Saturday, April 29, 2017

Hujah

Semalam, ketika berlegar-legar di ruang Facebook, saya terpandang satu post daripada seorang doktor muda yang meminta supaya memboikot Asiah Abd Jalil, yang dilabelnya sebagai liberal dan sekutu Syiah. Kata doktor itu, Asiah Abd Jalil sangat bahaya kerana penampilannya yang berjubah dan bertudung labuh boleh mengelirukan ramai orang dengan pemikiran yang tidak selari dengan pakaiannya.

Marah benar nadanya.

Saya tahu, bukan doktor itu sahaja yang berasa terancam dan bimbang dengan Asiah tetapi ramai lagi yang mahu Asiah berhenti menulis dan bertaubat. Seperti biasa, tidak dapat tidak, suaminya juga turut diheret sama dalam kes ini dengan tuduhan dayus dan tidak pandai mendidik isteri. Orang kita begitulah. Tidak pernah kenal pun suaminya, tetapi menuduh tanpa rasa bersalah.

Wahai sahabat seagamaku, orang-orang seperti Asiah ini sebenarnya tidak tergugat sedikit pun dengan ancaman kalian. Hujah yang dibawanya (tidak kiralah sama ada hujah itu kuat atau lemah, ia masih dipanggil hujah) tetap tidak dibalas dengan baik. Saya mengikuti Facebooknya sudah bertahun-tahun, sejak sebelum dia dikenali dengan ke sebegini lagi. Waktu itu saya kagum dengan banyak sisi pandangannya yang berbeza daripada arus perdana. Pemikirannya bagi saya boleh diambil sebagai penanda aras untuk para agamawan lebih ke hadapan dalam berhujah. Saya bukan menyokong keseluruhan ideanya, tetapi ada ruang untuk kita mengambil idea-idea itu untuk dibahas dan diberi pencerahan. Bukan dihentam, diboikot, dimarah-marah.

Saya ini jahil adanya. Tidak berilmu. Kerana itu saya mencari-cari. Apa yang saya dapat daripada Asiah Abd Jalil memberi saya rasa ingin tahu dan mengharap ada agamawan yang boleh mencerahkan. Malang, ia tidak begitu. Nada yang saya temui di ruang komen hanyalah emosi dan amarah. Begitu rupanya cara dakwah di sini. Langsung tidak mampu memberi jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan.

Terlintas juga di hati, adakah Islam ini hanya menerima semberono tanpa perlu mencari hujah di sebaliknya? Lalu apabila ada yang mempersoal tentang isu-isu sensitif tiada jawapan yang boleh diberi, selain marah dan mohon bertaubat. Saya jadi tidak enak dan tidak puas. Saya mahu hujah yang boleh mematahkan apa-apa yang tidak sesuai daripada golongan ini tetapi agamawan yang ada bagai kaku dan kelu. Lalu salahkah jika nanti saya terpengaruh dan menyokong Asiah?

Mungkin saya tidak begitu. Cuma pada saya, Asiah bukanlah satu ancaman sebaliknya dia menjadi pembuka ruang untuk para agamawan kita lebih jauh merenung ke hadapan dan menelaah lebih lagi agar segala persoalan ummah masa kini boleh dijawab dan ditangani penuh hemah. Penuh hikmah. Tanpa emosi. Agar Islam terlihat sebagai agama orang-orang yang bijaksana. Bukan mengikut membabi buta.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, April 28, 2017

Kenangan


Gambar ini berusia 12 tahun. Adik bongsu saya Zahidah yang baru tingkatan 3, di sisi Aziah yang meriba Kak Yong, dan emak memerhati dengan kegembiraan. Ia diambil dengan kamera Canon Digital yang baru sahaja saya beli. Tarikhnya sekitar Oktober 2005.

Lokasinya, di dapur rumah saya. Waktu ini rumah saya baru sahaja dihuni. Dan belum ada rumah-rumah lain di sekitarnya. Setiap hari saya membuka luas pintu dapur itu, membiar angin yang nyaman memenuhi ruang. Tenang sekali. Seluas mana pun ia terbuka, tiada mata yang memerhati kerana di belakang rumah itu hanyalah sawah padi. 

Kini ia tidak lagi begitu. Sebelah pagar rumah ini sudah ada rumah lain yang tingkapnya menghala ke dapur kami. Tiada lagi bukaan pintu untuk saya, kerana ruang privasi sudah dicuri.

Dunia dan perubahan, tidak dapat dipisahkan. Entah nanti 12 tahun lagi, perubahan bagaimana pula yang terjadi, biarlah misteri.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Baju

Menjadi guru, tentunya saya memerlukan baju kurung yang banyak. Saya tidak memakai fesyen lain ke sekolah, selain baju kurung pesak potongan tradisional. Ia selesa, sesuai dengan saiz badan saya yang XXL ini. 

Setiap kali sahabat guru membawa kain pasang untuk dijual di sekolah, saya akan sentiasa menjadi sasaran utama. Apa tidaknya, saya memang jarang berpeluang untuk membeli belah kain pasang di kedai-kedai terkemuka. Gulati's, Jakel, Nagoya, Salem Aziz, malah Hasmadi pun hanya sekadar singgah di telinga cuma. Langkah untuk ke sana tidak berapa panjang. Jadi, saya gemar benar membeli kain yang sahabat-sahabat saya bawa.

Jika kain batik Terengganu, Siti Noor sentiasa ada corak terkini dengan harga berpatutan. Jika kain pasang biasa, Mas Adiera tidak pernah jemu membawanya. Lalu apa perlu lagi saya ke kedai?

Tukang jahit saya juga begitu mudah dicapai. Kedainya cuma di tepi jalan dan saya boleh singgah setiap kali pulang dari sekolah. Zaidi, pemilik kedai Pesona Anggun itu baik orangnya. Walau pun ada ketikanya terlambat juga dia menyiapkan tempahan saya, tetapi pada kebanyakan waktu dia menepati masa. Upah pun pada kadar piawai sahaja.

Baru-baru ini dia menegur saya yang kerap benar menempah baju. Sekejap-sekejap hantar lima pasang. Sekejap-sekejap lagi tiga pasang. Malah pernah sampai tujuh pasang sekali hantar.

"Akak ni letak kat mana baju banyak-banyak ni ha? Banyak betul. Ada sampai lima puluh pasang ke baju akak semuanya?"

Agaknya sayalah pelanggannya yang paling banyak menempah baju!

"Ada..." jawab saya bersahaja.

Pada hal, bukanlah lima puluh pasang baju saya semuanya. Sudah hampir seratus!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, April 26, 2017

Pantau

Sejak berminggu-minggu, kami di sekolah ini menyediakan diri untuk pemantauan daripada pasukan Task Force JPN. Mereka dijangka turun ke sekolah-sekolah untuk memeriksa fail-fail, melihat suasana dan juga memantau guru-guru mengajar.

Lalu banyaklah benda-benda diadakan. Keceriaan pun ditingkatkan. Suasana pun kelihatan indah dan nyaman. Guru-guru sibuk menyiapkan segala fail dan dokumentasi, termasuklah saya.

Saya hanya terlibat dengan tiga perkara. Kelab Pengguna, Jadual Ganti dan Analisis Peperiksaan. Rasanya saya tidaklah terlalu tertekan untuk mengemaskini fail-fail berkaitan kerana semuanya lengkap. Semuanya ada dalam komputer saya, tinggal dicetak sahaja dan dimasuk ke dalam fail berkaitan. Semudah itu.

Yang lebih mencabar bagi saya ialah pemantauan di kelas. Katanya, mereka mahu melihat adakah guru-guru benar-benar melaksanakan Pengajaran Abad ke-21.  Pengajaran yang bagi saya di awang-awangan, entah nyata atau khayalan.

Apabila mereka semua bersiap sedia dengan pelbagai bahan PA 21, saya masih termenung. Terasa benar malas dan tidak berdaya memenuhi kehendak yang satu ini. Terasa benar PA 21 bukan untuk saya! Salahkah jika pengajaran saya tidak mengikut kehendak PA 21 tetapi murid-murid saya faham dan mampu menjawab dengan baik? Malah lebih daripada itu, mereka senang dan sayang dengan saya. Bukankah itu lebih daripada memadai? Apa perlu lagi PA 21?

Tetapi begitulah. Saya tidak boleh semudah itu mengambil jalan sendiri. Saya tertakluk kepada banyak perkara biar pun saya tidak suka. Lalu saya berkira-kira juga tentang PA 21 untuk tajuk Geometri Koordinat Tingkatan Empat dan tajuk Fungsi Trigonometri Tingkatan Lima.

Hari yang dinanti pun tiba. Kelas saya bermula jam 8.40 pagi. Waktu itu, pemantau belum tiba. Dalam masa sejam itu saya pun mencubalah PA 21 dengan memberi kertas graf kepada murid-murid yang sudah disusun dalam kumpulan. Mereka melukis satah Cartesan, menanda koordinat dan mencari jarak, titik tengah dan titik pembahagi tembereng garis dalam nisbah m:n. Nampaknya, mereka tetap perlu dipandu dengan banyaknya walaupun hakikatnya saya mahu mereka meneroka sendiri.

Tamat kelas, tiada pemantau pun yang datang melawat kelas saya. Rupanya mereka sudah tiba tetapi sedang menyemak fail-fail di pejabat. Kelas saya yang seterusnya pada jam 10.10 pagi.

Sebaik saya keluar dari bilik saya untuk ke kelas, nampaklah mereka sedang bergerak untuk memantau dan langkah mereka sememangnya ke arah kelas yang sedang saya tuju. Aduhai! Bagaimanakah?

Saya memperlahankan langkah mengekori mereka. Mereka masuk ke kelas 5 IBS yang bersebelahan dengan kelas saya, dan pastinya mereka akan melangkah ke kelas saya pula selepas itu! Sekali lagi, aduhai!

Saya cekalkan hati, menuju juga ke kelas saya. Mata saya menjeling kelibat mereka di kelas 5 IBS itu. Cikgu Rusok sedang mengendali kelas dan mereka, pemantau-pemantau itu, berdiri di belakang. Saya akan sangat kekok jika sayalah cikgu Rusok itu. Sungguh!

5 IBR yang saya tuju itu rupanya kosong tidak berpenghuni. Baru saya teringat, mereka sedang berkelas Kimia di makmal waktu ini dengan cikgu Wan Azman. Pantas saya mendail nombornya dan meminta dia meneruskan eksperimen di makmal dan tidak perlu menyuruh anak-anak itu kembali ke kelas. Saya beri waktu saya percuma sahaja untuk dia. Baik kan saya?

Cikgu Wan Azman setuju. Saya gembira, dan bergerak kembali ke bilik saya. Sempat saya memaklumkan kepada Guru Kanan yang mengiringi pemantau-pemantau itu yang murid-murid saya meneruskan eksperimen di makmal. Pemantau-pemantau itu memasuki juga kelas 5 IBR dan memuji-muji keceriaan kelas mereka. Itu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya tidak dipantau. Allah memberi saya ruang hari ini. Terima kasih.

Begitulah. Selagi mampu, saya akan cuba mencari jalan untuk tidak dipantau!

Saturday, April 22, 2017

Gema

Katalah apa sahaja. Semua orang berhak memberi pandangan.

Dan tentunya saya juga ada pandangan.

Saya suka rancangan ini. Gema Gegar Vaganza. Indah lagu-lagunya. Lirik yang bukan sahaja puitis tetapi penuh menyentuh. Jika Gegar Vaganza pun saya tidak terlepas menonton, apa lagi yang ini.

Katalah apa sahaja. Negatif difikir, negatif lah hasilnya. Saya tidak nafikan sudut-sudut kekurangan yang ada, tetapi bukankah itu sesuatu yang boleh diperbaiki?

Katalah apa sahaja. Saya sudah lali dengan sikap orang kita. Segalanya payah kena.

Saya suka rancangan ini.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, April 20, 2017

Cabang Dua

Pada awalnya, saya dan suami sudah merancang untuk berehat di Cameron Highland pada hujung minggu itu. Cadangnya ke sana pada Jumaat 14hb April dan pulang keesokan hari. Tiada tempahan hotel dibuat, kerana kami akan redah sahaja mana-mana hotel yang sesuai.

Malam Khamis itu, emak menelefon. Katanya, bonda Rafeah menjemput kami ke rumahnya pada Sabtu untuk sedikit jamuan laksa. Bonda Rafeah, atau mesra kami sapa sebagai Mak Ah ialah adik emak yang tinggal di Kampung Cabang Dua, Waeng, Narathiwat. Kebetulan anak-anaknya yang tinggal jauh di Bangkok pulang sempena cuti sekolah di sana, lalu dia mahu mengadakan sedikit majlis makan-makan beserta tahlil pada malamnya. Kami pun dijemput sama.

Saya teruja sebenarnya, tetapi tidak dapat memberi kata putus dek perancangan yang ada. Tentunya saya perlu berbincang dengan suami dahulu. Semasa emak menelefon, suami saya tiada di rumah kerana keluar bermain badminton di sekolahnya. Apabila dia pulang, saya sudah mahu lena.

Esoknya, semasa di sekolah, suami menghantar pesanan WhatsApp memaklumkan sepupunya, Mazlam mengajak suami saya menemaninya ke Alor Setar pada Jumaat esok untuk mengambil kereta yang dibelinya di sana. Dia meminta keputusan saya.

Apa lagi, saya terus menelefon dan memaklumkan boleh sahaja jika dia mahu ke sana, kerana saya mahu mengikut emak ke Cabang Dua pada Sabtu itu. Dan itulah kesudahan perancangan kami untuk hujung minggu kali ini.

Esoknya, usai solat Jumaat, suami saya menghantar saya ke rumah emak dan dia bergerak ke Alor Setar. Saya bermalam semalaman di rumah emak ditemani Aziah dan Muiz.

Sabtu menjelma, kami bertolak ke sana menaiki Proton Exora Husna yang dipandu suaminya, Hawari. Menyertai kami tentunya anak-anak lelaki Husna yang begitu lasak itu. Perjalanan mujurlah dipermudahkan Allah. Tiada sebarang kesulitan menimpa, dan urusan lancar segalanya.

Jam sebelas kami tiba di rumah Ayah Mat. Dalam usia lapan puluh lapan tahun itu, Ayah Mat masih gagah dan melayan kami penuh mesra. Isterinya, yang kami panggil Mak, kelihatan sedikit uzur dan katanya dia sukar tidur malam. Semoga Allah memberi mereka kesihatan yang baik pada hujung usia mereka ini.

Jam dua belas tengah hari, kami bergerak ke rumah Mak Ah. Mereka masih sibuk menyediakan segala masakan untuk jamuan ini. Jam menghampiri dua petang, barulah kami menikmati laksa yang istimewa itu.

Memang sungguh istimewa. Sedap tidak terkata. Kuah Siam yang dua jenis itu sedap-sedap belaka sehingga saya langsung tidak menjamah kuah putih yang sudah terlalu kerap saya rasa. Sebelum pulang pada jam lima petang, saya sempat merasa sekali lagi laksa istimewa itu. 


Ayah Mat. Semoga Allah mengganjari mu pahala yang berganda-ganda atas setiap keprihatinanmu kepada kami.

Tuhan, beri kami peluang untuk berkumpul lagi di sini, dengan lebih meriah dan lebih ramai lagi.
Berehat di rumah Munirah dan Majidah, menikmati bubur jagung sementara menunggu laksa masak.

Nur Fateehah, sepupu yang sudah sepuluh tahun tidak bertemu. Moga nanti kita jumpa lagi ya!

Mak Su Saadiah. Masih jelita dan sihat walau sudah berusia.

Terliurnya setiap kali melihat gambar ini. Memang sedap sungguh!


Saya tiba di rumah pada jam 6.45 petang, dan suami saya pula tiba sejam kemudian. Penat benar rasanya tubuh badan, tetapi hati saya gembira apabila dapat bertemu saudara mara di seberang sana. Tentunya saya menaruh harapan untuk ke sana lagi dalam tempoh terdekat ini. In Shaa Allah.

Monday, April 17, 2017

Aduh!


Demi terbaca ini, hati menjadi terlalu sakit! Beginikah cara dakwah yang mereka semua mahu?

Bertudung (menutup aurat) itu wajib. Semua pun tahu itu. Celupar mulut seperti penulis ini hukumnya bagaimana pula?

Orang kita suka sangat bercerita tentang hukum. Itu dosa. Ini masuk neraka. Seolah-olah itulah dakwah dalam Islam yang sebenarnya. Dalam Islam tiada lain, hanya menghukum. Ah, indahnya!

Apabila seorang wanita itutidak bertudung, maka segala kebaikannya yang lain tidak bermakna lagi. Pada orang kita, hanya tudung penentu syurga neraka. Sekian.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, April 14, 2017

Hari Minggu

Saya selalu mengharapkan hari minggu yang sangat santai. Hari minggu yang hanya untuk saya. Yang "ikut suka saya nak buat apa!"

Tetapi ia tidak pernah muncul.

Teringatlah kembali kenangan di universiti dahulu. Sabtu dan Ahad seringnya menjadi kepunyaan saya sungguh-sungguh, terutama pada tahun akhir pengajian. Usai Subuh tidur saya bersambung hingga jam sebelas. Sarapan saya disekalikan dengan makan tengah hari, yang juga satu langkah penjimatan. Saya ke sana ke mari sesuka hati, menonton TV, mendengar radio. Membasuh kain baju juga tidak melelahkan kerana ia boleh dibuat pada masa yang saya suka. Ya, "ikut suka saya nak buat apa!"

Kini, tidak lagi ia berlaku begitu. Hari minggu pun saya perlu jadualkan kerja. Pagi menguruskan rumah, kemudian keluar berbelanja di kedai. Tengah hari memasak. Mengemas dapur. Membasuh kain baju. Semuanya perlu disusun pada hari minggu. Terasa singkat benar dua hari itu.

Sedang pada hari bekerja, saya sudah tidak mampu melakukan kerja rumah dek penat dan letih. Sebaik kaki melangkah ke pintu rumah sekitar jam tiga setiap hari - kerap juga menjangkau ke empat atau lima petang - apa yang terbayang di fikiran hanyalah rehat. Saya mahu merebahkan diri di katil, tidur sepuasnya. Biar bakul kain melimpah. Biar beranda rumah bersepah. Saya enggan peduli. Fizikal saya sudah penat. Mental pun juga.

Apabila cuti sekolah menjelma, ada pelbagai agenda pula yang diatur. Ke bank, ke pasar raya, ke kenduri, dan entah ke mana lagi. Sukar sungguh rupanya mencari sehari untuk diri saya sendiri.

Apa pun, Alhamdulillah. Saya tetap mensyukuri setiap apa yang saya lalui. Letihkah, penatkah, semua itu tetap ada ganjaran di sisi Tuhan. Mudah-mudahan. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, April 08, 2017

Rawatan

Isnin 3 April. Saya membawa diri ke klinik kesihatan Perol sebaik tamat waktu persekolahan. Sekitar jam 3.00 petang, saya sampai. 

Orang tidaklah ramai mana. Saya pun cuma mahu buat check up dan sambung ubat darah tinggi sahaja. Harap-harap tidak lama.

Nombor yang diterima, 1086. Seperti biasa, tempat pertama dilalui ialah kaunter pemeriksaan tekanan darah. Di sekolah tadi saya sudah menguji dengan alat ujian Omron milik saya yang sengaja saya letakkan di sekolah untuk kegunaan sendiri. Bacaannya agak tinggi. 148/94. Mungkin saya agak stress hari ini menguruskan pelbagai perkara.

Bacaan di klinik ini pun hampir sama juga, 142/93. Saya kemudian diarahkan menunggu di bilik 2.

Masih ada pesakit dalam bilik itu. Lama juga doktor ini memeriksa, lebih sepuluh minit baru pesakit itu keluar dan giliran saya tiba.

Belum sempat nombor giliran saya dipanggil, seorang jururawat masuk ke bilik doktor dan meminta agar seorang pakcik yang sudah berusia dirawat terlebih dahulu.

Tak mengapalah. Saya beri laluan. Badan saya sudah penat sebenarnya tetapi saya tetap bersabar. Tenangkan hati. Teruskan menunggu.

Lama juga doktor merawat pakcik itu. Saya sudah kebosanan. Tiba-tiba apabila pakcik itu keluar, dan nombor saya dipanggil, seorang pesakit lain pula memotong giliran saya. Ah!

Rupanya dia cuma meminta surat MC kerana rawatannya sudah diselesaikan oleh MA di bilik sebelah. Mujur tidak lama.

Doktor mula membaca kad rawatan saya. Katanya tekanan darah saya agak tinggi. Dia melihat bacaan gula saya yang tertera di slip ujian darah saya beberapa bulan lepas. Katanya gula saya juga merisaukan kerana sudah di sempadan normal.

Keputusannya, dia mahu saya melakukan ujian kencing manis dengan meminum air gula untuk memastikan saya mengidap diabetes atau tidak. Tarikhnya, 2 Mei nanti.

Saya tenang-tenang sahaja dan berdoa semoga segalanya baik-baik sahaja nanti.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, April 06, 2017

PIBG

Setiba di sekolah, terus menghadap komputer. Bukan setakat jadual ganti hari ini, saya juga perlu selesaikan buku program untuk majlis Ahad nanti.

Sedondon kami berpakaian demi PIBG petang ini. Saya cuma AJK Sijil. Tetap dan berpencen.

Makan tengah hari nasi bungkus RM5.00.

Memberi

Azam saya untuk terus-terusan memberi tanpa mahu berhenti. Itu yang saya tanamkan dalam hati sejak usia diri semakin bertambah ini. Saya mahu memberi. Memberi. Balasannya biar tiada di sini, kerana saya mahu di sana nanti saya tidak rugi.

"Ti, kalau saya nak pakai hotspot Ti boleh tak? Bagi password..."

"Ok."

"Ti, tolong tempah barang ni kat Lazada. Saya tak tau nak buat sendiri. Lagi pun tak ada kad kredit.."

"Ok."

"Ti, nak minta tolong print kan boarding pass saya dan anak-anak. Kami nak bercuti ke Sabah."

"Ok."

"Ti, bayarkan bil ni kejap. Tak sempat nak pergi bank."

"Ok."

Dan macam-macam lagi.

Ada waktu-waktunya saya terasa penat melayan karenah mereka, tetapi apabila teringat azam diri mahu sentiasa memberi, saya cuba lupakan semua itu. Saya masih mahu terus memberi. Saya tidak punya upaya lain untuk memberi selain perkara-perkara yang mereka minta itulah.

Dua hari lepas, seorang pentadbir datang meminta saya mencetak markah pelajarnya dari SAPS. Saya layankan juga. Dia bertanya,

"Ti pakai internet sendiri?"

"Ya."

"Printer dan dakwat sendiri?"

"Ya."

"Laptop sendiri?"

"Ya."

"Eh, kenapa begitu?"

Saya jelaskan, saya tidak mahu kerja saya tertunda jika menggunakan kemudahan yang disedia pihak sekolah, yang sekejap ada sekejap tiada.

Dia tidak memberi apa-apa respon. Hanya senyum dan pergi.

Saya pun tidak mengharap apa-apa dari manusia. Biar Allah menghakimi.

Wednesday, April 05, 2017

1986

Pantai Merang, Setiu.

Homeroom C2. Aini, Ja, Elin, Liza, Nik, Yati.

Yati, Dahlia, Fina, Elin
Gambar-gambar lama ini, tiada dalam simpanan saya. Pun ada yang sudi mengongsinya di dalam kumpulan WhatsApp. Menatap dan menilik, menjemput semula rindu yang telah hilang.

1986. Saya dalam Tingkatan Dua Al-Kindi di MRSM Kuala Terengganu.

Gambar 1 dan 2 ialah sewaktu kami berkelah di Pantai Merang, Setiu. Waktu itu pantai ini belum dimajukan sebagai tempat pelancongan. Ia cuma pantai nelayan di sebuah kampung terpencil. Perkelahan ini diatur oleh guru penasihat homeroom kami, Pn. Zuraida dan Pn. Rohani. 

Masa bertolak, kami diminta memakai t-shirt dan seluar trek kerana kami akan bermandi-manda di sana. Selesai mandi dan mahu pulang baru kami bersalin pakaian, memakai baju kurung pula. Saya memang sentiasa cuai. Sewaktu berpakaian t-shirt itu, kami bertudung ikat belakang sahaja. Apabila bersalin pakaian baru saya sedar saya tidak membawa tudung tiga segi untuk dipadan dengan baju kurung. Maka saya teruskan memakai tudung topi keledar itu. Saya seorang sahaja yang terlupa membawa tudung tiga segi, tetapi seperti biasa saya selamba sahaja. 

Gambar 3 diambil pada waktu petang, sekitar jam 5.30 iaitu waktu saya dan rakan-rakan baik saya gemar bersiar-siar sekitar kawasan maktab. Pada awal Tingkatan Dua itu saya masih belum ada rakan-rakan baik ini. Setiap petang saya akan penuhi dengan tidur sahaja di asrama. Tetapi apabila Elin mendekati saya, dia selalu mengajak saya berjalan-jalan setiap petang. Katanya, lagi best dari tidur. Jadi setiap petang selepas Asar, kami berlima - saya, Elin, Fina, Dahlia dan Fidah - akan keluar berjalan-jalan. Kami menamakan kumpulan kami, Sehati Sejiwa. 

Begitu kenangan yang ada, indah dan membahagiakan.

Tuesday, April 04, 2017

Bukit Keluang

Kadang-kadang saya terfikir, perlu apa Hari Keluarga diadakan setiap tahun? Tidak bolehkan dijarakkan sekadar dua tahun sekali? Tetapi mungkin fikiran yang begitu hanya wujud dalam diri seorang saya. Mereka yang lain menggemari acara sebegini kerana mereka berpeluang untuk bersantai dan membawa anak-anak bermain-main di kolam.

Kenapa saya berfikir begitu?

Kerana ahli keluarga saya cuma saya dan suami. Tentunya saya lebih gembira jika hujung minggu yang singkat ini diberi ruang untuk saya mengurus perkara-perkara lain di rumah. Bukankah?

Mungkin ia hanya alasan untuk saya tidak beramai-ramai dalam kumpulan yang saya tidak biasa. Entahlah.

Petang Jumaat itu kami bergerak ke Bukit Keluang Beach Resort untuk acara Hari Keluarga SMK Kadok. Setiba di sana, saya berbual-bual dengan rakan-rakan guru SMK Kadok di tepi kolam sambil menyaksikan anak-anak bermandian. Menjelang Maghrib, kami beredar ke bilik. Selepas Isyak, kami sama-sama menikmati barbecue di dewan makan.

Esoknya, selepas sarapan kami bersegera untuk pulang. Hujan renyai-renyai membasahi bumi pada pagi ini menambah dingin dan kebekuan. Mungkin cuaca sebegini menggamit kami untuk segera beredar sebelum sempat bersukaneka dan makan tengah hari.

Begitulah.

Dan saya menanti lagi untuk acara sebegini pada tahun depan pula, jika masih ada usia. Menanti tanpa keterujaan.