Minggu lepas saya sibuk sungguh. Balik sekolah saya jadi penat, malas nak buat apa-apa dah. Rumah berselerak, blog pun tak sempat nak singgah.
Apa hal yang sibuk benar tu?
Tidaklah apa sangat, cuma sibuk mental saja. Sebaik keputusan SPM diumumkan pada Khamis 8 Jun itu, saya tiada kerja lainlah di sekolah (selain masuk kelas) - iaitu menyiapkan analisis SPM 2022 dan headcount SPM 2023. Serentak juga dengan analisis ujian PKBS Mei lalu yang baru selesai pengisian markahnya pada hari yang sama.
Percayalah, saya seronok melakukan tugas ini. Berteleku di hadapan komputer, menganalisis menggunakan Microsoft Excel (itu sahaja yang saya tahu) dari lembaran ke lembaran, sungguh mengujakan. Saya lebih seronok melakukan kerja ini daripada bergelut memasak di dapur! Jangan marah ya.
Juga, saya menyiapkan tugasan saya sebagai AJK Sijil dan Buku Program bagi mesyuarat Agung PIBG yang berlangsung semalam.
Alhamdulillah, hari ini - cuti hujung minggu - saya berpeluang berehat dengan tenang di rumah. Pinta saya pada suami, saya tidak mahu keluar hari ini. Dia sajalah yang akan ke kedai membeli lauk, saya mahu bergolek di katil.
Sedikit ulasan pencapaian SPM 2022 sekolah saya. GPS 4.91 agak merosot berbanding 4.63 pada 2021. Peratus lulus 93.66 juga merosot berbanding 94.08 pada 2021. Apa pun, saya bersyukur. Pada saya, pencapaian bukan dinilai pada angka semata, ia lebih daripada itu. Semoga anak-anak didik saya terus melangkah dengan penuh yakin menempuh masa depan.
Secara peribadi, saya sungguh berbangga dengan pencapaian saya bersama-sama anak murid 5C1 dalam mata pelajaran Matematik. Semua mereka (22 orang) mendapat gred A untuk mata pelajaran ini dengan GPMP 1.00. Pencapaian terbaik dalam masa 10 tahun untuk kelas aliran Sains.
Bagi mata pelajaran Matematik Tambahan yang semua orang geruni, GPMP merosot (dari 6.56 kepada 6.91) tetapi peratus lulus meningkat (dari 70.3 kepada 78.6). Ia tetap satu pencapaian cemerlang buat kami.
Alhamdulillah.
Semoga minggu ini saya lebih lapang dan tenang. Amin.