Membeli belah. Ini kesukaan saya. Tuhan jua yang tahu mengapa Dia menganugerahkan rasa nikmat yang luar biasa apabila ada kesempatan untuk saya membeli belah.
Kesempatan yang jarang-jarang saya peroleh.
Dalam facebook sehari dua ini, ramai pula kalangan suami bercerita tentang ragam isteri masing-masing apabila menemani mereka membeli belah. Setianya sang suami menunggu dan melayan kehendak sang isteri. Berjam-jam. Dalam himpitan manusia yang ramai pula. Sementelah bulan puasa lagi!
Jujur, saya tidak pernah begitu. Membeli belah yang seronok bagi saya ialah apabila tidak bersama suami. Bukan mahu menidakkan kepentingannya saat mencari keperluan, tetapi saya tidak sanggup menyeksa dia melayan segala kehendak saya yang infiniti ini. Jika bersama dengannya, saya akan membeli tanpa belah. Sungguh!
Kerana itu nikmat membeli belah yang ingin saya kecapi itu jarang benar saya peroleh. Saya mahu bebas meneroka setiap premis tanpa tujuan, dan membeli semahunya mengikut perasaan! Itulah nikmatnya.
Kini tempat membeli belah saya hanyalah di Lazada dan Zalora. Seronok menjamu mata dan sesekali menempah apa yang berkenan. Ikutkan hati, mahu saya membeli segala yang saya ingini tetapi sering kali realiti mengetepikan fantasi.
Saya masih mahu merasai nikmat membeli belah di gedung terkemuka jika ada kesempatan.
Semoga ada.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment