Monday, September 02, 2024

Matematik


Serendah itukah?

Lama saya menyimpan perasaan apabila membaca tulisan-tulisan para agamawan(?) tentang Matematik. Mereka seperti langsung tidak menghargai ilmu ini, apatah lagi memahami kepentingannya. Apa yang membawa mereka ke syurga adalah ilmu-ilmu lain kecuali Matematik.

Matematik ini ilmu yang tidak perlu, menyusahkan dan tidak memberi sebarang manfaat. Buat apa susah-susah belajar Matematik, ia membazirkan masa sahaja. Langsung tidak digunakan dalam alam pekerjaan terutama Matematik Tambahan. Pembezaan, Pengamiran, Hukum Linear, Trigonometri, Logaritma, untuk apa semua itu? Hanya menyakitkan kepala sahaja. Baiklah mendalami ilmu tauhid, feqah, tafsir, atau menghafaz Quran. Ada juga pahalanya.

Jadinya, dapatlah saya membuat kesimpulan tentang orang-orang yang berfikiran begini. Pandangan mereka ke akhirat hanya satu jalan. Ilmu Tuhan bagi mereka hanya sekelumit yang mereka belajar. Tiada Sains dan Matematik dalam agama.

Sewaktu saya di wad beberapa bulan lepas, kebanyakan doktor akan teruja bila mengetahui saya guru Matematik Tambahan. Mereka menjerit kegembiraan sambil berkata,

"Eh, subjek kegemaran saya tu puan! Saya suka sangat Add Maths. Pernah dapat 100!"

Saya tersenyum bahagia. Doktor-doktor ini tidak guna pun Kalkulus sewaktu merawat saya, tetapi mereka bijak dalam membuat keputusan. Mereka tahu keutamaan. Mereka pandai menyelesaikan masalah. Kenapa?

Kerana mereka belajar Matematik Tambahan. Dalam Matematik Tambahan mereka belajar semua itu - membuat keputusan, memilih keutamaan dan menyelesaikan masalah. Memang susah, tetapi mereka boleh. Matematik Tambahan mengajar mereka untuk sentiasa mencari penyelesaian walau sesusah mana pun masalah.

Agamawanku, kalau kalian tidak tahu apa itu Matematik Tambahan usahlah berkata-kata. Kalian sangat melukakan hati saya, dan saya rasa malu dengan cara berfikir kalian. Usah sempitkan minda kalian kepada ilmu yang kalian tahu sahaja, kerana ilmu Allah itu luas.

Sekian.

Jom, temani saya jawab soalan Add Maths ni...



 

No comments:

Post a Comment