Monday, June 13, 2016

Kembali

Tamat sudah cutiku yang nian gilang gemilang. Berakhir sudah keakrabanku dengan katil dan selimut. Yang perlu kuhadapi sekarang ialah sebuah hakikat kehidupan - kembali bekerja kerana Allah.

Kisahku semalam.

Tuhan tahu betapa tidak bersemangatnya aku saat mengenangkan cutiku usai. Tambah-tambah pada bulan puasa begini. Aku langsung tidak rindu pada sekolahku kerana kenyamanan berpuasa di rumah begitu mengasyikkan!

Jam 6.30 pagi Ahad itu, aku melangkah juga - biarpun longlai - menuju ke Toyota Hilux 2.5G yang dipandu suamiku. Dia menghantar aku ke sekolah sementara dia pulang semula ke rumah. Oh, dia bercuti hari ini kerana ada temujanji di HRPZ.

Apa yag berlaku di sekolah hari ini masih seperti dulu-dulu. Aku memulai tugasku dengan menyediakan jadual guru ganti, sedang guru-guru yang lain menghadiri perhimpunan mingguan. Aku akui, antara sebab aku memohon tugas sebagai penyedia jadual guru ganti adalah kerana aku mahu mengelak turun ke perhimpunan pagi yang berlangsung setiap hari di sekolah ini. Penyedia jadual ganti diberi pengecualian daripada ke tempat perhimpunan dan aku jarang benar turun walaupun sudah siap jadualku itu!

Seterusnya, tugasku yang lebih aula sedang menunggu aku meladeninya. Menyiapkan analisis peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini. Kulayari laman SAPS dan mujurlah ia tida meragam. Pantas aku memuat turun setiap maklumat ke Excel dan menganalisis kembali satu persatu. Pengetua tiba-tiba datang bertanya khabar dan wajahnya sedikit muram mendengar keputusan yang tidak memberangsangkan. Apa lagi yang tidak kena ya? Tanyanya.

Kelasku hanya bermula pada jam 9.40 pagi. Matematik Tambahan Tingkatan 5 Ibnu Sina sentiasa menyegarkan perasaan aku walaupun penat berpuasa. Perbincangan soalan peperiksaan aku tangani dengan penuh semangat. Mereka semua anak-anak harapanku untuk menyumbang bakti kepada dunia apabila dewasa nanti.

Diringkaskan kisah, segalanya selesai pada jam 2.10 petang dan kepalaku berat juga melalui hari pertama selepas cuti ini. Suamiku sudah bersedia menjemputku pulang dan dia memaklumkan berita gembira apabila doktornya memaklumkan dia tidak perlu pun melalui ujian angiogram itu. Alhamdulillah. Syukur Tuhan!

Tiba di rumah, jam sudah menghampiri ke angka tiga. Usai solat Zohor, aku lenakan diriku yang amat penat ini. Selepas Asar pula aku merajinkan diri memasak di dapur untuk berbuka puasa nanti. Menu semudah ayam kampung goreng kunyit dan rebusan tulang dan daging bersama penyicah daun kesum resepi ibu yang istimewa itu. Cukup sekadar itu, tanpa kuih pun. Air jus epal susu menjadi penghilang dahaga.

Dan malamnya aku isi dengan agenda biasa. Usai terawih bersendirian di bilik, aku menggosok pakaian kerja kami esok dan sementara menunggu suamiku pulang dari masjid, aku sediakan roti bakar untuk kami nikmati sebelum tidur.

Jam 10.30 aku pastikan sudah sediakan diri untuk tidur agar tidak kesiangan bersahur nanti. Semoga Allah menilai setiap kerja buatku hari ini, Amin.

No comments:

Post a Comment