Saya sudah menjadi guru yang menyediakan jadual guru ganti (relief) sejak tahun 2016. Saya okay sahaja, malah sangat suka dan seronok melaksanakan tanggungjawab yang satu ini. Tidak pula saya mahu bergilir dengan sesiapa seperti yang dilakukan oleh setiausaha sebelum ini kerana tugas ini pada saya lebih mudah dibuat sendirian.
Dalam seronok dan suka bertugas, ada juga dugaannya.
PKP mengarahkan saya menyediakan relief untuk masa perhimpunan pada Ahad lepas kerana semua murid terlibat dengan peperiksaan. Perhimpunan di sekolah kami memakan tiga masa, jadi masa pertama dan kedua diberi kepada guru kelas dan guru back-up manakala masa ketiga saya perlu meletakkan guru relief.
Jika kehadiran guru tinggi, ia tidaklah sesukar mana. Tetapi pada Ahad itu, enam belas orang guru tiada di sekolah dan tiga orang guru meminta dikecualikan relief (ada temujanji). Bayangkan kesukaran yang saya hadapi untuk memasukkan nama guru yang lapang ke kelas-kelas yang ditinggalkan yang berjumlah menghampiri seratus! Saya akhirnya memilih kelas yang ada peperiksaan sahaja untuk direlief menjadikan jumlahnya enam puluh enam. Masih banyak. Cikgu yang boleh merelief tidak sampai pun lima puluh. Bagaimana ini? Belum lagi dikira masa pertama dan kedua yang melibatkan guru kelas dan guru back-up.
Sejak petang Sabtu saya sudah mula menyusun nama-nama guru untuk merelief pada Ahad esok. Malam itu, saya semakin buntu apabila semakin ramai guru menulis nama di ruang tidak hadir. Risau saya. Saya menelefon PKHEM untuk berkongsi rasa. Dia meminta saya memasukkan juga nama Pembantu Makmal. Baiklah, tetapi masih tidak selesai. PKHEM meminta saya memberitahu PKP untuk mengadakan perhimpunan supaya masa relief dapat dikurangkan. Oh tidak! Saya tidak berani kak! Lagi pun musim periksa begini akan ramailah cikgu mengomel, "periksa-periksa pun nak buat assembly".
Tak apalah, saya cuba sedaya saya.
Sudahnya, ada beberapa orang guru terpaksa merelief sehingga tiga masa. Apabila jadual diedar, berbunyilah seorang dua guru di dalam WhatsApp relief.
Entah nada bergurau atau serius saya tidak tahu, tetapi sedikit sebanyak tersentuh juga hati saya. Bayangkan sejak petang Sabtu, bersambung sehingga malam Ahad dan diteruskan lagi ke pagi Ahad itu saya mengadap komputer menyusun jadual ganti sehingga terlupa makan malam (ini bagus!) tiba-tiba mereka sesedap rasa mengkomplen itu ini. Saya cuba pejam mata tetapi hati di dalam tetap merasa.
Bukanlah setiap hari mereka perlu masuk relief sampai tiga waktu, hanya sekali inilah dalam setahun. Itu pun saya beri pada guru yang jadualnya cuma empat waktu saja pada hari itu. Malah saya sendiri sudah ada lima waktu, tetap saya mengambil tiga waktu relief juga. Lalu apa lagi yang mereka mahu?
Saya bukan sensitif, cuma sekadar mahu meluah apa yang ada di hati.
Isnin dan Selasa seterusnya, masih lagi saya berdepan dengan situasi sukar dalam menyiapkan relief. Saya pun hairan, apabila ada peperiksaan maka ramailah guru yang tidak hadir. Waktu begini semua kelas perlu direlief, tiada pengecualian langsung jadi sangatlah lama untuk saya selesaikan. Siapa yang peduli?
Tidak mengapa, saya tetap mahu meneruskan tugas ini sampai saya tidak lagi menjadi guru. Insya Allah.
No comments:
Post a Comment