Pada hari Sabtu, 1 Februari 2025 yang lalu telah berlangsung kenduri kesyukuran di rumah kami di Kg Chenok. Sudah lama suami saya berhasrat mengadakan kenduri kesyukuran tetapi selalu sahaja saya tidak memberi galakan. Entah kenapa saya sangat tidak gemar denga acara keramaian dan seboleh mungkin mahu mengelak, tetapi kali ini ia berlaku juga. Sudah tertulis begitu, seperti impian suami saya.
Memang tekanan sebelum kenduri sangat saya rasai. Saya pernah melalui perasaan ini pada 2011 lalu – sewaktu kenduri kesyukuran pertama kali kami adakan – dan saya seperti tidak sanggup mengulang rasa itu tetapi begitulah, ia sudah tertulis.
Apa pun, segalanya telah selesai dan saya sudah merasa lega yang teramat kini. Harap-harap tiada lagi kenduri begini selepas ini. Cukuplah dengan menyalurkan sedekah dan derma sebagai tanda kesyukuran tanpa perlu sebarang jamuan makan. Tidaklah saya tahu yang mana lebih afdal, saya cuma memberi pandangan peribadi berdasarkan kesesuaian rasa saya sahaja.
Hari itu, kami menempah makanan daripada Puan Che Esah, sahabat suami saya yang juga bekas penender kantin. Senang dan mudah berurusan dengan beliau, dan harga yang ditawarkan juga bepatutan. Kami hanya membayar RM6500 untuk nasi putih berlaukkan singgang dan gulai daging, ayam goreng berempah, ikan kering dan ikan rebus goreng, acar nenas, ulam-ulaman beserta budu dan sambal, tembikai, juga bubur kacang dan bubur pulut hitam serta minuman sejuk tiga jenis. Semua itu untuk lima ratus orang jemputan. Suami saya turut menambah satu lagi lauk iaitu gulai ayam kampung yang dimasak dengan sedapnya oleh adik ipar saya, Rohaimah.
Alhamdulillah, makanan mencukupi untuk semua tetamu. Adik-adik saya turut menyumbang beberapa lagi tambahan kuih muih dan aiskrim bagi memenuhkan dessert table kami. Tersusun dengan cantiknya di situ ialah kuih puteri ayu, cream puff, kuih cara berlauk, roti jala kuah kari, kek pisang, puding koktail, agar-agar lumut, donut, limau dan aiskrim Malaysia.
Majlis berakhir menjelang Maghrib dan tiga orang anak saudara kesayangan suami saya – Aiman, Zulfadhli dan Najmi – membantu mengemas semua bekas makanan dan membersihkan apa yang patut. Terima kasih.
Saya?
Saya memang penat betul. Malam itu betis saya terasa sangat lenguh dan badan saya sungguh tidak bermaya. Seharian melayan tetamu sangat memakan segala tenaga yang ada. Sudahnya, saya tersadai kepenatan dan membiarkan semuanya tidak terurus sehingga ke pagi. Mujurlah bangkit pada pagi Ahad 2 Februari itu, saya rasa agak segar dan bertenaga. Bolehlah saya mencuci dan menyimpan kembali segala perkakas yang diguna semalam.
Alhamdulillah, semoga tiada lagi kenduri selepas ini. Saya serik!
No comments:
Post a Comment