Monday, January 13, 2020

Debaran

Masih tentang umrah.

Pada tiga kali umrah yang lalu, saya tidak mengalami debaran sebegini kerana jadual penerbangan sudah disahkan lebih awal. Kali ini ia berbeza dan sangat mendebarkan. Apatah lagi apabila umrah ini di dalam hari bekerja yang memerlukan permohonan cuti.

Kisah bermula apabila pihak agensi menghubungi kami memaklumkan tarikh penerbangan mungkin berubah. Saya sudah mengisi borang cuti bermula 13 hingga 22 Januari, iaitu 7 hari cuti umrah dan sehari cuti rehat. Tarikh yang kami pilih untuk bertolak ke tanah suci ialah pada 15 Januari. Kami awalkan cuti dua hari untuk persiapan.

Apabila mereka memberitahu tarikh penerbangan mungkin ditunda ke 16 Januari, saya rasa perlu mengubah cuti kepada 14 Januari kerana tidak mahu terlalu lama bercuti sebelum berangkat. Mereka hanya memaklumkan perubahan itu pada 26 Disember, maka kelam kabutlah saya mengisi semula borang cuti.

Alhamdulillah segalanya berjalan lancar dan cuti saya diluluskan. 

Setiap hari saya menanti makluman tarikh dan jadual penerbangan dari pihak agensi, tetapi tiada. Maka datanglah pelbagai andaian dalam kepala, andaian yang bukan-bukan dan menakutkan. Suami pula asyik bertanya soalan yang saya tiada jawapan. Tahu sahajalah, untuk urusan-urusan begini sayalah yang perlu melakukan semua, kerana saya adalah PA yang hebat. Suami hanya akan bertanya, dan jika jawapan tidak seperti yang diharapkan, saya bakal mendengar rungutan atau leteran. Aduh!

Lalu debaran sangat kuat memukul dada saya hingga tidur malam pun tidak lena. Saya terfikir bagaimana kalau umrah ini tidak jadi? Atau ditunda ke tarikh yang lama lagi? Tentu saya akan kalut menguruskan pelbagai perkara dan paling tidak seronok ialah dileteri suami! Saya yang memilih agensi ini, tentu sayalah yang bersalah.

Tiba-tiba, pada Khamis 9 Januari mereka menghubungi saya lagi memaklumkan penerbangan kami mungkin diawalkan ke 14 Januari. Itu pun masih belum pasti lagi kerana pihak Saudi Airlines belum mengesahkan. Dalam masa kurang lima hari, kami masih tidak pasti tarikh dan waktu penerbangan kami yang sebenarnya. Semakin kuat debaran yang melanda.

Saya tenangkan diri. Saya cuba untuk tidak bercerita tentang umrah ini dengan suami. Apabila dia bertanya, saya hanya akan menjawab tunggu makluman dari pihak agensi. Debaran sebegini sungguh tidak enak, saya risau ia mengganggu kesihatan jantung saya.

Jumaat 10 Januari, jam 9.02 malam, barulah pengesahan jadual dan tarikh penerbangan kami terima melalui WhatsApp. Allah jua maha tahu betapa leganya saya, walaupun masih diasak soalan bertubi-tubi dari suami. Tiket domestik macam mana? Masuk Mekah ke Madinah dulu? Mutawwif tunggu di KB ke di KL? Aduhai suamiku, berilah ruang untukku menikmati kelegaan ini terlebih dahulu!

Ringkasnya, penerbangan kami diawalkan sehari ke tarikh 14 Januari dan akan masuk ke Mekah dahulu. Mujurlah cuti kami bermula 14hb, tidaklah kalut saya mengisi borang lagi. (Tahukah anda mengisi borang bagi pihak orang lain adalah perkara paling saya tidak suka sebab gemuruh di dada begitu kuat takut salah isi!)

Alhamdulillah, segalanya sudah hampir selesai dan saya tidak akan pernah berhenti berdoa agar perjalanan kami kali ini dalam lindungan Allah sentiasa.

Maafkanlah saya wahai suami. Kadang-kadang tidak mampu menjadi PA yang baik.

No comments:

Post a Comment