Kami berbuka puasa sebaik azan Maghrib berkumandang pada jam 7.24. Lauk yang saya masak ialah ikan bawal percik, ayam kampung goreng dan ulam celur (pucuk paku dan petola) cicah budu. Alhamdulillah, selesai puasa sunat Syawal kami yang kelima. Tinggal sehari sahaja lagi.
Usai solat Maghrib, kami menonton berita di TV3 sambil bersembang isu terkini. Perut saya tiba-tiba rasa memulas. Sementara menanti Isyak, saya ke dapur mengemas dan menyediakan bahan untuk sahur pagi nanti. Cadangnya mahu goreng ikan dan masak sayur lemak petola sahaja.
Dua keping daging burger saya bakar untuk suami saya. Saya sendiri rasa sudah kenyang, dan perut pula masih memulas on off.
Usai menemani suami makan, saya ke bilik air untuk menyelesaikan perut yang memulas ini tetapi tidak mahu ia berhenti. Saya kesakitan yang amat. Bayangkan, perut memulas tetapi tiada apa yang keluar. Berpeluh-peluh saya menahan rasa. Dari jam 9.30 malam, sehingga ke 11.30 masih begitu. Suami cuba urut belakang saya, tetapi tidak berkesan pun.
Saya muntah pula. Angin menendang-nendang dalam perut. Letih pun ya bila asyik berulang ke tandas. Badan berpeluh-peluh tetapi rasa sejuk seperti mahu demam. Aduh! Bilalah dia mahu keluar, asyik memulas sahaja berjam-jam. Saya bersolat Isyak dalam kesakitan.
Jam sudah hampir 11.30. Saya buntu dan letih. Saya teringat ubat Buscopan masih ada dalam simpanan. Saya telan dua biji, untuk kurangkan rasa memulas ini.
Akhirnya terburai juga isi perut saya selepas dua jam menahan kesakitan. Walaupun belum habis sempurna, dapatlah saya tidur sebentar. Jam 1.00 pagi saya terjaga untuk ke tandas lagi. Selepas tiga kali berulang, Alhamdulillah perut saya lega. Jam 2.00 saya sudah boleh tidur lena.
Dek sakit begini, kami tidak jadi berpuasa hari ini. Tidak mampu saya bangun bersahur dalam keletihan. In shaa Allah, sehari sahaja lagi yang berbaki akan kami tunaikan pada esok.
Sakit saya ini sebenarnya membingungkan. Saya tidak tahu kenapa mesti susah benar mahu membuang walaupun perut memulas seperti mahu beranak. Saya mahu ke hospital untuk pemeriksaan tetapi musim PKP ini seperti menghalang. Sudah dua kali sakit yang sebegini teruk berlaku. Menanti temujanji pada 18 Ogos ini terasa lama benar.
Harapnya, saya tidak lagi mengalami sakit sebegini selepas ini. Amin.
No comments:
Post a Comment