Wednesday, August 09, 2023

Mencari Indah

Memerhati sekitar, ada kalanya mengundang rasa yang tidak dapat diungkap. Beberapa peristiwa yang terjadi dalam persekitaran saya seperti memberi ruang untuk saya memikir, walaupun tiada apa-apa pun akan berubah dengan segala yang saya fikirkan.

Mengapa agaknya, apabila seorang suami yang kematian isteri, dia diberi ruang seluas-luasnya untuk mencari pengganti tanpa sebarang persepsi negatif daripada masyarakat. Sebaliknya, apabila seorang isteri kematian suami bernikah lagi, pandangan masyarakat seakan-akan serong. Bukankah nasib seorang balu perlu dibela?

Lebih menyukarkan keadaan, bukan sekadar jiran tetangga yang berkata-kata tidak indah, menilai setiap langkah dan mencari setiap salah balu itu, tetapi ipar duai yang sebelum ini begitu rapat dengannya mula bertindak bukan-bukan. Mereka mula menghasut ibu mereka (ibu mentua balu itu) untuk menuntut apa yang boleh (dari bahagian harta pusaka) pada hal semuanya sudah selesai di mahkamah dan ibu mentuanya sudah menyerahkan hak pusakanya kepada cucu-cucu (anak-anak balu itu).

Ipar-ipar mula mengungkit dan menganggap balu itu seperti orang luar, yang sudah berpindah kasih kepada suami baru dan melupakan arwah abang mereka.

Kasihan saya melihat betapa sukarnya dia menempuh ujian sebegini. Malah sehingga terkeluar perkataan “kalaulah saya tidak menikah lagi, semua ini tuidak akan terjadi” sewaktu meluah perasaan sedihnya kepada saya. Apa yang saya boleh buat?

Bersabarlah, ini ujian. Itulah ayat klise yang saya ucapkan. Penanggungannya, tetap tidak dapat saya kurangkan. Lebih meruntun rasa, kasihnya kepada ibu mentua dan ipar duainya tidak dapat dilenyapkan, kerana itu dia sangat sedih diperlaku sedemikian oleh insan-insan yang dikasihinya. Dua puluh lima tahun dia hidup dengan tenang dalam keluarga itu sewaktu arwah suaminya ada, kini segalanya menjadi kesakitan yang tidak terungkapkan.

Wahai masyarakat Melayu beragama Islam, di mana letaknya empati dan redha dalam diri kalian? Tidak bolehkah kalian berlapang dada dan menerima setiap takdir dengan penuh ketenangan? Balu itu bukan melanggar sebarang hukum Tuhan pun, dia hanya melalui garis-garis kehidupannya pada landasan yang Allah izinkan. Mengapa hatinya kalian sakiti?

Semoga ada cahaya yang terang di hujung jalanmu nanti, sahabat. Itu doaku.

No comments:

Post a Comment