Saturday, July 02, 2016

Ramadan Terakhir

Perlahan-lahan, ia berengsot pergi. Meninggalkan kita untuk kesekian kali. Entah sempat atau tidak ketemu kembali.

Ramadan terakhir, inikah?

Ramadan 1420H, arwah ayah masih ada. Itu Ramadan terakhir buatnya tetapi ayah begitu bersemangat menunaikan rukun Islam ketiga ini tanpa cicir.

Waktu itu, cuti sekolah hujung tahun 1999. Ramadan bermula pada awal Disember. Saya lebih banyak berada di rumah mentua berbanding rumah emak dan ayah kerana mentua saya tinggal bersendirian. Pun, jarak yang dekat membolehkan saya sentiasa berkunjung ke rumah emak dan ayah sesuka hati saya.

"Petang nanti berbuka di sinilah... " 

Suara ayah yang terlantun setiap kali saya mahu melangkah pulang ke rumah mentua saya. Ayah waktu itu duduk di kerusi panjang sambil memegang buku. Ya, ayah kan suka membaca. Jarang dia duduk saja-saja tanpa bahan bacaan di tangan.

Jawapan saya selalunya berbeza-beza. Benar saya mahu berbuka dengan ayah tetapi siapa mahu memasak untuk mek? Jika Kak Rohaini balik dari Dungun, barulah saya akan memenuhi ajakan ayah.

Sepanjang Ramadan itu, ayah kelihatan sihat walaupun lemah. Pernah sekali, sewaktu berbuka di rumah saya dan emak memasak sup tulang kegemaran ayah untuk berbuka puasa. Dia berselera sekali menjamahnya hingga emak risau kalau-kalau mudarat. Alhamdulillah ayah baik-baik saja.

Hari raya yang menjelang pada 8 Januari 2000, menjadi hari raya terakhir kami bersama ayah. Memenuhi kehendaknya, kami pulang beraya di Golok beramai-ramai pada tahun itu. Ayah gembira benar meraikan Aidilfitri di kampung halaman tanah tumpah darahnya.

Tidak lama selepas itu, ayah semakin lemah dan pada 27 Mac 2000 bersamaan 21 Zulhijjah 1420, ayah pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya.

Terima kasih ayah kerana memberi segala yang terbaik buat kami. Doa kami buat ayah, agar Allah menjaga ayah dalam rahmat-Nya.

Rindu ini tidak akan pernah berakhir.

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment