Wednesday, April 26, 2017

Pantau

Sejak berminggu-minggu, kami di sekolah ini menyediakan diri untuk pemantauan daripada pasukan Task Force JPN. Mereka dijangka turun ke sekolah-sekolah untuk memeriksa fail-fail, melihat suasana dan juga memantau guru-guru mengajar.

Lalu banyaklah benda-benda diadakan. Keceriaan pun ditingkatkan. Suasana pun kelihatan indah dan nyaman. Guru-guru sibuk menyiapkan segala fail dan dokumentasi, termasuklah saya.

Saya hanya terlibat dengan tiga perkara. Kelab Pengguna, Jadual Ganti dan Analisis Peperiksaan. Rasanya saya tidaklah terlalu tertekan untuk mengemaskini fail-fail berkaitan kerana semuanya lengkap. Semuanya ada dalam komputer saya, tinggal dicetak sahaja dan dimasuk ke dalam fail berkaitan. Semudah itu.

Yang lebih mencabar bagi saya ialah pemantauan di kelas. Katanya, mereka mahu melihat adakah guru-guru benar-benar melaksanakan Pengajaran Abad ke-21.  Pengajaran yang bagi saya di awang-awangan, entah nyata atau khayalan.

Apabila mereka semua bersiap sedia dengan pelbagai bahan PA 21, saya masih termenung. Terasa benar malas dan tidak berdaya memenuhi kehendak yang satu ini. Terasa benar PA 21 bukan untuk saya! Salahkah jika pengajaran saya tidak mengikut kehendak PA 21 tetapi murid-murid saya faham dan mampu menjawab dengan baik? Malah lebih daripada itu, mereka senang dan sayang dengan saya. Bukankah itu lebih daripada memadai? Apa perlu lagi PA 21?

Tetapi begitulah. Saya tidak boleh semudah itu mengambil jalan sendiri. Saya tertakluk kepada banyak perkara biar pun saya tidak suka. Lalu saya berkira-kira juga tentang PA 21 untuk tajuk Geometri Koordinat Tingkatan Empat dan tajuk Fungsi Trigonometri Tingkatan Lima.

Hari yang dinanti pun tiba. Kelas saya bermula jam 8.40 pagi. Waktu itu, pemantau belum tiba. Dalam masa sejam itu saya pun mencubalah PA 21 dengan memberi kertas graf kepada murid-murid yang sudah disusun dalam kumpulan. Mereka melukis satah Cartesan, menanda koordinat dan mencari jarak, titik tengah dan titik pembahagi tembereng garis dalam nisbah m:n. Nampaknya, mereka tetap perlu dipandu dengan banyaknya walaupun hakikatnya saya mahu mereka meneroka sendiri.

Tamat kelas, tiada pemantau pun yang datang melawat kelas saya. Rupanya mereka sudah tiba tetapi sedang menyemak fail-fail di pejabat. Kelas saya yang seterusnya pada jam 10.10 pagi.

Sebaik saya keluar dari bilik saya untuk ke kelas, nampaklah mereka sedang bergerak untuk memantau dan langkah mereka sememangnya ke arah kelas yang sedang saya tuju. Aduhai! Bagaimanakah?

Saya memperlahankan langkah mengekori mereka. Mereka masuk ke kelas 5 IBS yang bersebelahan dengan kelas saya, dan pastinya mereka akan melangkah ke kelas saya pula selepas itu! Sekali lagi, aduhai!

Saya cekalkan hati, menuju juga ke kelas saya. Mata saya menjeling kelibat mereka di kelas 5 IBS itu. Cikgu Rusok sedang mengendali kelas dan mereka, pemantau-pemantau itu, berdiri di belakang. Saya akan sangat kekok jika sayalah cikgu Rusok itu. Sungguh!

5 IBR yang saya tuju itu rupanya kosong tidak berpenghuni. Baru saya teringat, mereka sedang berkelas Kimia di makmal waktu ini dengan cikgu Wan Azman. Pantas saya mendail nombornya dan meminta dia meneruskan eksperimen di makmal dan tidak perlu menyuruh anak-anak itu kembali ke kelas. Saya beri waktu saya percuma sahaja untuk dia. Baik kan saya?

Cikgu Wan Azman setuju. Saya gembira, dan bergerak kembali ke bilik saya. Sempat saya memaklumkan kepada Guru Kanan yang mengiringi pemantau-pemantau itu yang murid-murid saya meneruskan eksperimen di makmal. Pemantau-pemantau itu memasuki juga kelas 5 IBR dan memuji-muji keceriaan kelas mereka. Itu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya tidak dipantau. Allah memberi saya ruang hari ini. Terima kasih.

Begitulah. Selagi mampu, saya akan cuba mencari jalan untuk tidak dipantau!

No comments:

Post a Comment