Wednesday, October 30, 2024

Graduan

Sekitar tiga puluh tahun dahulu, seorang graduan akan mendapat tawaran kerja sebelum mereka tamat belajar lagi. Dengan gaji permulaan sekitar RM1.2K - RM1.8K, terasa berbaloi dengan kesusahan belajar di universiti.

Kini, sudahlah kerja susah dapat, gaji yang ditawarkan juga tidak berbaloi, malah masih lagi sebagaimana tiga puluh tahun lepas.

Kasihan, bukan?

Sepertinya tidak begitu sesuai pula untuk memberi motivasi kepada anak-anak murid supaya belajar bersungguh-sungguh sehingga ke universiti agar dapat hidup selesa. Selesa apa jika kerja tiada?

Lalu apa tindakan kita? Bolehkah jika saya menyarankan kerajaan membuka peluang kerja tetap yang banyak, dengan gaji permulaan gred 41 kepada semua - ya SEMUA - graduan di negara kita?

Dahulu, graduan yang ada tidak seramai sekarang, jadi kerja yang menunggu mereka. Apabila graduan sudah ramai, sepatutnya kerja ditambah lagi. Dan lagi. Dan lagi.

Bolehkah begitu?
 

Tuesday, October 29, 2024

Jingga




Ini rumah kami yang dicat baru. Jingga pilihan kami kerana warna ini menggambarkan rasa ceria penghuninya dan lambang kesediaan kami menempuh segala cabaran.

Alhamdulillah, lebih dua bulan juga proses mengecat rumah ini mengambil masa. Memang teliti sekali mereka bekerja dan kami berpuas hati walaupun agak lama. Daripada warna asalnya kuning (2004) kami pilih warna carrot pada 2011 dan kali ini menjadi jingga pula. Mulanya saya mahu putih, tapi kata tukang cat itu, untuk menutup warna carrot itu perlu berlapis-lapis cat putih. Ini akan memakan kos yang tinggi berbanding menukar kepada warna senada. Lalu kami pilih jingga yang lebih tua daripada warna carrot. Cantik juga.

Semoga rumah ini menjadi syurga dunia buat kami suami isteri. Amin.
 

Saturday, October 26, 2024

Kereta Baru

Untuk kali yang saya malas dah nak kira, suami saya membeli kereta lagi.

Kali ini Toyota Hilux kami dijual kepada jiran, dengan harga RM55K (tapi sampai sekarang duit belum masuk lagi, sebab dia buat loan jadi lambat sikit proses, kami baik hati bagi je kereta dulu, dah seminggu) dan kereta kami yang baru ialah Mercedes Benz A180 Sedan (2021/24) berharga RM170K.

Kami membayar wang pendahuluan sejumlah RM80K dan memilih Bank Muamalat untuk pembiayaan sebanyak RM90K, dibayar dalam tempoh 7 tahun dengan kadar keuntungan 2.45% setahun. Ini bermakna saya perlu mengeluarkan RM1256 sebulan sebagai ansuran.

Alhamdulillah. Walaupun pada mulanya saya sangat tidak bersetuju dengan pembelian kereta ini kerana tiada keperluan pun, tetapi siapalah saya untuk berkata tidak. Saya reda.

Semoga Allah pun reda. 





Thursday, October 17, 2024

Ya Syafi

Semalam, hari saya penuh dengan berita kesakitan insan-insan di sekeliling saya. Seawal pagi saya dikejutkan dengan kecederaan yang menimpa Hana, anak saudara saya di Putrajaya. Hana jatuh di taman dan kepalanya luka berdarah. Betapa terkejut dan risaunya saya, pun Alhamdulillah Hana baik-baik sahaja selepas menerima enam jahitan pada tengah malam itu. Semoga Allah melindungi Hana selalu.


Malam tadi, anak murid saya pula menghantar mesej dia mendapat cuti sakit kerana disyaki denggi. Allahuakbar! Anak murid saya ini sedang berjuang untuk peperiksaan SPMnya tidak lama lagi. Dia anak yang baik, ayahnya sudah dua tahun meninggal dunia dan ibunya mengambil upah mengasuh. Abang sulungnya bekerja di kedai makan dan menjadi penjaga utama yang baik kepada adik-adiknya. Apabila dia sakit begini, hati saya terasa sedih sangat. Saya seperti mahu berada di sisinya dan membantu sehabis baik tetapi daya apalah yang saya ada. Saya hanya mampu berdoa, semoga dia kembali sihat untuk terus belajar dan berjaya.
 
 
 
Dan apabila saya menelefon emak malam tadi untuk bertanya khabar, emak memaklumkan menantu Mak Pah di Golok yang baru 20 hari melahirkan anak pertama secara pembedahan tiba-tiba mengalami pendarahan di kepala dan akan dibedah hari ini. Allahuakbar! Begitu besarnya ujian dari Allah untuk hamba-Nya yang terpilih. Sedih memikirkan situasi sebegini tetapi doa buatnya tetap saya panjatkan.

Begitulah. Hidup dan ujian, seperti isi dan kuku. Semoga Allah memberi kekuatan.
 

Friday, October 04, 2024

Berita


Semalam saya diserang pening (vertigo) di sekolah. Tiga kali saya muntah, tak boleh bergerak langsung, seluruh alam berpusing-pusing. Saya pulang awal, dijemput suami pada jam 12.45 tengah hari. Berehat di rumah rasa lebih selesa.

Alhamdulillah pagi ini saya bangkit dengan rasa lega sedikit. Pening masih ada, tetapi tidak kuat sangat. Lalu saya membelek-belek pesanan WhatsApp yang tidak mampu saya hadam sejak semalam.

Dua berita mengejutkan saya terima. Berita kematian dua insan yang dekat di hati saya, kedua-duanya pergi secara mengejut.


Nor Azlin Mustafa, sahabat sesekolah di MRSM Kuala Terengganu, meninggal sewaktu bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Beliau seorang pakar psikiatri di hospital itu, rebah selepas menunaikan solat Zohor dan disahkan meninggal pada jam 4.05 petang.

Allahuakbar! Leng, nama panggilannya sewaktu di sekolah adalah rakan seasrama dan sehomeroom dengan saya dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Selepas SRP, Leng berpindah ke MRSM Kulim kerana keputusan SRP nya yang cemerlang (7A1, 1A2) melayakkannya belajar di MRSM Khas. Kami bertemu kembali selepas SPM apabila sama-sama belajar di Matrikulasi MARA, Kulim. Seterusnya Leng menyambung pengajian ijazah kedoktoran di Adelaide, Australia.

Kehilangan Leng ditangisi semua rakannya kerana peribadi Leng yang sangat mulia, sangat dikasihi ramai. Apa pun, setiap yang hidup pasti akan mati. Berehatlah dengan tenang Leng, semoga syurgalah buatmu.

Berita kedua, Kerani Kanan di sekolah saya, En. Noor Kasmani meninggal dunia dalam tidurnya malam tadi. Allahuakbar! Mudahnya dia pergi, pada hari Jumaat yang mulia.


Kami memanggilnya CC, dan dia bertugas di sini sejak 2020. Kesihatannya memang tidak begitu baik kerana penyakit tiga serangkai, tetapi semalam dia masih sihat dan berbual-bual dengan kami seperti biasa. Tidak langsung kami sangka secepat ini dia pergi meninggalkan semua. Dialah yang banyak membantu urusan pencen suami saya dahulu, selain menjadi rakan yang baik kepada suami saya selama di SMK Kampong Chengal.

Semoga insan-insan mulia ini ditempatkan di jannah, amin.