Sejak mula menjadi guru pada 6 Mac 1998, menulis Rancangan Pengajaran
Harian (RPH) memang menjadi rutin saya. Kami para guru yang dedikasi ini
diarah supaya menulis RPH sehari sebelum sesi PdP berlaku. RPH waktu
itu ringkas sahaja, hanya perlu tulis tajuk, objektif dan nilai. Tiada
refleksi, tiada aktiviti, tiada catatan. Mudah sekali.
Dan
sepatutnya begitulah sehingga kini. Tidak perlu pun segala yang
terperinci kerana cikgu tidak merujuk segalanya di situ. Ia sekadar
rujukan guru untuk kesinambungan PdP sahaja. Jika guru itu sudah berpengalaman, segala idea sudah ada dalam minda. Berhadapan dengan murid, guru tahu bagaimana mahu mengendali sesi PdP pada hari itu. Malah ada kalanya, pelaksanaan berbeza dengan perancangan dek pelbagai kekangan yang tiba-tiba datang.
Lalu pada pandangan saya, usahlah diberatkan guru dengan arahan menulis RPH dengan segala perincian yang entah apa-apa kerana ia akan memenatkan fikiran guru. Biarlah RPH sekadar catatan ringkas apa yang guru mahu ajar pada sesi PdP itu, dan kreativiti guru tidak terbatas pada sehelai kertas. Ia lebih meringankan fikiran serta meluaskan daya kreativiti para guru.
Saya mahu sekali pihak atas memberi sepenuh kepercayaan kepada para guru kerana kami sudah dilatih bertahun-tahun di universiti untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Percayalah, kami sangat mencintai bidang ini dan tidak akan merosakkannya dengan karenah bodoh dan tidak profesional. Bila kami diberi kepercayaan, kami akan cuba menjaga sebaiknya kepercayaan itu dengan memberi segala yang terdaya. Tidak perlulah kami diarah begitu begini sehingga hilang rasa seronok kami untuk berada bersama murid-muird yang kami cintai.
Itu belum lagi saya sentuh tentang beban sukatan kurikulum yang melampau. Bukan guru sahaja yang terbeban, minat murid juga turut terbunuh dan terkubur tanpa nisan.
Tidak tahulah apa natijahnya nanti pada masa mendatang jika perubahan tidak dilakukan.
Ini RPH saya pada tahun 2015. Jika penulisan RPH masih ringkas begini, tentu menyenangkan kami. Kan?
No comments:
Post a Comment