Sudah dua malam berturut-turut mimpi yang hadir dalam tidur saya membawa emosi yang terbawa sehingga jaga.
Itu cuma mimpi, saya tahu, tetapi bila terjaga saya masih mahu marah dan masih mahu menangis. Kuat sungguh genggamannya. Pada hal, mimpi itu bukan tentang apa-apa yang penting pun.
Dua malam lepas, saya bermimpi bilik kerja saya di sekolah diganggu rakan guru bilik sebelah. Dia dengan tanpa izin, telah mengubah kedudukan meja dan peti sejuk saya serta menebuk dinding bilik saya menjadi pintu supaya dia boleh masuk ke bilik saya dengan mudah. Dia memberitahu saya tindakannya itu tanpa rasa bersalah. Saya marah betul! Rasa geram dan sangat sakit hati. Tiba-tiba saya terjaga, oh mimpi rupanya. Tetapi rasa marah itu seperti masih berbuku dalam dada dan saya teringat-ingat mimpi itu seperti ia benar-benar terjadi. Sehinggalah pagi tiba, baru saya kembali normal.
Malam tadi pula, saya bermimpi rakan sekolah rendah saya datang ke rumah saya bersama anak-anaknya. Saya sudah lupa siapa dia, lalu bertanya namanya tetapi dia enggan menjawab sebaliknya meminta saya meneka. Saya teka tetapi semua salah. Saya buntu. Saya tanya anaknya, anaknya juga tidak memberi jawapan. Lama saya berfikir dan dia pun bercerita kisah hidupnya, barulah saya teringat siapa dia. Anak cikgu Ghani ya? Wizana? Lalu dia mengangguk.
Terus saya menangis sebab saya rasa sebak. Setahu saya suaminya sudah meninggal lama, dalam satu nahas udara lebih 10 tahun lalu, dan dia membesarkan anak-anaknya sendirian. Saya jadi sedih sungguh. Tiba-tiba saya terjaga, oh mimpi rupanya! Tetapi saya masih sedih, masih mahu menangis dan terbayang-bayang wajahnya dalam mimpi saya tadi. Dia nampak cantik dan muda. Susah pula saya mahu lena kembali, asyik terfikirkan mimpi saya.
Begitulah.
Mimpi hanya mainan tidur, tetapi ada ketikanya penuh emosi.
No comments:
Post a Comment