"Ti tau tak pasal Atomy?"
"Apa tu kak? Tak pernah dengar.."
Itulah permulaannya. Seorang rakan guru menghantar pesanan WhatsApp kepada saya pada pagi 13 November 2020, mengajak saya menyertai bisnes Atomy.
Sungguh saya tidak pernah tahu pun tentang Atomy. Sangka saya ia cuma sebuah online shopping seperti Lazada atau Shopee. Saya tidak berminat mencari maklumat dan tidak bertanya banyak dengan rakan saya itu. Saya cuma kata kalau bisnes ini saya kena cari ahli bawah (downline) saya tak mahu. Katanya tak perlu, hanya membeli di appsnya sahaja.
Oklah. Saya setuju menjadi ahli. Lagipun percuma. Saya memang tak kisah bila tak berbayar. Nanti suka hati sayalah nak beli ke tak.
Rupa-rupanya Atomy ini sejenis MLM juga. Bila saya tahu begitu, saya nekad untuk tidak berurusniaga langsung. Saya memang tidak suka perniagaan MLM tidak kiralah ia patuh syariah atau tidak.
Selang beberapa minggu, rakan saya itu menghubungi saya lagi. Rupanya dia tahu saya tidak membeli apa-apa di Atomy.
Apa yang saya nak beli? Barangan Atomy langsung tidak menarik minat saya. Saya lagi seronok berbelanja di Shopee. Sungguh, saya tak tipu. Saya tak tahu nak beli apa di Atomy walaupun banyak promosi barangannya lalu di wall facebook saya.
Rakan saya itu mula memujuk, meminta saya membeli apa-apa sahaja di Atomy. Saya degil, saya kata saya tak mahu.
Tidak lama kemudian timbul isu di media sosial tentang status perniagaan Atomy. Saya hanya mengikuti secara senyap dan faham apa yang berlaku. Saya tidak tahu pula apa reaksi kawan saya itu kerana dia tidak lagi menghubungi saya.
Apa yang ingin saya nyatakan ialah, kalau pun Atomy itu tidak terpalit isu Kristianisasi ini, saya tetap tidak mahu mengaktifkan diri. Katalah apa sahaja, saya tidak mampu mendidik diri saya untuk jadi ahli perniagaan, aktif atau pasif.
Saya tetap seorang guru. Berniaga biarlah orang lain lakukan.
No comments:
Post a Comment