Saturday, December 31, 2022

Tamat

Untuk kali ke-51, saya menyambut tahun baru.

2023.

Saya suka Januari. Selain menjadi bulan kelahiran, Januari juga bulan pernikahan saya. Itu dua yang utama. Selainnya, Januari sentiasa menjadi tapak sebuah permulaan menuju azam dan cita-cita.

Semoga saja Januari ini memberi rasa yang nyaman untuk semua, memulakan sebuah perjalanan mencari syurga.

Persekolahan masih meneruskan sesi 2022, dan sesi baru akan bermula pada Mac nanti sebaik SPM selesai. Saya positif, dan sentiasa akan mencari sisi-sisi baik di sekitar saya supaya ada ceria dalam bekerja. Semoga Allah memberi kesihatan yang baik buat saya agar saya dapat mengoptimumkan sumbangan dalam bidang kecintaan saya ini.

Alhamdulillah untuk segalanya.

Tuesday, December 27, 2022

Cuti Sakit


Sekolah sedang bercuti, tetapi saya diberi cuti sakit. Saya terima saja.

Masalah biasa, tetapi membelenggu saya dengan rasa tidak nyaman. Saya sebenarnya ditugaskan untuk menghadiri kem Matematik Tambahan pada Khamis nanti, sebagai fasilitator tetapi dalam keadaan begini saya tentunya tidak selesa. Maka cuti sakit ini menjadi penyelamatnya.

Semoga saya diberi kesembuhan jua.

Amin.

Saturday, December 24, 2022

Rasa Ini

Saya benar-benar gelisah dan tidak tenang sejak Khamis lalu. Pada orang lain ia perkara yang sangat kecil, tetapi tidak bagi saya. Ia berat, malah semakin memberat.

Sejak awal pihak PPD memaklumkan tentang program KEMAH ini, saya sudah rasa tidak begitu mahu menyertai. Program ini baik, tetapi sudah dua minggu anak-anak didik saya berkurung di sekolah sewaktu cuti, dan hanya seminggu ruang untuk mereka berada bersama keluarga. Program KEMAH ini pula tarikhnya pada minggu ketiga, tentulah saya simpati pada mereka kerana terpaksa lagi mengorbankan waktu bercuti di sisi ibu ayah hanya kerana Matematik Tambahan!

Lalu saya suarakan kepada GK saya dan juga kepada PKP. Malangnya, mereka menolak permohonan saya dan tetap mahu kita menyertai. Tak mengapalah.

Tetapi - satu perkara lagi - pada tarikh yang sama, sekolah saya mengadakan mesyuarat guru di Hotel Perdana. Mesyuarat sebegini tidak pernah lagi saya ponteng. Saya begitu menjaga kehadiran saya dalam mesyuarat-mesyuarat utama sekolah seperti ini. Apabila saya ajukan kepada PKP, dia kata cikgu hadirlah mesyuarat itu, program KEMAH itu biar murid pergi sendiri.

Baiklah.

Tiba-tiba, PPD memaklumkan setiap sekolah perlu menghantar wakil guru dan sekolah saya dipilih menjadi ketua Fasilitator. Ah sudah!

Satu cara yang ada, ialah meminta cikgu Rohana hadir. Dia tidak perlu masuk mesyuarat kerana pada 30/12/22 dia akan pencen. Malangnya cikgu Rohana menolak dengan alasan dia akan pencen pada keesokan harinya. Untuk makluman, tarikh Program KEMAH ialah pada 29/12/22.

Lalu?

Tiada lagi pilihan lain, sayalah yang diarah untuk hadir.

Dan saya pun sedih.

Sedih kerana saya sudah mohon untuk tidak menyertai program ini tetapi ditolak. Kemudian saya terpaksa ponteng mesyuarat guru yang saya mahu hadir itu. Juga, saya akan menjadi ketua fasilitator.

Saya semakin sedih.

Siapakah yang boleh menenangkan saya sekarang?

Thursday, December 22, 2022

My PM


You didn't get any support from them but you've still gone down to the ground to help them. That's called being HUMAN, fair to everyone no matter what. Keep it up. 

Take care of yourself as well, our beloved PM.


Monday, December 19, 2022

Banjir Yang Duka

Dada saya sesak. Entah kenapa kali ini saya begitu mudah sebak. Setiap kali kisah mangsa banjir terpampang di laman sosial, saya akan hiba benar.

Kisah pertama, anak kecil 3 tahun bernama Sufi di Terengganu. Kisah kedua, anak kecil 2 tahun bernama Hilwa juga di Terengganu. Dan kisah ketiga, tiga beradik berusia 20 - 27 tahun di Kelantan.

Semuanya benar-benar meruntun perasaan saya hingga terbawa-bawa dalam fikiran. Sukar dilupakan.

Siapa pun tidak pernah mahu kejadian-kejadian begini berlaku. Tetapi ia berlaku juga tanpa kita pinta. Tidak dapat saya bayangkan kesedihan yang bagaimana ditanggung keluarga mereka. Mungkin bukan sekadar kesedihan tetapi juga kekesalan dan rasa bersalah yang akan menghantui hidup mereka pada jangka masa yang lama.

Allahuakbar!

Tidak mudah menghadapi kehilangan sebegini. Hanya Allah tempat kita mengadu dan memohon segala kekuatan agar kehidupan dapat kita teruskan. 

Yang pergi, biarlah pergi. Hanya doa mengiringi.

Friday, December 16, 2022

Haier Pula

Apabila mesin basuh LG saya meragam, rasa sedih sangat dalam hati saya. Ia mesin basuh kelima saya beli sejak berkahwin pada 1998. Saya berdoa agar mesin basuh ini dapat bertahan lebih lama.

Tetapi begitulah, kita hanya mampu mengharap. Kenyataannya, selepas 4 tahun 10 bulan saya bersamanya, dia mula mencipta masalah. Berkali-kali juga dibaiki tetapi masih enggan ia baik-baik semula.

Saya sayang padanya. Ragamnya tidaklah teruk, sekadar terbit error pada paparan LCDnya tetapi apabila kerap sangat begitu saya jadi terganggu. Tukang baiki pula selalu tidak tepat janji. Saya bosan.

Jomlah beli mesin basuh baru. Yang ini kita beri saja pada tukang baiki tu bila dia datang nanti. Mujur suami saya setuju.

Diringkaskan cerita, pada pagi Selasa 13 Disember 2022 terbelilah mesin basuh keenam kami berjenama Haier 14 kg, berharga RM1699 di G-Orange.

Harapan saya kali ini masih sama, agar ia dapat berkhidmat dengan lebih lama. Amin.

Thursday, December 15, 2022

Kelas

Sepanjang cuti sekolah 23 hari kali ini, saya diarahkan untuk ke sekolah mengendalikan kelas tambahan SPM beberapa kali. Saya ok sahaja.

Pagi ini, jam 8.20 saya sampai di sekolah. Terus saya menuju ke kelas dan memulakan sesi pertama sehingga jam 10.00. Semuanya baik-baik saja kerana anak-anak 5C1 ini sentiasa bersedia dan mendengar kata.

Jam 10.00, mereka rehat sehingga 10.30. Saya mengambil ruang ini untuk kembali ke bilik saya dah menyendiri seketika, mengecas kembali tenaga. Sangka saya begitulah.

Mana saya tahu di bilik yang saya jangka tiada orang itu rupa-rupanya sudah berpenghuni. Beberapa orang guru sedang berehat di situ dan tentunya berbual-bual. Ah, saya tidak mendapat ruang yang saya mahu!

Tidaklah dapat saya mengecas kembali tenaga apabila ada saja perkara yang mereka minta saya lakukan. Juga, saya tidak dapat melayan diri sendiri kerana suasana tidak lagi sunyi.

Aduh!

Susahnya menjadi saya yang sentiasa mahu kebersendirian walau di mana saya berada. Mendengar bualan atau menjawab pertanyaan sememangnya mengganggu ketenangan. Lalu ke mana saya harus pergi?

Sekarang saya kembali ke kelas. Anak-anak murid saya sedang khusyuk menjawab soalan jadi dapatlah saya melayan diri sendiri sebentar. Lega!

Tuesday, December 13, 2022

Temujanji

Ku di sini lagi, menanti dalam reda. Apa pun natijahnya, kuterima.

Kusedar, diri cuma hamba.

Friday, December 09, 2022

Cuti Disember

Hari ini 9 Disember 2022 bermulalah cuti sekolah di negeri-negeri Kumpulan A (Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor) selama 23 hari iaitu sehingga 31 Disember 2022.

Kali ini saya mahu memesrai cuti ini dengan aman dan nyaman. Dengan tenang dan tenteram. Seperti selalu.

Dalam cuti ini saya perlu juga hadir ke sekolah setiap Isnin, Rabu dan Khamis selama dua minggu untuk kelas tambahan SPM. Itu sudah menjadi rutin setiap kali cuti dan saya tiada masalah. Saya gembira bersama anak-anak murid saya. Saya sayangi mereka seikhlas hati. Doa saya tetap ada buat mereka, walau apa pun gred SPM mereka nanti. 

Selain itu, saya mahu menyelesaikan banyak urusan di rumah. Almari kain yang bersepah, bilik yang berabuk, dapur yang berselerak semuanya perlu saya selesaikan dalam cuti ini. Harapnya mood untuk itu akan tiba sesuai masanya.

Oh ya, penandaan kertas Percubaan SPM pun perlu disudahkan juga. Insya Allah minggu ini siaplah semua.

Dan itulah cuti untuk saya. Aman. Nyaman. Tenteram.

Tuesday, December 06, 2022

Lantang

Tidak saya tahu kenapa saya bersikap agak lantang kali ini.

Kisahnya, apabila yuran Kelab Guru sekolah saya berjumlah RM300 setahun dikenakan bagi tahun 2022, saya terdengar suara-suara rakan guru yang mengatakan jumlah itu terlalu besar. Saya pun memaklumkan rungutan ini kepada AJK Kelab Guru tetapi begitulah, ia diteruskan juga.

Saya secara peribadi tidak kisah pun dengan jumlah itu tetapi dari segi praktikalnya, saya mengharap pulangan yang sepadan kepada kami. Tetapi apabila setiap kali ada majlis yang dianjurkan guru masih diminta membayar wang lagi, tentu saya agak hairan. Untuk apa yuran sebesar itu jika masih lagi mengutip wang guru untuk majlis-majlis di sekolah?

Entahlah, saya rasa mereka agak kurang senang dengan saya yang berulangkali mengungkit hal ini dan mereka seperti cuba memberi pencerahan kepada saya seolah-olah jumlah itu memang sesuai kerana perbelanjaan kelab guru agak tinggi untuk tahun ini. Sudah tiga empat orang AJK Kelab Guru datang kepada saya dan menghuraikan dengan panjang lebar justifikasi mereka. Tidak perlulah sampai begitu. Saya cuma menyuarakan, dan saya katakan juga jika mereka benar-benar menggunakan dengan betul tidak mengapalah, tunjuk saja aliran tunai perbelanjaan mereka itu dalam belanjawan yang diaudit nanti. Selesai.

Risau pula saya jika nanti mereka sepakat memilih si lantang ini sebagai AJK Kelab Guru tahun depan. Sekolah ini memang jenis begitu, akan mencalonkan nama-nama orang yang agak tidak digemari dan yang suka komplen untuk menjadi AJK Kelab Guru.

Saya kena bersedialah kali ini nampaknya.

 

 

Wednesday, November 30, 2022

Hashim Mustapha

 

Hashim Mustapha pernah mewarnai hari-hari seorang saya yang meminati sukan bolasepak sewaktu di universiti dulu. Waktu itu saya seorang sahaja melayan minat begini kerana kawan-kawan sekitar saya langsung tidak mengambil tahu tentang liga bolasepak Malaysia yang penuh liku dan duri.

Sebagai penyerang pasukan Kelantan, nama dan wajah beliau selalu ada di suratkhabar. Saya potong dan simpan dalam satu fail dan setiap hari saya membelek fail itu untuk membaca dan melihat gambarnya. Saya meminati dia bukan hanya kerana wajah tampannya, tetapi kerana aksi hebat dan sifat mulia yang dia miliki. 

Apabila dunia bolasepak dicemari dengan rasuah dan jual beli perlawanan pada 1994, nama Hashim Mustapha tidak terkesan langsung. Dia tidak terlibat malah sentiasa menjaga wibawanya sebagai pemain terbaik yang memenangi anugerah kasut emas berkali-kali.

Itulah Hashim yang saya kagumi. 

Dua tahun lepas, saya mendengar berita yang kesihatannya merosot. Beliau menghidap kencing manis dan kakinya terpaksa dipotong. Hidupnya sekeluarga agak tertekan, dan kami di SMK Kampong Chengal menziarahnya beserta sedikit sumbangan.

Semalam beliau menghembuskan nafanya yang terakhir pada usia 56 tahun. Semoga tenanglah Hashim dalam pangkuan kasih sayang Allah, kami sentiasa mendoakan.

Al Fatihah.

Friday, November 25, 2022

Now

24 November 2022.

Alhamdulillah.

It's time for all Malaysians to stand united with Anwar Ibrahim and steer the Country in a positive, harmonious and prosperous direction.


Wednesday, November 23, 2022

Istana Menanti

Langkah ini terasa terhenti-henti. Depan kelabu, pedih memilu, masa bukan lagi temanku.

Masih jua aku mengharap cahaya. Biar pun harus meredah belukar, pecahan kaca menusuk tubuh berdarah. Sakitnya tiada terkira!

Istana menanti bertatah hati, berseri. Istana menanti tempat kita pasti.

Getar jari jemari bertaut pada harapan ini. Aku membilang hari, apa akan datang hari? Ku nanti, istana menanti pasti.

(Lama lagi ke nak kena nanti PM10 ni eh?)

Tuesday, November 22, 2022

Mengundi

PRU 15 sudah selesai.

Pagi Sabtu itu, saya bersedia mental dan fizikal untuk menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia. Saya akan membuang undi di SK Kadok, Saluran 2 dengan nombor giliran 517. 

Jam 9.00 pagi saya dan suami bersama-sama mek (yang bermalam di rumah kami) bergerak turun menaiki kereta Myvi AFR3113 menuju ke rumah mek. Mek kata dia tidak mahu keluar mengundi, dia tak larat. Tak apalah mek. Mek rehat-rehatlah. Kami menuju ke SK Kadok berdua saja, dan bertemu adik-adik saya - Ustaz Rifqi dan Ustazah Aziah - yang tiba pada masa yang sama dengan kami. Seperti berjanji pula.P

Proses mengundi selesai sekejap saja kerana orang tidak ramai. Alhamdulillah.

Menjelang malam, saya mula menunggu keputusan. Jangkaan saya sangat benar apabila keputusannya tiada pemenang majoriti. Rakyat Malaysia nampaknya semakin berani memilih mengikut kata hati tanpa terikat dengan parti tertentu. Saya suka begini walaupun terpaksa menunggu lama untuk pembentukan kerajaan.

Hari ini masih tiada lagi kerajaan Malaysia yang baru. Tidak mengapa, saya sabar menunggu. Semoga Allah memberi yang terbaik untuk negara kami.





Thursday, November 17, 2022

Bekerja


Tadi di kantin, kami sembang pasal pencen. Biasalah dah umur-umur macam ni tentunya topik pencen antara yang hangat dibincangkan.

"Kak Ti ada berapa tahun lagi berkhidmat?"

Itu antara soalan yang biasa ditanya. Ya, muka saya dah nampak tua sangat kan, mestilah itu gaya soalannya. Tak apa, saya tak kecil hati pun. Jawapannya, lagi sembilan tahun.

"Cukup enam puluh?" 

Ya, insya Allah.

Dalam sembang itu, pelbagai ulasan dan pandangan dikongsi. Saya mencelah juga bagi memeriahkan suasana. Di sinilah - di sekolah ini - tempat saya berhuha-huha, nanti balik rumah saya bersepi-sepi sendiri saja.

Kata seorang adik guru yang baik hati, kalau kita lambat pencen kita akan hanya ada masa yang singkat untuk menikmati hidup. Sebahagian besar hidup kita akan terpenuh dengan kerja, kerja dan kerja tanpa sempat merasai nikmatnya. 

Begitulah. Ada benarnya kata-kata adik guru ini. Benar jika kita merasakan kerja itu satu beban dan tidak menyeronokkan. Benar jika kita meletakkan nikmat hidup pada waktu-waktu santai kita sahaja yang bebas ke sana ke mari menjelajah alam dan melayan hobi.

Pada saya, segalanya terpulang pada diri kita sendiri. Bekerja itu menjadi seronok jika di dalamnya kita letak segala nilai yang kita suka. Pada kerja saya, ada rasa bahagia apabila melayan karenah anak-anak didik saya yang menceriakan. Tetapi pada waktu yang sama ada juga rasa gundah apabila mereka tidak mampu memikul beban pelajaran yang sangat KBAT sekarang. Kasihan melihat wajah kosong mereka (apabila saya memberi soalan untuk mereka jawab) seolah-olah segala yang saya ajar satu pun tidak lekat. Ya, saya kasihan, bukan marah.
 
Dalam gundah itu saya selitkan rasa bahagia seiring syukur yang berganda-ganda. Kenapa mesti saya rasa terbeban dengan kerja ini jika darinya Allah salurkan rezeki untuk saya? Sedang pada masa yang sama ramai orang perlu berpenat lelah membanting segala tulang yang ada berkerat-kerat demi sesuap nasi, saya hanya perlu mengelek buku melenggang kangkung menuju ke kelas dan mengajar dengan suara yang Allah anugerahkan senada dengan ilmu yang Allah bekalkan. Tiada tulang perlu dibanting pun.

Alhamdulillah.

Saya masih mahu bekerja. Sungguh. Setidak-tidaknya setakat hari ini saya masih belum berasa jemu menatap wajah-wajah suci anak-anak didik saya. Pedulikan dengan beban-beban yang sengaja diada-adakan oleh mereka yang di atas, kerana beban-beban itu mengajak kita berjuang memburu pembaharuan. Itu cerita berbeza.

Setiap masa, doa saya agar saya sihat dan mampu untuk terus berkhidmat. 

Perkenankanlah ya Allah!



Monday, November 14, 2022

Garis-garis itu

Nampakkah kalian garis-garis ketuaan yang sedang merona di wajahku? Itulah garis-garis kehidupan yang telah aku tempuh. Ada ranjau, ada onak, ada juga sinar dan cahaya pada seluruh jalan yang telah aku tinggalkan.

Aku bahagia, seadanya.

Bahagia itu bukan tiba begitu sahaja tetapi ia tercipta dari rasa syukur pada setiap kurnia. Bagiku, segalanya anugerah. Selagi aku mampu meniup rasa syukur pada setiap detik yang aku singgah, itulah yang akan aku lakukan. Pun, jika pedihnya terlalu menikam, aku tahu Allah akan menunjuk jalan. Kepadanya aku bermohon dan meminta penyelesaian.

Nampakkah kalian garis-gari ketuaan yang sedang merona di wajahku? Itulah harga sebuah pengalaman. Entah berapa lama lagi aku mampu bertahan, aku tidak tahu tetapi aku berharap agar laluan di hadapanku dapat aku susuri dalam kasih Tuhan.

Friday, November 11, 2022

Mencintai

Ku menyusun bait ini kerana tiba-tiba hati disentuh rasa rindu. Rindu kepadanya.

Dia hadir pada saat hatiku tak punya siapa-siapa, kosong. Dia hadir pada waktu aku sedang menanti satu ketibaan yang aku sendiri tidak pasti, tetapi selalu aku mohon dalam doa. Dia hadir umpama satu kiriman dari Tuhan sebagai jawapan sebuah permintaan.

Lalu aku layari hidup dengannya. Lalu aku buka ruang cinta untuknya. Dan aku pasrahkan seluruh jiwa dan raga buatnya. Aku mencuba, sedaya yang ada.

Dia setia, masih setia di sisi aku yang serba tiada. Dalam senda dia pernah mengusik mencari yang kedua dan aku tidak membantah, tetapi usikan kekal usikan. Hingga kini dia masih milik aku seorang. Susah senang, tangis tawa, pahit manis yang bersilih ganti kami lalui dengan kasih sayang.

Aku yakin dia mencintaiku kerana tanpa cinta kami tidak akan mampu bertahan sejauh ini. Dua puluh lima tahun, hanya berdua.

Suamiku, terima kasih kerana setia di sisiku untuk tahun-tahun yang berlalu dan tahun-tahun mendatang. Terima kasih menerimaku tanpa pernah mempersoal segala kekuranganku. Terima kasih menjagaku tanpa jemu, dengan penuh tanggungjawab.

Doaku untukmu wahai suami yang selalu aku rindu walaupun masih di depanku, semoga Allah menjagamu dalam segala keadaan, memudahkan segala urusan dan menyembuhkan segala kesakitan. Semoga rumahtangga ini dalam rahmat Allah yang melimpah ruah tanpa diganggu sebarang musibah.

Aku mencintaimu, selalu.

Wednesday, November 09, 2022

Bersolek

Sebagai wanita, saya sentiasa mahu dilihat kemas dan berseri. Apatah lagi bila berada di tempat kerja, penampilan adalah antara faktor penting yang boleh membina keyakinan diri.
Untuk itu, saya perlu menata rias serba sedikit wajah kusam saya agar tidak kelihatan seperti orang demam atau mengantuk.

Sejak bergelar guru pada 1998, saya tidak pernah melangkah ke sekolah tanpa secalit bedak, celak dan gincu. Tiga serangkai ini sentiasa ada dalam beg saya walau ke mana saya pergi. Bedak paling penting, ia membantu menghilangkan kilat pada muka akibat berpeluh. Muka yang berkilat-kilat sangat teruk kelihatannya, apatah lagi bagi yang berkulit sawo matang seperti saya ini muka mudah berpeluh.

Celak pula menjadikan mata saya nampak segar dan bersemangat. Tidaklah ia seperti layu dan mengantuk. Manakala gincu, ia memberi seri pada bibir yang pucat. Sekurang-kurangnya tidak nampak seperti orang demam.

Jujurnya, saya boleh saja keluar rumah tanpa mengenakan sebarang solekan tetapi tidak sekali-kali jika saya ke sekolah. Saya segan membiarkan rakan-rakan saya melihat wajah saya yang teruk dan seakan menyeramkan. Betul, wajah saya teruk betul jika tidak dihias sedikit.

Sedikit saja, saya bukan bersolek tebal. Gincu pun saya pilih warna yang alami sahaja, bukan merah menyala. Saya cuma mahu nampak berseri dan bersemangat, itu sahaja.

Tuesday, November 08, 2022

Chengal

Awak, suami awak naik pangkat. Dari PK Kokurikulum kepada PK HEM. Yeaa!

Tapi, dia kena bertugas sebagai PK HEM di SMK Kampong Chengal. Hah? Itu sekolah saya!

Bisinglah semalam, apabila berita ini diketahui ramai. Saya pun terkejut, malah risau. Risau kalau-kalau nanti saya yang akan ditukar ke sekolah lain kerana kebiasaannya pasangan guru yang salah seorangnya pentadbir tidak dibenarkan bekerja di tempat yang sama atas isu integriti.

Mujur Tuan Pengetua memberi pencerahan. Katanya dia sudah menelefon pegawai berkenaan sebaik mengetahui berita ini kerana dia tidak mahu saya dipindah ke sekolah lain. Kata pegawai itu, tiada termaktub pun dasar yang sedemikian, jadi boleh saja saya berada di sini bersama-sama suami saya selagi tidak timbul isu-isu yang boleh memudaratkan.

Alhamdulillah. Sayang juga Tuan Pengetua kepada saya ya!

Tahniah Abe Di, semoga terus bersemangat untuk menyumbang bakti di SMK Kampong Chengal yang saya kasihi ini.


Sunday, November 06, 2022

Harapan

Semalam proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 selesai. Parlimen saya, P026 Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru antara PH, BN, PN dan Putra. Calon-calonnya semua saya tidak pernah kenal, semua muka baru.

Pada PRU14 yang lalu, P026 ini dimenangi Tan Sri Annuar Musa yang berjaya mengalahkan Dr. Radzi Jidin (PH) dan Haji Wan Ismail (PAS). Sememangnya tempat ini sudah sinonim dengan TSAM, dan beliau memegang gelaran Ahli Parlimen di sini sejak saya remaja lagi. Boleh dikatakan penduduk di Parlimen ini begitu meyakini beliau walaupun jujurnya, saya tidak pernah memilih TSAM. Saya penyokong PAS, selalunya saya akan memilih calon PAS kecuali pada PRU14 saya memilih PH kerana inginkan perubahan di Putrajaya. Walaupun calon pilihan saya (DRJ) tewas, tetapi PH menang di peringkat pusat manakala DRJ terpilih sebagai senator dan diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pendidikan (pada era PN tebuk atap).

Kali ini, saya seperti mahu mengekalkan sokongan saya kepada PH. Biarlah apa pun yang disebarkan di sekitar saya, dalam negara demokrasi ini saya tidak bersalah apa-apa kerana saya bebas memilih. Saya tidak ada keyakinan kepada BN kerana memang sejak lama mereka bukan pilihan saya. Pada mata saya, BN dan Rasuah berpisah tiada dan itulah yang menjadikan saya tidak pernah mengundi BN.

PN pula, saya rasa tidak begitu percaya dengan kejujuran mereka, malah ramai juga katak-katak melompat yang wujud dalam gabungan itu. Saya tidak mahu mereka terus menjaga negara saya, walaupun  mereka kelihatan lebih baik daripada BN.

DRJ yang saya undi pada PRU lalu juga antara yang sudah melompat meninggalkan PH dan menganggotai PN. Begitulah politik, pada kebanyakan masa mereka lebih mementingkan diri sendiri berbanding rakyat.

Untuk rekod, calon PH di P026 ialah Haji Rahimi bin L.Muhamud dan baru kali ini saya mendengar nama beliau. Mungkin saya yang tidak peka kerana di luar waktu pilihan raya saya memang menjauhi politik.


Sedikit biodata calon pilihan saya ini.

Pendidikan: Western Michigan University, USA 1989 - 1991
                    MSM, Kuantan, Pahang, 1987 - 1989
                    MRSM Beseri, Perlis, 1985 - 1986
                    SMK Kota Bharu, 1982 - 1984 

Kerjaya:     Pengarah Urusan Maju Saintifik Sdn. Bhd., Kelantan.
                   Pegawai Penyelidik SIRIM Bhd (1992)



Tuesday, November 01, 2022

November Again

Menjelmanya 1 November hari ini - sebagai bulan kesebelas dalam perkiraan tahun Masehi - menandakan hujung 2022 sedang mendekati.
 
Cuaca pagi ini redup dan nyaman sekali. Saya melangkah ke sekolah dengan jiwa yang amat tenang dan penuh semangat. Harapnya semangat ini tidak akan pudar bersama masa. Apatah lagi kelas saya hari ini semuanya tingkatan lima, tentu saya mahu memberi yang terbaik buat mereka.

Kadang-kadang saya hairan dengan segelintir guru (yang ada di sekolah saya ini) yang setiap hari mencari alasan agar tidak perlu masuk kelas dan mengajar. Dia menyibukkan diri dengan aktiviti lain, yang sebenarnya boleh saja dielak. Kelasnya sudah berbulan-bulan ditinggalkan dengan alasan urusan sukan, tetapi tiada siapa boleh menghalang. Hebat benar dia.

Saya benar-benar marah dengan orang begini tetapi apalah yang saya mampu lakukan. Dia jerung, saya bilis cuma. Tetapi saya yakin Allah itu adil. Kepada Allah saya serahkan.

Selamat datang November, bawakan bahagia untuk kami...

Monday, October 31, 2022

Memudahkan Hidup

Sewaktu mesin basuh saya rosak selama hampir sebulan baru-baru ini, saya membawa kain baju kotor saya ke rumah ma untuk dibasuh di sana. Ma telah membeli mesin pengering Samsung Heat Pump pada awal tahun ini untuk kegunaan sewaktu musim tengkujuh. Jadi saya mengambil kesempatan ini untuk turut sama menggunakan mesin pengering itu. 

Ternyata, saya jatuh cinta.

Awalnya, saya tidak rasa pun saya memerlukan mesin pengering. Saya cuma tinggal berdua dengan suami saya, dan tempat menjemur kain saya letakkan di dalam rumah. Saya tidak berasa susah pun untuk menjemur kain, kerana saya tidak perlu tergesa-gesa untuk mengangkatnya. Maklumlah, jemur dalam rumah, seminggu tidak berangkat pun tidak mengapa! Jadi, apa perlunya mesin pengering?

Benarlah kata orang dahulu, tak kenal maka tak cinta. Apabila kenal, terus jatuh cinta! Seronok pula rasanya apabila kain yang siap itu sudah boleh terus dilipat, tak perlu jemur lagi. Mudah.

Saya menyuarakan keinginan saya kepada suami tersayang untuk membeli mesin pengering seperti ma, dan tanpa banyak soal dia mengiakan saja. Wah! 

Jumaat lalu, mesin pengering itu selamat tiba di kediaman kami. Betapa terujanya saya untuk menggunakannya, terus saya membuka kotak dan meletakkannya di tempat yang sesuai sewaktu suami saya ke masjid bersolat Isyak. Terkejut dia apabila pulang melihat mesin itu sedang bekerja. 

"Eh, buat sorang-sorang je? Kenapa tak tunggu saya balik? Berat tu.. " 

"Tak pe, mudah je.. " jawab saya.

Syukur saya dengan segala anugerah Allah ini. Semoga mesin ini dapat memberi sumbangan pada tempoh yang panjang, berbaloi dengan RM2499 yang kami laburkan.

Amin.

Friday, October 28, 2022

Ceramah

Semalam, sekolah saya mengadakan sambutan Maulidurrasul dan antara pengisiannya ialah slot ceramah oleh ustaz Saibon Ismail. 

Penyampaian ustaz sangat bagus, bersemangat dan penuh tenaga. Semua hadirin seronok mendengar tetapi biasalah, tentu ada yang ingin dikomen sedikit sebanyak. Pada saya, ustaz patut memberi lebih penekanan kepada murid kerana merekalah audien utama. Tetapi isi ceramah ustaz banyak dituju kepada orang dewasa (baca: guru) seperti isu pinjaman bank, kaedah guru mengajar dan urusan rumahtangga. Kasihan murid-murid, mereka seperti terpinggir.

Tidak mengapalah, mungkin untuk program seterusnya pihak sekolah boleh menyediakan garis panduan kepada penceramah agar menyampaikan isu-isu yang lebih sesuai untuk murid-murid sekolah. Jika mahu dituju kepada guru, nanti kita jemput ustaz mengendalikan slot LADAP kami, tentu itu lebih mengujakan. 

Apa pun, saya seronok mendengar ustaz berceramah. Cuma jika boleh, kurangkanlah mengata orang perempuan. Eh?

Sunday, October 23, 2022

Anak Harapan

Selepas lama menanti hadirnya zuriat, tetapi tidak kunjung tiba, saya reda dengan sereda-redanya. Tiada apa untuk saya kesalkan kerana ketetapan Allah itulah yang terbaik.
Lalu saya curahkan naluri keibuan saya kepada semua anak-anak saudara saya yang berjumlah 21 orang kini. Mereka pada saya tidak ubah seperti anak sendiri, apa lagi saya mengajar mereka memanggil saya Umi (Ti), kerana sewaktu lahirnya Anis yang sulung pada 22 tahun lalu, saya benar-benar mahukan panggilan itu menggegar pendengaran saya. Alhamdulillah, terasa ajaibnya menyandang gelaran itu walaupun hanya pada anak-anak saudara.

Apabila ada antara mereka yang teruji dengan pelbagai kisah, percayalah saya sebagai Umi tidak pernah berdiam diri. Memang saya tidak boleh menjadi orang yang menunjuk ajar itu dan ini pada mereka kerana itu tugas dan tanggungjawab ibu bapa kandung mereka, tetapi di dalam doa saya yang panjang dan penuh ikhlas, nama mereka satu persatu saya lafazkan dengan segala harapan kebaikan dan kemudahan. Agar terjaga dan terlindung, dan diredai seluruh kehidupan.

Kepada merekalah kasih saya tercurah dan impian saya tertadah. Saya tidak mengharap apa-apa, kerana masa depan saya sentiasa saya serahkan pada Tuhan. Sepenuhnya.

Demi Anak Bangsa

Di sini saya hari ini, di sekolah untuk mengendalikan kelas tambahan Matematik Tambahan SPM. Nama pun Matematik Tambahan, kenalah selalu buat kelas tambahan. Begitu.
Cuaca hari ini agak sejuk dengan hujan sesekali mencurah ke bumi. Suasana dingin begini menjelang November amatlah mengujakan untuk bergolek dan berguling di katil, tanpa perlu susah payah mencari bahan mengisi kelas yang terjadual. Tetapi berada di sisi anak-anak SPM yang masih terkial-kial mencari rentak menuju medan, terasa lebih berbaloi.

Realitinya, SPM lah satu-satunya sijil peperiksaan yang dipandang berharga. Anak-anak yang sedang saya hadap ini sudah tidak boleh berpatah langkah. Mampu atau tidak, Matematik Tambahan mesti mereka tempuh. Dan saya mencuba sedaya yang ada agar perjuangan mereka tidak sia-sia.

Saya tidak kisah gred apa yang bakal terpapar di kertas keputusan SPM mereka nanti asalkan mereka ada usaha untuk faham, dan mengerti mengapa subjek ini mereka pilih. Matematik Tambahan bukan untuk dibangga dan digah tanpa dinikmati. Ia seni penyelesaian masalah yang memungkinkan mereka berfikir di luar kotak saat kesukaran menghambat kehidupan. Harap begitulah.

Anak-anak, cikgu sudah bersedia untuk apa saja demi masa depan kalian. Semoga jiwa kalian kuat untuk terus bersama-sama cikgu menyusun langkah dan memanjatkan doa agar segalanya direstui.

Sunday, October 16, 2022

Bubar

Saya seperti tiada perasaan kali ini. Apabila Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu, saya menerima dengan selamba sahaja. Tidak tahu mahu bagaimana.

Nanti, apabila hari mengundi tiba, saya akan tetap keluar mengundi. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab saya mahu melaksanakan hak saya sebagai pengundi. Sementara menanti waktu itu, saya akan mencari pedoman dari pelbagai sumber. Saya akan membaca, membanding, mengukur dan menimbang sebaik mungkin. Siapa yang akan saya undi, saya masih belum tahu. Semuanya sedang saya fikirkan.

Petunjuk dari Allah lah yang benar-benar saya harapkan. Doa saya saban waktu, agar bumi Malaysia ini damai dan makmur, tenang dan tenteram, utuh berpadu antara semua kaum yang ada tanpa curiga apa lagi benci dan dendam. Susahkah untuk terjadi sebegitu?

Saya tidak akan beerhenti berdoa, agar tangan-tangan jahat tidak lagi diberi kuasa.

Amin.



Friday, October 14, 2022

Bilal

Riuh juga tentang kisah seorang anak kecil bernama Muhammad Bilal ini. Ibunya (Neelofa) enggan mengongsi wajah comel bayinya (yang lahir pada Januari lalu) di media sosial, tetapi tidak mengapa jika bertemu di luar. Lalu terjadilah kes seorang hamba Allah ini mengambil gambar wajah Bilal tanpa izin apabila tersapa Bilal di sebuah premis, dan mengongsi di media sosial. Tercetuslah kisah kemarahan dan kekesalan di pihak keluarga Bilal terutama ibunya. Sayu pula rasa hati membaca nukilan ibu Bilal pada hantaran pertamanya yang mengongsi wajah Bilal di Instagram kepada umum (beberapa detik selepas gambar curi wajah Bilal tersebar dan disunting sesuka hati).

Saya bukan mahu mengulas apa-apa kerana saya maklum benar, dalam dunia hari ini masyarakat kita ada pelbagai wajah dan segala wajah itu terpamer tanpa selindung di media sosial. Wajah berkeladak, atau wajah suci bersih, semua boleh kita pandang dari cara mereka berinteraksi dan cara mereka memberi maklum balas pada setiap kisah yang timbul. Ngeri juga kadang-kadang apabila membaca tulisan-tulisan yang penuh idea sumbang dan karut tetapi tersebar dengan mudah dalam segala media yang ada. Punah jadinya, tetapi begitulah senario dunia sekarang. Sukar untuk kita menapis apalagi menghentikan kebobrokan sebegini.

Tidak mengapalah. Saya masih lagi mahu mengagumi kecomelan Bilal. Semoga Bilal dan ahli keluarganya terjaga dan terlindung selalu, di dunia dan di akhirat. Ini doa saya, seorang insan biasa yang bukan siapa-siapa tetapi mengimpikan dunia yang makmur tanpa dendam dan benci.




Thursday, October 13, 2022

Timba yang Retak

"Tentu sahaja tuan lebih sayangkan aku. Lihat sahaja banyaknya air yang dapat kubawa dalam setiap perjalanan" si timba kanan bersungguh mengata.

Timba kiri tidak menjawab. Diam dan sepi seribu bahasa.

Tiada apa yang hendak dijawab. Memang benar bagai dikata.

Dia bukan timba yang sempurna. Bocor sini dan sana. Kasihan melihat tuannya. Berjalan jauh menggendong air dari sungai ke baruh meladang. Di awal cedok, elok penuhnya. Sampai di ladang, air tinggal separuh.

"Sampai masanya nanti, engkau akan tuan gantikan dengan timba baharu. Lebih baik dan sempurna!" ujar timba kanan lagi, menambah garam di jarah luka.

Bagai tidak puas dengan untung dirinya. Hingga mahu ditebuk-tebuk si timba kiri yang sudah maklum akan cela yang ada.

"Tetapi, mengapa tuan masih menggunakan khidmatku?" si timba kiri termenung. Di mana sayangnya tuan pada dirinya yang cacat dan menyusahkan itu… misteri.

Suatu hari, si timba kiri memberanikan diri bertanya kepada tuan yang  duduk berteduh. Hari itu mentari terik menyimbah keringat, jelas kerut lelah di wajah tuanya.

"Tuan, saya ini timba yang retak. Tuan isikan air penuh di tepi sungai, tetapi saya hanya mampu menyampaikan separuh air untuk tuan berladang. Mengapa tuan masih menggunakan saya? Tidakkah baik tuan gantikan saya dengan timba baharu seperti timba kanan itu?" beliau bertanya, antara malu dan kasih kepada tuan yang sudah lama ditemaninya itu.

Petani itu tersenyum.

"Cuba kamu lihat lorong ke sungai itu. Apa yang kamu nampak?" petani itu menunding jari ke lorong kecil menurun lembah ke tebing.

"Kamu nampak, kan? Bahu kanan lorong itu kering tak punya apa-apa. Tetapi di bahu kiri, ia indah dengan bunga-bunga kecil yang menghiburkan hatiku tatkala aku melaluinya saban hari. Engkaulah yang menyiram bunga-bunga itu dengan belah dan retakmu. Ladang aku perlukan air. Bunga-bunga di jalanan itu juga perlukan air. Namun bunga itu tidak bertuan. Tiada yang memberi perhatian. Ia jariahku untuk mereka dan engkaulah asbabnya" jelas tuan, memujuk dengan senyuman.

Terima kasih timba kanan yang sempurna kerjanya.

Terima kasih timba kiri yang luas jasanya.

Janganlah duka andai kita timba yang retak.

Kasih sayang Allah itu Tinggi. 

Ikhlaskan hati berbakti kerana-Nya.

(Dipetik dari Facebook Hasrizal Abdul Jamil)

Wednesday, October 12, 2022

Tapi, Aku Bisa Apa?

Dia.

Dari hujung mata ini aku mencuri pandang. Ada dia di situ, di sekitarku. Dia yang tiba-tiba hadir, tapi aku bisa apa?

Dia.

Dari merdu kidungnya aku terpesona. Butir bicaranya ada kenyamanan yang membuat tenang, tapi aku bisa apa?

Aku bisa melihat dan mendengar.

Itu saja.


Tuesday, October 11, 2022

Tempahan

Kali ini - setelah melalui beberapa sesi perbincangan - saya dan suami bersetuju untuk menempah Toyota Camry 2.5VT untuk kegunaan kami menggantikan Mercedes CLA 180 yang sudah kami jual bulan lepas.

Camry, kami pernah memiliknya pada April 2010 dan menjualnya pada Oktober 2018 apabila suami saya mengalih rasa pada Mercedes. Waktu itu hati saya sedih, kerana cinta saya pada Camry sangat kuat, tetapi terpaksa melepaskannya pergi demi memberi ruang kepada suami saya memenuhi impiannya memiliki Mercedes yang gah. Walaupun gah, saya gagal memberi kasih sayang kepada kereta sebegini. Mungkin itu bukanlah citarasa saya. Saya memang tidak memandang rupa, dalam segi apa pun.

Dan sesungguhnya, masih saya teringat pada Camry pada saat Mercedes di depan mata.

Apa tidaknya, saya meminati Camry sejak 1996. Waktu itu saya sedang berkursus Diploma Pendidikan di Batu Rakit. Apabila melihat Camry meluncur di jalan raya, hati saya berbunga-bunga dan terbit cita-cita dalam hati - apabila saya bekerja dan ada kemampuan nanti, saya akan membeli kereta ini. Jika diberi pilihan antara Camry dan Mercedes, saya akan pilih Camry, itu kata hati saya pada waktu itu dan ia benar-benar terpahat kemas sehingga saat ini.

Apabila suami saya bertanya, kereta apa pula untuk kita selepas Mercedes ini dijual? Tanpa teragak-agak, dengan penuh yakin saya suarakan - Camry!

Dia sedikit tersentak, bukankah kita sudah pernah memilikinya? Ya, tetapi saya tetap mahu Camry juga. Saya masih sedih dan masih berasa kehilangan Camry kita dahulu. Saya rindu Camry itu. 

Suami saya seperti berfikir-fikir. Masih dia memberi beberapa cadangan model kereta lain tetapi saya menolak. Kata saya, jika tanya saya, saya hanya mahu Camry. Kalau dia mahu yang lain terpulanglah.

Nampaknya suami saya akur dengan saya kali ini. Cuma, dia sedikit cuak dan risau kerana harga Camry sangat mahal. Ejen Toyota yang dia hubungi memaklumkan harga kereta itu ialah RM215000 dan stok 2022 sudah tiada. Kami perlu menunggu tahun hadapan, seawal-awalnya pada Mac baru stok 2023 akan tiba. Lama.

Tidak mengapa, saya rela menunggu. Lama pun lamalah, kali ini saya benar-benar mahu. Walaupun saya tidak memandu, saya tetap mahu menaikinya dipandu suami saya.

Harga pula, sepertinya sangat mahal tetapi saya tahu kami mampu. Saya sudah membuat pengiraan dan kami tidak perlu risau dengan bayaran bulanan yang tinggi. Saya bercadang untuk membuat pinjaman sebanyak RM125000 sahaja dengan tempoh 6 tahun. Jumlah bayaran bulanan tidak akan melepasi RM2000 pun dan itu cuma bertambah RM500 daripada bayaran bulanan kereta Mercedes kami sebelum ini. Hilux kami pun sudah hampir selesai, insya Allah pada Julai 2024 nanti. Saya tahu kami mampu.

Akan terusikkah simpanan kami dengan pembelian ini? Sudah tentu, tetapi tidak mengapa. Yang terusik tidak sampai 10% pun dari simpanan yang kami ada. Harga jualan Mercedes yang kami dapat agak besar, jadi sedikit sahaja yang perlu kami keluarkan dari simpanan kami untuk membolehkan kami membayar wang pendahuluan sebanyak RM90000. 

Begitu perkiraan saya. Dan Alhamdulillah, suami saya dapat menerima setiap penerangan saya dengan baik dan menyetujui cadangan saya kali ini. Jadi pagi semalam, dia bersendirian memandu ke pusat jualan Toyota di Bunut Payong dan membuat tempahan kereta itu. RM1000 diberi tanda booking, dan hari ini tempahan kami disahkan.

Terima kasih suami, memberi peluang kepada saya memenuhi impian ini. Semoga Allah reda.




Wednesday, October 05, 2022

Rosak Sudah

Rabu minggu lepas, mesin basuh kesayangan saya yang berjenama LG dan berusia 4 tahun 8 bulan rosak!

Pada paparannya tertera "tE" dan apabila saya menggelintar Google, ia bermaksud "Thermistor Error". Suami saya memanggil tukang baiki datang pada Jumaat dan dia membawa mesin basuh saya pulang kerana perlukan masa untuk menukar barang yang rosak.

Memang sukar hidup tanpa mesin basuh tetapi saya tidaklah mahu menekan diri sendiri. Saya pilih-pilih kain baju yang perlu sahaja untuk dibasuh (tangan) dan membiarkan dahulu kain-kain yang tidak penting. Seronok pula ya membasuh secara manual begini, seperti kanak-kanak yang gembira bermain air lagaknya. Saya buka paip besar-besar dan bergelumang dengan air sehingga saya basah lencun. Macam main air, bukan basuh kain!

Tadi, tukang mesin itu memberitahu barang yang dipesan belum sampai. Tak apalah dik, kakak ok saja. Lagi pun hujung minggu ini kakak nak bawa kain baju kotor tu ke rumah ma, dan basuh di sana. 

Tidaklah kakak tertekan sedikit pun.

Friday, September 30, 2022

Salam Oktober

Esok Oktober tiba. Sembilan bulan dalam tahun ini sudah berlalu dengan segala kisah yang terakam dalam kenangan.

Hari ini saya dan suami akan bergerak menuju ke Sutra Beach Resort, Merang pada jam 5 petang nanti untuk menyertai program Hari Keluarga SMK Kampong Chengal dan bermalam di sana. Ini kali pertama saya menyertai program Hari Keluarga sekolah saya ini sejak 2009. Teruk, kan?

Saya memang tidak begitu gemar dengan acara keramaian sebegini tetapi kali ini saya tidak berani ponteng. Mudah kata, saya terpaksa. Haha!

Dua hari lepas, mesin basuh saya rosak. Tiba-tiba keluar error dan basuhan saya tidak siap. Suami saya sudah menelefon tukang baiki tetapi hari ini baru dia lapang. Jadi basuhan yang tidak siap itu terpaksalah saya sudahkan secara manual. Pagi ini, selesai Subuh terus saya ke bilik air di dapur dan tercongok menyiapkan basuhan itu yang agak banyak. Lelah!

Apabila siap, saya kena jemur di luar pula kerana airnya menitik-nitik jika dijemur dalam rumah. Apabila membuka pinti dapur, Allahuakbar, kotornya tangga dapur saya. Bertahun tak pernah cuci. Usai menjemur, saya mencuci tangga dapur pula.

Dan saya letih. Barang-barang untuk dibawa ke Hari Keluarga belum dikemas, baju yang akan dipakai ke sana belum digosok. Sarapan pun belum. Jam sudah 8.02 pagi.

Aduh! Kalaulah saya boleh ponteng saja!

Wednesday, September 28, 2022

Tuesday, September 27, 2022

Kereta Lagi

 




Kini tinggal kenangan, selamat sudah kami menjual kereta Mercedes CLA 180 yang kami beli pada September 2018 pada Khamis lalu. Harga jualannya cuma RM107,000 berbanding RM180,000 harga yang kami beli dahulu.

Pun tidak mengapa, saya rasa lega.

Agak kerap juga kereta ini memberi masalah dan masalah itu menyukarkan kami untuk meneruskan pemilikan kereta ini. Ia cuma masalah sensor tetapi sangat mengganggu. Paling teruk, sewaktu kami pulang dari kemduri di Laloh pada 3 September lalu, sensornya rosak lagi sehingga suami saya tidak berani memandu sejauh itu untuk pulang ke rumah dalam kesesakan jalan raya yang agak teruk kerana musim cuti sekolah. Bukan kereta rosak, tetapi sensornya yang bermasalah. Terpaksalah suami saya memanggil towing dan sampai di rumah menjelang malam. Memang serik.

Lalu kami sepakat untuk menjualnya setelah empat tahun menggunakannya. Selamat tinggal Mercedes, kami mungkin tidak lagi mahu menggunakan kereta jenama ini selepas ini. Hati saya sejak awal pun tidak begitu teruja dengan Mercedes. Ia gah pada nama, bukan pada keselesaan saya. Nantilah, kami sedang memikirkan kereta apa pula selepas ini.

Saturday, September 24, 2022

Tenis


Saya mengenali tenis sejak di sekolah menengah lagi. Maksud saya, mengenali pemain tenis.

Pada 1990 saya pertama kali menonton perlawanan tenis secara langsung. Waktu itu jarang sangat ada siaran langsung tenis di TV tetapi saya berkebetulan dapat menonton perlawanan di antara Stefan Edberg dan Boris Becker. Seronok rupanya permainan ini.

Antara pemain tenis yang saya minati waktu itu ialah Andre Agassi. Ya, dia sangat kacak.

Lama juga saya lupa pada sukan ini kerana ia jarang ada di TV saluran percuma. Sehinggalah apabila saya melanggan Astro pada 2006, saya kembali menikmati permainan tenis ini. Waktu itu Roger Federer sedang menguasai sukan ini dan saya menjadi peminat setianya.

Hanya Roger Federer yang saya suka. Biar pun ada ramai lagi nama-nama gah seperti Rafael Nadal dan Novak Djokovic, mereka tidak menambat hati saya seperti apa yang saya rasa terhadap Federer.

Federer sangat tenang orangnya. Dia dapat menyerap segala tekanan dalam permainan dan tidak pernah bertindak emosional. Dia selalu tersenyum walaupun pada waktu-waktu genting. Dia bukan seorang yang angkuh walaupun namanya teratas dalam senarai terbaik. Waktu dia mendapat mata berharga, reaksinya tetap menyejukkan hati. Bukan terlompat, bukan menjerit, hanya sedikit aksi gembira yang wajar padanya. Menonton permainannya begitu mengujakan. Dia seperti seorang yang sangat bersungguh-sungguh tetapi redha dengan setiap keputusan.

Itulah Federer, dan kerana itulah saya amat meminatinya. 

Awal minggu ini Federer mengumumkan persaraannya dari tenis dan hari ini menjadi hari terakhir dia bermain untuk kejohanan Laver Cup. Pada usia 41 tahun, dia tidak lagi berupaya untuk bersaing dengan pemain-pemain muda maka dia memilih untuk berehat.

Hilanglah sebutir permata yang menyerikan sukan tenis dunia. Siapalah pula yang akan menjadi pengganti legenda ini?

Saya rasa tiada. Federer hanya ada satu.

Selamat berehat my Champ!

Friday, September 23, 2022

Menulis

Sudah berminggu-minggu saya tidak menyiapkan RPH saya. Tahu kenapa? Kerana fail RPH saya pada minggu ke-17 telah corrupt, langsung tak boleh buka. Saya ulang buat yang baru, pun corrupt juga. Saya lelah.

Bukan mudah menaip fail RPH mengikut format yang diminta. Penggunaan Microsoft Word bagi saya bukanlah susah tetapi apabila perlu membina suatu fail yang mengandungi bahan yang siap sedia di dalamnya menggunakan developer, ia agak renyah.

Saya boleh buat, tetapi untuk saya mengedit dan menyusunnya, cukup seksa dan memakan masa. Apabila ia corrupt dan perlu dibuat semula, saya jadi sangat marah.

Sudahnya berminggu-minggu saya hilang mood mengadap komputer untuk menaip RPH itu.

Lama saya memikir, apa perlu saya buat supaya saya tidak disalahkan kerana tidak menulis RPH? Akhirnya saya memutuskan untuk kembali ke abad yang lepas, menulis RPH dalam buku. Saya rasa cara ini lebih sesuai dengan saya.

Lalu saya membeli buka bersaiz A4 dan mula menulis RPH saya menggunakan format lama. Saya rasa lebih tenang dan selesa.

Nanti saya akan tunjukkan buku itu kepada pentadbir apabila mereka meminta.

Saturday, September 17, 2022

Bila Keramaian

Jumaat petang, saya mengikut suami saya menyertai program Hari Keluarga SMK Kok Lanas bertempat di Bukit Keluang Beach Resort. Saya tidak tahu akan bagaimana perasaan saya di sana nanti. Saya risau dan gundah memikirkannya.

Tahu kan, saya tidak gemar malah tidak pandai bersosial? Keseronokan saya ialah berada di rumah melayan diri sendiri. Social circle saya cumalah keluarga dan rakan di tempat kerja. Jika perlu bertemu dan bergaul dengan circle yang saya tidak biasa, saya sungguh kekok dan tidak selesa. Sukar!

Perjalanan kami agak lama kerana jalan agak sesak. Maklumlah cuti Hari Malaysia. Saya suka, biar lambat sampai, tak perlu saya berada lama-lama di sana. Aduh, teruknya saya!

Jam menghampiri 6.30 kami pun sampai. Terus sahaja kami diberi kunci bilik bernombor 547 dan saya berehat sahaja hingga jam 8.45 malam. Usai solat Isyak, kami ke tempat barbecue. Meriah, ramai orang. Saya saja yang sendirian, yang lain bersama keluarga.

Itulah yang merisaukan saya. Kebanyakan guru datang bersama keluarga jadi mereka akan melayan keluarga masing-masing. Makan semeja dengan keluarga sendiri, tidak bercampur dengan keluarga lain. Saya? Saya tiada keluarga. 

Sepatutnya saya tidak perlu hadir pun. Biar saja suami saya hadir solo seperti mana beberapa orang guru lelaki lain. Tetapi bila suami mengajak, tergamakkah saya menolak?

Mujur juga ada beberapa orang yang saya kenal ada di sini, bolehlah bersapa-sapa. Tetapi sekadar itulah, mereka akan bersama keluarga mereka selebihnya. Saya terkial-kial sendiri. Suami saya tentu lebih banyak bersama rakan-rakan lelakinya. 

Belum pun habis acara, saya meminta pulang ke bilik. Suami saya pun mahu pulang juga. Jom.

Alhamdulillah selesai acara malam ini. Lega. Tunggulah esok pula.


Friday, September 16, 2022

Trials

Face our trials with positive hearts.

We acknowledge that trials are part and parcel of life. These trials will make us distressed and anxious. Sometimes we end up being hopeless and depressed, and questions begin to swarm our minds;

Why me?

What sins I have committed?

When will the help from Allah arrive?

And so many more.

It's not easy to tell ourselves to be patient and stay positive in whatever situations we are in. We know the power of being positive but we are just too weak to stay positive because the trials make us unable to be rational.

I don't want to give any tips on how to be positive. We all are created by God with different abilities, different views and different problems. May be what suits me won't work for you. So I just want to say that I will always pray and ask Allah to give solutions to every problems occur in your life.

Insya Allah he will help you, sooner or later. Just put a very high trust on Him, and believe that everything happens in our lives is to teach us lessons. Don't give up on Him.

Wish you all the best of solution for every trials in your lives.

Saturday, September 10, 2022

Corat Coret Cuti

Hari ini hari terakhir saya bercuti penggal dan esok Ahad, akan kembalilah saya bekerja demi sesuap nasi.

Hati saya gembira sebenarnya. Bercuti saya gembira, kembali bekerja pun saya gembira. Tiada apa untuk saya sedihkan. Perjalanan hidup yang sementara ini biarlah dipenuhi rasa gembira dan syukur sahaja. Diuji, semestinya. Redhalah seadanya.

Sembilan hari ini saya gembira kerana dapat memenuhi banyak keinginan yang ada. Bertemu ahli keluarga yang bekerja jauh nun di negeri lain dan jarang-jarang ketemu memang detik-detik membahagiakan yang sering saya nanti. Tidak pernah puas rasanya melayani masa bersama mereka, pun begitulah, mereka tetap juga perlu kembali ke negeri tempat mereka bertugas apabila cuti selesai.

Saya tahu adik-adik saya amat berharap untuk pulang berkhidmat di Kelantan, cuma masanya belum tiba. Doa dari saya tidak pernah putus agar permohonan mereka diluluskan. Semoga Allah mengizinkan mereka pulang bertugas di sini dalam jangka masa terdekat ini.

Alangkah indahnya jika semua adik beradik saya dapat berada di Kelantan. Emak tentu gembira tidak terkata. Ya Allah, izinkanlah!

Selain itu, cuti saya dipenuhi dengan deretan kenduri, kelas tambahan, mengemas rumah, dan berbelanja. Sememangnya begitulah. Ruang yang ada ini saya cuba manfaatkan sebaiknya dengan pengisian-pengisian yang tidak dapat dilakukan pada hari bekerja.

Pada Ahad, saya menjemput Abang Man dan isteri yang baru dinikahinya pada 6 Ogos lalu minum petang di rumah saya. Saya menyediakan mihun sup ayam sahaja, sekadar meraikan ahli baru dalam keluarga kami. Semoga Abang Man dan Umi kekal bahagia sampai syurga.

Sehingga bertemu semula dengan cuti penggal, kami akan kembali bekerja selama tiga belas minggu. Semoga kami diberi kesihatan yang baik dan usia yang panjang untuk terus mencari redha Tuhan di bumi yang sudah akhir zaman ini.

Thursday, September 08, 2022

Haneen

Buat anakanda Haneen, saat Umiti menulis ini, Haneen sudah dua hari pulang ke Putrajaya. Umiti tiba-tiba rasa rindu, rindu yang bukan dibuat-buat, rindu yang sungguh-sungguh.

Umiti rindu juga pada Huda dan Hana, tetapi rindu Umiti pada Haneen seperti berbeza. Haneen masih kecil dan sedang mengenali insan-insan di sekitar Haneen, termasuklah Umiti. Harapnya bila Haneen berada di Putrajaya Haneen masih mengingati Umiti.

Haneen sangat comel, sangat baik dan sangat Umiti kasih. Umiti akan sentiasa memohon doa agar Haneen diberi segala kebaikan di dunia dan di akhirat, membesar dengan sihat dan bijak, menjadi anak yang mendamaikan jiwa keluarga, dan berbakti kepada dunia.

Doa yang sama juga untuk Huda, Hana dan semua anak-anak saudara Umiti yang sangat Umiti kasihi dan syukuri.






Pelitup Muka

Semalam Menteri Kesihatan YB Khairy Jamaluddin umumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan kecuali di fasiliti kesihatan dan dalam pengangkutan awam sahaja.

Alhamdulillah.

Saya dah lama tak pakai mask ni. Sejak kelonggaran pertama hari tu, yang mana cikgu dibenarkan membuka mask masa mengajar, saya dah tak pakai dah masa masuk kelas. Rimas tau mengajar sambil pakai mask ni. Saya jenis berpeluh banyak di muka, bayangkanlah betapa tidak selesanya saya mengajar dengan memakai mask dalam kelas yang panas.

Tetapi, stok mask saya masih sangat banyak. Di rumah dan di sekolah, mask masih berpaket-paket. Tak tau lah bila nak guna dah ni. Hari tu beria beli, macam-macam warna ada nak match dengan baju. Sekarang korang duduk diam-diamlah dalam laci tu ya!

Wednesday, September 07, 2022

Tentang Cuti

Jika cuti sekolah itu sepenuhnya milik saya, tentu saya akan mahu berada hanya di rumah ma, bertemu adik beradik dan anak-anak saudara. Itu sahaja, dan saya sudah cukup bahagia.

Apa perlu lagi bercuti ke sana sini jika rumah ma sudah ada segala bahagia?

Tetapi begitulah. Cuti ini akan ada kenduri bersusun-susun, akan ada kelas tambahan, dan akan ada agenda pelbagai yang tidak mampu saya elak. Sudahnya, kesempatan berada di rumah ma tinggal sedikit benar.

Maafkanlah saya, ma. Saya adalah seorang wanita yang tertakluk dengan banyak kekangan. Saya tahu ma faham tetapi saya tetap rasa bersalah.

Semoga Allah memberi ruang lagi untuk saya berada di rumah ma pada cuti yang masih berbaki tiga hari ini.