Thursday, July 28, 2016

Rezeki


Tiga hari lepas, saya menerima surat ini. Maka dengan rasminya, saya dinaikkan ke Gred DG48 bermula pada 6 Mac 2016 yang lalu.

Alhamdulillah. Syukur pada-Mu ya Allah memberi rezeki ini kepadaku.

Malangnya, saya tidak dapat hadir ke majlis penyampaian memo itu kerana beberapa hal penting yang tidak dapat saya elakkan. Walaupun ralat sedikit, tetapi saya tidak mahu terlalu memikirkannya. Sekurang-kurangnya, saya punya masa untuk menyiapkan perkara lain-lain.

Sebentar lagi, suami saya akan menjemput saya dari sekolah ini dan akan menemani saya ke PPD untuk mengambil memo berkenaan. Ahad nanti dapatlah saya menyerahkan memo itu kepada pembantu tadbir untuk proses penggajian pula.

Semoga apa yang saya terima ini menambah manfaat saya sebagai hamba Allah sebelum berpindah ke alam sana.

Sekali lagi, Alhamdulillah.

Besar

Rabu minggu lepas, kami bergambar semuanya untuk majalah sekolah. Saya diminta untuk berada di barisan paling hadapan. Kiranya, orang penting jugalah di sekolah ni.... agaknyalah.

Ini hasilnya.


Jadilah saya manusia terbesar di barisan hadapan itu. Aduhai badanku, bila mahu mengecil?


Ini gaya bebas, kononnyalah.


Ini candid. Masing-masing berbincang nak letak tangan macam mana.

Karnival


Sibuk kami di SMK Kg Chengal seminggu dua ini. Perancangan menganjurkan karnival sempena sepuluh tahun usia sekolah ini menuntut tenaga yang banyak. Bukan hanya tenaga, malah kewangan juga.

Ada pelbagai reaksi diterima - positif dan negatif - daripada sekalian warga apabila karnival ini mahu direalisasikan. Saya tidak terkecuali walaupun mahu menjadi neutral.

Biar apa pun, semoga karnival yang kami rancang serentak dengan Jogathon Amal ini akan berlangsung cemerlang dan bakal membawa kami dekat pada-Nya.

Amin.

Selamat berkarnival. Jemputlah hadir, ya!

Sunday, July 24, 2016

Pusara Ayah



Di sinilah ayahku, Tuan Haji Muhyiddin bin Mustaffa bersemadi. Di tanah perkuburan Kampung Berangan yang hanya beberapa minit perjalanan dari rumahku. Biarpun sedekat itu, aku jarang sekali berpeluang menziarahi. Begitu masa membawa aku jauh dari sisi ayah yang tidak pernah mengabaikan aku sepanjang hayatnya.

Ayah, maafkan Yati. Biar tidak sempat menziarahi, ayah sentiasa ada dalam bait-bait doa Yati. Saban hari. Setiap waktu dan ketika. Arca wajah ayah masih segar dan jelas dalam kotak fikiran Yati. Sentiasa.

Tenanglah ayah. Tuhan lebih menyayangi. Damai benar saat menatap pusara ayah yang hanya dihiasi batu nesan kecil, sama seperti pusara para syuhada' di perkuburan Baqi'. Semoga rahmat Allah melimpah ruah buat ayah tercinta. Amin.
Gambar hiasan - tanah perkuburan Baqi'

Jumaat

Sukar mencari ruang untuk bersantai dengan adik beradik di rumah ma. Maklumlah, masing-masing sudah punya keluarga dan tanggungjawab yang perlu ditunai dengan penuh amanah. Wanita seperti saya, tentunya perlu ruang yang benar-benar sempurna untuk meninggalkan suami sendirian di rumah. Nampak remeh, tetapi kenyataannya begitu. Ia tidak mudah.

Apabila suami saya membenarkan saya menghabiskan masa seharian Jumaat baru-baru ini di rumah ma, tentunya ia sangat mengujakan. Hasrat saya mahu berkumpul lama-lama dengan adik beradik tetapi masing-masing sudah ada agenda mereka. Ya, begitulah tanggungjawab. Saya amat memahami.

Saya tiba di rumah ma sekitar jam 10.05 pagi. Ma sedang membersihkan kawasan di belakang rumah. Ismah pula ada di dapur. Sempat saya menikmati sedikit hidangan yang masih ada di bawah tudung saji itu. Biasalah, makan di rumah ma sentiasa menyelerakan.

Husna dan anak-anak tiba sekitar 12.30 tengah hari. Baru kali inilah sempat saya beraya dengan mereka. Setelah Syawal melangkah ke hari yang ketujuh belas. Itu pun tidak sempat lama. Sekitar 1.30 tengah hari mereka sudah bertolak pulang untuk memenuhi jemputan hari raya di tempat lain pula.

Ismah menyudikan diri untuk membeli lauk untuk hidangan tengah hari ini. Saya pula merajinkan diri untuk memasak. Mudah-mudah saja. Sayur air sawi, brokoli dan kubis bunga yang dicampur potongan ayam dan bebola ikan serta suhun menjadi hidangan yang sudah lama saya idamkan. Sedap pula masakan saya kali ini. melengkapkan menu, saya sediakan juga ayam goreng halia.

Jam 2.30 petang, Aziah dan Muiz tiba dengan CRV hitamnya. Kami bersedia untuk bergerak ke G-Orange pula untuk melangsaikan janji dengan ma, membeli televisyen baru.


Di G-Orange, tentunya agenda bertambah-tambah. Selain TV Samsung LED 48 inci yang berharga RM1699 itu, saya turut membeli laptop baru jenama Acer berharga RM2199. Sebelum pulang, kami membeli juga KFC untuk hidangan seterusnya.

Jam 5.30 baru kami tiba di rumah. Itu pun selepas singgah sebentar di rumah abang ipar saya, Abdul Wahab yang mengadakan kenduri solat hajat sempena keberangkatannya ke Mekah dua minggu lagi.

Jam 6.00 petang, suami saya datang menjemput saya dan kami singgah di rumah Kak Rohaini untuk bertemu dengan Faris yang akan bertolak ke Kuala Lumpur esok untuk meneruskan tugas sebagai PTD di sana. Oh, dia belum bertugas lagi. Dia akan mengikuti Kursus Diploma Pentadbiran Awam selama setahun sebelum dilantik ke jawatan PTD itu. Semoga Allah memudahkan segala urusan Faris nanti, amin.

Malam ini, suami saya bersolat hajat dan makan malam di rumah abang Wahab. Saya di rumah hanya memaku diri di bilik dan tidak lagi mahu makan kerana perut saya sudah diisi dengan banyak makanan sejak pagi lagi.

Sunday, July 17, 2016

Raya@Chengal

Selamat hari raya. Sambutan kali ini masih meriah sama seperti tahun-tahun dahulu. Terima kasih kerana mengadakannya pada hari Ahad, hari yang jadual saya padat.


Sent from Samsung Mobile

Kedai Makan

Tiba-tiba tekak saya teringin mahu makan ikan siakap kukus limau pada suatu malam minggu lepas. Saya mengajak suami keluar makan di restoran ikan bakar yang baru dibuka berhampiran rumah kami. Khabarnya banyak sajian enak-enak di situ dan saya mahu mencuba.

Usai solat maghrib, kami terus ke sana. Hujan yang turun renyai-renyai tidak menghalang keinginan kami mengotakan impian selera kami. 

Setiba di situ, pelayannya terus menghampiri kami untuk mengambil order. Dengan tidak sabar saya meminta ikan yang saya mahu itu.

"Ikan tiada malam ni, kak. Tukang masak kami cuti lagi, raya..." Ujarnya.

Agak kecewa saya tetapi tidak mengapalah. Tiada rezeki, saya memujuk diri sendiri. Lalu saya meminta chicken chop yang diasingkan sos lada hitamnya dan segelas jus epal susu. Suami saya juga meminta yang sama tetapi diteman air jus nenas.

Sabar menunggu, mengharap yang terbaik dari mereka.

Tidak lama, air kami tiba. Eh, jus epal saya tidak diletak susu! Biarlah. Saya minum saja. Malas mahu komplen.

Beberapa minit kemudian pelayan itu datang ke meja kami.

"Kak, chicken chop tu dah dicurah sos. Tukang masak tu tak dengar saya cakap tadi mahu sos asing. Tak apa ke?"

Aduh! Saya memandang suami, dan suami dalam nada tidak berapa ceria hanya mengiakan. Sempat suami saya memaklumkan jus epal saya tiada susu tetapi pelayan itu cuma mendengar dan berlalu.

Harapan kami tidak terkota tetapi kami tetap menikmati chicken chop yang basah dengan sos itu yang bukan kegemaran kami.

Peniaga kita begitulah. Hak pelanggan tidak pernah ada dalam kamus mereka. Jika dia belajar etika perniagaan yang betul, apabila menyedari tukang masak silap, dia kena arahkan untuk buat yang lain, seperti yang kami minta. Yang silap itu boleh sahaja disimpan sebentar kerana akan ada pelanggan lain yang meminta menu itu nanti. Atau simpan sahaja untuk dimakan sendiri kerana silap itu di pihak mereka. Tidak perlu bertanya kami mahu atau tidak kerana itu bukan yang kami pesan. Pun bila ditanya, kami tentu tidak tergamak untuk menolak.

Sama juga dengan jus epal saya. Apabila sudah dimaklum kesilapan, tukar sahaja dengan yang baru, atau jika saya sudi menerima yang silap itu, betulkanlah harga dalam bil.

Pun, mana boleh mereka berbuat begitu kerana nanti mereka rugi. Kami makan dengan rasa tidak puas hati dan apabila membayar, bil kami tertulis jus epal susu yang tentunya berbeza harga dengan jus epal yang saya minum itu. Biarpun hanya lima puluh sen dan biarpun kami halalkan, tetapi di pihak mereka sangat tidak beretika.

Wahai saudara seislamku, jika mahu berniaga biarlah berilmu. Bukan hanya dengan ikut-ikutan sahaja. Bukan mengejar untung semata-mata. Carilah juga keberkatan di dalamnya.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, July 09, 2016

Rasa Raya

Rasa ini.

Saya manusia yang punya rasa. Punya emosi. Punya keinginan.

Sejak lama raya saya sudah tiada rasa itu. Sudah hilang. Entah ke mana.

Jika boleh, saya mahu raya saya di sisi keluarga saya. Ada malam raya untuk saya membantu emak memasak. Ada pagi raya untuk saya bermesraan dan bergembira dengan emak dan adik beradik. Ada suasana bahagia sebegitu yang memberi rasa untuk raya.

Tetapi tiada.

Malam raya saya cuma di rumah sendiri berdua dengan suami. Pagi raya saya juga di rumah sendiri melayan tetamu.

Tidak bolehkah kalau hari raya pertama itu kita sambut dengan keluarga terdekat sahaja dahulu? Makan bersama, berbual dan bercerita. Bergambar dan berketawa. Bukankah ia indah?

Sejak ada rumah sendiri, raya saya hanyalah keletihan.


Sent from Samsung Mobile

1 Syawal


1 Syawal menjelma lagi pada tanggal 6 Julai 2016, Rabu.

Rutin yang sama dilalui. Seawal 5 pagi saya bangkit, menyediakan menu mudah dan ringkas tetapi sedap untuk santapan pagi ini. Tiga bungkus mi saya goreng dengan jayanya.

Jam 7.40 pagi, kami bergerak menuju ke rumah mek untuk menjemputnya ke masjid bagi menyempurnakan solat aidilfitri. Usai solat, kami mula mengunjungi rumah-rumah ahli keluarga. Rumah ma mendahului dan diikuti rumah kak Rohaini, kak Rohaimah dan kak Rohaizan. Seterusnya kami berkunjung pula ke rumah abang Wahab si seberang jalan sana dan rumah Paksu Mustaffa.

Agenda seterusnya, kami mahu ke rumah Paksu Mamat tetapi anaknya Mazlan terlebih dahulu memberitahu mereka mahu ke rumah kami.

Jam sudah 11 pagi. Kami bergegas pulang dan menyambut mereka datang. Hampir 20 orang semuanya dan saya tidak sempat menyediakan apa-apa selain air dan kuih raya kerana mi goreng tadi tidak mencukupi untuk tetamu seramai itu. 

Selepas mereka pulang, beberapa orang lagi sahabat dan anak murid suami saya tiba. Suami saya melayan mereka di ruang tamu dan saya di dapur menyiapkan bahan untuk menggoreng mi lagi.

Usai Zohor, tiba lagi tetamu dan kali ini lebih ramai. Saya menjangkakan mi goreng saya tadi mencukupi rupanya tidak. Pantas saya menggoreng lagi mi agar semua tetapi dapat merasainya.

Apabila mereka pulang, jam sudah menghampiri Asar. 

Sahabat lama kami di Kuala Krai menelefon dan memberitahu mereka mahu singgah. Sekeluarga mereka tiba pada jam 5.30 petang dan saya menyediakan makan malam untuk mereka. Sup ayam, daging goreng, telur dadar dan acar timun saya siapkan dengan kadar yang segera untuk mereka enam sekeluarga. 

Jam 8.30 malam baru mereka pulang.

Sebaik kereta mereka keluar, tiba pula sebuah kereta lagi dengan lima orang ahli di dalamnya, iaitu saudara suami saya dari Pasir Mas sekeluarga. 

Saya menyediakan mihun goreng pula. Kebetulan, abang Wahab dan keluarganya juga tiba pada masa yang sama.

Pada jam 10.30 malam barulah rumah saya kembali sepi. Perut saya yang lapar baru dapat saya isi. Dapur yang bersepah itu saya biarkan sahaja kerana penatnya badan saya hanya Tuhan yang tahu. Dari pagi sampai malam saya tidak rehat sepicing pun!

Beginilah hari raya.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, July 02, 2016

Ramadan Terakhir

Perlahan-lahan, ia berengsot pergi. Meninggalkan kita untuk kesekian kali. Entah sempat atau tidak ketemu kembali.

Ramadan terakhir, inikah?

Ramadan 1420H, arwah ayah masih ada. Itu Ramadan terakhir buatnya tetapi ayah begitu bersemangat menunaikan rukun Islam ketiga ini tanpa cicir.

Waktu itu, cuti sekolah hujung tahun 1999. Ramadan bermula pada awal Disember. Saya lebih banyak berada di rumah mentua berbanding rumah emak dan ayah kerana mentua saya tinggal bersendirian. Pun, jarak yang dekat membolehkan saya sentiasa berkunjung ke rumah emak dan ayah sesuka hati saya.

"Petang nanti berbuka di sinilah... " 

Suara ayah yang terlantun setiap kali saya mahu melangkah pulang ke rumah mentua saya. Ayah waktu itu duduk di kerusi panjang sambil memegang buku. Ya, ayah kan suka membaca. Jarang dia duduk saja-saja tanpa bahan bacaan di tangan.

Jawapan saya selalunya berbeza-beza. Benar saya mahu berbuka dengan ayah tetapi siapa mahu memasak untuk mek? Jika Kak Rohaini balik dari Dungun, barulah saya akan memenuhi ajakan ayah.

Sepanjang Ramadan itu, ayah kelihatan sihat walaupun lemah. Pernah sekali, sewaktu berbuka di rumah saya dan emak memasak sup tulang kegemaran ayah untuk berbuka puasa. Dia berselera sekali menjamahnya hingga emak risau kalau-kalau mudarat. Alhamdulillah ayah baik-baik saja.

Hari raya yang menjelang pada 8 Januari 2000, menjadi hari raya terakhir kami bersama ayah. Memenuhi kehendaknya, kami pulang beraya di Golok beramai-ramai pada tahun itu. Ayah gembira benar meraikan Aidilfitri di kampung halaman tanah tumpah darahnya.

Tidak lama selepas itu, ayah semakin lemah dan pada 27 Mac 2000 bersamaan 21 Zulhijjah 1420, ayah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Terima kasih ayah kerana memberi segala yang terbaik buat kami. Doa kami buat ayah, agar Allah menjaga ayah dalam rahmat-Nya.

Rindu ini tidak akan pernah berakhir.

Sent from Samsung Mobile