Monday, November 07, 2016

Tamparan

Panggggg!

Satu tamparan dari tangan kasar seorang guru lelaki hinggap di pipi saya pada malam itu. Malam yang menjadi sejarah kelabu dalam perjalanan hidup saya di MRSM Kuala Terengganu. Hanya dua hari sebelum SPM berlangsung.

Kisahnya, kami semua sedang berkumpul dalam sebuah kelas di bangunan akademik itu. Tujuan asal ingin mengulangkaji untuk SPM yang akan tiba lusa. Kami sudah berada di kelas itu sejak jam sembilan lagi. Entah kerana apa, beberapa orang pelajar lelaki dari kelas sebelah datang ke kelas kami memaklumkan beberapa perkara. Saya lupa apa yang diberitahu mereka, tetapi salah seorang daripada mereka tiba-tiba menjerit sekuat hati. Jeritan yang sungguh luar biasa.

Jeritan kuat itu mengejutkan guru (warden) yang sedang meronda malam itu. Apabila guru itu menapak ke arah kelas kami, pelajar-pelajar lelaki itu menghilangkan diri entah ke mana. Yang tinggal hanya saya dan beberapa orang rakan perempuan.

"Siapa yang menjerit tadi?"

Soal guru lelaki itu dengan nada marah menengking.

Saya dan rakan-rakan saling berpandangan. Guru itu mengulang soalan tetapi kami ketakutan untuk menjawab.

"Kamu berdua, cepat datang ke bilik saya!" Arahnya kepada saya dan rakan saya yang seorang lagi. Terus guru itu berlalu ke biliknya dengan harapan kami turut mengekor.

"Macam mana ni? Aku takutlah!"

"Aku pun takut...." Jawab rakan saya.

"Tapi cikgu panggil kita. Kita kena pergi!"

"Aku takut! Aku tak mau pergi!" Rakan saya itu mengelak. Dia lantas mengajak saya ke dewan makan untuk minum malam. Saya akur walaupun serba salah.

Usai makan di dewan makan, kami berpatah semula ke kelas untuk mengambil buku-buku dan alat tulis yang kami tinggalkan di sana. Jam sudah menghampiri 10.30 malam. Kami sudah boleh balik ke asrama.

Setiba di tangga bangunan, kami terserempak dengan guru itu. Dia lantas memanggil saya.

"Kamu! Ke sini!" Lantang dan kuat dia menjerkah. Saya yang lurus bendul mendekatinya, rakan saya yang seorang lagi itu hanya berdiam di situ.

Ketika itulah saya menerima tamparan hebat itu. Saya menangis serta merta. Guru itu terus memarahi saya tanpa belas.

"Kan aku panggil kamu berdua tadi! Macam beruk aku menunggu dalam bilik tu. Kenapa tak datang?"

Marah benar dia. Saya yang teresak-esak, cuba menjawab tetapi entah apa butir kata saya yang keluar, saya sudah pun lupa.

Ketika inilah pelajar-pelajar lelaki tadi datang semula, memaklumkan yang saya tidak bersalah apa-apa dan mereka menjelaskan keadaan sebenar. Kami semua masuk ke bilik guru itu, mendengar lagi bebelannya, dan pelajar-pelajar lelaki itu bersedia dihukum.

Saya terus pulang ke asrama dengan perasaan yang amat sedih. 

Sudah dua puluh tujuh tahun peristiwa itu berlalu, pun ia kekal sebagai kenangan yang tidak terpadam. Mungkin saya perlu berterima kasih kepada guru itu kerana memberi saya pengalaman tamparan sekuat itu di pipi mulus saya yang masih belum pernah disentuh siapa-siapa. Ayah dan emak saya pun tidak pernah menampar pipi ini, hanya ciuman kasih sayang yang tulus ikhlas dari mereka.

Apa pun, yang terjadi tetap terjadi. Saya tidak berdendam. Guru itu terlalu baran dan gagal mengawal perasaan. Saya pula berada di tempat yang salah pada waktu yang salah. Hikmahnya hanya Allah jua yang tahu.
 

No comments:

Post a Comment