Sejak suami saya bersara lima bulan lalu, ramailah yang bertanya adakah saya juga akan bersara awal?
Seorang rakan guru (lelaki) terkejut bila saya kata saya tidak tahu lagi mahu bersara bila. Saya memilih bersara pada umur 60, jika saya sihat mungkin akan sampai ke situlah perkhidmatan saya. Jika tidak, mungkin akan bersara lebih awal. Bergantung.
Seorang saudara jauh pula, meramalkan saya tidak akan bertahan sampai umur 60 kerana nanti akan terliur melihat suami saya berehat di rumah dan dapat ke sana ke mari dengan selesa.
Ironinya, suami saya sendiri tidak pernah memberi apa-apa cadangan atau syarat kepada saya. Dia membiarkan saya memilih sendiri - mahu terus berkhidmat atau bersara awal.
Dan saya pula, masih tidak mahu memikirkan tentang bersara. Pada usia lima puluh dua tahun ini dengan keadaan kesihatan yang turun naik, saya masih mahu terus mengajar. Biarlah apa orang kata, mereka tidak berada di tempat saya.
Jika saya mampu (baca: sihat) saya mahu terus menjadi guru sampai akhir hayat. Jika nanti saya bersara pada usia enam puluh, saya mahu juga terus mendidik dengan cara saya sendiri. Saya tidak mahu kuburkan kerjaya kecintaan saya ini begitu sahaja.
Dan sehingga hari ini, biarlah saya terus menikmati keindahan alam perguruan ini. Indah, jika kita tahu bagaimana mengindahkannya.
No comments:
Post a Comment