Saya bersyukur dengan sedikit kebolehan anugerah Allah kepada saya dalam kemahiran perisian Excel. Allah memberi saya kekuatan untuk mendalami Excel secara sendiri-sendiri sejak mula bergelar guru dahulu, dan Alhamdulillah kebolehan ini sangat besar gunanya dalam melaksanakan tugas saya sebagai Setiausaha Peperiksaan.
Beberapa kali juga saya membantu pentadbir menyediakan program Excel yang mudah-mudah untuk mereka gunakan seperti e-prestasi, pemantauan e-cakna dan yang terkini, borang keberhasilan PBPPP.
Borang keberhasilan itu sebenarnya saya sediakan atas permintaan PKP. Tetapi apabila sahabat-sahabat meminta, saya tanpa ragu memberi. Untuk memudahkan capaian, saya salin sahaja borang itu ke komputer di bilik peperiksaan. Sesiapa pun boleh mengambilnya dengan mudah.
Di bilik guru pun sebenarnya sudah ada borang itu tetapi skor keberhasilan tidak terhasil secara automatik dan mereka yang menggunakan borang itu perlu mengira sendiri skor mereka dengan kalkulator.
Lalu saya memberitahu guru-guru di situ jika tidak mahu mengira, boleh sahaja menggunakan borang di komputer bilik peperiksaan.
Tiba-tiba datang seorang guru lelaki yang memang mahir Excel lebih daripada saya, meminta saya memasukkan formula dalam borang di bilik guru itu.
Saya meminta dia ke bilik peperiksaan dan mengisi di sana. Pada saya tidak amali langsung melakukan kerja yang sama berkali-kali. Tetapi dia menolak.
Lalu saya berkata, cikgu pun boleh buat formula tu kan? Kan cikgu pun pandai juga. Tetapi dia tidak mahu dan mendesak saya melakukan untuknya.
Saya memang tidak suka didesak. Perasaan saya sudah lain macam tetapi ini bulan puasa.
Guru itu berkata lagi, "alah.. lima minit je Ti. Buatlah pahala."
Dan ini lagi saya tidak suka.
Pahala hanya untuk ditawarkan pada orang lain? Begitu? Kalau tahu itu pahala, kenapa tidak rebut? Jantung saya berdetak laju.
Saya malas bergaduh. Saya ke meja komputer itu untuk memasukkan formula di borang yang sudah sedia terbuka itu.
Ah! Saya menjerit kecil.
"Kenapa Ti?"
"Macam mana saya nak buat, ini Word, bukan Excel!" Dan saya terus bingkas berlalu.
Entahlah. Mereka hanya mencari yang mudah dan mahu mengambil kesempatan. Mujurlah fail itu dalam Word, boleh sahaja saya meninggalkan guru itu tanpa perlu menoleh lagi!
Sent from Samsung Mobile
Biarkan kak ti. Kadang2 mereka juga perlu diajar menelan susah kalau malas belajar.
ReplyDeleteBagitahu saja, kalau cikgu pun malas belajar, macam mana nak mengajar?
Saya pun guna Excel dalam menyusun data saham koperasi membuat formula dan pengiraan baki akhir dan dividen. Semuanya belajar sendiri berjam2 depan laptop dan kadang2 tanya google.
Rajin ke malas ke, minat ke tak minat ke, kalau dah kerja kita, hadap je lah.
Sabarlah kak ti.