Friday, July 23, 2021

Salam Aidil Adha

Selasa, 20 Julai 2021 bersamaan dengan 10 Zulhijjah 1442 kami menyambut Aidil Adha dengan penuh kesyukuran.

Alhamdulillah, Aidil Adha ini tidak sesunyi Aidil Fitri lalu. Kami boleh bergerak, tidak disekat dari keluar rumah dan berkunjung ke rumah keluarga di sekitar. Mengenang Aidil Fitri itu, rasa mahu menangis. Mujur Aidil Adha ini mengubat rasa.

Di rumah, pagi-pagi lagi saya memasak nasi lemak untuk sarapan berdua. Tidak banyak, cukup-cukup untuk sarapan. Nasi impit dan ketupat palas saya sediakan juga (yang segera semuanya) untuk dibawa ke rumah ma dan mek.

Lewat juga kami turun, biar semua selesai solat sunat dahulu. Jam 9.00 pagi baru kami bergerak.

Mula-mula kami ke rumah mek. Di sini sunyi. Semua yang lain masih berada dalam rumah masing-masing, mungkin sedang makan-makan. Mek sendirian di tangga. Katanya makanan ada banyak, tetapi dia belum mahu makan. Makanlah mek, nanti perut masuk angin. Nantilah.

Seterusnya kami menuju ke rumah ma pula. Menyambut kami di pintu, Muhammad yang sedang bermain telefonnya. Aziah sedang berbual dengan ma sementara Muiz dan Areef sedang asyik bermain telefon di ruang tamu. Selang beberapa minit, Husna dan keluarga pula sampai bersama makanan yang banyak dan pelbagai.

Meriahnya kali ini. Hati berbunga bahagia. Lama tidak melalui suasana begini. Syukur ya Allah, ada ruang lagi untuk kami berkumpul. Semoga selamat semuanya dan diberkati.

Saya tidak boleh lama, walaupun mahu. Kasihan suami saya nanti bosan pula dia. Jadi kami pulang kembali ke teratak cinta kami di Chenok.

Begitu hari raya kali ini, ada indah tanpa gundah. Semoga adik beradik saya yang lain, yang beraya di tempat masing-masing juga ceria dan bahagia bersama keluarga tersayang. Di mana pun kalian, doa dari saya sentiasa mewangi.

No comments:

Post a Comment