Friday, October 04, 2024

Berita


Semalam saya diserang pening (vertigo) di sekolah. Tiga kali saya muntah, tak boleh bergerak langsung, seluruh alam berpusing-pusing. Saya pulang awal, dijemput suami pada jam 12.45 tengah hari. Berehat di rumah rasa lebih selesa.

Alhamdulillah pagi ini saya bangkit dengan rasa lega sedikit. Pening masih ada, tetapi tidak kuat sangat. Lalu saya membelek-belek pesanan WhatsApp yang tidak mampu saya hadam sejak semalam.

Dua berita mengejutkan saya terima. Berita kematian dua insan yang dekat di hati saya, kedua-duanya pergi secara mengejut.


Nor Azlin Mustafa, sahabat sesekolah di MRSM Kuala Terengganu, meninggal sewaktu bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Beliau seorang pakar psikiatri di hospital itu, rebah selepas menunaikan solat Zohor dan disahkan meninggal pada jam 4.05 petang.

Allahuakbar! Leng, nama panggilannya sewaktu di sekolah adalah rakan seasrama dan sehomeroom dengan saya dari tingkatan 1 hingga tingkatan 3. Selepas SRP, Leng berpindah ke MRSM Kulim kerana keputusan SRP nya yang cemerlang (7A1, 1A2) melayakkannya belajar di MRSM Khas. Kami bertemu kembali selepas SPM apabila sama-sama belajar di Matrikulasi MARA, Kulim. Seterusnya Leng menyambung pengajian ijazah kedoktoran di Adelaide, Australia.

Kehilangan Leng ditangisi semua rakannya kerana peribadi Leng yang sangat mulia, sangat dikasihi ramai. Apa pun, setiap yang hidup pasti akan mati. Berehatlah dengan tenang Leng, semoga syurgalah buatmu.

Berita kedua, Kerani Kanan di sekolah saya, En. Noor Kasmani meninggal dunia dalam tidurnya malam tadi. Allahuakbar! Mudahnya dia pergi, pada hari Jumaat yang mulia.


Kami memanggilnya CC, dan dia bertugas di sini sejak 2020. Kesihatannya memang tidak begitu baik kerana penyakit tiga serangkai, tetapi semalam dia masih sihat dan berbual-bual dengan kami seperti biasa. Tidak langsung kami sangka secepat ini dia pergi meninggalkan semua. Dialah yang banyak membantu urusan pencen suami saya dahulu, selain menjadi rakan yang baik kepada suami saya selama di SMK Kampong Chengal.

Semoga insan-insan mulia ini ditempatkan di jannah, amin. 

No comments:

Post a Comment