Sunday, February 23, 2025

Mok Ah


Mohon doakan agar ibu saudara saya, Mok Ah sembuh. Semalam dia tiba-tiba berasa kebas seluruh badan, tidak dapat berjalan dan mulut menjadi herot sebaik selesai solat Zohor di rumah emak saya. Mok Ah datang ke sini menghadiri kenduri perkahwinan cucu saudaranya (anak sepupu saya, Hakim) dan singgah sebentar di rumah emak. Saya baru saja tiba di rumah emak sewaktu Mok Ah dipapah turun menuju ke kereta. Terkejut saya, dan sebaik Mok didudukkan di kerusi kereta itu terus saya menyalam dan memeluk Mok Ah. Maafkan Mok Ah Ti.. sempat lagi Mok Ah bersuara dalam keadaan lemah begitu. Saya sebak sungguh. Mengalir air mata melihat dia.

Sekarang Mok Ah berada di wad di Hospital Golok. Keadaannya beransur pulih tetapi masih dalam pemantauan doktor. Doa saya agar Allah memberi kesembuhan buat Mok Ah. Amin. 



Saturday, February 22, 2025

Masjid


Kecoh pula isu hukum wanita solat di masjid apabila berlaku kes cabul kanak-kanak perempuan yang sedang bersolat Subuh di masjid.

Apa yang saya baca, nabi tidak melarang pun wanita ke masjid, cuma solat di rumah itu lebih afdal.

Jadi apa kena mengena dengan kes ini? Mereka mula menjadikan isu keselamatan wanita sebagai asbab wanita lebih afdal solat di rumah.

Kasihan wanita. Selalu dimangsakan. Wanita yang kena cabul, wanitalah yang kena beringat untuk jaga diri. Duduk senyap-senyap dalam rumah, tak payah pergi mana-manalah kalau macam tu!

Pada hal, penjahatnya lelaki. Kenapa tak suruh je lelaki tu yang duduk rumah? Asal keluar je nak buat jahat. Jaga pandangan pun tak reti, duduk rumahlah weh!

Aduh! Sakit kepala saya. Dunia selalu tidak adil pada wanita. Wanita kena buat segala perkara untuk mengekang kejahatan lelaki. Semua kesalahan adalah di pihak wanita. Wanita kena cabul sebab wanita tak duduk rumah. Wanita kena rogol sebab wanita pakai seksi.

Lelaki, ambillah dunia ini. Ia milik kamu! 

Thursday, February 20, 2025

Menghantar

Sekolah kami kehilangan pengetua lagi. Kali ini pengetua kesayangan kami diarahkan bertukar ke SMK Kemumin pula setelah enam belas bulan bersama kami.

Pada tahun ketujuh belas saya berkhidmat di sini, saya sudah berdepan dengan enam orang pengetua. Bermula dengan Pn. Siti Meriam bt Mohamed (2009), Tn. Hj. Sudin bin Harun (2009-2015), Allahyarham Tn. Hj. Un bin Mat (2015-2020), En. Mohd Kamalluddin Kamil bin Mohamed Noor (2020 - 2023) dan Pn. Hjh. Azizah bt Abdullah (2023 - 2025).

Hari ini, sebahagian besar guru sekolah kami keluar mengiring pengetua untuk majlis sambutan di sekolah barunya. Saya seperti biasa, tidak terpilih untuk menyertai mereka dan saya seronok sangat. Apa tidaknya, akan sunyilah bilik kerja saya ini dan akan tenanglah saya melayan diri sendiri. 

Kerja memang banyak - RPT belum siap, OPPM belum buat, e-RPH belum selesai - tetapi saya memilih untuk melayan perasaan. Saya buka Youtube lagu-lagu lama kegemaran saya dan menulisi blog ini. Rasa syurga sangat!

Oh ya, memang di tempat saya ini sangat trending ya majlis menyambut dan menghantar pentadbir. Banyak kos diperlukan tetapi tak apa, duit kelab guru kan banyak. Yuran kelab guru sekolah kami ialah RM300 setahun, tertinggi di Malaysia. Eh, mungkin di dunia!

Tak apa, sekurang-kurangnya saya dapat melayan diri sendiri seanaknya hari ini. Alhamdulillah.

 

Aktiviti

Sejak sesi persekolahan 2023, iaitu apabila YB Fadhlina memegang jawatan Menteri Pendidikan, sekolah-sekolah di seluruh negara diarahkan untuk tidak melaksanakan PdPc pada minggu pertama, sebaliknya menjadikan minggu pertama dipenuhi dengan pelbagai aktiviti. Rasionalnya, untuk menceriakan murid-murid dan menarik minat mereka hadir ke sekolah.

Secara asasnya, saya sangat bersetuju dengan idea ini. Jika diingat kembali pada sesi-sesi persekolahan sebelum itu, seawal hari pertama sebaik loceng masa pertama berbunyi, guru sudah wajib masuk mengajar dan membawa bersama buku rancangan mengajar. Pegawai-pegawai dari PPD dan JPN akan diarahkan turun ke sekolah memantau dan melihat pelaksanaan berlaku seperti arahan. Jika ada guru yang tidak bertindak seperti yang diarahkan, Pengetua perlu bertanggungjawab.

Sungguh, keadaan itu tidak menenangkan. Murid-murid baru sahaja tamat cuti panjang dan masih terkial-kial untuk menyesuaikan diri. Mereka perlukan sedikit masa peralihan, bukan terus mengadap pelajaran.

Pun, realiti kini juga agak caca marba. Setiap sekolah menyusun aktiviti sendiri yang berbeza-beza mengikut kehendak pentadbir mereka. Keadaan ini menerbitkan pelbagai kritikan dari guru-guru. Memang susah untuk memuaskan hati semua orang, tetapi pendapat saya, sebagai pentadbir apa salahnya mengadakan mesyuarat dahulu untuk menggali pandangan-pandangan daripada guru-guru dalam merangka aktiviti yang perlu - bukan hanya menggunakan idea sendiri sahaja. 

Bukan mudah menjadi pentadbir kerana segala tanggungjawab terpikul di bahu mereka. Lalu usahlah segan silu untuk meminta sedikit sumbangan idea daripada kami guru-guru bawahan ini. Sekurang-kurangnya, tidaklah kami rancak mengulas itu ini jika program tidak menjadi kerana itu idea kami juga. Ini tidak, banyak yang tidak kesampaian jadi kami pun terus menyalahkan pihak atasan.

Pandangan saya, seminggu yang pertama ini biarlah bermanfaat.

Sekian.

 

 

Tuesday, February 18, 2025

Baju


Kebelakangan ini pihak pentadbir di sekolah saya semakin menjadi-jadi memberi arahan memakai baju itu baju ini. Ada majlis sahaja, terus tetapkan nak kena pakai baju apa.

Pada hari Isnin mesyuarat minggu lepas, kami diarah memakai baju korporat. Bergeraklah kami ke hotel dengan baju korporat. Kemudian Isnin semalam, sebab ada senamrobik, kami diarah berbaju sukan. Hari ini pula, baju berwarna merah kerana majlis sambutan PKP baru. Esok, sekali lagi arahan berbaju korporat sempena majlis perpisahan PK Ko. Dan lusa, Khamis, kami perlu berbaju batik rasmi sekolah kerana majlis perpisahan Tuan Pengetua pula.

Setiap kali arahan dikeluarkan, akan diiring dengan kata-kata "kita sederap". Seolahnya, berpakaian sama itu mencermin kesepakatan para guru. Begitu?

Maafkanlah saya. Saya tidak boleh menghadam benda-benda luaran sebegini. Sesekali, mungkin rasa seronok. Tetapi jika terlalu kerap perlu akur dengan ketetapan entah apa-apa ini, saya hampir kemurungan!

Bayangkan, saya sudah menggosok pakaian untuk seminggu sebelum sekolah buka tempoh hari. Tiba-tiba saya perlu menggosok baju lain pula mengikut arahan. Saya ini pula bergerak dari rumah saya ke rumah mek setiap hari kerana menjaga mek pada waktu malam. Bila arahan dikeluarkan lewat, susah saya mahu pulang ke rumah mencari baju berkenaan. Sungguh saya tidak seronok!

Aduhai, kenapalah perlu ada perkara-perkara picisan begini dalam pentadbiran sekolah saya?  

Monday, February 17, 2025

Kenduri


Pada hari Sabtu, 1 Februari 2025 yang lalu telah berlangsung kenduri kesyukuran di rumah kami di Kg Chenok. Sudah lama suami saya berhasrat mengadakan kenduri kesyukuran tetapi selalu sahaja saya tidak memberi galakan. Entah kenapa saya sangat tidak gemar denga acara keramaian dan seboleh mungkin mahu mengelak, tetapi kali ini ia berlaku juga. Sudah tertulis begitu, seperti impian suami saya.

Memang tekanan sebelum kenduri sangat saya rasai. Saya pernah melalui perasaan ini pada 2011 lalu – sewaktu kenduri kesyukuran pertama kali kami adakan – dan saya seperti tidak sanggup mengulang rasa itu tetapi begitulah, ia sudah tertulis.

Apa pun, segalanya telah selesai dan saya sudah merasa lega yang teramat kini. Harap-harap tiada lagi kenduri begini selepas ini. Cukuplah dengan menyalurkan sedekah dan derma sebagai tanda kesyukuran tanpa perlu sebarang jamuan makan. Tidaklah saya tahu yang mana lebih afdal, saya cuma memberi pandangan peribadi berdasarkan kesesuaian rasa saya sahaja.

Hari itu, kami menempah makanan daripada Puan Che Esah, sahabat suami saya yang juga bekas penender kantin. Senang dan mudah berurusan dengan beliau, dan harga yang ditawarkan juga bepatutan. Kami hanya membayar RM6500 untuk nasi putih berlaukkan singgang dan gulai daging, ayam goreng berempah, ikan kering dan ikan rebus goreng, acar nenas, ulam-ulaman  beserta budu dan sambal, tembikai, juga bubur kacang dan bubur pulut hitam serta minuman sejuk tiga jenis. Semua itu untuk lima ratus orang jemputan. Suami saya turut menambah satu lagi lauk iaitu gulai ayam kampung yang dimasak dengan sedapnya oleh adik ipar saya, Rohaimah.

Alhamdulillah, makanan mencukupi untuk semua tetamu. Adik-adik saya turut menyumbang beberapa lagi tambahan kuih muih dan aiskrim bagi memenuhkan dessert table kami. Tersusun dengan cantiknya di situ ialah kuih puteri ayu, cream puff, kuih cara berlauk, roti jala kuah kari, kek pisang, puding koktail, agar-agar lumut, donut, limau dan aiskrim Malaysia.

Majlis berakhir menjelang Maghrib dan tiga orang anak saudara kesayangan suami saya – Aiman, Zulfadhli dan Najmi – membantu mengemas semua bekas makanan dan membersihkan apa yang patut. Terima kasih.

Saya?

Saya memang penat betul. Malam itu betis saya terasa sangat lenguh dan badan saya sungguh tidak bermaya. Seharian melayan tetamu sangat memakan segala tenaga yang ada. Sudahnya, saya tersadai kepenatan dan membiarkan semuanya tidak terurus sehingga ke pagi. Mujurlah bangkit pada pagi Ahad 2 Februari itu, saya rasa agak segar dan bertenaga. Bolehlah saya mencuci dan menyimpan kembali segala perkakas yang diguna semalam.

Alhamdulillah, semoga tiada lagi kenduri selepas ini. Saya serik!