Saturday, January 30, 2021

Matematik

Walaupun Sabtu, saya diarahkan oleh Tuan PKP untuk hadir ke sekolah pada jam 3 petang kerana ada Webinar Matematik yang dianjurkan oleh Parlimen Ketereh. Saya akur.

Anak-anak Tingkatan 5 sekolah saya hampir 90% menginap di asrama. Mereka tentunya tiada data internet, tiada laptop malah telefon pintar pun dilarang untuk dibawa ke asrama. Bagaimanalah mereka mahu melayari webinar ini jika bukan guru yang membantu?

Jam 2.37 petang, suami tersayang menghantar saya ke sekolah dan saya terus menuju ke Bilik Seminar untuk memulakan operasi. Anak-anak yang hadir sudah terlatih dalam menyambung laptop ke skrin dan membuka laman zoom. Semuanya berjalan lancar dan terpancarlah wajah penceramah Matematik yang bernama Mr. Suthan itu untuk memberi penerangan teknik menjawab.

Selamat mengikuti webinar anak-anak, semoga tersentuhlah hati kalian untuk memburu kecemerlangan.

Thursday, January 28, 2021

Kuarantin

Sabtu itu (23 Januari) suami saya menerima berita yang seorang pekerja kantin sekolahnya disahkan positif Covid-19. Selama dua hari persekolahan minggu lepas (Rabu dan Khamis), suami saya memang ke kantin dan berurusan dengan pekerja itu yang bertugas di bahagian minuman. Terkejut juga, tetapi saya tenang-tenang sahaja.

Dalam berfikir apa yang perlu kami lakukan, saya dan suami memutuskan untuk mengelak daripada mengunjungi ahli keluarga. Awalnya kami mahu juga melakukan swab test, tetapi kata Pengetua sekolahnya, jika tidak bergejala tidak perlu swab test cuma patuhi SOP sahaja. Perlu ke sekolahkah? Ya, katanya.

Guru-guru sekolah suami saya kalut juga tetapi mereka teruskan bekerja seperti biasa. Saya dan suami pun begitulah. Teruskan kehidupan dalam berjaga-jaga. Alhamdulillah kami tiada apa-apa gejala setakat ini.

Hari ini sudah seminggu berlalu. Kami masih sihat tetapi tetap akan berada di rumah tanpa ke mana-mana kecuali ke sekolah. Semoga Allah melindungi kami dari segala mudarat, amin.

Di Sini

Bermula sudah segalanya. Pada pagi 20 Januari 2021 itu, saya dengan semangat menyala-nyala melangkah kaki menuju ke sekolah untuk berkhidmat setelah lama mengurung diri tanpa bekerja sejak 9 November 2020. Bayangkan keterujaan yang ada dalam diri saya, begitu tidak terhingga.

Saya rindu aroma tempat kerja saya. Saya rindu keriuhan kelas anak-anak murid saya. Saya rindu mesra tawa dan sapaan rakan guru saya. Rindu itu terbawa-bawa sejak lama, sehingga hadir dalam mimpi yang tak sudah.

Rabu itu, segala-galanya indah. Cuaca yang sempurna, suasana yang ceria. Terima kasih Tuhan mengembalikan norma ini dalam kehidupan. Betapa lama saya bertapa dalam ketidaktentuan memikirkan pelbagai perkara tentang anak-anak murid yang saya tinggalkan, hari ini wajah mereka dapat saya tatap dan suara mereka dapat saya  dengar. Alhamdulillah mereka masih sihat dan ceria walaupun semangat mereka sedikit tercalar. Tuhan, bantulah mereka meneruskan perjuangan.

Pulang ke rumah saya rasa lega, rasa nyaman. Rasa terlepas segala rindu dendam. Esok saya akan meneruskan lagi perjalanan dan akan tetap menyemai segala keikhlasan yang ada demi kelangsungan sebuah kehidupan.

Semoga Allah reda.

Sunday, January 10, 2021

Atomy

 "Ti tau tak pasal Atomy?"

"Apa tu kak? Tak pernah dengar.."

Itulah permulaannya. Seorang rakan guru menghantar pesanan WhatsApp kepada saya pada pagi 13 November 2020, mengajak saya menyertai bisnes Atomy.

Sungguh saya tidak pernah tahu pun tentang Atomy. Sangka saya ia cuma sebuah online shopping seperti Lazada atau Shopee. Saya tidak berminat mencari maklumat dan tidak bertanya banyak dengan rakan saya itu. Saya cuma kata kalau bisnes ini saya kena cari ahli bawah (downline) saya tak mahu. Katanya tak perlu, hanya membeli di appsnya sahaja.

Oklah. Saya setuju menjadi ahli. Lagipun percuma. Saya memang tak kisah bila tak berbayar. Nanti suka hati sayalah nak beli ke tak.

Rupa-rupanya Atomy ini sejenis MLM juga. Bila saya tahu begitu, saya nekad untuk tidak berurusniaga langsung. Saya memang tidak suka perniagaan MLM tidak kiralah ia patuh syariah atau tidak.

Selang beberapa minggu, rakan saya itu menghubungi saya lagi. Rupanya dia tahu saya tidak membeli apa-apa di Atomy.

Apa yang saya nak beli? Barangan Atomy langsung tidak menarik minat saya. Saya lagi seronok berbelanja di Shopee. Sungguh, saya tak tipu. Saya tak tahu nak beli apa di Atomy walaupun banyak promosi barangannya lalu di wall facebook saya.

Rakan saya itu mula memujuk, meminta saya membeli apa-apa sahaja di Atomy. Saya degil, saya kata saya tak mahu.

Tidak lama kemudian timbul isu di media sosial tentang status perniagaan Atomy. Saya hanya mengikuti secara senyap dan faham apa yang berlaku. Saya tidak tahu pula apa reaksi kawan saya itu kerana dia tidak lagi menghubungi saya.

Apa yang ingin saya nyatakan ialah, kalau pun Atomy itu tidak terpalit isu Kristianisasi ini, saya tetap tidak mahu mengaktifkan diri. Katalah apa sahaja, saya tidak mampu mendidik diri saya untuk jadi ahli perniagaan, aktif atau pasif.

Saya tetap seorang guru. Berniaga biarlah orang lain lakukan.

2021

Sudah sepuluh hari 2021 kita tempuhi. Dalam sepuluh hari pertama ini sudah pelbagai cerita yang tiba, dengan pelbagai rasa.

Covid semakin menggila, politik semakin menggegar jiwa, banjir pula masih belum mahu surut, dan kapal terbang Indonesia terhempas semalam.

Suasana masih menakutkan. Doa masih perlu diteruskan. 

Saya pula sudah melangkah ke tahun terakhir usia empat puluhan dan tahun depan genaplah separuh abad. Apa yang saya ada? Apa yang saya beri? Semua itu masih perlu ditingkatkan.

Dunia akan beginilah, sentiasa tidak mampu diramal. Apa yang kita harap tidak semestinya kita dapat. Semoga kita sentiasa tabah dan terus bertawakal. 

Selamat datang 2021. Suka atau tidak, kami tetap menerima dengan reda.