Selalu, bila memotivasikan anak-anak, kita mentakrifkan kejayaan hidup (baca: dunia) itu ialah apabila memiliki wang dan harta yang banyak. Selalu, kita mahu mereka belajar bersungguh-sungguh supaya dapat kerja besar dan gaji besar. Maka, berjayalah mereka. Sejuk perut ibu mengandung.
Dahi saya berkerut-kerut, masih tidak mampu menerima takrifan sebegini. Wang dan harta disamakan dengan kejayaan pada saya bukan sesuatu yang adil. Ia masih senget.
Berjaya, pada saya adalah apabila kita mampu hidup tenang tanpa menyusahkan orang. Gaji kecil tidak mengapa (walaupun SPM 9A+) asalkan bijak mengurus kewangan, dan tahu mencari peluang. Kerja kampung pun tidak mengapa, asal tahu tanggungjawab dalam hidup dan mengatur perbelanjaan dengan penuh hemah. Dia lebih berjaya daripada si bergaji besar tetapi bodoh dalam berbelanja. Hutang dan pinjaman tidak pernah usai, selalu ditambah-tambah untuk nampak gah di mata manusia tetapi poket kering kontang.
Saya mahu anak-anak saya rajin belajar dan menjadi manusia berilmu supaya apa pun yang bakal dia hadap dalam hidup masa depannya, dia bijak dan matang menangani. Jika dia hebat secara material, dia tetap "humble" dan merendah diri. Jika dia terjatuh dan luka, dia bijak mencari penawar untuk bangkit kembali. Dia bukan meminta-minta, atau bergantung pada manusia. Dia bijak, dia manusia berjaya, lalu dia tahu untuk mencari penyelesaian kepada setiap kesukaran dalam hidupnya.
Semoga anak-anak kesayangan saya begitulah apabila dewasa nanti. Itu doa saya setiap waktu.
No comments:
Post a Comment