Thursday, October 17, 2024

Ya Syafi

Semalam, hari saya penuh dengan berita kesakitan insan-insan di sekeliling saya. Seawal pagi saya dikejutkan dengan kecederaan yang menimpa Hana, anak saudara saya di Putrajaya. Hana jatuh di taman dan kepalanya luka berdarah. Betapa terkejut dan risaunya saya, pun Alhamdulillah Hana baik-baik sahaja selepas menerima enam jahitan pada tengah malam itu. Semoga Allah melindungi Hana selalu.


Malam tadi, anak murid saya pula menghantar mesej dia mendapat cuti sakit kerana disyaki denggi. Allahuakbar! Anak murid saya ini sedang berjuang untuk peperiksaan SPMnya tidak lama lagi. Dia anak yang baik, ayahnya sudah dua tahun meninggal dunia dan ibunya mengambil upah mengasuh. Abang sulungnya bekerja di kedai makan dan menjadi penjaga utama yang baik kepada adik-adiknya. Apabila dia sakit begini, hati saya terasa sedih sangat. Saya seperti mahu berada di sisinya dan membantu sehabis baik tetapi daya apalah yang saya ada. Saya hanya mampu berdoa, semoga dia kembali sihat untuk terus belajar dan berjaya.
 
 
 
Dan apabila saya menelefon emak malam tadi untuk bertanya khabar, emak memaklumkan menantu Mak Pah di Golok yang baru 20 hari melahirkan anak pertama secara pembedahan tiba-tiba mengalami pendarahan di kepala dan akan dibedah hari ini. Allahuakbar! Begitu besarnya ujian dari Allah untuk hamba-Nya yang terpilih. Sedih memikirkan situasi sebegini tetapi doa buatnya tetap saya panjatkan.

Begitulah. Hidup dan ujian, seperti isi dan kuku. Semoga Allah memberi kekuatan.
 

No comments:

Post a Comment