Tadi di kantin, kami sembang pasal pencen. Biasalah dah umur-umur macam
ni tentunya topik pencen antara yang hangat dibincangkan.
"Kak Ti ada berapa tahun lagi berkhidmat?"
Itu
antara soalan yang biasa ditanya. Ya, muka saya dah nampak tua sangat
kan, mestilah itu gaya soalannya. Tak apa, saya tak kecil hati pun.
Jawapannya, lagi sembilan tahun.
"Cukup enam puluh?"
Ya, insya Allah.
Dalam
sembang itu, pelbagai ulasan dan pandangan dikongsi. Saya mencelah juga
bagi memeriahkan suasana. Di sinilah - di sekolah ini - tempat saya
berhuha-huha, nanti balik rumah saya bersepi-sepi sendiri saja.
Kata
seorang adik guru yang baik hati, kalau kita lambat pencen kita akan hanya ada masa yang singkat untuk menikmati hidup. Sebahagian besar hidup kita
akan terpenuh dengan kerja, kerja dan kerja tanpa sempat merasai
nikmatnya.
Begitulah. Ada benarnya kata-kata adik guru ini. Benar jika kita merasakan kerja itu satu beban dan tidak menyeronokkan. Benar jika kita meletakkan nikmat hidup pada waktu-waktu santai kita sahaja yang bebas ke sana ke mari menjelajah alam dan melayan hobi.
Pada saya, segalanya terpulang pada diri kita sendiri. Bekerja itu menjadi seronok jika di dalamnya kita letak segala nilai yang kita suka. Pada kerja saya, ada rasa bahagia apabila melayan karenah anak-anak didik saya yang menceriakan. Tetapi pada waktu yang sama ada juga rasa gundah apabila mereka tidak mampu memikul beban pelajaran yang sangat KBAT sekarang. Kasihan melihat wajah kosong mereka (apabila saya memberi soalan untuk mereka jawab) seolah-olah segala yang saya ajar satu pun tidak lekat. Ya, saya kasihan, bukan marah.
Dalam gundah itu saya selitkan rasa bahagia seiring syukur yang berganda-ganda. Kenapa mesti saya rasa terbeban dengan kerja ini jika darinya Allah salurkan rezeki untuk saya? Sedang pada masa yang sama ramai orang perlu berpenat lelah membanting segala tulang yang ada berkerat-kerat demi sesuap nasi, saya hanya perlu mengelek buku melenggang kangkung menuju ke kelas dan mengajar dengan suara yang Allah anugerahkan senada dengan ilmu yang Allah bekalkan. Tiada tulang perlu dibanting pun.
Alhamdulillah.
Saya masih mahu bekerja. Sungguh. Setidak-tidaknya setakat hari ini saya masih belum berasa jemu menatap wajah-wajah suci anak-anak didik saya. Pedulikan dengan beban-beban yang sengaja diada-adakan oleh mereka yang di atas, kerana beban-beban itu mengajak kita berjuang memburu pembaharuan. Itu cerita berbeza.
Setiap masa, doa saya agar saya sihat dan mampu untuk terus berkhidmat.
Perkenankanlah ya Allah!
No comments:
Post a Comment