Tuesday, November 29, 2016

Cuti

Salam pagi Selasa.

Sebagai guru, saya sedang bercuti. Saya sedang memanfaatkan cuti sekolah yang sememangnya begitu istimewa untuk kami. Istimewa kerana selama bertugas di sekolah, kami tidak diberi keistimewaan cuti seperti kakitangan lain kerana kami sudah ada cuti sekolah.

CRK (cuti rehat khas) yang diperuntukkan untuk kami sebanyak tujuh hari setahun itu tidak semudah itu untuk kami peroleh. Syarat-syaratnya ketat, dan CRK menjadi pilihan hanya apabila kami benar-benar tiada pilihan. Jika tidak, semua urusan kami longgokkan pada musim cuti sekolah beginilah.

Dua puluh lima hari cuti akhir tahun ini, apabila ditolak cuti krismas, cuti maulidurrasul, mesyuarat-mesyuarat yang sudah ditarikhkan di sekolah, hari pengumuman keputusan PT3 dan juga hari bertugas di sekolah, dapatlah kami cuti yang benar-benar cuti selama tidak sampai lima belas hari.

Alhamdulillah. Kami mensyukurinya sangat-sangat. Lima belas hari ini kami pasti akan bercuti sepenuh hati. Kami akan menjadikan ia benar-benar berkualiti.

In shaa Allah.


Sent from Samsung Mobile

Friday, November 25, 2016

Cuti Akhir Tahun

Hari ini bermula cuti selama tiga puluh tujuh hari untuk mengakhiri sesi persekolahan 2016. Walaupun agak singkat berbanding tahun-tahun sudah, saya tetap mensyukurinya.

Hari terakhir semalam, kami meraikan guru-guru yang akan bertukar sekolah pada sesi 2017 dengan sedikit majlis ringkas dan jamuan tengah hari. Kebetulan beberapa orang guru termasuk saya baru mendapat kenaikan DG48, maka kami seikhlas hati menaja sebahagian kos jamuan tersebut.

Guru-guru yang akan bertukar ialah Pn. Sofiah Ariffin (ke Maktab Sultan Ismail), En. Suhaide Asmade Salleh (ke SMK Sultan Ismail), Pn. Norzila Mohd Noor (ke SMK Kuala Jengal, Dungun) dan En. Che Adnan Ab Halim (ke SMK Batu Melintang, Jeli). 

Sepanjang cuti ini sudah bersusun-susun agenda yag diatur sama ada berbentuk urusan peribadi, urusan keluarga juga urusan sekolah. Semoga semuanya berjalan seperti yang dirancang. Harapan saya, biarlah cuti ini memberi ruang untuk saya mencipta rasa bahagia dan gembira tanpa gusar dan sukar. Amin.

Monday, November 21, 2016

Demam

Baru beberapa hari sya menulis tentang tiada MC pada tahun ini. Sangka saya begitu, rupanya tidak.

Sejak Khamis, badan saya seram sejuk dan mula menunjukkan tanda-tanda untuk demam. Rasanya lama sungguh saya tidak demam kuat. Kalau ada pun cuma sehari sahaja, esoknya terus baik. Tak perlu ke klinik pun.

Pun saya sedar saya ini manusia yang sudah berusia. Kebarangkalian untuk demam sentiasa ada.

Pagi Jumaat itu saya masih mahu bertahan. Ubat-ubatan memang sudah tersedia ada di rumah saya. Panadol ada, ubat selesema pun ada. Jadi saya rasa tidak perlu ke klinik.

Hari Sabtu, masih begitu. Bertahan seadanya. Dan Ahad menjelang, saya gagahkan diri ke sekolah. Saya mahu meraikan majlis persaraan Sir Sayed, guru yang sangat saya senangi selama di SMK Kg Chengal ini.

Pulang ke rumah petang Sabtu itu, panas badan saya semakin membara. Saya sudah semakin lemah. Lidah sudah hilang rasa, hidung juga sudah hilang bau. Batuk mula menghinggap.

Sudahnya, suami saya membawa saya ke klinik pada malam itu dan doktor memberi saya cuti sakit sehari.

Maka berehatlah saya hari ini, dengan penuh rasa ketenangan.


Sent from Samsung Mobile

Friday, November 18, 2016

Berserah

Bermula petang Selasa lalu, saya menemani anak-anak pelajar saya mengulangkaji Matematik Tambahan yang bakal mereka lalui peperiksaannya pada Khamis kelmarin. Padat juga jadual saya, tetapi saya enggan mengeluh. Saya mahu berada bersama mereka hingga ke saat-saat akhir. 

Petang itu, bermula jam tiga hingga lima mereka diberi latihan kertas dua. Bersemangat sekali mereka menjawab. Nampak benar pada air wajah mereka tingginya harapan untuk cemerlang dalam mata pelajaran ini.

Rabu pula, bermula lapan pagi dan berakhir empat petang saya menemani mereka lagi. Kali ini saya menambah lagi latihan kertas dua dan kertas satu.

Pagi Khamis itu, seawal jam tujuh saya sudah berada di luar dewan. Mereka masih mahu bertanya itu ini. Sebekas besar teh o panas dan dua balang kuih pau kami sediakan untuk mereka. Enam puluh lima orang pelajar ini kelihatannya lebih berselera menghadap kertas latihan daripada menjamah sarapan!

Lapan pagi, mereka memulakan perjuangan. Saya menunggu di luar dewan dengan doa dan harapan.

Usai kertas satu, mereka masih punya masa untuk menelaah kertas dua. Saya mengajak mereka ke perpustakaan untuk mengulangkaji di sana.

Jam dua petang, mereka berjuang pula untuk kertas dua. Saya masih menunggu di luar dewan dengan doa dan harapan.

Jam 4.50 petang baru mereka keluar dari dewan itu. Pelbagai reaksi wajah yang saya lihat. Kata Nurin, "ada senang ada susah cikgu. Maafkan saya kalau tidak mendapat gred yang baik."

Tidak mengapa, nak. Kita sudah berusaha. Semoga Allah memberi yang terbaik dan melorongkan jalan yang indah untuk kalian terus melangkah.

Alhamdulillah. Tamat sudah perjuangan untuk 2016 bagi mata pelajaran saya ini. Badan saya sudah berasa seram sejuk. Hidung sudah tersumbat. Kepala juga berat.

Saya demam.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 17, 2016

Bicaraku

Ini baru UPSR. Tak payahlah sedih-sedih. Motivasi pelajar bukan ditentukan oleh bilangan A UPSR. Persekitaran lebih memainkan peranan.

(Positifnya, kualiti lebih terjamin.)

Ramai yang tidak mendapat straight As UPSR tetapi cemerlang waktu di sekolah menengah. Ramai juga yang mendapat straight As UPSR tapi di sekolah menengah merudum.

Apa yang penting ialah bagaimana murid-murid (anak-anak kita) ini dibimbing sepanjang perjalanan pendidikan dan kehidupan mereka. Bimbingan dari segala segi. Bukan hanya akademik, tetapi moral dan emosi. Dan peranan ini dimainkan oleh semua pihak.

Kalau mahu marah-marah dengan keputusan UPSR tahun ini, nampak benar yang kita masih belum mahu berubah. Minda kita masih lagi mahu meletakkan bilangan A sebagai petunjuk sebuah kejayaan.

Apa pun keputusan yang anak-anak kita bawa pulang, ini bukan masanya untuk meletakkan rasa penyesalan. Jadilah ibu bapa kelas pertama, yang boleh menerima positif setiap kegagalan dan mampu menyemarakkan semangat juang anak-anak untuk terus melangkah ke masa mendatang. Anak-anak kita pasti berasa bangga dan bertuah beribu dan berbapakan insan yang tidak mudah mengalah.


Sent from Samsung Mobile

Monday, November 14, 2016

Sihat

Tahun 2016 ini sudah menghampiri penghujungnya. Dalam kalendar persekolahan, saya sudah melalui sebanyak 188 hari bekerja setakat hari ini dan tinggal lagi tujuh hari untuk dilangsaikan sebelum cuti akhir tahun menjelang pada Jumaat 25 November nanti.

Kenyataannya, saya tidak bercuti sakit walau sehari pun pada tahun ini, kecuali untuk hadir temujanji di klinik O&G HUSM. Alhamdulillah.

Tahun lepas juga begitu. Tiada MC kecuali temujanji.

Sekali lagi, Alhamdulillah.

Sebenarnya, kesihatan saya bukanlah di tahap terbaik. Fibroid dan cyst masih menghuni abdomen saya cuma ia tidak meliar. Dalam temujanji terbaru Oktober lepas, doktor memaklumkan saiznya sedikit membesar tetapi saya tidak pernah mahu risau. Mungkin kerana ia tidak menyakitkan, saya mahu abaikan sahaja. Doa saya kepada-Nya, janganlah penyakit saya ini menyusahkan siapa-siapa, walaupun diri saya sendiri. Amin.

Dahulu, saya kerap bercuti sakit apabila senggugut menyerang. Waktu itu saya bergantung pada pil Yasmin sahaja untuk menstabilkan kitaran haid sambil merencat pembesaran fibroid dan cyst saya. Pil itu tidak mengurangkan kesakitan senggugut saya, jadi setiap bulan saya terpaksa mengambil cuti sakit apabila senggugut menyerang.

Pada hujung 2013, doktor meminta saya menukar ubat. Tiada lagi Yasmin, tetapi Provera pula. Katanya yang ini lebih baik. Saya hanya menurut. Ilmu saya tiada tentang itu.

Alhamdulillah, selama mengambil Provera, haid saya langsung tiada. Maka saya sihat dan ceria tanpa senggugut. Entah kerana apa, pada suatu ketika saya bimbang dengan tekanan darah saya lalu mula menyalahkan Provera. Saya berhenti mengambilnya dengan harapan senggugut saya sudah sembuh.

Rupanya tidak begitu. Pendarahan berlaku dengan lebih kerap dan lama, dan senggugut saya berulang. Kemuncaknya, pada September 2014, saya sudah tidak tahan lagi lalu merelakan diri ke Unit Kecemasan di HUSM. Mujur saya tidak ditahan di wad, hanya tarikh temujanji dipercepatkan.

Doktor menyarankan suntikan Depo Provera pula untuk menghentikan pendarahan. Lama juga saya terbelenggu dengan ketidakselesaan kerana suntikan itu tidak mampu bertindak semerta. Pendarahan masih berlaku cuma kesakitan sudah berkurang. Tetapi pada kebanyakan waktu sepanjang 2015 itu, saya tidak lagi senggugut.

Pada Mac lalu, doktor memperkenalkan ubat yang lebih baik (katanya) kepada saya tetapi saya perlu membelinya sendiri. Visanne 2 mg menjadi peneman saya kala ini. Dengan harga RM150 untuk 28 biji pil diambil sebiji sehari, Allah mengizinkan saya kembali sihat. Tiada lagi senggugut walaupun pendarahan masih berlaku sekali sekala pada kadar yang sedikit.

Alhamdulillah.

Saya tidak tahu sampai bila saya perlu bergantung kepada ubat-ubatan dek penyakit saya ini. Pembedahan sudah menjadi pilihan terakhir kerana saya sudah melaluinya dua kali. Risikonya menjadi lebih tinggi.

Saya redha, sesungguhnya. Bahagian saya di dunia begini, dan saya mohon Allah ampunkan saya. Jika nanti saya perlu melalui rawatan-rawatan yang lebih menyulitkan, saya mohon kekuatan dari-Nya, dan saya mohon saya tidak akan menyusahkan siapa-siapa.

Amin.

Sunday, November 13, 2016

Damia

Kecoh juga tentang Damia sehari dua ini. Selama ini tiada yang mahu berbicara, tiba-tiba setelah berdekad-dekad nama ini diguna pakai, ia menjadi isu. Saya tidak berniat untuk memberi apa-apa pendapat tentang nama ini, terpulang pada pemberi nama dan pemilik nama untuk memikirkannya berdasarkan pelbagai maklumat yang tersebar di internet.

Oh ya, rasanya dalam ahli keluarga terdekat saya tiada yang bernama Damia.

Secara peribadi, memberi nama kepada bayi belum pernah saya alami kerana saya tiada kesempatan itu. Pun dalam angan-angan, saya punya banyak pilihan nama sejak lama. Ya, nama-nama yang indah bagi saya.

Hakikatnya, saya kurang meminati trend. Apabila sesuatu nama itu menjadi trend, saya seboleh mungkin mahu mengelak nama itu terus-terusan ditrendkan. Bukan apa, ia menjadikan nama itu tidak lagi unik dan sebagai guru, agak menyukarkan sedikit apabila di dalam satu kelas yang sama, berhimpun tiga hingga lima orang pemilik nama yang sama.

Contoh, Adam. Daniel. Irfan. Sangat ramai pemilik nama ini dalam satu-satu kelas hingga tertukar orangnya yang mana satu. Begitu juga dengan nama Izzati, Farhana, Syafiqah yang trending pada bayi 80-an dahulu. 

Nama saya juga begitu. Di sekolah menengah dahulu ada tiga orang Noorhayati, tetapi nama saya yang dieja dengan dua huruf O menyebabkan saya diletakkan di kelas berbeza dengan dua orang lagi yang namanya mempunyai satu O sahaja.

Apa ada pada nama? Entahlah. Nama yang indah dan panjang pun apalah maknanya jika nanti dipanggil dengan Along, Angah, Andak dan pelbagai lagi gelaran dalam keluarga. Nama hanya menjadi nama dalam situasi rasmi sahaja.

Sebab itulah saya kini lebih menggemari nama yang ringkas dan dipanggil penuh. Namakan bayi anda sebagai Huda, dan panggillah dia Huda. Jika ada adiknya menyusul nanti, panggil saja Kak Huda, supaya nama Huda itu kekal. Indah kan begitu?

Friday, November 11, 2016

Kak Su

Dia hanyalah seorang wanita yang diberi Tuhan sedikit kelebihan. Dia punya hati dan semangat yang amat cekal dan begitu komited dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanah. Pun sebagai manusia, dia tentunya punya kelemahan yang tidak boleh dinafikan.

Selama tiga tahun saya bekerja bersama-samanya, jujurnya saya tidak pernah mahu mencari kelemahan miliknya. Apa yang lebih penting ialah menjana kecemerlangan bersama-sama demi anak bangsa yang amat kita kasihi.

Kak Su di mata saya adalah seorang wanita berkarisma, ada wawasan dan hala tuju serta teguh menggenggam azam dan semangat demi menjadikan sekolah ini tersohor dan ternama. Saya cuba memberi yang sehabis baik dan mengelak daripada mencetus rasa tidak puas hati di hatinya. Jika ada yang saya tidak mampu, saya berterus terang. Bukan sekali dua saya menolak tugas yang diminta, tetapi saya cuba berhemah agar Kak Su tidak kecewa. Bukan sekali dua juga Kak Su menegur dan mengkritik tugas saya, tetapi saya terima teguran itu secara positif dan memastikan kesilapan yang sama tidak berulang. Kami sama-sama berusaha menjadikan segala kekurangan itu sebagai satu peluang.

Alhamdulillah, saya mampu bekerja dengan baik di bawah arahan dan tunjuk ajar Kak Su. Sedikit pun saya tidak pernah terasa hati atau tersentuh jiwa dengan Kak Su kerana setiap kata dan butir bicara yang diucapkan, saya terima sebagai nasihat juga didikan. Apa pun nada suaranya, saya tidak berhak menilai secara negatif. Dia lebih berusia, lebih berpengalaman dan lebih mengenali dunia berbanding saya yang serba-serbi cetek. Jarak usia kami lima belas tahun, tentunya saya jauh ketinggalan dalam percaturan pengalaman hidup berbanding Kak Su.

Saya tahu, ada di antara kita yang memandang Kak Su dengan pandangan yang tidak indah. Yang menilai Kak Su dengan prasangka dan kebencian. Itu lumrah kehidupan dan siapa-siapa pun yang berada di tempat Kak Su akan merasainya. Saya tahu ada waktunya Kak Su serba salah dalam melaksanakan tugas, tetapi demi tanggungjawab, Kak Su teruskan jua biarpun ditohmah, demi sebuah amanah yang digalas.

Besar sungguh jiwa Kak Su. Tidak mudah untuk berdepan dengan pelbagai sikap dan sifat yang ada dalam kalangan anak buahnya, tetapi kecekalan hati dan kekuatan semangat menjadikan Kak Su tidak kisah dengan segala yang dilempar kepadanya. Allah jua yang tahu apa sebenarnya hajat dan hasrat di hati Kak Su.

Terima kasih Kak Su kerana hadir memberi sesuatu yang berharga buat saya. Segala kisah dan cerita tentang Kak Su yang saya dengar, saya jadikan teladan untuk saya tempuhi hari-hari mendatang. Mana ada bumi yang tidak ditimpa hujan. Mana ada lautan yang tidak bergelombang. Kita semua hanyalah hamba Tuhan. Saya memohon kemaafan di atas segala kesalahan saya selama saya mengenali Kak Su, sama ada secara sengaja atau tidak, secara sedar atau tidak.

Selamat bersara, dan berehatlah Kak Su. Waktu untuk Kak Su berpenat-penatan sudah tamat. Layanilah segala hobi dan keinginan Kak Su yang selama ini tersekat oleh beban tugas mendidik anak bangsa. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat Kak Su, dan memberkati hidup Kak Su di sisi ahli keluarga tercinta.

Saya akan merindui Kak Su.


Monday, November 07, 2016

Tamparan

Panggggg!

Satu tamparan dari tangan kasar seorang guru lelaki hinggap di pipi saya pada malam itu. Malam yang menjadi sejarah kelabu dalam perjalanan hidup saya di MRSM Kuala Terengganu. Hanya dua hari sebelum SPM berlangsung.

Kisahnya, kami semua sedang berkumpul dalam sebuah kelas di bangunan akademik itu. Tujuan asal ingin mengulangkaji untuk SPM yang akan tiba lusa. Kami sudah berada di kelas itu sejak jam sembilan lagi. Entah kerana apa, beberapa orang pelajar lelaki dari kelas sebelah datang ke kelas kami memaklumkan beberapa perkara. Saya lupa apa yang diberitahu mereka, tetapi salah seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sekuat hati. Jeritan yang sungguh luar biasa.

Jeritan kuat itu mengejutkan guru (warden) yang sedang meronda malam itu. Apabila guru itu menapak ke arah kelas kami, pelajar-pelajar lelaki itu menghilangkan diri entah ke mana. Yang tinggal hanya saya dan beberapa orang rakan perempuan.

"Siapa yang menjerit tadi?"

Soal guru lelaki itu dengan nada marah menengking.

Saya dan rakan-rakan saling berpandangan. Guru itu mengulang soalan tetapi kami ketakutan untuk menjawab.

"Kamu berdua, cepat datang ke bilik saya!" Arahnya kepada saya dan rakan saya yang seorang lagi. Terus guru itu berlalu ke biliknya dengan harapan kami turut mengekor.

"Macam mana ni? Aku takutlah!"

"Aku pun takut...." Jawab rakan saya.

"Tapi cikgu panggil kita. Kita kena pergi!"

"Aku takut! Aku tak mau pergi!" Rakan saya itu mengelak. Dia lantas mengajak saya ke dewan makan untuk minum malam. Saya akur walaupun serba salah.

Usai makan di dewan makan, kami berpatah semula ke kelas untuk mengambil buku-buku dan alat tulis yang kami tinggalkan di sana. Jam sudah menghampiri 10.30 malam. Kami sudah boleh balik ke asrama.

Setiba di tangga bangunan, kami terserempak dengan guru itu. Dia lantas memanggil saya.

"Kamu! Ke sini!" Lantang dan kuat dia menjerkah. Saya yang lurus bendul mendekatinya, rakan saya yang seorang lagi itu hanya berdiam di situ.

Ketika itulah saya menerima tamparan hebat itu. Saya menangis serta merta. Guru itu terus memarahi saya tanpa belas.

"Kan aku panggil kamu berdua tadi! Macam beruk aku menunggu dalam bilik tu. Kenapa tak datang?"

Marah benar dia. Saya yang teresak-esak, cuba menjawab tetapi entah apa butir kata saya yang keluar, saya sudah pun lupa.

Ketika inilah pelajar-pelajar lelaki tadi datang semula, memaklumkan yang saya tidak bersalah apa-apa dan mereka menjelaskan keadaan sebenar. Kami semua masuk ke bilik guru itu, mendengar lagi bebelannya, dan pelajar-pelajar lelaki itu bersedia dihukum.

Saya terus pulang ke asrama dengan perasaan yang amat sedih. 

Sudah dua puluh tujuh tahun peristiwa itu berlalu, pun ia kekal sebagai kenangan yang tidak terpadam. Mungkin saya perlu berterima kasih kepada guru itu kerana memberi saya pengalaman tamparan sekuat itu di pipi mulus saya yang masih belum pernah disentuh siapa-siapa. Ayah dan emak saya pun tidak pernah menampar pipi ini, hanya ciuman kasih sayang yang tulus ikhlas dari mereka.

Apa pun, yang terjadi tetap terjadi. Saya tidak berdendam. Guru itu terlalu baran dan gagal mengawal perasaan. Saya pula berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Hikmahnya hanya Allah jua yang tahu.
 

Jadual

Sesi 2016 ini, jadual PdP saya agak longgar, hanya dua puluh masa sahaja seminggu untuk tiga kelas. Memang agak banyak ruang masa untuk saya selesaikan kerja-kerja lain kerana dua puluh masa itu tidak sampai separuh pun daripada jumlah masa PdP keseluruhannya (empat puluh empat masa). Pun, setiap pagi sebelum guru-guru lain tiba, seawal jam tujuh saya sudah tercongok di depan komputer untuk merealisasikan tugas sebagai pembuat jadual ganti. Tugas yang memang saya sendiri mohon daripada puan PKP.

Apabila Pn. Hjh. Razian bertukar sekolah pada Julai lalu, saya ditugaskan untuk mengambil alih salah satu daripada kelasnya. Dengan sedikit pengubahsuaian mata pelajaran (meminggirkan mata pelajaran Sivik untuk dua kelas), saya mendapat jadual baru sejumlah dua puluh satu masa. Dan ia cuma bertambah satu masa berbanding jadual lama. Saya masih lagi punya banyak ruang untuk melakukan kerja-kerja lain yang sama penting.

Harap-harapnya, untuk tahun 2017 nanti jadual saya masih longgar sebegini juga. Jika melebihi dua puluh empat waktu seminggu, saya rasa saya akan kepenatan kerana tugas saya di bahagian peperiksaan dan jadual ganti memakan banyak ruang. 

Sewaktu mengisi borang PdP 2017 minggu lepas, saya memohon untuk mengajar empat kelas dan bilangan waktunya mungkin sekitar dua puluh masa juga. Jika kekal seperti itu, syukur Alhamdulillah.

Sunday, November 06, 2016

Annual Dinner

Tradisi setiap tahun, kami para guru meraikan diri sendiri dengan jamuan makan malam di hotel lima bintang yang kami pilih. Jika tahun lepas kami bergembira di Hotel Perdana, kali ini kami memilih Hotel Reinassance pula. Jika tahun lepas saya bertungkus lumus menyediakan apa yang perlu kerana saya AJK Kelab Guru, tahun ini saya hadir sebagai guru biasa sahaja.

Malam Khamis itu 2hb November 2016, usai solat Maghrib, saya bersiap-siap seadanya. Saya mengenakan sepasang kurung biru gelap yang baru saya ambil dari kedai jahit petang tadi, yang telah saya hiasi dengan taburan manik-manik yang berkilauan. Sengaja saya mahu mengikut tema malam ini, "Gemerlapan". Saya mahu menunjukkan sokongan kepada Kelab Guru yang bertungkus lumus berbulan-bulan lamanya untuk merealisasikan majlis ini. Sehelai tudung ungu bercorak saya padankan dengan baju kurung tadi. Melengkapi penampilan yang tidak se'datin' mana ini, sebuah beg tangan kecil hitam dan kasut hitam. Jam 7.20 malam, suami menghantar saya ke tempat jamuan itu.

Saya antara yang terawal tiba.
Selfie dengan rakan-rakan. Ustazah Norizan, Cikgu Siti Noor dan Cikgu Siti Hasliza
Selfie lagi. Mengambil aura Yusniza dan Laili yang jelita-jelita belaka.
Lengan baju ini senteng sedikit. Tidak sempat saya membaikinya.

Majlis berlangsung sebagaimana yang dirancang. Ada ucapan, ada tayangan video, tiada persembahan. Menu dihidangkan ialah Chinese Cuisine yang boleh tahan enaknya.

Jam 11.00 malam, acara tamat dan saya pulang menumpang Tuan Syed Ahmad, rakan guru saya yang sudah mahu menamatkan perkhidmatannya pada hujung tahun ini. Malam ini turut meraikan beliau dan Puan Hjh. Wan Shuraya yang juga akan bersara pada hujung tahun ini.

Cuma, hati saya sedikit ralat dengan tindakan beberapa orang rakan guru saya yang seolah-olah sengaja enggan hadir atas sebab-sebab yang mereka cipta sendiri. Biar apa pun sebab itu, jadikanlah ia isu peribadi. Bukan dengan menunjukkan ciri-ciri tidak profesional ini di mata ramai.

Pagi-pagi lagi keesokannya, seorang kakitangan pejabat menyapa saya dengan soalan, "Kak Ti, kenapa ya ramai guru yang tidak hadir malam tadi?"

Saya tidak tahu bagaimana mahu menjawab.

SPM

Tidak seperti tahun lepas, hati saya menjadi lebih sayu kali ini. Entah kenapa gugur juga air mata seorang guru ini saat bersalam-salaman dengan murid-murid saya pada Majlis Restu Ilmu pagi tadi. Jujurnya, saya jarang sekali berpeluang hadir ke Majlis Restu Ilmu kerana selalunya saya terikat dengan tuntutan kelas. Tetapi pagi ini tidak begitu. Saya ada ruang untuk bersama-sama mereka.

Lima puluh empat orang pelajar Tingkatan Lima tahun ini menjadi anak murid saya. Dua puluh dua orang untuk mata pelajaran Matematik Tambahan dan tiga puluh dua orang lagi untuk mata pelajaran Matematik. Saya kenal dan ingat semua mereka. Saya kenal wajah dan nama mereka. Saya tidak mahu lupa. 

Ada pelbagai sikap dan sifat dalam diri lima puluh dua orang itu. Ada yang pemalu, ada yang peramah, ada yang rajin, ada yang mengelat. Apa pun sikap dan sifat mereka, saya diberi tanggung jawab untuk mendidik. Bukan hanya pada ilmu Matematik, tetapi juga segala yang bisa merentas kurikulum yang ada. 

Semakin lama menjadi guru, semakin saya menyayangi tugas ini. Semakin saya mahu memesrai pelajar-pelajar saya lebih daripada waktu yang ada. Saya bukanlah guru yang baik. Ada waktunya saya dibelit juga dengan kemalasan, dan meminta mereka menyiapkan kerja sendiri. Mereka akur dan patuh walaupun ada waktu-waktunya, mereka hanya berbual-bual kosong. 

Maafkan cikgu, anak-anak. Cikgu sungguh menyayangi kamu seikhlas hati. Cikgu tahu banyak kekurangan pada diri cikgu selama mendidik kamu, tetapi kamu tidak pernah merungut. Maafkan segala itu dan terima kasih kerana memberi warna-warna yang pelbagai dalam lembaran hidup cikgu sebagai guru.

Doa cikgu tidak akan pernah padam buat kamu. Semoga Allah memberi segala yang terbaik buat kamu semua di dunia dan di akhirat.

Teruskanlah perjuangan. Selagi hidup di bumi Tuhan, kita tidak boleh berhenti berjuang.