Friday, June 26, 2020

Artis

Kadang-kadang, artis menjadi asbab untuk kita berubah.

Saya memang meminati artis nan satu ini sejak dia remaja. Dia bermula dengan iklan. Saya ingat lagi dia dalam iklan bedak Johnson semasa dia baru 14 tahun, comel sangat. Kemudian pada usia 18 tahun dia berlakon untuk iklan Rexona, McDonalds dan banyak lagi. Lama-lama, dia ditawarkan menjadi pelakon.

Apabila ada media sosial, saya mengikuti instagramnya. Saya seronok melihat aktiviti harian dia bersama keluarganya. Sungguh, saya tidak tahu kenapa saya begitu meminati dia. Agaknya kerana wajahnya cantik, atau lakonannya hebat, dan keluarganya baik-baik. Tapi semua artis pun begitu. Entah kenapa dia menjadi kegemaran saya.

Aktiviti dia dan keluarganya yang dikongsi di story dan status instagramnya sangat mengujakan saya. Ada tarikan yang istimewa yang menyebabkan saya suka sangat mengikuti setiap update daripadanya. 

Seperti artis lain, dia pun tidak lekang dari kontroversi. Pernah gambar seksinya menjadi viral dan netizen mula menjalankan tugas mengutuk kaw-kaw. Saya menanti reaksi darinya, tetapi tiada. Dia tidak melayan pun, dan meneruskan hidup seperti biasa. Lama-lama kontroversi itu hilang begitu sahaja.

Pada saya dia bijak apabila tidak menjawab dan melayan kutukan netizen. Sebab, lagi dia menjawab lagilah akan dikutuk. Bagusnya dia, apa yang berlaku itu hanya sekali itulah. Dia tidak mengulang kesilapan yang sama.

Tahun lepas, dia berumrah. Sepulang dari umrah dia berhijab. Semakinlah saya suka melihat dan menyusur setiap gambar dan video di instagramnya.

Saya kata dia asbab saya berubah. Ya benar. Saya kagum dengan kesungguhannya memperbaiki diri, saya teruja dengan kerajinannya berkongsi aktiviti ilmiah yang dia lalui, juga saya terasa saya ini masih sama sahaja dengan saya yang dahulu. Kerana dia, saya rasa mahu berubah.

Tidaklah perlu saya nyatakan perubahan yang bagaimana yang saya lakukan, tetapi tentulah perubahan yang positif. Terima kasih untuk artis ini yang memberi saya rasa, dan kekuatan. Saya doakan Allah melindunginya selalu.

Takwim

Pada hari saya melihat Takwim Persekolahan 2020 yang dipinda, hati saya sebenarnya terdetik rasa syukur. Saya seperti begitu lega apabila ada masa yang panjang untuk bersama anak-anak didik saya yang selama tiga bulan seperti diabaikan. Saya mahu menebus setiap waktu yang hilang itu dan memastikan mereka mendapat apa yang sepatutnya sebelum SPM tiba. Begitu hati saya bersentimen.

Apabila saya menyusuri laman-laman di Facebook, rupa-rupanya ramai dalam kalangan guru yang merungut dan tidak berpuas hati. Kebanyakannya adalah yang berada jauh dari keluarga.

Barulah saya tersedar yang perasaan syukur saya ini tidak dikongsi semua orang. Ada pelbagai sisi yang perlu dilihat kerana situasi setiap guru tidak sama.

Mujurlah setiap rungutan guru itu ada kesannya dan sampai juga ke Kementerian. Kata pihak KPM, takwim itu akan dikaji semula bagi memastikan ia tidak menyukarkan guru-guru.

Semoga nanti takwim yang baharu akan mengambilkira banyak aspek tanpa mengabaikan mana-mana pihak. Saya akan cuba berlapang dada untuk setiap arahan yang tiba.

Wednesday, June 24, 2020

Menikmati Kepenatan

Selasa semalam, seperti biasa saya berada di sekolah dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari. Tidaklah banyak sangat kerja yang sempat saya buat kerana pada jam 10.00 kami perlu menghadiri taklimat Pengetua yang tamat pada jam 12.00 tengah hari. 

Pulang dari sekolah, kami singgah di rumah mek. Suami saya mahu menghantar nasi kukus untuk mek sebagai makan tengah hari. Mek tiba-tiba meminta kami membawanya ke klinik kerana bahunya sakit. Kami pulang dahulu ke rumah di Chenok untuk makan dan solat, jam 2.35 petang barulah kami turun untuk membawa mek ke klinik. Mek mahu ke klinik Ariffin di Wakaf Che Yeh. Mujur orang tak ramai, jadi kami tidak menunggu lama.

Selepas menghantar mek pulang, saya singgah pula di rumah ma. Ma sendirian sahaja tetapi bila saya ajak untuk ke rumah saya ma menolak. Semoga Allah menjaga ma selalu.

Sewaktu kami di rumah tadi, sahabat suami saya mengajak kami ke rumahnya di Pasir Putih selepas Asar. Saya mula-mula mahu menolak tetapi suami saya tidak tergamak. Jadinya selepas Asar kami turun ke Pasir Putih pula. Saya penat sungguh kerana dari pagi lagi belum sempat berehat.

Kami tiba semula di rumah sekitar jam 7.45 malam. Usai solat Maghrib barulah saya sempat merebahkan badan sekejap. Ya Allah penatnya, dan mengantuk! Makan malam belum lagi. Menggosok pun belum. Badan dah lemah dah ni..

Mujur suami cuma mahu makan apa yang ada sahaja. Kebetulan di sekolah tadi saya beli pulut panggang, jadi itulah yang kami makan malam ini.

Seterusnya saya menggosok baju, solat Isyak dan tidur. Lena sungguh tidur saya, hanya terjaga apabila jam berbunyi pada 5.06 pagi. 

Maka bersiaplah pula kami untuk ke sekolah. Jam 6.30 kami turun, dan jam 2.30 kami pulang. Suasana sekolah agak tenang, tetapi dek kerana lama tidak mengajar, saya menjadi penat pula menghabiskan empat masa PdPc saya hari ini. 

Pulang ke rumah, saya rehat dan tidur. Sepertinya saya mengganti balik masa rehat saya semalam. Jam 3.15 saya tidur dan bangun jam 4.50 petang. Leganya rasa!

Untuk minum petang saya cuma goreng keropok lekor, dan untuk makan malam saya sediakan nasi goreng dan ikan gelama goreng.

Begitulah catatan diari saya hari ini.


Tuesday, June 23, 2020

Tenangkah?

Saya selalu menganggap sekolah saya sebagai rumah kedua saya. Sebab itu saya selesakan tempat bekerja saya itu semampunya. Saya lengkapkan dengan segala peralatan agar ia terasa dan terlihat seperti rumah. Ada kipas (kini air cond), ada peti ais, ada karpet, ada meja kerusi dan komputer.

Dengan pentadbir dan rakan setugas, saya mencari ruang untuk sentiasa patuh dan bekerjasama. Saya mahu jiwa saya tenang, reda dan selesa. Jika pincang sedikit sebanyak, itu normal. Jika tidak menyusahkan dan masih boleh diterima akal, saya akan patuh tanpa banyak soal.

Bukan mudah mencari kesempurnaan kerana kita manusia yang sentiasa ada kekhilafan. Bertolak ansur dan saling memahami adalah kunci kesejahteraan dalam meneruskan khidmat bakti.

Namun sedihnya saya pagi ini, setiba sahaja di bilik peperiksaan dan belum pun sempat sarapan saya sudah mendengar bebelan dan rungutan dari rakan yang tidak berpuas hati dengan arahan pentadbir. Saya cuba mengelak daripada melayan tetapi ada pula rakan lain yang menambah dan menyokong. Ia menjadi semakin berapi-api dan saya hilang arah. Mahu ke mana saya? Terpaksalah saya duduk dan mendengar walaupun hati meronta-ronta mahu pergi dan berlalu.

Aduhai rakan-rakanku, cukup-cukuplah. Apa yang tidak puas di hati usahlah dileterkan begini. Jika benar tidak suka, salurlah ke tempat yang betul. Saya sakit telinga mendengar leteran dan bebelan yang tidak akan membawa apa-apa erti.

Saya mencari tenang di tempat kerja saya, tetapi hari ini saya dilanda keserabutan. Mujur juga tidak berpanjangan.

Monday, June 22, 2020

Lima Puluh

Kalendar hijrah memang jarang benar kita tekuni, selain pada Ramadan dan Syawal. Itu pun awal-awal Syawal sahaja, apabila menghampiri hujung, kita pun kembali lalai.

Hari ini 30 Syawal 1441 Hijrah. Esok menjelanglah Zulkaedah, dan pada 23 haribulan genaplah usia saya lima puluh tahun Hijrah.

Pada belakang surat beranak saya, ayah catat tarikh itu dengan pensel. 23 Zulkaedah 1391 Hijrah. Ya, saya masih menyimpan surat beranak saya yang asal. Walaupun lusuh, ia sungguh berharga.

Separuh abad sudah saya menghuni dunia ini dan syukur saya kepada Allah tidak pernah saya lupa kerana memberi nikmat hidup yang agak panjang begini. Tidaklah saya tahu sempat atau tidak saya merasa usia lima puluh tahun masihi sekitar lapan belas bulan lagi, tetapi saya akan reda sentiasa atas segala ketetapan dari -Nya.

Doa dan harapan saya untuk masa hadapan sentiasa saya panjatkan. Saya yakin Allah maha mendengar dan maha memberi. Kepada-Nyalah saya berserah segala. Semoga rahmat-Nya melimpahi kita.

Amin.

Sunday, June 21, 2020

Bekerja

Hari ini sudah minggu kedua saya kembali bekerja di sekolah. Walaupun Menteri Pendidikan mengumumkan tarikh sekolah dibuka ialah pada Rabu nanti, tetapi kami para guru sudah perlu hadir ke sekolah dan menyelesaikan banyak perkara.

Saya sebenarnya tiada masalah dengan arahan ini. Saya tanpa banyak soal hadir setiap hari dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan melunaskan setiap tanggungjawab yang diberi. Pada saya, bekerja begini terasa tenang dan lebih bebas kerana tidak tertakluk dengan jadual mengajar. Saya boleh selesaikan tugas dalam masa yang lebih fleksibel.

Ada sahaja rakan-rakan guru yang merungut dengan arahan ini. Kata mereka sekolah lain tidak pula mengarahkan guru setiap hari ke sekolah seperti sekolah kami. Nanti Rabu ini barulah ya.

Entahlah. Pada saya ok sahaja, kerana sudah lama kan kita bercuti PKP. Tidak enak sungguh bekerja dari rumah sebegitu dan saya seronok dengan arahan ini. Saya tidak tahu atas alasan apa guru-guru lain seperti tidak suka kerana pada saya sekolah saya umpama rumah saya juga, sentiasa memberi kegembiraan.

Rabu ini, akan hadirlah anak-anak murid memenuhi kelas menanti guru-guru berkongsi ilmu. Walaupun dalam norma baharu, saya benar-benar berharap semangat mereka sentiasa berkobar-kobar dan lebih membara daripada sebelum ini.

Semoga Allah reda.

Thursday, June 18, 2020

Pulut Dakap

Bukan, saya bukan jenis yang terikut-ikut dengan trend. Saya suka identiti sendiri dan susah terpengaruh dengan apa sahaja yang tular di media sosial. Fesyen saya ialah fesyen saya, tidak sama dengan orang lain. Kononnya, kelas tersendiri gitu. (Kelaslah sangat!)

Tetapi kali ini ia berlaku tanpa dirancang. Pada hari saya ke kedai emas untuk menjual emas lama mek, saya turut menjual gelang emas klcc saya yang jarang-jarang dipakai itu. Waktu beli dahulu nampak cantik, lama-lama saya rasa tidak suka. Ish! Jadinya ia tersimpan sahaja dalam beg kecil tanpa dipakai. Daripada tersimpan sahaja, baiklah saya tukar dengan design baru.

Di kedai emas Lee Wah itu, tidak banyak gelang rekaan baru kecuali pulut dakap. Gelang lain semua corak lama dan saya tidak berkenan. Dek kerana sudah berniat mahu gelang baru jadi saya belilah juga seutas gelang pulut dakap dan sebentuk cincin. Begitulah yang berlaku tanpa saya rancang. Tak apalah, saya reda.

Gelang itu ringan sahaja tetapi harganya mahal sebab musim ini harga emas naik. Saya tidak mahu menyesal dengan apa yang telah berlaku dan saya berjanji untuk tidak menjual gelang ini sampai akhir hayat saya kerana ia menjadi gelang termahal pernah saya miliki. Nilainya bukan lagi sentimental, tetapi black metal!

Tinggal kenangan

Bergaya dengan pulut dakap

Cantik pula gelang ini bila digaya sahabat saya, Mariam.



Semoga bergunalah ia untuk saya, walaupun sekadar barang perhiasan.

Wednesday, June 17, 2020

6 hari

Sepuluh tahun lalu, Suzila dan Faizal ialah pasangan kekasih yang telah melakukan jenayah mencuri berlian bernilai RM5.2 juta dari seorang hartawan. Faizal ditangkap, dibicarakan dan didapati bersalah. Dia dihukum penjara lapan tahun. Suzila pula dibebaskan, dan berjanji akan menunggu Faizal keluar penjara. Berlian itu disimpan Suzila di suatu tempat rahsia, dan apabila Faizal bebas nanti mereka akan menjual berlian itu.

Namun apa yang terjadi seterusnya tidak seperti yang dirancang. Suzila akhirnya bernikah dengan seorang ahli perniagaan yang kaya bernama Ismal dan menjadi isteri ketiga. Suzila merahsiakan kisah lalunya daripada Ismal, manakala Ismal pula telah membimbing Suzila menjadi wanita yang patuh pada suruhan agama. Suzila berubah dan berazam untuk tidak lagi mengulangi perangai lamanya.

Selepas lapan tahun dipenjara, akhirnya Faizal dibebaskan. Dia yang mengetahui status Suzila telah menceroboh masuk ke rumah Suzila, sewaktu suami Suzila berada di rumah isteri pertama dan keduanya. Dia mahu mendapatkan kembali berlian yang dicuri dahulu tetapi Suzila enggan menyerahkan berlian itu.
Faizal terus berada di rumah Suzila dan mengugut untuk mendedahkan kisah silam mereka kepada Ismal jika Suzila enggan menyerahkan berlian itu. Suzila pula yang merasa bersalah kerana memungkiri janji pada Faizal dahulu tidak berdaya menolak kehadirah Faizal di rumahnya. Dia cuba meminta pendapat sahabat baiknya Linda tentang apa yang dilakukan ini tetapi sulit bagi Suzila untuk meluahkan secara terang. Dia cuba berlapik, tetapi Linda pula tidak faham.

Selama enam hari Faizal tinggal di rumah Suzila, yang turut dihuni oleh pembantu rumah, Ana dan tukang kebun, Faiz.

Dalam enam hari itu, pelbagai peristiwa berlaku. Faizal tersentuh dengan kehidupan Suzila yang sudah benar-benar berubah dan menjadi isteri yang taat pada perintah Allah. Suzila pula akhirnya memberitahu Faizal tempat berlian itu disimpan, dan menyerahkan berlian itu kepada Faizal. 

Kesudahan kisah, Faizal memulangkan berlian itu kepada pemiliknya dan meninggalkan perangai lamanya kerana insaf melihat perubahan Suzila. Suzila pula bersyukur dengan perubahan Faizal. Hatinya sentiasa mengasihi Faizal dan mendoakan Faizal selalu.

Faizal meninggalkan rumah Suzila sebelum suami Suzila pulang.

Begitulah lebih kurang inti cerita telemovie Astro berjudul "6 hari" yang disiarkan pada 13 Jun lalu. Sebak menonton pengakhirannya walaupun babak-babak awal penuh dengan kelucuan.

Saya suka telemovie ini. Ada banyak dialog yang lucu, yang menginsafkan dan yang menyedihkan.




Perfect. At least for me.

Tuesday, June 16, 2020

Tercapai Jua

Akhirnya, setelah lebih sepuluh tahun saya bekerja di bilik peperiksaan yang panas, hari ini pendingin hawa sudah dipasang. Esok saya akan bekerja dalam suasana nyaman.

Alhamdulillah.

Saya sudah merajuk sebenarnya, sudah malas untuk memanjangkan isu ini apabila permohonan pada tahun lepas ditolak tanpa alasan munasabah. Saya berasa sangat berjauh hati tetapi biarlah, saya tahu siapalah kami di bilik ini. Bukan sepenting mereka di pejabat.

Rupa-rupanya sahabat saya Hj Yuswadi masih mahu mencuba. Dia masuk berjumpa dan bersemuka dengan Tuan Pengetua (yang baharu) pada hujung Mei lalu (sewaktu PKPB) memohon pendingin hawa di bilik peperiksaan yang dihuni kami berlima. Terkejut Pengetua kerana tidak menyangka bilik kami masih berpanas. Diringkaskan kisah, Tuan Pengetua bersetuju tanpa soal.

Hari ini segalanya selesai. Dua biji pendingin hawa berkuasa 1.5 sudah siap dipasang dan akan menyejukkan bilik kami ini. Semoga ia panjang umur dan dapat berkhidmat dalam tempoh yang lama, amin.

Monday, June 15, 2020

Anak-anak

Mendampingi anak-anak seusia remaja sememangnya mencabar. Bukan mudah menyelam gelora hati mereka. Seperti saya dahulu pada usia sebegitu sering berperang dengan naluri yang memberontak. Saya ada ego yang kuat, sering berasa tindakan sendiri itu betul dan apabila ditegur emak atau ayah, rasa sangat marah. Rasa terhina, begitu.

Selalu apabila emak menegur (marah), saya rasa seperti dibenci. Saya anggap saya anak yang paling emak tidak sayang. Saya rasa saya anak yang gagal memenuhi impian emak. Tetapi apa yang saya rasa itu tidak saya luah. Ia menjadi air mata yang meneman saya pada malam sepi. Saya pendam semuanya, dan ia sungguh menyakitkan. Untuk melegakan rasa, saya mencurah perasaan itu dalam diari.

Menginjak dewasa, sedikit demi sedikit ego itu saya rombak. Dari pengalaman dan persekitaran, timbul kesedaran tentang erti teguran (marah) walau daripada siapa pun ia datang. Benar, teguran itu bukan penghinaan atau kebencian. Ia tanda prihatin dan kasih sayang. Sulit juga mengubah sikap tetapi itulah perjuangan saya, membetulkan persepsi sendiri. 

Saya tidak boleh memutar kembali masa lalu untuk membaiki segala kesilapan, tetapi saya cuba untuk tidak menjadikan masa lalu saya itu sesuatu yang berulang. Saya tidak mahu anak-anak remaja memiliki rasa seperti saya dan hanya menyedari segalanya apabila dewasa. Kerana itu saya tidak suka marah-marah mereka, dan teguran saya selalunya dengan kata-kata yang berlapik. Saya mahu jadikan mereka sahabat, menyelami jauh ke dasar hati mereka tanpa perlu menegur dengan nada kasar.

Mudahkah?

Saya tidak tahu. Saya tidak punya anak-anak untuk merealisasikan hajat saya itu. Pun saya tahu, ibu bapa kini lebih hebat skil keibubapaan mereka dan tidak lagi suka marah-marah anak seperti generasi dahulu.

Saturday, June 13, 2020

Jual Emas

Beberapa hari lepas, Mek kata emasnya ada banyak tapi tak pakai. Kalau nak bagi kat anak-anak Mek pun susah nak ejas biar sama rata. Jadi kata Mek, dia nak jual.

Mek tunjuk semua emas yang dia ada. Banyak juga, lagi banyak daripada yang saya ada. Rupanya Mek suka beli emas juga dulu-dulu. Kalau ada duit, mesti beli emas. Ya lah, masa dulu susah nak simpan dalam bank. Baik beli emas, kalau sesak-sesak boleh gadai. Begitu pegangan mereka.

Betullah begitu, cuma saya masih berpendirian untuk tidak memiliki emas yang terlalu banyak. Bukanlah tiada langsung, tetapi cukuplah untuk digilir pakai sahaja barang seurat dua. Banyak-banyak pun, nak simpan payah. Tak kuasalah pula untuk menyewa peti di bank. 

Mek meminta kami tolong jualkan emasnya itu. Jadi hari ini kami pun turunlah menuju ke kedai emas terdekat iaitu Makmur Gold di Tunjung. Sebelum itu saya sudah mencari maklumat harga emas di kedai itu. Boleh tahan juga, RM207 segram untuk emas yang kita mahu jual dan RM244 segram jika membeli emas di kedainya, tanpa upah. 

Setiba di kedai itu, terkejut kami melihat pelanggan yang ramai, beratur sehingga ke luar. Ada pula beberapa orang anggota Rela yang sedang mengawal dan mengambil maklumat di situ.

Tidak jadi kami masuk. Malaslah pula menunggu lama. Hairan juga kenapa ramai sangat orang. Mungkin pada musim harga emas mahal ini mereka mahu menjual emas yang ada, dan apabila murah nanti beli semula. Agaknyalah. Ala ala main saham gitu.. 😊

Tak apalah, esok kami datang semula. Harap-harap orang sudah tidak seramai ini.

Wednesday, June 10, 2020

Pengumuman

Pada jam 4.00 petang tadi, YB Menteri Pendidikan, Dr. Mohd Radzi Jidin telah mengadakan satu sidang media bagi menjelaskan tentang isu persekolahan pada musim PKPP ini. Dengan tenang dan jelas, beliau memaklumkan SOP yang perlu dipatuhi dan menyatakan sekolah akan dibuka semula pada Rabu 24 Jun 2020 bagi murid tingkatan lima, enam dan yang menduduki peperiksaan yang setara.

Alhamdulillah. Sama seperti jangkaan saya tarikhnya ialah tepat empat belas hari dari hari ini. Sedang elok untuk segala persediaan yang perlu. Hati saya sesungguhnya amat berbunga-bunga untuk kembali ke sekolah. Rindu serindu-rindunya.

Kenapa?

Pertamanya, saya tidak puas mengajar secara online. Banyak yang tidak sampai dan suasana pun tiada. Berlatarbelakangkan rumah, saya tidak mampu fokus dan memberi yang terbaik untuk anak didik saya.

Keduanya, saya sudah jemu melaksanakan tugas suri rumah sepenuh masa. Ia bosan dan penat. Saya sangat tidak mampu dan saya risau jika saya mengalami kemurungan nanti. Saya perlu segera keluar dari kemelut ini sebelum ia menjadi sesuatu yang membahayakan jiwa dan raga.

Dan ketiga, saya rindu kawan-kawan tempat saya berkongsi banyak perkara. Saya rindu Nani yang menjadi teman sehati sejiwa, saya rindu Kak Sham yang sentiasa berkongsi rasa, saya rindu Mariam yang penuh gurau tawa, dan semualah! Mereka itu sahabat-sahabat yang mewarnai hari-hari saya dengan keindahan.

Empat belas hari lagi, dan saya sudah bersedia. In shaa Allah.

Bil TNB

Selalu cepat sahaja orang kita ini bising apabila ada perkara yang buat mereka terperanjat. Terperanjatkan bil elektrik yang mencanak, terus marah TNB.

Nanti dulu. Jangan cepat melatah. Kita ada SPM kan? Masa sekolah dulu belajar Matematik kan? Ada bab kadar kan? Eh, itu masa PMR/PT3. Oh, dah lupa. Tak apalah, cuba-cubalah ingat balik ya.

Saya pun sebenarnya terkejut melihat bil elektrik saya sejumlah RM800++ untuk tiga bulan. Banyaknya! Betul ke TNB ni? Selalu tak sampai pun RM200 sebulan.

Tetapi saya bukan cepat melatah. Mula- mula tengok memang terkejut dan nak marah, tetapi saya tatap bil itu dalam-dalam. Saya baca setiap satu tulisan yang ada. Saya kira, saya hitung, dan apa yang saya dapati semuanya betul. Dari bacaan meter, dari kadar harga, dan pengiraan yang dibuat. Tiada apa yang silap.

Kesimpulannya, TNB tak salah pun. Saya yang salah kerana tak pandai berjimat.

Kalau tiga bulan ini pendingin hawa bilik saya tak pernah tutup, logiklah bil elektrik saya naik. Kalau tiga bulan ini tv astro dalam bilik saya pun tak pernah tutup, malah hidup sampai tengah malam, logiklah bil elektrik naik. Kalau tiga bulan ini memang kami asyik di rumah tak keluar ke mana-mana, lampu terpasang seharian (sebab bilik saya gelap), cas telefon dua tiga biji (biasanya kerap juga cas di sekolah) serentak, laptop lagi, memasak dengan periuk elektrik setiap hari (biasanya pada hujung minggu sahaja), apalah nak dihairankan bila bil elektrik naik?

Kasihan TNB. Orang itu marah, orang ini marah, buat penjelasan pun kena marah, tak tahu dah TNB nak buat macam mana. Orang kita, begitulah. Silap sendiri susah benar diakui, asyik nak tuding kat muka orang aje!

Monday, June 08, 2020

Jaga Badan

Sebenarnya saya malas nak terlibat dengan benda-benda tular ni, tapi kalau dah lalu depan mata hari-hari, rasa juga nak komen, tapi di sini sajalah, di blog sendiri.

Wanita kena jaga badan, baru suami tak lari. Itulah isunya. Bising seluruh alam sebab yang menulis itu seorang yang ada pengaruh.

Pandangan saya?

Eh, kalau suami saya nak lari, biarkanlah. Dia dah tak nak kat kita, buat apa nak terhegeh-hegeh. Bukan saya tak boleh hidup pun tanpa dia.

Jaga badan? 

Ya,badan kenalah jaga, kan nak pakai lama. Bukan sebab tak nak suami lari, tapi untuk kesihatan kita. Itu pun nak kena explain panjang-panjang ke?

Kesimpulannya, jangan takut kalau suami lari. Hidup mesti terus. Allah kan ada.

Sunday, June 07, 2020

Memori PKP

Hari ini PM umum PKP Pemulihan pula bermula 10 Jun hingga 31 Ogos.

Disember 2019 Covid19 mula memunculkan diri di Wuhan, China. Malaysia masih selamat sehinggalah pada 25 Januari 2020 apabila kes pertama dikesan iaitu pelancong China. Kes seterusnya pun masih lagi kes import dan keadaan terkawal, tiada sebarang tindakan oleh kerajaan PH waktu itu.

Kebetulan kerajaan bertukar, kes semakin meningkat. Atas nasihat KKM, Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan bermula 18 Mac.

Fasa 1: 18 Mac - 31 Mac
Fasa 2: 1 April - 14 April
Fasa 3: 15 April - 28 April
Fasa 4: 29 April - 12 Mei (PKP Bersyarat bermula 4 Mei)
Fasa 5: 13 Mei - 9 Jun
Fasa 6: 10 Jun - 31 Ogos (PKP Pemulihan)

Kes Covid19 masih belum sifar tetapi trend penurunan dalam kalangan warganegara menunjukkan ada kejayaan yang dicapai daripada arahan PKP ini. Semoga akan berakhirlah juga wabak ini nanti, amin.

Saturday, June 06, 2020

Jawatan

Waktu sekolah rendah, saya dipilih untuk jawatan pengawas semasa darjah empat. Seronoknyalah, tak terkata. Rasa bangga sangat dapat jawatan itu kerana boleh pakai uniform yang berbeza. Nampak hebat gitu!

Naik sekolah menengah, satu apa jawatan pun saya tak ada sebab saya sangat low profile. Yalah, di MRSM semua murid hebat, saya jadi tenggelam. Nak pegang apa jawatan pun kena mohon, lepas tu ada temuduga. Manalah saya mahu? 

Sehinggalah pada tingkatan empat, saya mohon untuk jadi AJK Pemakanan Maktab. Bukan apa, bimbang nanti bila isi borang berhenti sekolah, tak ada jawatan langsung. Malulah pulak. Yang ini tiada temuduga, dan saya terpilih. Tugasnya ialah menjaga dewan makan pada waktu malam, lepas prep. Kamilah kena agihkan makanan waktu itu sebab petugas dewan makan dah balik. Seronoklah juga.

Habis sekolah menengah, saya ke Matrikulasi. Kali ini saya mohon jadi Pustakawan dan terpilih. Sungguh saya teruja dengan jawatan ini sebab saya boleh bertugas di perpustakaan dan bebas berada di dalamnya. Sangatlah kena dengan jiwa.

Masuk universiti, jawatan perlu ada bagi kekal di kamsis. Kalau tidak saya akan dibuang kamsis dan kena menyewa di luar. Saya memang tak mahu menyewa di luar sebab kamsis saya sangat dekat dengan fakulti. Jalan kaki lima minit je dah sampai fakulti. Kelas pukul 8, pukul 7.45 baru saya bangun tidur. Kalau menyewa di luar saya akan susah, nak kena bangun awal, nak kena naik bas pergi balik. Oh tidak!

Jadi saya mohon jadi AJK Pusat Komputer Kamsis dan selama empat tahun saya setia dengan pusat itu. Seronok sebab saya tidak perlu beli komputer sendiri. Saya boleh guna kemudahan komputer di pusat itu secara percuma. Selamatlah duit saya sebab harga laptop zaman itu mencecah RM6k seunit. Memang tak mampulah!

Satu lagi, saya menyertai Kelab Kompang Kamsis. Seronok juga sebab kami selalu dijemput untuk buat persembahan di majlis yang hebat-hebat termasuklah majlis konvokesyen. Jangan tak tahu, sayalah pemain kompang di majlis konvokesyen UKM pada tahun 1995. Hebat tak?

Itulah kisah-kisah jawatan saya sewaktu belajar dahulu. Ia kenangan, dan tentunya tidak terlupakan.

Tuesday, June 02, 2020

TV3

Selamat ulangtahun ke-36 TV3, rangkaian TV swasta pertama di Malaysia.

Sewaktu TV3 dilancarkan pada 1 Jun 1984, hanya penduduk di Lembah Kelang sahaja yang boleh menerima siarannya. Kami di Pantai Timur hanya mampu membaca di akhbar sahaja tentang reaksi penonton yang rata-rata begitu teruja dengan TV3. Rasa tak sabarnya menanti ketibaan TV3 di tempat kami.

Memang siarannya jauh berbeza dengan apa yang ada di RTM. Kata cikgu saya, montaj awalnya pun dan macam rancangan raya dah. Ada percikan bunga api, ada muzik dan penuh warna-warni.

Banyak rancangan TV menarik yang disiarkan, sama ada import atau tempatan. Magnum P. I., Baywatch, Dynasty, semuanya mendapat sambutan. Muzik Muzik, Cerekarama, Majalah 3, Nona pun mengundang reaksi positif. Malah siaran Berita TV3 pun dipuji kerana para penyampainya yang kacak dan jelita. Saya ternanti-nanti bilalah siaran TV3 ini akan dipancar ke Pantai Timur.

Dari setahun ke setahun, TV3 menambah lagi siarannya ke negeri-negeri sekitar, dan pada Oktober 1987 barulah tiba di Kelantan. Begitu teruja rasanya apabila menerima siaran TV3 ini walaupun sudah lebih tiga tahun orang lain menikmatinya.

Benarlah, bila ada TV3, memang RTM menjadi pilihan kedua. Semua rancangan TV3 menarik dan saya yang baru selesai SRP waktu itu, memang kerja menghadap TV sahaja. Saya tonton semua rancangan dan paling best ialah drama Hong Kong jam 6.30 petang. Ayah pula seperti membiarkan saja saya menjaga TV Toshiba Blackstripe 14 inci itu dan rela melupakan Berita RTM jam 6 petang demi anaknya menonton cerita Cina. Sporting kan ayah!

Toshiba Blackstripe

Ada positifnya juga kewujudan TV3 ini kerana RTM turut meningkatkan mutu rancangannya. Persaingan sihat, orang kata. RTM pun sudah memilih pembaca berita yang muda dan berpenampilan menarik untuk menyaingi TV3.

Kini, selepas 36 tahun, dan selepas wujud siaran TV satelit, TV3 masih gah di medannya yang tersendiri. Selamat maju jaya TV3 dan teruslah melangkah membawa perspektif baru dunia penyiaran.

Monday, June 01, 2020

Letih

Ini kisah malam tadi.

Kami berbuka puasa sebaik azan Maghrib berkumandang pada jam 7.24. Lauk yang saya masak ialah ikan bawal percik, ayam kampung goreng dan ulam celur (pucuk paku dan petola) cicah budu. Alhamdulillah, selesai puasa sunat Syawal kami yang kelima. Tinggal sehari sahaja lagi.

Usai solat Maghrib, kami menonton berita di TV3 sambil bersembang isu terkini. Perut saya tiba-tiba rasa memulas. Sementara menanti Isyak, saya ke dapur mengemas dan menyediakan bahan untuk sahur pagi nanti. Cadangnya mahu goreng ikan dan masak sayur lemak petola sahaja. 

Dua keping daging burger saya bakar untuk suami saya. Saya sendiri rasa sudah kenyang, dan perut pula masih memulas on off.

Usai menemani suami makan, saya ke bilik air untuk menyelesaikan perut yang memulas ini tetapi tidak mahu ia berhenti. Saya kesakitan yang amat. Bayangkan, perut memulas tetapi tiada apa yang keluar. Berpeluh-peluh saya menahan rasa. Dari jam 9.30 malam, sehingga ke 11.30 masih begitu. Suami cuba urut belakang saya, tetapi tidak berkesan pun.

Saya muntah pula. Angin menendang-nendang dalam perut. Letih pun ya bila asyik berulang ke tandas. Badan berpeluh-peluh tetapi rasa sejuk seperti mahu demam. Aduh! Bilalah dia mahu keluar, asyik memulas sahaja berjam-jam. Saya bersolat Isyak dalam kesakitan.

Jam sudah hampir 11.30. Saya buntu dan letih. Saya teringat ubat Buscopan masih ada dalam simpanan. Saya telan dua biji, untuk kurangkan rasa memulas ini. 

Akhirnya terburai juga isi perut saya selepas dua jam menahan kesakitan. Walaupun belum habis sempurna, dapatlah saya tidur sebentar. Jam 1.00 pagi saya terjaga untuk ke tandas lagi. Selepas tiga kali berulang, Alhamdulillah perut saya lega. Jam 2.00 saya sudah boleh tidur lena.

Dek sakit begini, kami tidak jadi berpuasa hari ini. Tidak mampu saya bangun bersahur dalam keletihan. In shaa Allah, sehari sahaja lagi yang berbaki akan kami tunaikan pada esok. 

Sakit saya ini sebenarnya membingungkan. Saya tidak tahu kenapa mesti susah benar mahu membuang walaupun perut memulas seperti mahu beranak. Saya mahu ke hospital untuk pemeriksaan tetapi musim PKP ini seperti menghalang. Sudah dua kali sakit yang sebegini teruk berlaku. Menanti temujanji pada 18 Ogos ini terasa lama benar.

Harapnya, saya tidak lagi mengalami sakit sebegini selepas ini. Amin.