siapa terhebat, kerjaya apa yang paling gah dan tugas apa yang paling tinggi tahap pendidikannya?

Saya guru. Tetapi saya perlukan doktor, polis, kerani, jururawat, pengawal keselamatan, ahli farmasi, pegawai imigresen, pekerja restoran dan semuanya. Mana mungkin saya mampu hidup jika Allah mentakdirkan tiada mereka di sekitar saya. Saya pasti tidak mampu.

Sama juga mereka semua. Apa pun jawatan, mereka tetap perlukan guru. Tidak mungkin mereka mampu mengajar sendiri anak mereka. Tidak sesekali.

Apa pun jawatan, bukan tahap pendidikan jadi ukuran tetapi keikhlasan dan keberkatan. Carilah yang itu.

Jadi, perlukah lagi membanding-banding?


Sent from Samsung Mobile

Thursday, October 22, 2015

Didik

Terluka benar rasanya. Begitu rendah guru di mata manusia ini.

Encik, saya rasa keputusan SPM saya lebih baik daripada Encik. Dengan 6A dan agregat 9 aliran sains pada tahun 1989 saya layak untuk ke mana-mana universiti dalam atau luar negara yang saya mahu. Kata orang, saya boleh isi borang UPU itu sambil pejam mata sahaja. Semua universiti akan sudi menerima saya.

Tetapi hati saya menyukai UKM. Jiwa saya pula meminati matematik. Sifat saya pula penuh keibuan dan kelembutan. Mana mungkin saya memilih doktor walaupun saya layak? Mana logiknya saya memilih engineer walaupun saya mampu? Apatah lagi hanya farmasis seperti Encik yang sangat saya layak tetapi tidak pernah saya minati.

Jiwa saya jiwa guru. Dan doa saya untuk menjadi guru diperkenan Tuhan. Encik tidak perlu mengada-ngadakan cerita tentang tahap pendidikan kami.

Saya sangat terluka. Sangat.

Semoga Allah mengampuni Encik dan menemukan jodoh yang baik buat Encik Fer Naz. Jika boleh, biarlah dia seorang guru.

Sent from Samsung Mobile

Tuesday, October 20, 2015

Cameron, Aku Datang!

15 - 17 Oktober 2015

Di persekitaran ini, ada nyaman yang membelai. Dalam titis-titis hujan yang menyambut kedatangan kami, ada ketenangan yang mendamaikan. Damai. Indah.

Bumi Cameron ini telah menerima jejak-jejak saya entah untuk kali ke berapa. Pun, saya akui saya masih enggan jemu. Di sini tiada shopping Mall, tiada taman tema, tiada semua itu. Yang ada cuma kebun teh, pasar malam dan kedai-kedai biasa yang tidak memberi ruang rasa untuk membeli-belah. Namun kenyamanannya memang luar biasa. Saya sangat tenang dan selesa.

Memilih hotel Cool Point seperti selalu, memberi ruang mengimbas kenangan yang berlalu. Pertama kali menjejak ke sini tujuh belas tahun lalu, inilah hotel kami inap. Sejuk. Selesa.

Dua hari dua malam saya membiarkan diri dimanja, saya lupa sebentar segala tugas dan beban yang begitu banyak terberkas di sekolah. Saya enggan menyapa segalanya. Biarkan seketika saya melayan diri sendiri di sini. Melihat indahnya alam. Menyingkap damai dan tenang yang seringkali saya lupai.

Alhamdulillah. Syukur Tuhan memberi ruang ini. Biarpun hari ini saya kembali membebani diri dengan galasan tugas di sekolah ini, sekurang-kurangnya ketenangan yang saya timba selama dua hari itu menyingkir sedikit sebanyak gundah yang ada.

Saturday, October 10, 2015

Hari Sukan Negara

Nampaknya, itulah yang berlaku hari ini. Seluruh Malaysia menjayakan Hari Sukan Negara tidak terkecuali SMK Kampong Chengal ini.

Semua guru dan pelajar diarahkan memakai baju sukan.

Baju sukan?

Itulah kelemahan saya sejak lama. Mana trek? Mana kasut? Saya sudah lupa di mana semua itu berada. Saya rasa mahu bercuti sakit sahaja jika arahan berbaju sukan dikeluarkan! Saya nampak diri saya hodoh benar dalam pakaian sukan - t'shirt dan trek. Pun, kali ini saya tidak berani melanggar arahan. Ini sambutan senegara.

Sebaik pulang dari majlis tahlil di rumah mek dan menziarah emak saudara yang meninggal malam tadi, saya sudah keletihan. Pakaian untuk esok belum disediakan. Suami saya mudah, t-shirt dan treknya memang tersedia dari awal dalam almari pakaiannya itu. Saya?

Menyelongkarlah saya di sana sini tetapi tidak ketemu. Dicampur dengan kantuk dan letih, saya mengalah. Saya menghempas badan ke katil sebaik usai solat Isya'. Suami yang memerhati kekalutan saya sejak tadi bertanya, "dah jumpa ke apa yang dicari-cari tadi?"

"Belum. Saya malas nak fikir. Tengok esoklah, apa yang ada, itu yang saya pakai. Saya mengantuk, nak tidur dah..."

Pagi menjelma dengan rasa yang tidak selesa. Perut saya tiba-tiba kembung dan lena saya tidak panjang. Sejak 3.30 pagi saya menggosok perut dengan minyak angin. Pun saya gagahi juga untuk bingkas menunaikan Fardhu Subuh dan bersedia ke sekolah. Saya capai sahaja t-shirt muslimah saiz XXXL saya dan seluar basahan yang bukan trek pun. Tudung hitam yang sudah lusuh, dan selipar Bata Comfit melengkapkan pakaian sukan saya hari ini.

Selamat menyambut Hari Sukan Negara. Saya hanya seorang penonton....

Monday, October 05, 2015

Kenapa?

Mengambil kesempatan memang mudah, malah mungkin menyeronokkan tetapi sungguh saya sangat tidak menggemarinya.

Kenapa ya, orang lain yang ada di sekitar saya tidak mahu berfikir seperti saya?

Saya seboleh mungkin mahu meminimumkan bab menyusahkan orang lain. Malah, jika boleh mahu melakukan segalanya sendiri.

Kerana itu di meja kerja saya ada segala kelengkapan dari sebesar-besar perkara seperti komputer dan pencetak, hinggalah pada sekecil benda seperti gam, pengetip dan jarum! Saya mahu bekerja dalam suasana selesa.

Saya tidak suka kerja saya tertangguh hanya kerana tidak cukup alat. Saya juga tidak suka menunggu untuk mengguna komputer dan pencetak sekolah. Senang, saya beli semuanya sendiri.

Pun begitulah manusia. Sewenang-wenang datang ke tempat saya dan menggunakan harta benda saya umpama barang awam. Saya bukan kedekut tetapi hairan. Kenapa fikiran mereka tidak sama seperti saya?

Lebih pelik, apabila ada guru yang punya tempat duduk atau meja kerja lebih daripada satu. Tempat utama mereka di bilik guru, tapi mahu bekerja di bilik peperiksaan. Jadilah mereka ketiadaan apa-apa. Meminjamlah mereka barang saya dan saya tidak kisah. Masalahnya, ia berlaku berkali-kali malah setiap hari!

Sedang saya, tempat kerja saya hanya satu. Dan semua benda berpusat di situ. Tidak pernah pula saya mencari tempat lain untuk melangsaikan tanggungjawab yang ada. Semuanya di tempat sendiri dan alatan sendiri.

Hairan jika mahu ke kelas pun mereka menyelongkar rak buku saya untuk mencari buku dan bahan. Itu belum lagi dikira mengguna komputer saya setiap kali saya tiada di meja. Apa rasionalnya pun saya tidak tahu kerana komputer sekolah dan pencetak ada bersebelahan bilik saya sahaja. Malas menunggu giliran, mungkin.

Seronokkah bekerja begitu?


Sent from Samsung Mobile

Sunday, October 04, 2015

Prinsip Pertama

1989.

Cikgu Zawawi Ahmad memulakan pengajaran tajuk Pembezaan pada suatu pagi yang hening, sewaktu saya di Tingkatan Lima MRSM Kuala Terengganu. Wajah manis cikgu Zawawi yang tidak pernah lupa untuk senyum walau tika senang atau tika marah masih mampu saya bayangkan dengan jelas. Jika tidak mengetahui bidangnya, tentu ramai meneka cikgu Zawawi ialah seorang ustaz dek raut wajah tenang dan bersahaja miliknya.

Bagaimana cikgu Zawawi memulakan pengajaran tentang konsep kecerunan yang seterusnya membawa kepada Pembezaan Prinsip Pertama masih saya ingat hingga kini. Penerangannya jelas, dan saya boleh faham dengan sekali itu sahaja.

Itulah cikgu Matematik Tambahan yang sangat cemerlang pernah saya temui. Dia jarang berjenaka walaupun kerap juga bernada sinis apabila menegur kami yang tidak siap kerja rumah tetapi sinisnya masih bernada manis. Kami terasa, tetapi tidak terluka. Bijaknya dia menyusun kata, hebatnya dia memberi jiwa, membuat saya jatuh cinta pada Matematik Tambahan sehingga ke hari ini.

Kini, saya juga seorang cikgu Matematik Tambahan sepertinya. Memang saya tidak sehebat dia kerana saat saya memulakan pengajaran Prinsip Pertama Pembezaan kepada para pelajar saya, mereka seperti kebingungan. Pada hal sewaktu saya mempelajarinya dari cikgu Zawawi dahulu, sekali sahaja penerangannya saya sudah mampu menyelesaikan sendiri. Sungguh luar biasa cikgu Zawawi, dan saya tidak setara itu.

Melihat wajah bingung anak-anak didik saya, saya tidak menerangkan langsung konsep kecerunan yang membawa kepada Pembezaan Prinsip Pertama itu. Bagaimana boleh saya menggambarkan perubahan pada nilai y itu yang menghampiri sifar jika dibahagi dengan perubahan pada x yang juga menghampiri sifar akan memberi nilai kecerunan tangen? 

Lalu saya cuma memberitahu, dy/dx ialah kecerunan tangen tanpa menjelaskan kenapa ia begitu. Bukan kerana saya memperkecilkan kebolehan mereka memahami, tetapi saya risau semakin saya menerangkan, semakin pening mereka jadinya.

Cukuplah dengan Prinsip Pertama sahaja. Saya mulakan dengan Prinsip Pertama, bukan dengan konsep kecerunan. Semoga apabila mereka melanjutkan pelajaran dalam jurusan Matematik di Universiti nanti (pastinya bukan semua) mereka akan bertemu konsep kecerunan ini di sana. Dan bagi yang tidak menjurus begitu, tidak perlulah mereka mempelajarinya.