Wednesday, August 30, 2023

Kuasa Media

KUASA MEDIA 

Pujangga menyebut:

"Whoever controls media, controls the mind" 

Zaman 22 tahun, hampir semua media UMNO kuasai. Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star dan News Straits Times. RTM usah cerita la, media Kerajaan. Sekali TV3 pun depa sapu. 

Yang tinggal hanya Harakah di situ. Kena bagi lah akhbar Pembangkang seketul. Takde la nampak sangat cengkaman bersuara itu. 

Akibatnya, kebanyakan rakyat pajak otak kepada parti dan pemimpin. Kita tak paham dan tak diberitahu, ada garis membezakan Negara, Kerajaan dan Parti. Depa dok ajar semuanya sama. Tak sokong parti mereka sama dengan tak sokong Kerajaan dan negara. 

Sejak sekian lama, mereka dapat undi 2/3. Tambah dengan ada ISA, pantang orang bersuara sikit semua ke Kemunting. Kerajaan nampak bersih dan toyibban sepanjang masa. Apa saja perkara buruk digelapkan dari pandangan kita. 

Propagandist ditempatkan di syarikat akhbar dan media utama. Kerja mereka mencorak pemikiran kita semua. 

Sampai lah zaman media baru. Zaman internet dan blog. Orang dapat berita bukan di TV dan akhbar lagi. Banyak berita dalam talian yang jadi alternatif. Sampai tercetuslah gerakan Reformasi. 

Kena ingat, tahun 2008, Pakatan Rakyat menang 58% undi Melayu. Tahun 2018, Kerajaan Parti Keramat tumbang dan kalah kebanyakan kerusi. 

Bukan sebab apa. Sebab Kerajaan hilang kuasa media. Orang tak percaya kata mereka. 

Sekarang, Indeks kebebasan Media kita antara terbaik di Asia. Tahun ini naik 40 anak tangga. Nombor satu di ASEAN. Menteri punyalah bangga. 

Namun, pada saya kebebasan bersuara kena juga datang dengan kematangan politik orang kita. Kalau semua bebas bersuara tapi semuanya fitnah dan bohong belaka, tambah main isu 3R senantiasa. Yang  orang kita dok telan sahaja, jadi stabil kah negara? 

Kalau dulu, cerita Gerakan bantah program hadis di sekolah akan jadi isu front page! Zaman 22 tahun, ini yang dibuat ke atas DAP. Akan berterusan jadi boogeyman Melayu. 

Tapi zaman Kerajaan Reformasi ini, akhbar membisu. Takde pula dimainkan sentimen Melayu Islam itu. 

Itu bezanya sekarang dan dulu. 

Again, 

"He who controls media, controls the mind of the people"

Kerajaan tak perlu jadi diktator seperti zaman 22 tahun. Cukup buat kawalan sederhana, untuk kestabilan negara. Perlu bagi juga ruang untuk Pembangkang dan kami mengkritik secara membina. 

Tapi kalau jenis suka kebebasan bersuara secara total, bila orang Malaysia tak bersedia, banyak yang suka pajak minda, jangan la melompat kalau sepenggal sahaja. 

Salam hormat,
Liyana Marzuki


Friday, August 25, 2023

Kisah

Beberapa hari lepas, seorang guru di sekolah saya meradang dengan pe'el Guru Kanannya. Katanya, GK itu tidak mahu menandatangani RPH yang dia hantar. Bila ditanya kenapa, jawab GK itu, guru itu hantar lewat. Marah betul guru itu dengan jawapan sebegitu. Bukannya dia tidak hantar, cuma lambat saja!

Apabila diselidik dalam kalangan GK-GK lain, tiada pula yang bertindak seperti itu. Guru hantar lambat pun GK lain tetap tandatangan kerana itu RPH, bukan kertas kerja atau usul atau dokumen negara yang perlu ikut tarikh bagai! Ia hanya satu kenyataan tentang aktiviti pengajaran sahaja. 

Tetapi begitulah. Apabila seorang yang tiada sifat kepimpinan diberi kuasa, tentulah dia bertindak dalam kejahilan. Baginya, "aku ada kuasa untuk tidak tandatangan, nasib engkaulah! Siapa suruh hantar lambat? Hahaha!!!"

Wahai manusia bergelar ketua, jadilah ketua yang bijak, bukan ketua yang nak tunjuk kuasa semata-mata. Saya risaulah kalau nanti GK berkenaan dapat naik jadi Pengetua, mesti sengsara cikgu-cikgu di bawahnya. Harap-harap janganlah.

Tuesday, August 22, 2023

Menjelang Hari Kebangsaan

Kurang sepuluh hari lagi, kita bakal menyambut Hari Kebangsaan yang ke-66. Alhamdulillah, negara Malaysia masih aman walaupun suasana politik agak cacamarba. Biarkanlah mereka. Tanggungjawab kita sebagai rakyat, ketepikanlah dahulu sentimen yang boleh membunuh perpaduan demi sebuah kesejahteraan yang menjamin keharmonian hidup anak cucu kita pada masa depan nanti.

Merenung tema terkini - Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan - bunyinya seperti ada bau politik tetapi usahlah dibesar-besarkan sesuatu yang tidak perlu. Sebelum ini pun tema-tema yang diangkat sentiasa seiring dengan slogan kerajaan semasa. Usah tersinggung, ambil sahaja maksud yang tersurat melebihi apa yang tersirat.

Semoga Malaysiaku damai selalu, dalam lindungan Allah setiap masa.

Amin.

Sunday, August 20, 2023

Tidak Terjangka

Menjadi guru penyedia jadual ganti ini kadang-kadang menyeksa jiwa juga. Hari ini semua kelas terlibat dengan peperiksaan jadi tiada kelas boleh dikecualikan relief.

Mujur bilangan guru tiada di sekolah hari ini tidak terlalu ramai jadi jadual relief saya sempurna adanya.

Siapa sangka, sewaktu saya berada di kelas pada jam 9.40 pagi, saya menerima panggilan telefon memaklumkan seorang guru tiba-tiba sakit dan perlu dibawa ke hospital. Saya diminta menyediakan relief untuk kelasnya yang berbaki empat masa lagi.

Panik juga, nak cekau macam mana ni, saya kat kelas! Bisik hati saya dalam resah dan kalut. Tetapi Allah permudahkan. Jadual guru saya boleh rujuk pada perisian WINJAWS di telefon, jadi dapatlah saya buat secara manual, sambil mengawas peperiksaan. Empat orang guru saya hubungi untuk mengganti kelas-kelas itu, dan semua memberi kerjasama yang baik. Terima kasih.

Lega. Sangka saya begitulah.

Pada jam 11.20, guru yang perlu mengganti kelas 1C5 menghubungi saya memaklumkan guru selepasnya tidak datang-datang lagi jadi dia tidak boleh tinggalkan kelas 1C7 itu untuk mengganti kelas yang saya bagi tadi. Guru di 1C5 pula menghubungi saya bertanya mana guru selepas dia belum sampai lagi ni?

Saya pening!

Aduhai! Saya rasa nak marah juga, apabila seorang guru lambat ke kelas maka akan berangkai-rangkailah jadinya ke kelas lain. Musim peperiksaan begini tolonglah ada common sense sedikit. Yang peningnya saya, orang itu tanya, orang ini tanya. Saya cuma penyedia jadual ganti, bukan penyelesai masalah guru lambat masuk kelas!

Ampunilah saya ya Allah.

Kebetulan pula, bilangan kertas soalan peperiksaan tidak cukup. Seorang murid 1C2 datang ke bilik peperiksaan meminta soalan daripada saya. Eh, mana penyelaras? Saya tak tahu dia letak mana soalan tu. Aduh, makin pening! Saya hubungi penyelaras, katanya ada dalam almari tetapi saya tak jumpa.

Saya capai saja sekeping soalan dari bungkusan soalan 1C5 yang belum dibawa ke kelas, dan beri pada murid itu. Terus saya melarikan diri saya ke kelas saya pula. Jam belum pukul 12:10 tetapi saya sengaja bergerak awal ke kelas 4C1 supaya tiada lagi kepeningan di bilik peperiksaan ini.

Tidak lama kemudian, penyelaras soalan itu menghubungi saya memberitahu kertas soalan 1C5 pula tidak cukup. Haha.. memang saya curi tadi. Tak apalah, penyelaras boleh uruskan. 

Friday, August 18, 2023

Terhempas

Petang Khamis semalam, seperti biasa setiba di rumah saya akan berbaring di katil berehat seketika. Sementelah jiwa saya agak libang libu dek pelbagai cerita yang berlaku sejak pagi tadi, tentunya saya memerlukan sedikit tenang.

Sambil berbaring, saya membelek laman Facebook untuk berita-berita terkini juga membaca perkongsian teman-teman. Tertera di muka pertama, berita pesawat  terhempas di Shah Alam. Tertulis di situ tiga maut (kemudian disahkan sepuluh maut) termasuk penunggang motosikal. Allah! Saya terus menggelintar laman itu mencari maklumat. Jantung saya berdebar-debar, takut yang teramat sangat, entah kerana apa.

Dek kejadian yang masih terlalu baru, tiada maklumat mangsa yang saya temui. Dalam hati saya tidak henti-henti berdoa agar semuanya dimudahkan. Berita sebegini amat menakutkan saya, walaupun mangsa-mangsanya tiada kaitan dengan saya. Saya akan terbayang bagaimana pilunya ahli keluarga mangsa menerima hakikat sepedih ini. Tidak mampu saya fikirkan!

Semoga tenanglah semuanya. Sepuluh mangsa yang maut itu terdiri daripada dua orang kru pesawat, enam penumpang pesawat termasuk seorang ADUN, seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta.

Daripada Allah kita datang, dan kepada-Nya jua kita kembali.

Wednesday, August 16, 2023

Sosok


Saya rindu sosok seorang pemimpin yang seperti ini, yang tidak pernah meninggikan diri sendiri. Mahu beli nasi, beratur seperti orang lain juga pada hal dia seorang Menteri Besar.

Ya Allah, jagakanlah dia di sana. Beri segala yang terbaik untuk insan ini. Selepas dia pergi, saya tidak bertemu lagi insan sebaik ini walaupun dari zuriat keturunannya sendiri.

Selepas dia pergi, saya turut beralih arah dan mencari sesuatu yang baru kerana apa yang pernah dia pimpin kini tidak seperti dulu lagi. Banyak yang menyedihkan saya.

Damailah tuan guru dalam rahmat-Nya. Semoga Kelantan Serambi Mekah ini akan kembali ke tangan insan yang mewarisi akhlakmu, suatu hari nanti.

Amin.



Tuesday, August 15, 2023

Selesai

Ok lah, pilihanraya dah selesai. Jom buat kerja. Kembali ke posisi masing-masing dan usah bising-bising lagi dengan macam-macam hal.

Prestasi PH merosot. BN lagi teruk. Itu semua kita kena terima kerana pilihan rakyat begitu. Analisis boleh, untuk tujuan peningkatan strategi untuk pilihanraya akan datang.

Yang tak boleh ialah marah-marah penjawat awam sebab mengundi PN. Itu perangai tak bertamadun warisan zaman pemerintahan BN dahulu kala. Itu sangat tidak demokrasi.

Apabila saya membaca tulisan-tulisan yang meminta disiasat penjawat awam yang mengundi PN, saya rasa itu kelakar. Mereka tidak buat apa-apa salah pun kerana mereka penjawat awam yang bekerja untuk negara Malaysia, dan gaji mereka dibayar oleh kerajaan bukan parti. Walau parti mana pun menang, mereka tetaplah penjawat awam.

Sudah-sudahlah dengan mentaliti tak bertamadun begitu. Dengan menyiasat dan menghukum penjawat awam yang mengundi PN hanya akan membuat mereka lagi benci dengan kerajaan PH-BN ini. Itu idea yang bankrap. Lupakanlah.

Sepatutnya, cara untuk memenangi hati rakyat ialah melakukan perkara-perkara yang rakyat suka secara konsisten, bukan hanya apabila menjelang pilihanraya. Liabiliti utama dalam kerajaan sekarang tak lain tak bukan ialah Pak Zahid. Rakyat tidak mahukan dia, tetapi dia masih degil untuk terus berada dalam kerajaan atas sebab-sebab tertentu. Selagi dia di situ, selagi itulah kerajaan akan tergugat dari semasa ke semasa.

Dan tentang DAP, ramai lagi rupanya Melayu yang menganggap DAP ini komunis. Saya tidaklah sampai ke situ, kerana jika benar DAP ini komunis masakan TGNA dahulu boleh bekerjasama. Sesuatu perlu dilakukan supaya Melayu lebih faham perjuangan DAP. Jika mahu dikatakan rasis, UMNO apa kurangnya.

Amanah pula, seperti tidak nampak kewujudannya. Kenapa ya? Saya antara penyokong Amanah tetapi tidak nampak lagi siapa-siapa dalam kalangan sahabat saya yang berfikiran seperti saya.

Kenapa saya sokong Amanah? 

Lain kali kita cerita. Jom sambung kerja.

Sunday, August 13, 2023

Kesimpulan

INTRO
Seperti yang dijangka, status quo kerajaan dalam enam negeri yang terlibat masih lagi kekal. Tapi ada beberapa cerapan penting bila membandingkan keputusan PRN 2018 dan 2023.

PERTAMA
PN menunjukkan tren peningkatan di semua negeri. Sebaliknya pencapaian PH dan BN menurun di semua negeri.

Pengecualian hanya di Pulau Pinang, yang mana BN kekal 2-2; dan PH menganjak dari 0 kepada 1 di Kelantan. Tapi ini sekadar magnitud kecil, yang tidak signifikan.

KEDUA
Dari segi kuasa majoriti DUN, empat negeri kekal status quo, dan dua negeri berubah. Kerajaan sedia ada di Terengganu, Kelantan, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang masih mengekalkan 2/3. 

Kedah, dari sekadar majoriti mudah sebelumnya, kali ini berjaya mendapat majoriti 2/3; manakala Selangor pula kehilangan majoriti elusif itu.

Maksudnya, semua tiga kerajaan negeri di bawah PN kini berstatus majoriti 2/3, tetapi di bawah PH-BN, hanya ada dua negeri.

KETIGA
Secara keseluruhan, PN menunjukkan prestasi positif dengan kenaikan +ve 67.8%, daripada hanya 87 kerusi (2018) kepada 146 kerusi (2023).

PH menurun sebanyak -ve 30.4% (dari 115 kerusi kepada 80); dan BN merudum ke paras -ve 55.8% (dari 43 kepada hanya 19).

KEEMPAT
PN menyapu bersih 32 kerusi di Terengganu. Sepanjang kehangatan PRN, negeri ini paling sedikit diberi liputan media arus perdana. Tapi akhirnya menawarkan plot paling dramatik dan mengejutkan!

ANALISIS
Situasi iklim politik ini menampakkan dengan jelas kewujudan tiga fenomena utama; iaitu gelombang, ombak dan riak.

Ada gelombang hijau yang menjulang, hingga mampu menggiling kapal di lautan. Ada ombak merah yang menghempas, sampai dapat menggoncang perahu di kuala sungai. Ada juga riak biru yang berolak manja, cuma boleh mengalun dedaun kering yang terapung di muka air.

TETAPI INGAT. Iklim politik Malaysia, sejak peristiwa tsunami 2018, semakin tidak menentu. Segalanya boleh berubah secara drastik dalam sekelip mata. Usah terlalu takjub pada gelombang gadang, jangan juga meremeh-remehkan riak terpencil.

Kuasa angin itu di jari rakyat yang kian insaf, bukan lagi di tangan politikus yang berduit. Tiupan angin bisa berkias arah tanpa amaran, bila-bila masa. Riak boleh saja bertukar gelombang atau sebaliknya, secara tiba-tiba.

Kenapa? Kerana kelompok "atas pagar" semakin bertambah besar, dari hanya 5-10% pada awal milenia, kepada 35-45% pada ketika ini. Pendirian kumpulan ini sangat anjal dan lentur; mampu menjungkir-balik lanskap politik tanpa disangka-sangka.

RUMUSAN
Ketidaktentuan iklim politik ini, sebenarnya bagus untuk negeri-negeri marginal, khususnya dari wilayah Borneo. Perlawanan tiga penjuru yang sengit, memecahkan monopoli ketuanan federal. Jadi tidak ada mana-mana entiti yang mampu memegang kuasa dominan secara tunggal.

Maka, blok Borneo tidak lagi boleh dibuli sebagai "fixed deposit". Blok ini sekarang perlu dihormati sebagai "king maker". Yang tidak boleh dipandang enteng oleh mana-mana pihak, yang memegang tampuk kuasa kerajaan pusat.

Rakyat sudah bersuara. Kita semua kena akur dan terima dengan hati terbuka. Masa untuk bertempur telah berakhir. Ingat, biduk lalu kiambang bertaut. Sekarang sudah tiba waktu kita semua kembali bersahabat, dan sama-sama membina negara ini.

Salam perpaduan nasional. 💜 🤝

———
DATA PENUH MENGIKUT NEGERI
Nota: Angka menunjukkan perbandingan PRN 2018 dan PRN 2023. Untuk konsistensi, kerusi PN tahun 2018 juga merupakan gabungan PAS dan PBBM.

KEDAH
PN: 20 — 33
PH: 13 — 3
BN: 3 — 0

KELANTAN
PN: 37 — 43
PH: 0 — 1
BN: 8 — 1

NEGERI SEMBILAN
PN: 0 — 5
PH: 20 — 17
BN: 16 — 14

PULAU PINANG
PN: 3 — 11
PH: 35 — 27
BN: 2 — 2

SELANGOR
PN: 5 — 22
PH: 47 — 32
BN: 4 — 2

TERENGGANU
PN: 22 — 32
PH: 0 — 0
BN: 10 — 0

OVERALL
PN: 87 — 146 ⬆️
PH: 115 — 80 ⬇️
BN: 43 — 19 ⬇️


Sad Truth

This is the sad truth.
We have had every opportunity to make change.
But we chose not to.

This is the sad truth.

Were we fighting a battle we could not win?

Terima


Emak dan adik bongsu saya sedang dalam perjalanan ke lapangan terbang untuk menuju ke Kuala Lumpur, dan esok emak dan mak su akan terbang ke Langkawi pula. Semoga selamat semuanya.

Sudah lama emak mahu ke Langkawi, mahu menziarah kakak Hasanah yang sakit di sana. Malangnya tiada ruang yang sesuai untuk emak, dan kami pula semua sibuk dengan urusan kehidupan yang tidak pernah sudah di dunia sementara ini. Emak hanya memendam rasa. 

Setiba waktu mengundi PRN semalam, kami sudah berkira-kira untuk membiarkan emak ke KL bersama adik bongsu kami yang pulang mengundi. Siapa tahu kakak juga akan berangkat pulang ke sisi Tuhan pada hari yang sama. Sedih tidak terkata, emak tidak sempat menemui kakak buat kali terakhir. Emak redha, tetapi rancangan untuk ke sana tetap diteruskan. Terima kasih adik Dah, memberi jalan untuk emak ke sana. 

Buat kakak yang telah pergi, semoga tenang di sana. Budi kakak terhadap keluarga kami, Allah jua yang akan membalasnya dan akan kami kenang selalu. Doa kami untuk kakak akan sentiasa ada. 

Ma dan Kakak pada Februari 2015


Dalam Kenangan.
Hasanah binti Muhammad.
1953 - 2023.

Thursday, August 10, 2023

Ulasan

📌 Rafizi terangkan dan jelaskan satu per satu dasar dan model Ekonomi MADANI, Syahir hanya kitar semula tetapi hakikatnya, dia setuju dengan dasar dan model tersebut, cuma tukar ayat sahaja.

📌 Syahir bentangkan teras-teras Ekonomi Nasional tapi tak huraikan dan memberikan contoh untuk setiap teras tersebut dengan jelas. Sebut satu teras, kemudian huraikan dan kaitkan dengan Anwar, Najib, perasuah, penyamun, ayah, anak, arak, judi, nepotisma, hadis, binatang-binatang seperti gajah, kancil, kambing dan anai-anai yang langsung tiada kena-mengena dengan ekonomi. Ia seperti ceramah politik murahan di kampung-kampung. Pelabur-pelabur tidak mahu tahu tentang jenis-jenis binatang yang ada di Malaysia, mereka nak tahu dasar dan polisi yang jelas supaya mereka boleh membuat keputusan untuk melabur di negara ini.

📌 Rafizi bentangkan soal gaji rakyat dan kaitkan dengan ekonomi dan kos sara hidup. Sangat jelas untuk faham berserta data dan fakta.

📌 Syahir tidak membentangkan apa-apa data untuk buktikan hujah dia sedangkan dia boleh tengok di laman web DOSM secara PERCUMA dan huraikan supaya rakyat nampak bahawa terdapatnya data untuk menyokong segala hujah dia tapi malangnya tiada.

📌 Rafizi jawab segala soalan moderator dan Syahir, manakala Syahir tidak menjawab soalan Rafizi dan moderator. Moderator tanya lain, dia jawab lain. Sama seperti Hadi Awang. Wartawan tanya pasal ekonomi, dia jawab pasal kisah nabi yang langsung tiada kena-mengena. Tukang angkat beg Hadi Awang pun turut amalkan perkara yang sama.

🖇️ Kesimpulannya, jelas bahawa negara kita sedang berada di landasan yang BETUL di bawah Kerajaan MADANI dan Rafizi adalah orang yang TEPAT dalam menguruskan hal ehwal ekonomi di negara kita kerana beliau mempunyai segala pelan, dasar dan polisi ekonomi yang jelas. Tiada nama binatang disebut di dalam hujah beliau sebaliknya, 100% fokus kepada ekonomi sahaja.

Syahir? Hanya mampu sembang politik murahan, auta lebih, kurang membaca dan tiada ilmu pengetahuan mengenai ekonomi.

Rakyat boleh nilaikan kualiti hujah-hujah mereka berdua dengan mudah kecuali walaun-walaun yang hanya bersorak dan tepuk tangan walaupun tak faham apa-apa, janji boleh komen, 'Syahir terbaik!' di TikTok LIVE.

(Tulisan Abdul Hafiz Abdullah pada balasan Bonda Nor di Status Syahir Sulaiman)

Debat


Aduh! Dada saya berombak-ombak ni, rasa nak keluarkan segala yang terbuku dalam hati. Tapi tulah, tak boleh!

Malam tadi debat. Saja saya malas nak tengok. Tahu dah kesudahannya bagaimana. Penyokong PN puji SS, penyokong PH puji RR. Saya tak boleh tengok live, nanti sesak nafas. Esoklah, masa sensorang boleh layan. Tak suka tengok kalau ada orang lain tengok juga, terganggu. Mujur suami saya tengok bola malam tadi, boleh saya tidur je. Kalau dia tengok debat, susah saya. Hehe!

Kat kantin pagi ni, ada pula kedengaran cikgu duk puji MB Kedah. Cikgu tu dulu penyokong tegar UMNO BN, tapi sekarang dah jadi PAS. Aduh! Kenapa saya rasa tak best? Entah.

Saya baca ulasan-ulasan tentang debat malam tadi di Facebook. Ada senyum di bibir saya kerana kebanyakan ulasan seperti sama dengan telahan saya walaupun saya tidak menonton. Bagai boleh diagak begitulah sifirnya. Tetapi saya tidak mahu bias. Saya akan menonton juga nanti untuk sebuah keadilan. 
 
Lusa mengundi. Saya tahu dah nak undi siapa, tetapi saya masih risau dengan keputusannya. Dada saya masih berombak-ombak dan rasa nak pecah bila memikirkan negeri saya ini. Semoga, semoga, semogalah ada perubahan. Amin


Wednesday, August 09, 2023

Kenangan Tentang Cinta

Apabila usiaku menginjak remaja, tiba-tiba ada taman yang berbunga di dalam hati. Sesuatu sedang menjentik rasa, meminta aku selalu mencari. Dan mencari lagi, sebab bayangnya ada di mana-mana.

Waktu itu, aku seperti tidak memikirkan kejadian masa hadapan. Aku cinta padanya. Hanya itu yang aku tahu, tetapi aku malu – bukan, aku takut – jika dia tahu. Aku serba tiada, siapalah yang mahu.

Lalu aku hanya memburunya dalam diam, dengan penuh rasa dendam. Dendam menyala-nyala seperti api di dalam jiwaku, mengharap pada keajaiban walaupun ia satu kemustahilan.

Mujur api itu akhirnya padam, dan aku membuka cerita baru demi masa depan. Api itu bukan terpadam sendiri tetapi aku yang memadamkannya kerana aku sudah menerima setiap tulisan takdir dengan penuh reda. Dia pergi. Dan pergilah. Aku tidak lagi mencari.

Yang aku mahu kini ialah cinta yang datang padaku tanpa aku memburu. Tuhan sesungguhnya terlalu baik padaku, memberi aku kurnia yang aku sendiri tidak menyangka. Semakin lama aku semakin menghargai kurnia-Nya ini. Syukur Alhamdulillah.

Benar Tuhan terlalu baik padaku, sehingga aku jadi malu, tetapi aku tetap mahu terus meminta yang baik-baik daripada-Nya. Tuhan, aku mahu Engkau terus memberi aku kekuatan dalam setiap kesulitan dan rasa reda dengan setiap ketetapan. Segala tulisan takdirku yang Engkau telah sempurnakan, aku terima dengan penuh rasa kehambaan. Dan apa yang di hadapan yang masih Engkau rahsiakan, semoganya ia akan terbuka dalam rasa yang aman dan nyaman. Terimalah aku dalam reda-Mu nanti. Terimalah kami. Amin.

 

Mencari Indah

Memerhati sekitar, ada kalanya mengundang rasa yang tidak dapat diungkap. Beberapa peristiwa yang terjadi dalam persekitaran saya seperti memberi ruang untuk saya memikir, walaupun tiada apa-apa pun akan berubah dengan segala yang saya fikirkan.

Mengapa agaknya, apabila seorang suami yang kematian isteri, dia diberi ruang seluas-luasnya untuk mencari pengganti tanpa sebarang persepsi negatif daripada masyarakat. Sebaliknya, apabila seorang isteri kematian suami bernikah lagi, pandangan masyarakat seakan-akan serong. Bukankah nasib seorang balu perlu dibela?

Lebih menyukarkan keadaan, bukan sekadar jiran tetangga yang berkata-kata tidak indah, menilai setiap langkah dan mencari setiap salah balu itu, tetapi ipar duai yang sebelum ini begitu rapat dengannya mula bertindak bukan-bukan. Mereka mula menghasut ibu mereka (ibu mentua balu itu) untuk menuntut apa yang boleh (dari bahagian harta pusaka) pada hal semuanya sudah selesai di mahkamah dan ibu mentuanya sudah menyerahkan hak pusakanya kepada cucu-cucu (anak-anak balu itu).

Ipar-ipar mula mengungkit dan menganggap balu itu seperti orang luar, yang sudah berpindah kasih kepada suami baru dan melupakan arwah abang mereka.

Kasihan saya melihat betapa sukarnya dia menempuh ujian sebegini. Malah sehingga terkeluar perkataan “kalaulah saya tidak menikah lagi, semua ini tuidak akan terjadi” sewaktu meluah perasaan sedihnya kepada saya. Apa yang saya boleh buat?

Bersabarlah, ini ujian. Itulah ayat klise yang saya ucapkan. Penanggungannya, tetap tidak dapat saya kurangkan. Lebih meruntun rasa, kasihnya kepada ibu mentua dan ipar duainya tidak dapat dilenyapkan, kerana itu dia sangat sedih diperlaku sedemikian oleh insan-insan yang dikasihinya. Dua puluh lima tahun dia hidup dengan tenang dalam keluarga itu sewaktu arwah suaminya ada, kini segalanya menjadi kesakitan yang tidak terungkapkan.

Wahai masyarakat Melayu beragama Islam, di mana letaknya empati dan redha dalam diri kalian? Tidak bolehkah kalian berlapang dada dan menerima setiap takdir dengan penuh ketenangan? Balu itu bukan melanggar sebarang hukum Tuhan pun, dia hanya melalui garis-garis kehidupannya pada landasan yang Allah izinkan. Mengapa hatinya kalian sakiti?

Semoga ada cahaya yang terang di hujung jalanmu nanti, sahabat. Itu doaku.

Thursday, August 03, 2023

Kakak

Sewaktu kecil dulu, saya selalu iri melihat rakan-rakan yang ada kakak. Sebagai anak perempuan sulung, saya tiada kesempatan itu dan tidak tahu bagaimana perasaan dimanjai seorang kakak. Pun apabila dewasa, semua itu tidak lagi bermain di minda. Adik atau kakak, semuanya sama membahagiakan.

Pun, saya tetap diberi peluang memiliki sosok seorang kakak apabila sepupu sulung kami membahasakan dirinya sebagai kakak dengan semua adik-adik sepupunya. Kakak Hasanah, itu nama diberi bapanya tetapi tertulis Wan Hamidah pada kad pengenalannya.

Kami berbeza usia sembilan belas tahun. Kakak sangat akrab dengan emak saya kerana  mereka melalui alam persekolahan bersama. Cuma kakak meneruskan pengajian hingga ke universiti al-Azhar di Mesir dan pulang menjadi seorang ustazah, manakala emak saya berhenti belajar kerana dilamar ayah, iaitu bapa saudara kakak.

Kini dalam usia tujuh puluh tahun, kakak tidak lagi sihat seperti dulu. Sewaktu catatan ini saya tulis, kakak sedang dirawat di hospital Langkawi kerana masalah jantung. Sayu hati saya melihat keadaan kakak (daripada gambar kiriman anaknya) kini. Semoga kakak terus kuat dan pulih kembali. Doakan untuk kakak.


Bengkel

Sepertinya sudah lama saya tidak diarahkan untuk hadir ke mana-mana bengkel sejak tiga tahun lalu. Selalu saya cuma melihat sahabat guru saya keluar menghadiri kursus atau bengkel, dan saya menyediakan jadual ganti untuknya. 

Kali ini saya menerima arahan untuk menghadiri Bengkel Analisis Data dan Headcount di SMK Zainab pada 30 - 31 Julai lalu. Seronok bukan kepalang rasanya apabila dipilih, apatah lagi pada tarikh yang sama sekolah saya melangsungkan kejohanan Sukan Tahunan Sekolah, jadi saya tidak ralat langsung tiada di sekolah. Tidaklah kelas saya terpaksa diganti.

Selama dua hari berbengkel, ada beberapa perkara baru yang saya pelajari tetapi kebanyakan pengisiannya adalah penggunaan Excel yang sudah mesra dengan saya. Tidaklah saya terkial-kial untuk menyelesaikan sebarang tugasan atau latihan kerana Excel adalah kegemaran saya. Cuma apa yang saya perhatikan, masih ramai guru yang menjawat jawatan Setiausaha Peperiksaan tidak begitu arif dengan perisian ini.

Tidaklah saya mahu membangga diri, tetapi pada saya tugas menganalisis tidak dapat dipisahkan dengan Excel. Suka atau tidak, jika anda diberi tanggungjawab di bahagian peperiksaan perlulah menggali dengan lebih dalam tentang Excel ini.

Sewaktu saya mula-mula bekerja dahulu, saya teruja melihat lembaran markah yang dibina oleh guru Setiausaha Peperiksaan di sekolah saya itu. Hebat, apabila dimasukkan markah akan terus keluar gred. Saya mahu tahu bagaimana ia berlaku begitu. Lalu saya menyalin satu salinan marksheet itu ke disket dan membawa pulang untuk dibuka di komputer rumah saya.

Saya menilik, mencuba dan meneroka. Oh ada rumus di situ. Vlookup, Countif, Sum, adalah rumus-rumus asas yang pertama saya pelajari secara kendiri. Kembali ke sekolah, saya bertanya pula guru itu tentang sorting. Dan saya teroka lagi ilmu Excel ini selama bertahun-tahun sampai sekarang.

Sewaktu di SMK Salor saya sudah boleh membina satu sistem analisis peperiksaan dan juga headcount untuk kegunaan sekolah. Semuanya hanya dengan belajar secara sendiri tanpa menyertai apa-apa kelas atau kursus.

Sehingga kini pun, saya masih mendalami Excel untuk membolehkan saya menambahbaik apa yang telah saya ada.