Sewaktu kecil dulu, saya selalu iri melihat rakan-rakan yang ada kakak. Sebagai anak perempuan sulung, saya tiada kesempatan itu dan tidak tahu bagaimana perasaan dimanjai seorang kakak. Pun apabila dewasa, semua itu tidak lagi bermain di minda. Adik atau kakak, semuanya sama membahagiakan.
Pun, saya tetap diberi peluang memiliki sosok seorang kakak apabila sepupu sulung kami membahasakan dirinya sebagai kakak dengan semua adik-adik sepupunya. Kakak Hasanah, itu nama diberi bapanya tetapi tertulis Wan Hamidah pada kad pengenalannya.
Kami berbeza usia sembilan belas tahun. Kakak sangat akrab dengan emak saya kerana mereka melalui alam persekolahan bersama. Cuma kakak meneruskan pengajian hingga ke universiti al-Azhar di Mesir dan pulang menjadi seorang ustazah, manakala emak saya berhenti belajar kerana dilamar ayah, iaitu bapa saudara kakak.
Kini dalam usia tujuh puluh tahun, kakak tidak lagi sihat seperti dulu. Sewaktu catatan ini saya tulis, kakak sedang dirawat di hospital Langkawi kerana masalah jantung. Sayu hati saya melihat keadaan kakak (daripada gambar kiriman anaknya) kini. Semoga kakak terus kuat dan pulih kembali. Doakan untuk kakak.
No comments:
Post a Comment