Saturday, July 31, 2021

Poster Sua Maya

Kepala saya sakit ni, menghadap laptop lama sangat. Eh, bukan buat PdPR. Hari ini kan Sabtu, mana ada PdPR.

Sekolah saya suruh saya buat poster untuk program Sua Maya SPM. Cantik nama program kan? Biasalah, mana boleh kita biarkan pelajar belajar sendiri tanpa bimbingan. Siang dah ada PdPR, malam kita Sua Maya pula. Hentam sajalah!

Dan saya yang bijak IT ini tentunya diminta untuk membuat poster bagi setiap sesi mata pelajaran. Minggu ini ada lima sesi, jadi limalah poster perlu saya hasilkan. No problem, saya suka saja. Bukan susah pun, hadap je Power Point tu. Cuma, bila dah siap, kepala saya pun sakit. Aduh!

Tak apa, saya lagi suka disuruh buat benda ini daripada buat benda-benda lain. Sakit pun sakitlah, bukan lama mana sakitnya. Dah tidur nanti sembuhlah.

Ini hasil untuk minggu ini. Baru tiga poster boleh diupload sebab yang dua lagi belum ada link google meet.

Siapa berminat untuk join, silakan!

Oh ya, cantik- cantik kan cikgu sekolah saya?

Thursday, July 29, 2021

Garis Masa

Jam 10.35 pagi. Apa saya sudah selesaikan untuk hari ini? 

Sejak dua hari lepas saya (dan suami) mengurung diri. Jangan kata ke kedai membeli barang, keluar pagar pun tidak. Rumah di hadapan ini, sekeluarga dijangkiti covid. Rumah di hujung sebelah timur pun begitu juga. Kata suami saya, dia ada bertemu mereka sesekali, tetapi dalam SOP yang terjaga. Pun masih kami risau untuk keluar. Takut membawa virus ke sana ke mari. Lalu bertapalah kami di istana cinta kami ini tanpa ke mana-mana. Makanlah apa yang ada.

Suami saya sebenarnya baru selesai suntikan dos kedua vaksin Pfizer pada Selasa lalu. Baru dua hari. Saya terbaca yang pada minggu pertama selepas suntik, badan sedang membina antibodi jadi imuniti sedang rendah dan lemah. Semalam badannya panas. Saya bagi panadol. Hari ini nampak ok, tetapi tetap perlu berhati-hati. Saya risau macam-macam, takut kalau-kalau ada kesan sampingan yang teruk. Suami saya ini banyak pantang larangnya. Makan itu jadi gatal, makan ini jadi angin. Manja. Bukan dia, badannya. 

Bertahanlah saya dalam keadaan begini. Mahu mengeluh pun tiada guna. Negara sedang gawat dengan wabak. Kami hanya terkesan sedikit, tidak perlu bising-bising. Bersabar sahajalah.

Masa yang menanti di hadapan entah berapa lama. Bersedialah, dan pasrahlah.

Tuesday, July 27, 2021

Jiwa

Saya bukan tertekan, tetapi saya tidak tenang. Saya rasa kacau. Serabut. Buntu.

Apa saya mahu?

Saya mahu tenang dengan diri saya sendiri. Saya tidak mahu diserabutkan dengan urusan lain selain urusan saya. Saya mahu bebas bertindak dan membuat keputusan. Saya mahu lakukan segala yang saya suka tanpa gangguan, apatah lagi leteran.

Bolehkah begitu?

Sunday, July 25, 2021

Sesak Dada

Melihat bilangan kes hari ini, dada saya sesak sungguh. Jumlah yang melebihi 17K, dan kumulatifnya 1M. Allahuakbar!

Apa sebenarnya yang sedang kita hadapi ini? Saya takut. Sungguh rasa takut itu tidak dapat saya hindari. Saya benar-benar berkata benar. Apa perlu kita buat lagi?

Kaum keluarga saya ada di serata negara. Di Johor, di Selangor, di Putrajaya, di Terengganu, dan di Kelantan tentunya. Juga sahabat dan saudara mara yang tidak terkira ramainya di seluruh Malaysia ini. Mereka saya kasihi, dan saya mahu mereka dilindungi. Pun memadaikah dengan hanya berdoa?

Doa tentu sekali tidak pernah lupa untuk dipanjatkan, tetapi Allah suruh kita berikhtiar yakni lakukan sesuatu. Apa?

Darurat sudah. Lockdown sudah. Rakyat sengsara sudah. Tetapi semua ini masih belum mahu sudah. Rakyatkah yang bersalah?

Tuhan, pandulah kami!

Menghitung Doa

Setiap hari berlalu, akan ada liku untuk kita tempuh. Kekuatan hati Allah beri berbeza-beza, ada yang utuh bagai gunung, ada yang rapuh seperti kaca. Dan saya mudah benar ditakluk emosi. Sedikit sahaja luka, tangis bagai esok sudah tiada.

Saya cuba mengelak dari dihantui rasa bimbang dan risau tetapi nyata ia tidak mudah. Lena pasti terganggu memikirkan resah yang tidak diundang. Mujur ia beriring doa dan harap. Saya yakin benar Allah itu mendengar. Itu penawar paling mujarab.

Titipkanlah doa untuk semua, agar diberi bahagia dan tenang sentiasa. Dan dipanjangkan usia dalam sihat dan ceria, untuk terus menghulur bakti seikhlas rasa.

Saudara-saudara saya yang sedang diuji, doa dari saya tidak pernah akan berhenti.

Friday, July 23, 2021

Foto Aidil Adha

 




















Salam Aidil Adha

Selasa, 20 Julai 2021 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1442 kami menyambut Aidil Adha dengan penuh kesyukuran.

Alhamdulillah, Aidil Adha ini tidak sesunyi Aidil Fitri lalu. Kami boleh bergerak, tidak disekat dari keluar rumah dan berkunjung ke rumah keluarga di sekitar. Mengenang Aidil Fitri itu, rasa mahu menangis. Mujur Aidil Adha ini mengubat rasa.

Di rumah, pagi-pagi lagi saya memasak nasi lemak untuk sarapan berdua. Tidak banyak, cukup-cukup untuk sarapan. Nasi impit dan ketupat palas saya sediakan juga (yang segera semuanya) untuk dibawa ke rumah ma dan mek.

Lewat juga kami turun, biar semua selesai solat sunat dahulu. Jam 9.00 pagi baru kami bergerak.

Mula-mula kami ke rumah mek. Di sini sunyi. Semua yang lain masih berada dalam rumah masing-masing, mungkin sedang makan-makan. Mek sendirian di tangga. Katanya makanan ada banyak, tetapi dia belum mahu makan. Makanlah mek, nanti perut masuk angin. Nantilah.

Seterusnya kami menuju ke rumah ma pula. Menyambut kami di pintu, Muhammad yang sedang bermain telefonnya. Aziah sedang berbual dengan ma sementara Muiz dan Areef sedang asyik bermain telefon di ruang tamu. Selang beberapa minit, Husna dan keluarga pula sampai bersama makanan yang banyak dan pelbagai.

Meriahnya kali ini. Hati berbunga bahagia. Lama tidak melalui suasana begini. Syukur ya Allah, ada ruang lagi untuk kami berkumpul. Semoga selamat semuanya dan diberkati.

Saya tidak boleh lama, walaupun mahu. Kasihan suami saya nanti bosan pula dia. Jadi kami pulang kembali ke teratak cinta kami di Chenok.

Begitu hari raya kali ini, ada indah tanpa gundah. Semoga adik beradik saya yang lain, yang beraya di tempat masing-masing juga ceria dan bahagia bersama keluarga tersayang. Di mana pun kalian, doa dari saya sentiasa mewangi.

Saturday, July 10, 2021

Youtube

Nampaknya data internet saya cepat benar mengering sejak PdPR berleluasa ini. Apa tidaknya, asyik-asyik cari video di Youtube untuk dikongsi dengan anak-anak murid.

Biarlah orang nak mengata saya guru yang malas ke apa. Memang cikgu-cikgu yang buat video dalam Youtube itu mahu video mereka dikongsi. Jadi saya tidak buat salah apa-apa kan? 

Mahu Google Meet, saya tidak punya upaya mengajar secara langsung dari rumah. Dengan talian putus-putus, anak-anak murid mengadu tak nampak saya, dan bukan semua pun dapat bersama pada masa yang saya tetapkan itu, jadi saya jarang benar ber Google Meet. Pada kebanyakan waktu, Youtube menjadi pilihan utama saya.

Alhamdulillah, saya dapat rasakan yang anak-anak murid saya boleh terima pengajaran begini. Saya beri ruang yang fleksibel untuk mereka dan isi kandungan juga tidak melebih-lebih. Cukup satu kemahiran untuk satu tontonan, dan esoknya latihan. Begitu. Memang lambatlah selesai satu bab, tetapi itu yang termampu.

Namun jauh di sudut hati, saya ada rasa bersalah dengan mereka. Selain rindu untuk mengajar bersemuka, saya mahu sekolah segera dibuka untuk menebus kembali segala masa pengajaran yang tidak sempurna ini. Saya berdoa agar Allah beri kesempatan itu kerana saya benar-benar diburu rasa bersalah dengan anak-anak murid saya.

Ya Allah, tamatkanlah segala kekalutan ini. Kami mahu kembali kepada kehidupan yang tenang dan damai dwmi sebuah keredaan dari-Mu. 

Monday, July 05, 2021

Ujian Kehidupan

Cuba kita usaha untuk biasakan membaca doa ini. Bukan setakat baca, bahkan fahami dan hayati maknanya.

رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذۡنَآ إِن نَّسِينَآ أَوۡ أَخۡطَأۡنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تَحۡمِلۡ عَلَيۡنَآ إِصۡرً۬ا كَمَا حَمَلۡتَهُ ۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِنَا‌ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلۡنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ‌ۖ وَٱعۡفُ عَنَّا وَٱغۡفِرۡ لَنَا وَٱرۡحَمۡنَآ‌ۚ أَنتَ مَوۡلَٮٰنَا فَٱنصُرۡنَا عَلَى ٱلۡقَوۡمِ ٱلۡڪَـٰفِرِينَ 

"Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir".

(Al Baqarah:286)  

Doa ini terlalu unik. Doa ini kita meminta Allah supaya memaafkan kesilapan kita, jangan beri bebanan yang kita sendiri tidak mampu, dan penutup doa ini disudahi dengan minta keampunan, rahmat dan kekuatan. 

Saya kongsikan satu hadis untuk kita hayati. 

Rasulullah ﷺ bersabda yang bermaksud,  

"Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya." (Riwayat Muslim).  

Moga kita terpilih menjadi seorang yang memiliki dua sayap agung, iaitu sayap syukur dan sayap sabar. 

Amin.  

Wallahua'lam.