Teringat masa kenduri kahwin saya dulu pada Februari 1998. Saya hanya dapat dua saja hadiah iaitu periuk nasi elektrik daripada rakan pejabat arwah ayah saya dan set gelas daripada tukang jahit saya yang juga cucu jiran saya. Itu sahaja. Hadiah daripada rakan guru suami saya ada juga iaitu set periuk dan kuali tetapi hadiah itu diberi kemudian, apabila suami saya kembali ke sekolah selepas bercuti.
Semua hadiah yang saya terima saya guna seoptimumnya. Periuk nasi itu tahan bertahun-tahun sebelum rosak. Set gelas enam biji itulah yang saya guna selama menyewa di Kuala Krai dulu. Begitu juga periuk dan kuali, memang berguna semuanya.
Walaupun kini semua itu sudah saya buang kerana lusuh, tetapi baktinya tetap saya kenang. Saya yakin pahala mengalir kepada semua pemberi itu.
Pengantin kini, pada pemerhatian saya, menerima banyak hadiah tetapi kebanyakannya hanya disimpan saja, tidak diguna. Mungkin ada antara hadiah-hadiah itu yang diberi kepada orang lain pula, supaya ia tidak tersimpan sampai rosak binasa.
Melihat situasi begini, saya tidak lagi membeli hadiah kepada pengantin baru. Saya lebih suka memberi tunai, dan terpulang kepada mereka untuk membeli apa, atau menyimpan saja. Bukanlah perlu beri banyak pun, jika secara individu saya beri RM50 - RM 100 sahaja. Jika saudara dekat akan lebihlah sedikit. Dan kalau anak-anak rakan, kami akan buat kutipan dan beri tunai kepada ibu pengantin. Selalunya ribu-ribu juga dapat sebab kami ramai.
Apa-apa pun, semuanya boleh sahaja asal praktikal dan tidak membazir.
No comments:
Post a Comment