Wednesday, September 11, 2024

Kepahitan silam itu..

Saya sering tersapa tulisan insan-insan yang berkongsi kisah perit masa silam mereka. Miskin, dipandang hina, dibuli, diketawakan rakan sekolah dan segala yang pahit untuk ditelan. Lalu mereka menempuh semuanya dengan tabah dan akhirnya kini mereka menjadi orang berjaya.

Saya terfikir, apakah untuk menjadi orang berjaya syaratnya mesti melalui keperitan dan kesukaran hidup pada masa kecil? Apakah anak-anak orang berada yang tidak merasa kesusahan hidup, mereka tidak cukup syarat untuk berjaya?

Entahlah. Dahulu saya teruja juga dengan kisah-kisah begini, kagum dengan semangat juang anak-anak kampung yang miskin dalam mengubah nasib keluarga. Hebat mereka ini. Tetapi bila saya amati, saya rasa kisah begini tidak perlulah dicerita berkali-kali. Ia seperti skrip yang sama untuk semua orang apabila ditanya liku perjalanan yang mereka tempuh sebelum menjadi orang berjaya. Ada jemu pula bila mendengar kisah berulang-ulang.

Saya bukan menafikan kemiskinan sebagai salah satu faktor kejayaan mereka, tetapi itu bukan satu-satunya. Dan bukan tiada anak-anak orang miskin yang terus miskin, gagal dalam peperiksaan, tidak mahu berubah. Begitu juga anak-anak orang berada, ramai yang cemerlang dan menjadi orang hebat.

Untuk generasi kini, kisah kemiskinan seperti tidak relevan dengan mereka.

Lalu, untuk memberi motivasi kepada anak-anak muda masa kini, bukan lagi kisah kemiskinan yang perlu diceritakan. Beri mereka sesuatu yang berbeza. Mungkin tentang keseronokan belajar di universiti, cabaran untuk hidup berdikari juga kisah persahabatan sejati.

Itu antara yang menjadi motivasi saya dahulu. Saya tidak sabar mahu menikmati alam universiti kerana apa yang saya bayangkan ialah betapa seronoknya bergelar mahasiswa. Saya nampak megahnya Perpustakaan Tun Seri Lanang, saya nampak hebatnya Dewan Canselor Tun Abdul Razak, semua itu mengujakan saya.

Saya juga sudah tidak sabar untuk berdikari. Saya mahu membina hidup tanpa membebankan ibu ayah saya lagi. Mereka bukan orang miskin, tetapi saya tetap mahu memberi yang terbaik buat mereka.

Dan saya juga suka membina persahabatan dengan teman-teman sepengajian. Saya belajar di asrama sejak tingkatan satu, jadi hidup saya banyak dikelilingi kawan-kawan. Mereka menjadi inspirasi saya yang tidak kurang pentingnya.

Tidak perlu kisah keperitan silam untuk saya menuju cita-cita. Terima kasih ibu dan ayah kerana membina rasa untuk terus belajar dalam diri saya.

Alhamdulillah.




 

No comments:

Post a Comment