Monday, June 24, 2019
Friday, June 21, 2019
Diari Diri
Suami saya ada tugas di Kuantan pada Rabu, 19hb Jun, dan akan berada di sana sehingga Jumaat. Jadi saya akan berada di rumah emak selama tiga hari dua malam. Tentulah saya sangat seronok!
Rabu itu, suami saya masih sempat menghantar saya ke sekolah kerana dia hanya akan bertolak pada jam 10 pagi bersama tiga lagi rakan guru SMK Kadok. Nanti pulang baru saya perlu pulang sendiri. Tidak susah untuk masa sekarang kerana saya boleh memanggil Grab. Jam dua petang Grab sudah menanti saya dan terus saya dihantar ke rumah emak. Senang sungguh.
Emak memasak rupanya, pada hal saya boleh sahaja memasak sendiri. Sayang emak! Asam pedas ikan dan sayur goreng serta petai jeruk tentu memenuhi selera saya. Bertambah-tambah saya makan. Untuk esok, saya minta emak jangan memasak. Saya akan bawa pulang nasi. Kebetulan ada rakan guru membuka tempahan nasi arab, jadi saya tidak melepaskan peluang menempah juga.
Pagi Khamis itu, saya memanggil Grab tetapi dek masih terlalu pagi - baru 6.30 - Grab masih tiada di kawasan saya. Sudahnya saya menumpang sahabat saya Pn. Hjh. Siti Meriam yang tinggal di Tunjung. Lewatlah sedikit saya hari ini, jam 7.30 baru sampai. Tetapi saya masih sempat menyediakan jadual relief pada masanya. Alhamdulillah.
Tengah hari ini saya pulang agak awal. Jam 1.30 saya sudah memanggil Grab dan tiba di rumah emak lebih kurang sepuluh minit kemudian. Maafkanlah, hari ini saya menyelinap keluar sahaja tanpa memohon izin. Makan tengah hari tentulah nasi arab yang saya beli itu. Sedap. Nanti boleh tempah lagi. Saya juga membeli popia pisang dari Kak Sham yang kali pertama saya cuba. Boleh tahan rasanya.
Walaupun hanya berdua dengan emak di rumah, saya tidak sunyi, tidak bosan. Saya gembira dan bahagia. Jika lama pun tidak mengapa berada di rumah ini. Hati saya senang dan tenang.
Jumaat tiba, sempatlah saya bertemu anak-anak saudara dan adik-adik. Sekejap sahaja pun, kerana suami saya sudah selamat pulang dan menjemput saya pada jam 4. Sempatlah saya membelanja KFC dan Pizza Hut untuk anak-anak saudara saya yang sentiasa berselera ini. Entah bilalah pula kesempatan begini akan tiba.
Sekian dahulu catatan diari untuk kali ini.
Niaga
Sampai sekarang, saya tidak mampu mengajak hati saya untuk minat berniaga. Tiada langsung perasaan itu walau sedikit. Apa yang saya minat ialah membeli belah.
Tahukah anda kenapa orang suka berniaga? Tentulah kerana adanya orang yang suka membeli belah seperti saya ini. Kalau tiada pembeli, siapa pun tak akan berniaga, bukan?
Di sekolah saya, semalam sahaja ada berbagai-bagai barang dagangan. Ada popia pisang, ada nasi arab, ada nenas, ada macam-macam. Saya seronok kerana saya boleh membeli semuanya tanpa perlu ke kedai. Nasi arab dan popia pisang memang terbaik, nenas pula manis melenting. Berbaloi-baloi rasanya.
Mereka yang berniaga menjana untung, kami yang membeli menjimat masa. Bukankah masing-masing beroleh kemenangan?
Teruskanlah berniaga begini wahai sahabat, kerana saya seronok menjadi pembeli.
Thursday, June 20, 2019
Rumah
Semalam, suami saya berpergian atas urusan tugas dan saya akan berada di rumah ma selama dua malam. Tentulah saya seronok dan bahagia bila ada peluang seperti ini. Sesekali ditinggal begini, saya seumpama diberi ruang untuk melayan diri sendiri.
Lain rasanya suasana di rumah ma ini. Walaupun hanya berdua, saya menikmati ketenangannya. Rumah ini memang nostalgik buat saya kerana saya memang tertunggu-tunggu untuk mendiami rumah ini dahulu. Waktu ia dibina, saya cukup seronok datang dari rumah sewa kami dengan mengayuh basikal untuk melihat kemajuan pembinaannya. Daripada hanya ada lantai, bumbung, kemudian dinding, seterusnya tingkap hinggalah ia siap sembilan puluh lima peratus pada Disember 1984, kami pun berpindah masuk.
Masih terasa keterujaan saya mendiami rumah baru ini. Walaupun tangga belum siap - hanya menggunakan tangga kayu sementara - juga tempat mandi yang masih belum bersimen dan tiada bumbung, kami gembira sungguh. Betapa bangganya dapat menghuni rumah sendiri hasil titik peluh ayah mencari wang tanpa pinjaman. Walaupun saya baru berusia dua belas tahun waktu itu, saya faham perasaan ayah dan ma yang mahu menyediakan kediaman terbaik buat kami. Terima kasih ayah, terima kasih ma.
Bermalam di rumah ini, menerbitkan rasa sayu yang luar biasa. Terasa sayang benar pada rumah pusaka ini dan jika boleh, sampai bila-bila pun saya mahu ia bertahan di sini, tanpa perlu diroboh atau ditukar fungsinya. Sayang saya pada rumah ini sememangnya asli dan sejati.
Esok, suami saya pulang dan saya akan kembali ke rumah kami di Chenok. Rumah itu lambang cinta kami suami isteri, manakala rumah ma pula lambang keharmonian jiwa kami sekeluarga.
Wednesday, June 19, 2019
Padah?
18 Jun 2019.
1.20 pm.
5 Ibnu Haitam.
25 orang murid.
Saya tiba-tiba berasa mahu menyemak buku latihan murid-murid kelas ini. Dua hari lepas saya mulakan tajuk Kecerunan dan Luas di Bawah Graf dan memberi mereka dua soalan sebagai latihan di rumah. Sebelum membincangkan penyelesaiannya, saya mahu lihat dahulu setakat mana mereka mampu mencuba.
Malangnya, saya sangat kecewa. Hanya tiga orang yang mencuba, selebihnya tidak langsung menyalin. Malah ada yang tidak membawa buku latihan pun!
Kecewa saya itu sebenarnya tidak molek untuk dilayan, kerana saya perlu bertindak profesional sejajar dengan pengalaman saya. Sepatutnya saya perlu menegur sahaja mereka dengan sedikit nada tegas, dan kemudian meneruskan pengajaran.
Tetapi kali ini saya rasa mereka perlu diajar dengan gaya berbeza. Saya tidak membebel, tidak berleter, tidak juga marah-marah. Saya cuma berkata; jika beginilah sikap kamu, nampaknya tidak perlulah saya mengajar. Teruskanlah kamu belajar sendiri, kerana apa yang saya ajar kamu tak pernah ambil kisah. Saya ada atau tiada, sama sahaja. Mulai hari ini kamu belajarlah sendiri. Terima kasih.
Saya pun berlalu.
Saya tahu akan ada yang datang mencari saya di bilik, jadi saya bersembunyi di tempat yang strategik; mereka tidak nampak saya tetapi saya boleh mendengar suara mereka.
Betul, beberapa orang dari mereka datang ke bilik peperiksaan dan bertanya cikgu di situ, cikgu Noorhayati ada?
Tiada.
Mereka mahu meminta maaf, tetapi saya tiada.
19 Jun 2019.
1.10 pm.
Saya arahkan mereka ke perpustakaan sewaktu kelas saya dan belajar sendiri tanpa saya.
Tidak lama, seorang pelajar lelaki - Najmi - datang mencari saya. Saya lupa untuk bersembunyi, jadi berbicaralah kami. Dia meminta agar saya kembali mengajar seperti biasa di kelasnya kerana dia tidak boleh belajar sendiri, tetapi saya kata saya tidak mahu. Guru lain akan menggantikan saya apabila jadual baru dikuatkuasa nanti.
Kemudian datang lagi beberapa orang pelajar perempuan memohon maaf dan meminta saya kembali mengajar. Tidak, kata saya.
Cikgu marah kami? Kami minta maaf...
Tak cikgu tak marah. Cikgu ok sahaja, cuma cikgu nak bagi peluang kamu belajar dengan lebih baik. Mungkin dengan cikgu lain nanti kamu lebih seronok.
Mereka sedih dengan kata-kata saya. Ada yang menangis. Saya terus berdrama; meminta mereka kuatkan semangat, tingkatkan usaha dan jangan putus asa walau apa pun yang berlaku.
Seterusnya, saya mohon diri dan pulang.
Esok entah bagaimana, saya menanti episod seterusnya.
Sunday, June 16, 2019
Jamuan Pengantin Baru
Sabtu semalam, saya dan suami menjemput pengantin baru Syahiran dan Izzatiey untuk makan malam di rumah kami. Selain mereka berdua kami turut menjemput semua ahli keluarganya yang lain termasuk mek dan ma saya. Semuanya lapan orang tetamu.
Asalnya saya mahu menyediakan sup tulang sebagai lauk utama tetapi suami saya yang keluar selepas Subuh lagi berkata puas dia pusing jalan sana sini tetapi tiada yang menjual hari ini. Saya lalu menukar menu kepada tom yam campur.
Memasak sememangnya bukan kegemaran saya, tetapi memandangkan hari ini Sabtu dan saya tidak ke mana-mana, saya gagahkan diri menyediakan semuanya sendirian. Mujur makan tengah hari suami saya beli di kedai, jadi tidaklah perlu saya memikirkan itu.
Selain tom yam campur, saya sediakan juga daging goreng, ikan bawal kicap, telur dadar dan sayur campur. Jam 12.00 tengah hari acara saya bermula. Lauk pertama yang siap ialah daging goreng, diikuti tom yam, ikan bawal kicap, sayur campur dan terakhirnya telur dadar. Air minuman cuma teh o suam dan oren sunquick. Jam 9.00 malam semuanya selesai, Alhamdulillah.
Sebenarnya, saya tidak boleh lama-lama di dapur. Dapur saya panas sungguh dan saya pula kuat berpeluh. Selepas dua puluh ke tiga puluh minit di dapur, saya akan masuk ke bilik untuk berehat selama sejam! Begitulah sehingga semuanya selesai. Memang lambatlah siap tetapi saya tidak boleh mengelak lagi, saya mesti sejukkan badan berkali-kali supaya lebih tenang semasa memasak.
Jam 9.30 malam semua tetamu sampai dan menikmati masakan saya. Entah enak entah tidak, saya tidak tahu. Semoga semuanya kenyang dan bahagia.
Jam menghampiri 11 malam barulah selesai semuanya. Tiada gambar diambil kerana lupa.
Apa pun, selamat pengantin baru buat Dr. Mohd Syahiran Sulaiman dan pasangannya, Dr. Nur Izzatiey Amerah Aziz. Semoga rumah tangga yang dibina kekal bahagia sampai syurga. Amin.
Saturday, June 15, 2019
Kisah Punch Card
Selamat kembali bekerja, sahabat. Sembilan belas hari kami di Kelantan bercuti, memang nikmatnya tidak terkata namun jauh di sudut hati ada juga rasa rindu untuk kembali bekerja. Sungguh!
Lalu pagi Isnin itu, Syawal baru melangkah ke hari yang keenam, kami pula mula melangkah ke sekolah.
Seronok, dan rindu pun terubat. Tetapi ada kisah yang sedikit tidak enak.
Seorang rakan guru saya - lelaki - mengirim pesanan lewat WhatsApp meminta saya tolong ketipkan kad kedatangannya pada pagi 10 Jun itu. Katanya, dia tidak ke sekolah dan mengambil cuti CRK tetapi cutinya bermula 11Jun selama dua hari, sehingga 12 Jun. Dia mahu menghantar anaknya temuduga di UTM Skudai. Kelasnya dia mahu saya buat relief. Maksudnya, dia tiada di sekolah pada 10 Jun itu tetapi mahu direkod sebagai hadir bertugas. Katanya Pengetua sudah memberi kebenaran.
Saya sedikit cuak. Bolehkah begitu? Mahu bertanya banyak, saya tidak pandai. Saya cuma membalas ok sahaja walaupun hati saya tidak rela.
Dan pagi Isnin 10 Jun itu, saya maklumkan kepada Puan PKP tentang perkara ini kerana khuatir jika berlaku sesuatu yang buruk saya turut terpalit. Puan PKP mengambil maklum dan akan bertindak - saya harap dengan penuh kewajaran. Kad kedatangan rakan saya itu tetap saya ketip kerana itu janji saya padanya.
Semalam, 13 Jun, rakan saya itu kembali bertugas. Sebaik tiba di sekolah, sapaan pertamanya pada saya ialah "Ti, ketip tak kad saya?"
Dia mungkin sudah nampak ketipan saya di kadnya yang tertera jam 7.39 pagi. Memang saya ketip lewat kerana saya sedikit teragak-agak untuk melakukannya. Saya pun menjawab, "ya saya ketip tapi lewat sebab saya lupa."
Seterusnya hari berlalu seperti biasa sehinggalah pada jam 9.30 pagi dia tiba-tiba datang ke tempat saya dan berkata,
"Ti, Kak Han (PKP) tanya saya tadi, kenapa suruh Ti ketip kad hari Isnin baru ni?"
Terkejut saya. Tidak sangka pula saya PKP boleh sejujur itu bertanya. Bukankah dia patut menyembunyikan identiti pengadu iaitu saya? Sepatutnya PKP bertanya begini, "saya tengok kad cikgu diketip hari Isnin baru ni tapi cikgu tiada di sekolah. Kenapa begitu cikgu?" Bukankah itu lebih profesional dan melindungi pengadu?
Pun saya tenang sahaja dan menjawab, "saya kan ketip lewat sebab lupa, masa saya masuk pejabat nak ketip tu PKP ada di situ. Dia nampaklah saya ketip kad cikgu."
Dan jawapan saya itu diterima.
Tidak perlulah saya panjangkan lagi kisah ini. Moralnya yang mahu saya kongsi ialah:
1. Sebagai penjawat awam, integriti perlu diutamakan. Jika perlu cuti panjang melebihi dua hari, bincanglah elok-elok dengan pentadbir. Mereka boleh meluluskan jika memang kita memerlukan. Jangan berbohong seolah kita hadir, sedangkan kelas kita guru lain yang ganti. Tidak adil begitu, malah Allah marah.
2. Menghantar anak tidak salah, tetapi sebagai ibu bapa didiklah anak untuk berdikari. Usia anak sudah lebih 20 tahun tetapi masih dihantar ibu bapa untuk apa tujuan sekali pun rasanya sudah keterlaluan. Anak-anak perlu berdikari dan yakin diri tanpa menyusahkan ibu bapa. Kemudahan awam banyak, boleh sahaja biarkan anak pergi sendiri.
3. Pentadbir perlu bijak menangani masalah atau kes yang timbul. Identiti pengadu perlu dirahsiakan demi kesejahteraan sekolah. Saya hairan kenapalah pentadbir-pentadbir di sekolah saya ini sentiasa membakar perasaan saya. Tidak mampu berfikirkah mereka ini? Lalu mengapa mereka terpilih menjadi pentadbir?
4. Saya bukan mengkhianati rakan yang meminta tolong, tetapi saya bertindak atas landasan kebenaran. Kelemahan saya ialah saya tidak pandai menolak permintaan sesiapa pun walaupun permintaan itu salah. Selepas ini saya mesti berubah dan perlu lebih berani.
Sekian.
Sunday, June 09, 2019
Aqil
Anak kecil ini mengundang rasa yang tidak pernah ada. Sejak dia lahir, sehingga ke hari ini rasa itu selalu membara. Entah rasa yang bagaimana, tidak tahu.
Suci benar wajahnya. Terasa ingin selalu memeluknya tetapi tidak mampu. Terasa ingin bermain-main sambil meneroka dirinya, tapi kesempatan tiada. Terasa mahu memanjainya tanpa batas, tetapi dia jauh.
Rasa yang begitulah.
Rindu. Kasih.
Alhamdulillah, raya ini sempat memesrainya seketika. Aqil anak yang baik, comel dan menghiburkan. Bahagianya rasa dengan anugerah Allah yang tidak terhitung nilainya ini.
Untuk Aqil, Ummi Ti sentiasa menitip doa. Semoga jalan di hadapanmu indah dan bercahaya.
Amin.
Wednesday, June 05, 2019
Suatu Hari Raya
Selamat hari raya saudara dan sahabat yang dikasihi. Alhamdulillah bertemu lagi kita pada usia ini dengan Syawal yang mulia. Semoga Allah panjangkan umur kita sehingga ke Syawal seterusnya.
Bermula pagi ini dengan penuh rasa tenang, saya dan suami turun dari rumah pada jam 7.30 pagi menuju ke rumah orang tua kami di seberang jalan sana. Tidak sampai sepuluh minit perjalanan kami pun tiba, pertama rumah ma dan kedua rumah mek.
Sebentar sahaja kami singgah, sekadar bersalam-salaman kerana kami mahu ke masjid awal. Nanti lepas solat kami datang pula. Jam 7.45 kami pun menuju ke masjid.
Usai solat, kami beraya dengan riang ria di rumah ahli keluarga yang letaknya di sekitar kampung yang sama - Batu 8 - sehinggalah ke jam 12.45 tengah hari. Seterusnya kami bergerak pulang ke istana cinta kami di Chenok.
Tibalah pula tetamu berbondong-bondong, kecil besar tua muda sehingga ke jam 7.00 petang. Saya yang dari tadi hanya makan serba sedikit apa yang ada, mula berasa lapar nasi. Saya perlu sediakan nasi untuk menghilangkan kelaparan ini. Saya menyinggang ikan dan menggoreng daging untuk santapan kami.
Harap-harapnya selepas makan nanti bolehlah saya rehat dan tidur. Tetapi jika masih ada tetamu, akan saya layan juga seikhlas hati.
Monday, June 03, 2019
Pertanyaan
Menjelang raya, akan timbullah isu ini. Isu menjawab pertanyaan makcik-makcik yang sesuka hati memberi soalan yang mereka tahu kita memang tak boleh jawab.
Memang pedih. Menusuk ke jantung hati. Tetapi bukan cara saya untuk mengembalikan kepedihan itu kepada si penanya.
Kenyataannya, orang kita memang suka membuat kesimpulan sendiri tanpa memikir betapa berdurinya kesimpulan itu dan mencucuk jiwa kita yang tidak bersalah ini.
Selepas beberapa bulan bernikah dahulu, saudara saya itu bertanya, "dah ada isi ke?" Saya jawab belum, dan tahu apa kesimpulan yang diberi?
"Sepupu awak tu nikah kemudian dari awak, isteri dia dah mengandung pun. Awak merancang ya? Tak payah rancang-rancanglah. Cepat-cepat mengandung masa muda ni!"
Itu kesimpulan yang sangat tersasar daripada kenyataan, dan saya membalas dengan senyuman manis walaupun hati terhiris.
Beberapa tahun, saya masih tidak mengandung. Adik perempuan saya juga sama, masih menanti. Tahu apa kesimpulan daripada saudara saya itu?
"Eh eh, tak membiak ya keluarga ini," dituju kepada kami adik beradik. Tidak pedihkah hati kami menerima kesimpulan sebegitu? Mana doamu untuk kami wahai makcik?
Lalu dia dengan penuh perasaan bercerita tentang anaknya yang ramai, lahir selang setahun. Berheret berderet setiap kali balik kampung, sampai jiran-jiran pun menegur. Saya hanya mendengar, tawar.
Kerana saya pernah merasa pedihnya disoal sebegitu, saya tidak pernah menanya hal yang sama pada sesiapa pun dalam keluarga saya. Saya tidak perlu bertanya, kerana saya tahu jawapan tiada pada mereka.
Soalan yang sensitif, biarlah kita simpan sahaja. Tentang bila nak kahwin, tentang tambah anak, juga tentang cari kerja, tidak perlulah disebut diungkit. Doakan sahaja yang terbaik untuk mereka. Banyak lagi soalan lain yang sesuai dan lebih manis untuk dikemukakan, malah akan menambah rasa kasih sesama saudara.
Sunday, June 02, 2019
Mengakhiri Ramadan
Dua hari lagi, dia akan pergi. Entah ketemu lagu atau tidak, tiada kutahu, namun sungguh kumahu.
Ramadan, anugerah terindah ini selalu sahaja dibiar begitu, tanpa mahu mengisi ruangnya sebaik mungkin. Saat ia tinggal sedikit baru terasa mahu mengungkit. Alpa sungguh aku ini!
Tuhan, aku masih mahu bertemu lagi dengan Ramadan kurnia-Mu ini. Aku masih mahu lagi, berkali-kali. Engkau izinkanlah wahai Tuhan.
Impianku yang masih belum tercapai, aku mahu menikmati Ramadan di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Doaku pada-Mu Tuhan, Engkau perkenankanlah hasratku ini sebelum Engkau memanggil aku pulang pada-Mu.
Amin.
Saturday, June 01, 2019
Politik Kebencian
Bulan ini, genaplah setahun kerajaan baharu memerintah, genaplah setahun kita semua tiba-tiba sahaja menghirup nafas baharu, dan genaplah setahun kita semua merasa bebas mahu bercakap apa sahaja tentang kerajaan baharu tanpa merasa takut rumah diketuk jam 11 malam.
Bukan itu sahaja, kita sahaja tiba-tiba menjadi cakna dan sangat peduli dengan performance menteri-menteri yang baharu, dan menteri pula menjadi sangat terdesak untuk membuktikan bahawa mereka bekerja dan mereka pula sangat terdesak untuk buktikannya pada rakyat.
Sebab itu selepas setahun, kita lihat sahaja betapa bersepahnya di media sosial dan di dada-dada akhbar menteri-menteri bercakap tentang apa yang mereka cuba lakukan selama setahun mereka mentadbir.
Dan rakyat pun boleh menerima, mengkritik dan menolak.
Namun dalam banyak perkara yang kita tidak sedar dan terlupa untuk hargai ini, ada satu perkara yang juga besar dan bermakna. Hari ini, bagi saya kita sudah punya kerajaan yang takut kepada rakyat dan tidak berani menyalahkan rakyat dalam banyak perkara.
Dan yang paling menarik, rakyat kita pula rakyat yang kuat mengasak.
Adakah kita benar-benar sedang mengalami kesuburan demokrasi?
Saya rasa, ya. Malah di dalam sejarah mana-mana negara pun, kesuburan demokrasi memang memakan masa dan kita sedang berada di landasan yang betul.
Cuma saya sendiri ada banyak perkara yang saya tak faham tentang cara kita menilai menteri-menteri, terutama sekali satu menteri yang sering mendapat perhatian ini, iaitu menteri pendidikan.
Saya tak faham kenapa Siti Kasim setiap pagi dan malam berzikir mahu menggantikan Maszlee ketika 10,948 anak-anak OKU akhirnya hari ini dapat masuk ke sekolah dan mula belajar seperti orang lain.
Saya tak faham kenapa Fa Abdul berwirid setiap bulan mahu menyingkirkan Maszlee ketika 2,635 anak-anak warganegara tanpa dokumen yang selama ini dinafikan hak pendidikan buat mereka hari ini berjaya menyarung pakaian sekolah macam orang lain.
Saya tak faham kenapa Stephen Ng beria membuat petisyen mahu menggantikan Maszlee dengan orang lain ketika dalam masa setahun sahaja hampir 65 peratus (lebih dari 300 buah) sekolah daif telah diperbaiki dan anak-anak di situ tidak lagi belajar di bawah bumbung yang bocor dan lantai yang retak.
Petisyen Stephen Ng itu telah ditandatangani sebanyak 142,994 orang. Cuma dalam masa yang sama, rakyat juga menandatangani petisyen mengekalkan Maszlee sebagai menteri pendidikan dan sehingga hari ini ia telah ditandatangani oleh 308,576 orang.
Dan saya lagi tak faham kenapa Teng Cham Khim dengan kasar sekali menggelar beliau sebagai "si bodoh besar" ketika selepas sebulan sahaja beliau menjadi menteri pendidikan, beliau mengumumkan penambahan 1,000 tempat untuk pelajar Cina, dan untuk tahun ini kali pertama dalam sejarah Malaysia penambahan kuota sebanyak hampir dua kali ganda dilakukan untuk membuka lebih banyak ruang buat pelajar bukan bumiputera masuk ke matrikulasi.
Itu belum lagi kita bayangkan apalah nasib 262 murid yang tercicir dari persekolahan ini sekiranya Program Sifar Murid Cicir tidak dilaksanakan secara agresif, dan apa pula terjadi kepada cikgu-cikgu yang terlibat dalam kemalangan ketika membawa murid menaiki kenderaan sendiri sekiranya Maszlee tidak umumkan inisiatif tanggungan insuran sepenuhnya kepada mereka.
Banyaklah lagi kalau ingin disenaraikan, dan semuanya benar-benar mengelirukan dan menyukarkan saya untuk berfikir sebab kenapa mereka semua tak suka Maszlee?
Entahlah. Kadang-kadang, kita semua bukan terperangkap dalam politik perkauman sebenarnya. Kita hakikatnya sedang terperangkap jauh ke dalam politik yang paling parah, iaitu politik kebencian.
(HAFIZUL FAIZ, penulis buku Surat-surat Dari Maninjau.)
https://www.malaysiakini.com/letters/478157?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook
Subscribe to:
Posts (Atom)