Thursday, January 30, 2020

Suara Itu

Sejak pulang, belum berpeluang lagi saya bertandang ke rumah Ma untuk berbual-bual lama dengan Ma tentang apa saja. Hanya singgah beberapa minit untuk menghantar kurma pada Ahad itu. Isnin saya mengemas rumah, dan Selasa saya sudah kembali bekerja.

Entah, masa bukan tiada tetapi susah apabila tidak mampu bergerak sendiri. Itu kekesalan yang sampai kini belum teratasi.

Ma, maafkanlah. Bukan tidak rindu, tetapi kekangan sentiasa pelbagai.

Belakangan ini, demi mahu lena sahaja, wajah Ma akan terbayang. Terukkah saya tidak menziarah Ma selalu-selalu? Hanya doa untuk Ma, dan itu tidak pernah saya lupa.

Sebentar tadi saya menelefon Ma. Mulanya tidak berangkat. Hati rasa risau, ke mana Ma? Beberapa minit kemudian Ma menelefon kembali, rupanya Ma solat tadi. 

Suara Ma kedengaran membahagiakan, ada nada ceria dalam bicara. Hati saya tenang dan lega mendengar suara itu yang mendamaikan. Banyak cerita Ma, tentang keluarga di Golok juga tentang makanan yang banyak di rumah. Kata Ma dia sihat, petang tadi Ma menyapu dan membersih laman sehingga maghrib. Rehat-rehatlah Ma, kata saya. Jangan kerja penat-penat. Ma kena jaga kesihatan juga.

Ma pun bercerita tentang Pak Ngah yang sakit, tentang Ayah Mat yang bersendirian dan Ma mahu pulang ke Golok Ahad nanti bersama Mak Su untuk menziarah mereka.

Dada saya sebak tiba-tiba. Mereka insan yang saya sayang, tetapi jauh untuk saya gapai. Hanya doa mampu saya kirim semoga Allah menjaga mereka dalam sebaik-baik jagaan.

Hati saya sedikit tenang selepas berbual dan mendengar suara Ma tadi. Pun masih belum mampu menghilang rindu di hati. Esok saya akan ke rumah Ma, tetapi seperti selalu hanya sebentar. Tidak mengapalah, mungkin hari-hari seterusnya akan ada ruang untuk saya berlama-lama di ruma Ma, in shaa Allah.

Tuesday, January 28, 2020

Ustazah Norizan

Sabtu 25 Januari, jam 7.15 pagi, sahabat sekerja saya, Pn. Norizan Seman kehilangan suami tercinta yang meninggal akibat pecah salur darah di kepala. Saya menerima berita itu sebaik mendarat di KLIA pada 12 tengah hari.

Saya kenal suaminya, arwah Ustaz Mazelan Abdullah kerana dia kerap datang ke sekolah saya. Pada SPM 2019 dia menjadi ketua pengawas SPM di sekolah saya. Dia masih muda, baru mencecah 47 tahun tetapi Allah lebih menyayanginya.

Semoga Ustazah Norizan tabah dengan ujian ini, dan dapat meneruskan hidup bersama empat cahaya mata yang masih memerlukan perhatian. Allah, jagakanlah sahabatku ini. Amin.

Bersama Ustazah Norizan sewaktu mengikut rombongan ke Bangkok pada September 2016


Kembali Bekerja

Hari ini tamatlah cuti saya selama dua minggu dan kembalilah saya bekerja mencari rezeki yang halal demi sebuah kehidupan yang diredai Tuhan.

Selasa menyaksikan jadual yang lebih padat berbanding hari lain. Ada 4 kelas perlu saya masuk dengan jumlah 7 waktu. 4IBR 2 waktu dari 8.40 hingga 9.40, 4IBS 1 waktu pada 10.10, 5IBS  3 waktu dari 11.10 hingga 12.40 dan akhir sekali 5IBR 1 waktu pada 1.40.

Penat sebab lama tidak terkocoh-kocoh begini, tetapi seronok kerana anak-anak murid saya begitu rajin dan bersemangat.

Esok jadual saya sangat santai, cuma 2 waktu PdPc dan 2 waktu Kokurikulum. Mungkin saya akan cuba mencelah untuk menziarah sahabat saya, Puan Norizan yang kematian suami pada Sabtu lalu.

Monday, January 27, 2020

Berasap Kembali

Sebaik suami saya keluar untuk bersantai pagi bersama jiran sekampung, saya mulakan operasi dapur gas saya. Kali ini saya mahu menggunakan tali rafia untuk mengukur. Saya akan potong tali itu sepanjang saiz dapur saya, dan membawanya ke kedai untuk dipadankan dengan dapur yang bakal dibeli. Nah! Barulah tak salah ukur.

Oh ya, saya suka bekerja sendirian. Jika ada orang lain yang membantu walaupun suami sendiri saya akan hilang fokus. Semua kerja pun begitu. Buat sendiri sangat mudah dan cepat sebab tidak perlu mendengar pendapat-pendapat yang mengganggu. Semasa mengemas beg untuk umrah baru-baru ini, saya buat sendiri-sendiri saja. Suami cuma semak check list sebelum diisi dalam beg. Tetapi semasa mengemas mahu pulang ke Malaysia, kami buat berdua. Tuhan tahu betapa tidak selesanya saya. Baru mahu capai itu, dia kata letak yang ini dulu. Baru nak fikir yang mana mahu letak di mana, dia dah tanya yang ini letak sini ke? Aduhai!

Mujur siap juga.

Jadi bab ukur dapur ni, saya sengaja buat semasa dia tiada. Lebih tenang.

Saya keluarkan dapur dari kabinet, dan mencabut wayar gas. Saya terfikir untuk menguji dahulu wayar itu dengan memasang gas ketika ia tidak bersambung ke dapur. Eh! Gas tak keluar pun! Maksudnya bukan dapurlah yang rosak tapi kepala gas itu.

Saya teringat saya ada simpan satu lagi kepala gas. Harap-harap masih elok. Saya usahakan untuk menggantikan kepala gas itu dengan yang saya simpan. Menjadi!

Dapur saya sudah berasap semula!

Jadi tidak perlulah kami membeli dapur baru.

Tak Berasap

Pagi Ahad itu, sungguh susah untuk saya membuka mata mencelikkan diri dan memulai hari. Terasa seperti di awangan, dan kantuk masih meraja. Pun hidup mesti diteruskan. Suami sudah maklumkan pada saya malam tadi sebelum tidur, sarapan esok dia mahu nasi putih dan ayam kampung goreng. Ya, mudah saja. Ayam saya sudah defrost awal-awal.

Jadi jam 7.30 pagi itu saya mulakan operasi. Langkah pertama jerang nasi. Beres. Langkah kedua goreng ayam. Yang ini tak beres.

Dapur gas saya yang berusia lima belas tahun itu tidak mahu berfungsi. Tidak hidup apinya walau berkali-kali saya cuba. Gas masih baru, jadi yang bermasalah ialah dapur. Terus saya ke bilik memberitahu suami saya masalah itu. Dia tiada pilihan selain keluar ke kedai membeli sarapan.

Tahukah yang saya seronok apabila dapur rosak? Bermakna saya tidak perlu memasak!

Tengah hari ini suami saya belikan lauk kerana nasi sudah ada. Ayam goreng berempah, ikan jaket goreng berlada, sayur lemak dan paprik ayam cuma dua belas ringgit dan boleh makan dua kali. Murahnya!

Pagi Isnin hari ini, sarapan masih dibeli. Dua bungkus nasi berlauk dan kuih. Kenyang.

Saya cuba periksa dapur sekali lagi kalau-kalau dia mahu berasap tetapi masih begitu. Kata suami, hujung minggu nantilah kita beli dapur baru. Saya ok saja. Tak beli terus pun tak apa. Haha!

Sebenarnya beberapa bulan dah dapur ini meragam dan beberapa kali dah saya minta dapur baru, tetapi suami saya kata susah nak ganti dapur ini sebab dapur jenis hob begini ada ukuran berbeza. Dia minta saya ukur betul-betul takut tersalah beli. Saya dah ukur dah, tapi bila cari di kedai tak ada pula ukuran begitu. Aduhai!

Harap-harapnya kali ini ukuran yang saya ambil akan adalah di kedai. Amin.

Sunday, January 26, 2020

Hal

Ada hal
tidak mampu kukawal
ia tiba
tak kira masa

Itulah rindu
juga mimpi
terbang mengelilingiku
sesuka hati

Usahlah pergi
aku tega begini

Sendiri tapi tidak sunyi
kerana ada rindu dan mimpi

Sudah Pulang

Perjalanan pulang kami bermula pada petang Jumaat 24 Januari, jam 5 petang. Bas meluncur laju membawa kami ke Lapangan Terbang Madinah, dan segala urusan berjalan lancar dengan kecekapan dan kepantasan Mutawwif kami Ustaz Abu Dzar Al Ghifari bertindak. Terima kasih ustaz, selayaknya ustaz teruskan kerjaya sebagai Mutawwif kerana ilmu pengetahuan ustaz yang hebat, budi bahasa yang baik dan kesabaran yang tinggi. Tidak tahu marah-marah, dan sentiasa senyum. Hebat ustaz, terima kasih. Aura ustaz memang boleh mengalahkan aura mutawwif lain. Saya doakan ustaz bertemu jodoh dengan wanita yang mulia dan solehah.

Penerbangan kami berlepas seperti yang dijadualkan iaitu pada jam 11 malam waktu tempatan dan tiba di KLIA juga pada waktu yang dijangka iaitu 12 tengah hari waktu Malaysia.

Lama kami berlegar di KLIA menantikan penerbangan ke Kota Bharu pada jam 8.35 malam. Ada bosan dan penat menyinggah tetapi tidaklah saya melayan perasaan itu selain bersabar dan bertenang.

Jam 9.35 kami tiba di Lapangan Terbang Kota Bharu dan dijemput oleh dua orang adik kami yang baik hati bersama keluarga masing-masing. Terima kasih banyak-banyak sudi menjemput kami pulang pada malam-malam begini, dan juga dalam kesesakan lalu lintas pada malam cuti tahun baru cina ini.

Di rumah mek kami singgah, dan kami dihidangkan dengan nasi dan lauk pauk Malaysia yang kami rindui. Terima kasih semua yang memasak dan menyam ut kami pulang. Benar kami penat melalui perjalanan berpuluh-puluh jam tetapi kami sangat teruja dengan apa yang kalian sediakan untuk kami.

Terima kasih semua.

Friday, January 24, 2020

Digigit Sejuk

Kami tiba di Madinah pada jam menghampiri 11 malam hari Isnin 20 Januari. Kami ditempatkan di bilik 521 Hotel Frontel Al Harithia yang jaraknya tidak sampai pun 100 meter dari masjid Nabawi. 

Sebaik check in, kami berwuduk dan bersiap untuk ke masjid. Rindu sudah tidak tertahan. Kalau ikutkan mutawwif kami, dia akan membawa kumpulan kami ke masjid pada esok pagi dan kami diminta berehat dahulu malam ini. Tidak mengapalah, walaupun sudah lewat kami berjalan juga berdua menuju ke masjid.

Bilik yang kami inap besar dan selesa sekali. Alhamdulillah. Dari bilik ini saya boleh nampak menara masjid Nabawi.

Cuaca di Madinah sesungguhnya sangat sejuk. Pagi Selasa itu suhu mencecah 9° Celsius dan semakin sejuk hari ke hari. Hari ini, hari terakhir di Madinah, suhu pagi ini menurun ke 6° Celcius. Sejuk yang tidak terkata walaupun sudah tiga lapis pakaian saya pakai. Begini perasaan di tempat sejuk rupanya, menggigit sungguh! Alhamdulillah saya berpeluang mengalaminya. 

Petang nanti sekitar jam 5 kami akan bergerak keluar untuk pulang ke Malaysia. Penerbangan Madinah - Kuala Lumpur dijangka berlepas pada 1100 malam waktu Saudi (400 am Malaysia 25/1) dan in shaa Allah tiba di KLIA pada 1200 tengah hari 25/1. 

Penerbangan ke Kota Bharu pula untuk kami berdua ialah pada jam 835 malam dan akan tiba sejam kemudian.

Semoga Allah melindungi perjalanan kami dan memudahkan segala urusan. Amin.

Monday, January 20, 2020

Sayu

Melangkah kaki menuju Masjidilharam Subuh tadi, ada sayu melingkar di hati. Ini solat terakhir kami pada umrah kali ini, dan tengah hari nanti kami akan berangkat ke Madinah pula.

Ya Allah, syukurku pada-Mu sentiasa melimpah ruah kerana memberi aku kesempatan untuk hadir ke sini, ke rumah-Mu. Ketenangan di sini tidak terbandingkan, tidak terungkap dengan kata-kata. Jemputlah lagi kami nanti.

Friday, January 17, 2020

Terpisah

Sebaik turun dari pesawat penerbangan SV3850 pada jam 5.20 petang, kami diarahkan menaiki bas untuk ke terminal. Saya dan suami serta beberapa orang jemaah lain menaiki bas yang pertama. Tiba di terminal haji, mereka memeriksa visa kami. Hanya visa saya dan suami yang bertulis visa umrah sedangkan visa jemaah lain bertulis visa pelancong. Kami berdua dibenarkan turun tetapi jemaah lain dibawa semula dengan bas.

Saya dan suami terpinga-pinga. Kenapa ni? Kenapa hanya kami berdua diturunkan di sini? Kami memang cuma berdua, dan yang lain entah di mana. 

Benar suami saya nampak panik dan mula marah-marah. Dalam keadaan begini, sayalah yang perlu tenang walaupun sebenarnya takut juga. Maklumlah, kami berdua sahaja di situ selain petugas airport. Petugas pula apabila melihat kami berdiri sahaja di situ terus mengarahkan kami masuk untuk urusan pasport. Kami tiada pilihan, selesaikan dahulu urusan pasport. 

Lama menanti, tiada pun kelibat jemaah lain dari rombongan kami. Azan Maghrib berkumandang dan kami solat dahulu. Suami saya sudah risau benar. Saya minta dia bertenang. Saya yakin semuanya akan selesai sebab bagasi jemaah kumpulan kami ada di sini. Pada fikiran saya, tentulah mereka akan dibawa ke sini.

Saya memeriksa isyarat Wifi dan alhamdulillah ada Wifi percuma. Sebaik mendapat liputan, saya menerima pesanan WhatsApp daripada mutawif kami bertanyakan di mana kami berada. 

Rupa-rupanya semua mereka di bawa ke terminal antarabangsa, hanya kami berdua dan bagasi sahaja di terminal haji. Tentu boleh agak bagaimana paniknya suami saya bukan? Saya tidak, sungguh! Saya tenang sahaja kerana saya tahu Allah ada. 

Mutawif kami sungguh tip top. Menggunakan aplikasi IMO, dia menghubungi saya dan memaklumkan akan datang menjemput kami nanti. Apabila saya memberitahu bagasi ada di sini, mereka lega sekali kerana dari tadi mereka menunggu bagasi tidak sampai-sampai. Barulah mereka membuat laporan supaya bagasi itu diangkut semula ke terminal antarabangsa.

Kami berdua pula, diarahkan keluar oleh petugas di situ kerana sudah selesai urusan imigresen. Kami mahu ke mana? Sebaik keluar sahaja dari terminal kami diburu oleh penjual sim card dan pemandu teksi. Penat kami menepis dan cuba bayangkan temper suami saya macam mana. Saya suruh dia bertenang tetapi begitulah, melihat kerisauan dia dengan saya-saya sekali jadi stress!

Mutawif kami meminta kami menunggu kerana mereka akan datang dengan teksi. Menunggulah kami dengan kesabaran. Tak boleh marah-marah kerana kami dalam ihram. 

Lama menunggu, tidak juga sampai mutawif kami ini. Tiba-tiba mereka menghubungi kami meminta kami menaiki teksi keluar ke Bawabah kerana mereka tidak dibenarkan masuk. Ah sudah!

Suami saya panik kembali. Mahu bagaimana? Tanpa diduga, seorang lelaki pertengahan usia meghampiri kami menawarkan teksi. Dia pemandu teksi rupanya! Alhamdulillah.

Terus kami meminta dia menghantar kami ke tempat yang dimaklumkan oleh mutawif tadi, dan selepas tawar menawar dia bersetuju dengan tambang SR50.

Sebaik di atas teksi, saya terfikir, mutawif saya sedang menunggu di mana? Bawabah itu luas. Kalau terlepas macam mana? Ketika inilah saya mula panik tetapi tidak boleh nampakkan panik itu sebab suami saya akan lebih-lebih lagi panik!

Pertolongan Allah itu sentiasa ada. Entah di manalah Bawabah itu saya tidak pernah tahu tetapi mata saya sentiasa melihat di tepi jalan kalau-kalau ada kereta yang menunggu.

Pandangan pertama saya yang menangkap kelibat kereta berhenti di tepi jalan itu rupanya memang kereta mutawif kami. Alhamdulillah, Allah Maha Besar, hanya lima minit sahaja perjalanan kami dengan teksi itu dan tambang pun dibayar oleh mutawif kami.

Allahuakbar! Lega sungguh rasanya. Lega kerana melihat wajah suami saya yang sudah kembali berseri. Itulah kelegaan yang pertama. Mutawif kami pula baik dan prihatin sungguh, itu kelegaan kedua.

Kami dibawa ke terminal antarabangsa, dan menanti di sana kerana urusan jemaah lain belum selesai. Mujur juga kami tercampak di terminal haji kerana urusan di sana lebih cepat. Dapatlah kami berehat sementara jemaah lain masih menanti bagasi.

Kisah Perjalanan KB-KL-JED

Berdua sahaja perjalanan kami kali ini
Di KLIA
Di Lapangan Terbang Kota Bharu

Pada Selasa 14 Januari 2020 bersamaan 18 Jamadil Awal 1441H, untuk kali yang kelima dalam hidup, kami meneruskan kembara menuju ke tanah suci.

Penerbangan KB-KL ialah pada jam 6.45 pagi dan hanya kami berdua jemaah Emraz yang menaiki pesawat ini. Alhamdulillah tiada sebarang masalah yang timbul, dan staff Emraz yang mengurus kami iaitu En. Ameirul Neizam menyelesaikan semua urusan dengan jayanya.

Di KLIA, kami cumalah berdua dan perlu mencari tempat di mana jemaah Emraz berkumpul. Jujurnya, saya tidaklah risau atau kalut kerana ini masih Malaysia, belum luar negara lagi. Berbeza dengan suami saya, entah kenapa dia sentiasa memikirkan yang bukan-bukan. Kadang-kadang saya tidak larat melayan tanya dan risaunya yang keterlaluan. Maafkanlah saya wahai suami!

Ringkasnya, tiada sebarang masalah yang besar pun dan staff Emraz juga Mutawwif yang bertugas sangat bagus. Serba sedikit kekurangan itu biasa dan boleh diabaikan.

Penerbangan berlepas jam 1.20 tengah hari dan tiba di Jeddah pada 5.15 petang waktu Saudi. Sepanjang penerbangan saya dihidangkan dengan kebisingan yang luar biasa sehingga melelapkan mata pun tidak mampu. Tidak mengapalah, itu hanya ujian kecil saya kira.

Sebaik turun dari pesawat, kami diminta menaiki bas menuju ke terminal. Di sini, kisah pun bermula. Kisah yang banyak rencah pengalaman yang menguji ketenangan saya dan membuktikan betapa besarnya kuasa Tuhan.

Nanti saya ceritakan dalam entri seterusnya.

Monday, January 13, 2020

Debaran

Masih tentang umrah.

Pada tiga kali umrah yang lalu, saya tidak mengalami debaran sebegini kerana jadual penerbangan sudah disahkan lebih awal. Kali ini ia berbeza dan sangat mendebarkan. Apatah lagi apabila umrah ini di dalam hari bekerja yang memerlukan permohonan cuti.

Kisah bermula apabila pihak agensi menghubungi kami memaklumkan tarikh penerbangan mungkin berubah. Saya sudah mengisi borang cuti bermula 13 hingga 22 Januari, iaitu 7 hari cuti umrah dan sehari cuti rehat. Tarikh yang kami pilih untuk bertolak ke tanah suci ialah pada 15 Januari. Kami awalkan cuti dua hari untuk persiapan.

Apabila mereka memberitahu tarikh penerbangan mungkin ditunda ke 16 Januari, saya rasa perlu mengubah cuti kepada 14 Januari kerana tidak mahu terlalu lama bercuti sebelum berangkat. Mereka hanya memaklumkan perubahan itu pada 26 Disember, maka kelam kabutlah saya mengisi semula borang cuti.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan cuti saya diluluskan. 

Setiap hari saya menanti makluman tarikh dan jadual penerbangan dari pihak agensi, tetapi tiada. Maka datanglah pelbagai andaian dalam kepala, andaian yang bukan-bukan dan menakutkan. Suami pula asyik bertanya soalan yang saya tiada jawapan. Tahu sahajalah, untuk urusan-urusan begini sayalah yang perlu melakukan semua, kerana saya adalah PA yang hebat. Suami hanya akan bertanya, dan jika jawapan tidak seperti yang diharapkan, saya bakal mendengar rungutan atau leteran. Aduh!

Lalu debaran sangat kuat memukul dada saya hingga tidur malam pun tidak lena. Saya terfikir bagaimana kalau umrah ini tidak jadi? Atau ditunda ke tarikh yang lama lagi? Tentu saya akan kalut menguruskan pelbagai perkara dan paling tidak seronok ialah dileteri suami! Saya yang memilih agensi ini, tentu sayalah yang bersalah.

Tiba-tiba, pada Khamis 9 Januari mereka menghubungi saya lagi memaklumkan penerbangan kami mungkin diawalkan ke 14 Januari. Itu pun masih belum pasti lagi kerana pihak Saudi Airlines belum mengesahkan. Dalam masa kurang lima hari, kami masih tidak pasti tarikh dan waktu penerbangan kami yang sebenarnya. Semakin kuat debaran yang melanda.

Saya tenangkan diri. Saya cuba untuk tidak bercerita tentang umrah ini dengan suami. Apabila dia bertanya, saya hanya akan menjawab tunggu makluman dari pihak agensi. Debaran sebegini sungguh tidak enak, saya risau ia mengganggu kesihatan jantung saya.

Jumaat 10 Januari, jam 9.02 malam, barulah pengesahan jadual dan tarikh penerbangan kami terima melalui WhatsApp. Allah jua maha tahu betapa leganya saya, walaupun masih diasak soalan bertubi-tubi dari suami. Tiket domestik macam mana? Masuk Mekah ke Madinah dulu? Mutawwif tunggu di KB ke di KL? Aduhai suamiku, berilah ruang untukku menikmati kelegaan ini terlebih dahulu!

Ringkasnya, penerbangan kami diawalkan sehari ke tarikh 14 Januari dan akan masuk ke Mekah dahulu. Mujurlah cuti kami bermula 14hb, tidaklah kalut saya mengisi borang lagi. (Tahukah anda mengisi borang bagi pihak orang lain adalah perkara paling saya tidak suka sebab gemuruh di dada begitu kuat takut salah isi!)

Alhamdulillah, segalanya sudah hampir selesai dan saya tidak akan pernah berhenti berdoa agar perjalanan kami kali ini dalam lindungan Allah sentiasa.

Maafkanlah saya wahai suami. Kadang-kadang tidak mampu menjadi PA yang baik.

Musafir Lagi

Dan perjalanan ini pun akan bermula.

Apabila kami memilih Emraz untuk menjadi agensi umrah kami, niat kami tidak lain hanya untuk sedikit keselesaan kerana faktor kesihatan kami kini. Jika bersama Al-Quds pada tiga kali umrah yang lepas (2013, 2014 dan 2017) kami sememangnya berpuas hati dengan layanan dan perkhidmatan mereka, cuma tempat penginapan yang agak jauh sedikit meresahkan. Hotel Anjum memakan masa 12 minit berjalan kaki ke pintu masjid, dan kami sememangnya sudah semakin berusia untuk perjalanan sebegitu. Emraz pula menawarkan penginapan di hotel Safwah yang cuma 50 meter dari Masjidilharam, jadi kami tertarik dengan pakej yang mereka tawarkan.

Ada empat pakej semuanya di Emraz iaitu Bronze, Silver, Gold dan Platinum. Bronze merupakan pakej termurah dengan harga serendah RM4990 untuk bilik berempat dan menginap di hotel Safwah tanpa makan tengah hari dan malam dan menaiki penerbangan Air Asia. Platinum pula pakej paling mahal dengan harga RM6690 untuk bilik berempat menaiki penerbangan Saudi Airlines.

Demi keselesaan dalam beribadah, kami memilih pakej Platinum untuk bilik berdua dengan harga RM8490. Alhamdulillah kami diberi diskaun sebanyak RM500 untuk bilik berdua menjadikan harganya cuma RM7990. Kami perlu membayar secara berasingan untuk visa umrah (RM350) dan insurans kerajaan Arab Saudi yang baru dikuatkuasa pada 1 Januari 2020 (RM280) menjadikan keseluruhan harga pakej yang kami ambil ini ialah RM8620. Ditambah pula dengan tiket pergi balik KB-KL sebanyak RM480, maka kami berhabis RM9100 seorang untuk kali ini.

Alhamdulillah, Allah memberi kami rezeki untuk ini dan kami amat bersyukur. Walaupun sudah pernah mengunjungi tanah suci beberapa kali, percayalah perasaan rindu untuk ke sana tetap tidak akan hilang malah semakin kerap ia bertandang. Kata orang, bersedekah untuk orang-orang susah di sini lebih afdal daripada menggunakan wang sebanyak itu untuk umrah berkali-kali. Saya tahu itu, dan saya akan cuba untuk sentiasa bersedekah tanpa gagal dan pada masa yang sama menyimpan juga untuk ke umrah.

Esok, jadual penerbangan kami akan bermula dari Kota Bharu pada jam 6.45 pagi. Di KLIA kami akan berkumpul dengan jemaah kumpulan kami pada jam 9.00 pagi dan menanti penerbangan ke Jeddah pada jam 1.00 tengah hari.

Penerbangan kami dijangka tiba di Jeddah pada jam 5.10 petang waktu tempatan. Maksudnya, kami perlu menunaikan solat jamak Zohor dan Asar dalam penerbangan. Dari Jeddah kami akan menaiki bas menuju ke Mekah, yang akan mengambil masa sekita sejam setengah.

Harapnya, proses di airport lancar dan kami akan tiba pada awal malam di Mekah dan boleh menyelesaikan umrah sebelum solat Subuh. Doa saya agar saya siha dan sentiasa suci sepanjang di sana dan dapat melaksanakan umrah dan ibadah dengan lebih baik daripada yang sebelum ini.

Amin.




Thursday, January 09, 2020

Hadiah

Terjaga pagi, jam menghampiri 5.30. Saya bingkas untuk mandi dan bersiap. Subuh pada Januari hingga Mac memang lambat, jadi ada ruang untuk saya bertafakur memohon dan mengharap sebelum tiba fajar pada 6.07 pagi.

Usai solat, saya bersuara pada suami yang baru selesai mandi, hari ini hari jadi saya dan dia membalas Happy Birthday!

Cukuplah. Itu sudah memadai.

Hari meninggi, tanggungjawab yang terpikul sama seperti kelmarin, sama seperti tahun lepas malah mungkin sama seperti esok juga. Tiada beza apa-apa kerana yang bertambah cuma usia. Syukur untuk kehidupan yang masih ada, dan syukur itu bukan hanya pada hari jadi tetapi pada setiap hari apabila mata masih mampu berkelip dan kaki masih mampu berjalan. Tuhan maha Agung, Dia yang mengurniakan segala.

Alhamdulillah.

Menatap pesanan di telefon, ada banyak yang memberi ucapan. Terima kasih semua yang mengingati hari jadi saya. Adik-adik, kawan-kawan sekerja dan kawan-kawan sekolah semua mengirim ucapan dan doa buat saya. Amin, amin, amin. Semoga Allah mengabulkan doa-doa kalian bukan sekadar untuk saya, tetapi untuk kalian juga.

Kawan sebilik di sekolah, Cikgu Noor Hanani menghadiahkan saya sejambak gubahan bunga yang cantik. Terima kasih. Walaupun saya tidak pernah mengharapkan apa-apa hadiah dari siapa-siapa pun (termasuk dari suami), tetapi saya tetap menghargai setiap yang memberi. Cikgu Noor Hanani sentiasa mengingati dan memberi hadiah kepada saya setiap kali hari jadi saya tiba. Begitu dia menghargai persahabatan kami yang sudah melebihi sepuluh tahun ini, maka saya juga tidak mahu melupainya pada setiap hari jadinya. Terima kasih Nani, menjadi sahabat yang baik dan memahami. Semoga Allah merahmatimu selalu.

Kami sebenarnya seusia, sama-sama lahir pada tahun 1972 dan sebab itulah kami mudah rapat dan mesra antara satu sama lain. Berbual dan bergurau senda dengannya amat menyenangkan dan saya tidak pernah jemu mendekatinya. Semoga persahabatan ini berpanjangan sehingga ke syurga.

Empat puluh lapan tahun sudah berlalu, dan saya tidak tahu berapa tahun lagi yang masih berbaki untuk saya memanfaatkan usia sebelum pulang kepada-Nya. Mudah-mudahan Allah memanjangkan umur saya dalam keimanan dan kesihatan yang baik dan berupaya untuk terus berbakti di dunia ini.

Amin.



Monday, January 06, 2020

Pergi

Sayu 
terpisah 
hikayat indah  
kini hanya tinggal sejarah 

berhembus  
angin rindu 
begitu nyamannya  
terhidu wangian kasihmu  

hujan lebat mencurah kini 
bagaikan tiada henti 
kaulah laguku  
kau irama terindah 
tak lagi kudengari  

kau pergi 

pergi. 

Sepi  
tanpa kata 
terdiam dan kaku  
tak daya kau kulupa 

apa pun  
kata mereka 
biarkan kenangan  
berbunga di ranting usia  


Friday, January 03, 2020

Farewell, Dr.

Aku masih belum boleh bangkit daripada kesedihan perletakan jawatan Menteri aku. Belum pernah aku berduka cita sebab politik. Apa lagi untuk seorang Menteri. Pernahlah sekali sebelum ini, masa Tok Guru Nik Aziz meninggal dunia. Itu meninggal dunia, yang ini meninggalkan jawatan.

Kau nak kata aku "over", silakan. Lantak kaulah. Dr. Maszlee ini, walaupun ternyata ada kelemahan beliau, aku lebih mengiktiraf kemahuan dan azam beliau untuk mengubah dan merombak sistem pendidikan Malaysia.

Selama aku hidup ini, belum pernah ada seorang Menteri Pendidikan yang berjalan santai ke sekolah, bertemu mata dengan cikgu dan anak-anak kita tanpa protokol. "Pakcik" katanya, bukan "Tuan". Itu adalah diri sebenar beliau, bukan lakonan.

Menteri Pendidikan mana yang pernah bersungguh mencakna hal anak-anak OKU kita? Atau pernah bicara serius tentang makanan mereka? Dr. Maszlee buat. Atau adakah Menteri Pendidikan yang pernah bersemuka dengan kumpulan mahasiswa yang tak puas hati dengannya, disusuli laungan lantang depan muka memintanya berundur?!

Sebaik dilantik sebagai Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee bertekad membaik pulih prasarana sekolah di seluruh Malaysia,khususnya di Sabah dan Sarawak. Diselongkarnya semua. 

Menteri mana yang menghapuskan monopoli kapitalis syaitan Y** melalui VLe Frog yang macam siput internetnya di banyak sekolah Malaysia? Kalau ikutkan ucapan akhir beliau, aku percaya pertembungan dengan syaitan korporat sebegitu menyumbang kepada kejatuhan beliau. Cikgu mana dan sekolah mana yang tak tahu ketahian sistem VLE Frog yang dipaksakan itu?! Beliau memecahkan monopoli pembekalan internet dan memberikan ruang kepada sekolah untuk memilih yang terbaik rangkaiannya. Sebelum ini, sehabuk pun tak pernah kisah! 

Paling akhir, isu Jawi. Beliau berani memperkenankan, setelah terperam lama, pengenalan unsur Jawi dalam buku teks. Bukan mengajar tulis Jawi pun. Hanya menjelaskan perihal tulisan tersebut pada beberapa lambang negara. Tapi ramai Melayu liberal, Melayu anti-Islamis, belagak Moden, "anti-Arabisasi", dan para cauvinis lainnya menentang beliau habis-habisan. 


Di bawah Dr. Maszlee para cikgu, tanpa identifikasi bangsa dan agama, rasa lebih selesa dan bahagia. Para pensyarah juga tenang dan gembira. Aku sendiri sangat giat menjalan dan menyertai program ilmu jalanan atas semangat bahawa Menteriku sendiri datangnya dari gerakan ilmu jalanan, tanpa protokol, tanpa sempadan. Yang diperjuangkan adalah kelestarian dan penyebaran ilmu di universiti.

Dr. Maszlee adalah mangsa azamnya sendiri. Beliau dikorbankan oleh segolongan pelacur politik, syaitan korporat dan penagih candu kuasa. Para pengadu domba pula sedang buat-buat sedih setelah tempoh hari puas bergembira memperli dan menyindir usaha beliau.

Pakatan Harapan, kalian awas! Aturlah kuasa selagi mampu sekarang ini. Masanya akan tiba, kertas undi dan pena sekali lagi akan berkata-kata. Kami dah biasa melawan. 

Dr. Maszlee, being religious is a crime!

-Sahul HM-