Wednesday, June 08, 2016

Pengantin Ramadan

Tanggal 3 Ramadan 1428, bersamaan 2 Januari 1998 menjadi tarikh bersejarah yang telah mengubah status diri dan tanggungjawab saya.

Segalanya bagai kilat yang menyambar. Amat pantas dan tanpa sempat saya bersedia apa-apa. Usai solat Asar di Masjid Batu 8, suami saya menggenggam erat tangan Ayah Mat - yang mewakili ayah saya - menjawab nikah. Saya tiada di tempat kejadian. Seratus peratus kepercayaan saya letakkan pada ayah kerana dialah wali saya.

Sepulang ke rumah, ayah menghulur mas kahwin sejumlah empat ribu ringgit dan beberapa dokumen untuk saya tandatangani. Saya di dapur memasak bersama-sama emak waktu itu, menyediakan hidangan untuk lima belas orang tetamu berbuka puasa nanti. Tetamu-tetamu yang terlibat semasa akad nikah tadi termasuklah juga pengantin lelakinya, suami saya.

Tiada pertemuan pun antara kami. Malam itu berlalu seperti biasa, saya masih tidur bersama adik-adik saya di bilik.

Rasa lucu juga apabila bernikah dengan orang asing. Ya, asing. Kami tidak kenal langsung sehinggalah ke hari pernikahan itu. Saya dan dia tidak pernah pun berjumpa apa lagi berbual-bual mesra. Semuanya diserah bulat-bulat pada keluarga dan kami redha dalam rela.

Kini, sudah sembilan belas tahun kami lalui hari-hari berdua. Sembilan belas tahun yang penuh warna warni. Semoga usia kami dipanjangkan Tuhan dalam bahagia berdua. Tiada lain yang kami pinta, hanyalah bahagia. Sampai syurga.


Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment