Monday, March 31, 2025
Sunday, March 30, 2025
Catatan Ramadan
Hari ini akhirnya sebulan Ramadan tahun ini. Esok hari raya.
Alhamdulillah.
29 hari, saya berulang alik dari rumah sendiri ke rumah mek setiap jam 5.40+ petang. Pada kebanyakan hari segala juadah berbuka dibeli sahaja di gerai-gerai berhampiran. Tidak pernah pula kami ke bazar, mungkin pilihan lauk di gerai-gerai sekitar sini sudah memenuhi selera kami.
Memasak pun ada juga sesekali. Biasanya pada hujung minggu iaitu Jumaat dan Sabtu, saya akan memasak lauk di rumah dan bawa yang sudah siap ke rumah mek. Nasi sahaja yang saya masak di rumah mek. Mudah begitu, walaupun kalut juga. Yalah, bila ada dua rumah begini, barang-barang tidak lagi berpusat. Saya perlu peka dengan letak duduknya peralatan dan bahan memasak saya. Sewaktu memasak nasi lemak semalam, saya lupa daun pandan sudah saya bawa balik ke rumah saya. Sangka saya ia masih ada dalam peti sejuk mek. Sudahnya, nasi lemak saya tiada berpandan, hanya wangi serai sahaja. Tapi suami saya kata sedap. Alhamdulillah.
Dan raya esok, saya berserah sahaja. Bukan tidak merancang tetapi tidak tahu mahu merancang bagaimana. Saya tidak biasa beraya begini, di dua rumah. Kita tunggu dan lihat sahajalah ya!
Semoga segala amal ibadat kita diterima Allah, dan semoga masih ada usia untuk menikmati Ramadan pada tahun-tahun mendatang.
Amin.
Friday, March 28, 2025
Automatik
Mesin basuh mek itu sudah uzur benar. Seingat saya, suami saya belikan mek mesin basuh itu sebaik rumah mek siap, sekitar tahun 2007. Bayangkan, sudah hampir dua puluh tahun mesin basuh semi automatik jenama Panasonic itu bekerja, tentulah prestasinya sudah merudum.
Saya rasa penat menggunakannya. Semua proses kita perlu atur sendiri. Buka tutup paip air, bilasan perlu berapa kali, dan untuk spin juga perlu ditukar tubnya. Renyah, dan penat.
Kepada suami, saya suarakan cadangan untuk membeli mesin basuh baru sebagai hadiah untuk mek. Dia setuju. Tanpa lengah terus saya menempah sebuah mesin basuh automatik muatan 8kg berjenama Hisense dari Senheng di Shopee. Harganya cuma RM600. Agak lama menanti, selepas sepuluh hari baru ia sampai.
Dengan sedikit pengubahsuaian paip air, terpasanglah mesin itu dengan rasminya pada minggu pertama Ramadan baru-baru ini. Lega saya, apabila dapat membasuh dengan tenang. Hanya perlu menekan dua punat sahaja dan tunggu ia selesai.
Walaupun saya rasa ia memudahkan, tetapi ipar saya mengadu yang tempoh basuhannya sangat lama. Baginya, menggunakan mesin semi automatik lebih cepat siap. Saya terdiam. Apa yang lebih kita perlukan sebenarnya, senang mengurus basuhan atau mahu cepat selesai? Mari kita bincang.
Pada saya, walaupun mesin semi automatik itu cepat siap (kerana kita boleh ejas masa sendiri) tetapi ia perlu ditunggu (tidak boleh buat kerja lain) dan memakan tenaga seorang perempuan yang lemah seperti saya ini. Mesin automatik pula, walaupun ia lambat, saya boleh biarkan sahaja ia bekerja sendiri dan saya boleh siapkan kerja lain. Bukankah itu lebih amali?
Friday, March 21, 2025
Permata Hati
Alhamdulillah, adik saya Ismah telah selamat melahirkan cahaya mata keempatnya, seorang bayi lelaki pada hari Rabu 19 Mac lalu.
Nama diberi, Ahmad Huzayfah bin Ahmad Ridhwan.
Tahniah. Semoga bertambah rahmat dan kasih sayang di dalam keluarga ini. Doa saya sentiasa mengiringi.
Wednesday, March 19, 2025
Cuti Nuzul Quran
Ramadan tahun ini, kami sepenuhnya bekerja tanpa sebarang cuti kecuali hari Nuzul Quran. Terasa berharga sungguh cuti sehari ini yang jatuh pada hari Selasa.
Seperti biasa, saya bermalam di rumah mek. Usai sahur, saya solat dan mengaji sebentar sementara menanti Subuh tiba. Alhamdulillah tahun ini saya berjaya khatam al-Quran pada petang Ahad 15 Ramadan, dan kini sedang tekun mengaji untuk pusingan kedua. Semoga akan sempat saya khatam sekali lagi dalam bulan Ramadan ini. Amin.
Jam 7.30 pagi, saya pun bersiap-siap untuk pulang ke Chenok tetapi teringat pula mahu menziarah Ma sebentar. Saya ini, dekat saja dengan Ma tetapi susah mencari peluang ke sana. Masa yang masih berbaki dua puluh minit saya manfaatkan untuk ke rumah Ma.
Tahu Ma sedang buat apa?
Allahuakbar, Ma tengah mengemas bilik hujung seorang diri. Bukan kemas yang biasa-biasa, tetapi Ma mahu mengeluarkan barang-barang dan katil! Aduh Ma, kenapa buat sendiri? Saya pula, tidak mampu membantu kerana masa yang singkat. Saya suruh Ma jangan buat lagi, tunggu nanti anak-anak dan cucu-cucu datang hujung minggu ini. Ma akur, dan berehat sepanjang saya berada di situ.
Pulang dari rumah Ma, kami menuju ke Tunjong untuk urusan bank dan seterusnya jam 9.00 pagi kami selamat sampai di rumah kami. Selepas memasukkan kain ke dalam mesin basuh dan mengeluarkan lauk dari peti beku, saya membaringkan diri di katil dan lena sehingga jam 10.45 pagi. Enak sekali!
Suami saya sibuk dengan urusan peliharaannya dan juga akaun masjidnya. Saya biarkan dia bekerja sendirian tanpa mengganggunya langsung.
Selepas lena, barulah rasa lega dan segar untuk kerja-kerja seterusnya. Saya menggosok, solat dan memasak. Lauk hari ini ialah sup kambing dan ikan goreng kicap. Semua siap pada jam 4 petang.
Selesai Asar, kami turun ke rumah mek. Sempat saya singgah sebentar ke rumah Ma, menghantar sebungkus air laici kang dan duit tunai yang Ma minta saya cucuk di ATM Tunjong tadi. Ma sedang berbaring, penat katanya. Ma suruh tengok bilik yang dia kemas tadi, dah hampir selesai. Hah! Ma buat juga? Terkejut saya. Ma kata Rifqi datang tolong angkut tilam keluar. Ma tak suka buat kerja tak siap, katanya. Aduhlah Ma saya ni, lepas tu penat tak terkata! Semoga Ma baik-baik saja, Ya Alalh, jagalah Ma saya selalu.
Dan seterusnya, saya berada di rumah Mek untuk melaksanakan tanggungjawab saya seperti selalu.
Friday, March 14, 2025
Pantas
Masa, pantasnya berlalu. Semua insan dalam gambar ini sudah tiada di SMK Kampong Chengal, pada hal gambar ini baru sahaja dirakam pada setahun yang lalu.
Saya kisahkan tentang mereka di sini, dari kiri.
1. Tn. Hj. Rosdi bin Salleh, berada di SMKKC dari November 2022 sehingga Mei 2024. Menjawat tugas sebagai PK HEM, beliau memilih untuk bersara pilihan pada usia 59 tahun.
2. Tn. Hj. Sabri bin Awang, mantan PKP yang datang bertugas di SMKKC pada Oktober 2020, dan menamatkan perkhidmatan pada 28 Januari 2025 yang lalu, kerana bersara wajib.
3. Tn. Hj. Zawawi bin Mat Nor, merupakan teraju utama SMKKC. Beliau merupakan guru perintis yang sama-sama memulakan sekolah ini pada tahun 2006. Beliau bermula dengan Guru Kanan Sains Sosial pada 2007, dan dinaikkan pangkat menjadi PKKO pada April 2020 sehinggalah bersara pilihan pada 1 Mac 2024 pada usia 58 tahun.
4. Pn Hjh Azizah binti Abdullah, Pengetua SMKKC dari September 2023 sehingga Februari 2025. Kini beliau bertugas di SMK Kemumin.
5. En. Mohd Razali bin Che Hamid, Guru Kanan Bahasa sejak 2018. Pada 2024 beliau dilantik sebagai PKKO menggantikan Tn. Hj. Zawawi, pun hanya beberapa bulan sahaja beliau menjawat jawatan itu kerana pada Februari 2025 yang lalu, beliau diarahkan bertukar ke SMK Kok Lanas sebagai PKHEM.
Kini, wajah-wajah baru sudah menggantikan mereka. Begitu, mereka kekal menjadi kenangan terindah dalam hati-hati kami.
Thursday, March 13, 2025
Tarawih
Alhamdulillah hari ini sudah 12 Ramadan. Seperti tahun-tahun sebelum ini saya cuma bertarawih di rumah sahaja. Selesa.
Bukan saya tidak suka masjid, tetapi saya mahu ruang yang lebih fleksi, tanpa terikat. Tahun ini, suami saya mengambil tanggungjawab mengurus mek solat Maghrib dan Isyak, jadi setiap malam dia akan selesaikan urusan mek dahulu baru dia turun ke masjid. Rutinnya, lima minit sebelum Maghrib dia akan wudukkan mek dan apabila azan bergema, mek terus solat manakala kami berbuka. Kemudian dia akan bergegas ke masjid untuk berjemaah Maghrib dan pulang untuk mengurus mek solat Isyak pula. Juga menyuap mek makan malam. Sekitar jam 9.10 baru dia turun ke masjid untuk berjemaah Isyak dan Tarawih dan pulang pada jam 10.30.
Saya pula, akan bersolat Isyak dan Tarawih di rumah sahaja. Selalunya, sewaktu suami saya sedang menguruskan mek, saya sudah memulakan solat Isyak bersambung dengan tarawih. Saya selesai pada jam 9.30 dan akan meneruskan bacaan Quran pula sehingga jam 10 malam.
Seringkali, apabila suami saya pulang dari masjid saya sudah pun lena seenaknya. Saya perlu tidur awal kerana nanti jam 4.30 saya akan bangun menyediakan sahur pula.
Begitulah rutin saya pada Ramadan kali ini. Alhamdulillah, Allah masih memberi ruang untuk saya melakukan ibadah sunat dengan selesa dalam persekitaran saya sendiri.
Tanda Nama
Tahun ini kami penjawat awam diarah untuk memakai tanda nama berlogo. Untuk memudahkan urusan, pihak koperasi sekolah telah menempah tanda nama semua guru. Satu senarai nama guru dikeluarkan di WhatsApp rasmi sekolah, dan guru-guru diminta menyemak nama untuk dicetak pada tanda nama.
Saya melihat nama saya dieja salah. Saya betulkan.
Apabila siap, tanda nama saya tetap salah ejaannya. Aduhai, saya terkilan juga tetapi reda sajalah.
Mujur saya sudah menempah sendiri tanda nama di Shopee pada awal sesi kerana lambat menunggu yang koperasi ini. Jadi saya guna sahaja yang sendiri kerana yang percuma salah.
Ejaan nama sangat sensitif bagi saya. Bila silap eja, saya akan rasa itu bukan nama saya. Sebab itu saya cukup berhati-hati apabila menulis nama guru-guru lain dalam apa jua pun, kerana saya faham perasaan melihat ejaan nama yang salah. Tetapi perkara ini selalu berlaku pada diri saya sejak lama, sewaktu sekolah rendah lagi. Tidak tahulah saya kenapa susah sangat mahu mengeja nama saya dengan betul.
Tuesday, March 11, 2025
Menggapai Bahagia
Menggapai Bahagia
Di ufuk senja aku berdiri,
Mencari cahaya di langit yang sepi,
Angin membisik kata tak pasti,
Namun hati ini tetap menanti.
Langkah ku jejak di jalan berliku,
Kadang tersungkur, kadang termangu,
Namun di jiwa ada yang tahu,
Bahagia itu pasti menunggu.
Bukan pada gemerlap dunia,
Bukan pada janji manusia,
Tapi di sudut hati yang percaya,
Harapan itu masih bernyawa.
Moga esok mentari bersinar,
Menyuluh lorong yang bersamar,
Dan bahagia bukan lagi bayang,
Tapi hadir memeluk tenang.
Sunday, March 09, 2025
Masa. Kesihatan. Kekayaan.
Jika anda memiliki ketiga-tiganya serentak, maka bersyukurlah. Hidup ini tidak menjanjikan semuanya dalam satu masa, tetapi tidak salah untuk berdoa dan berharap.
Saya sudah 53 tahun hidup, mungkin masa yang tinggal untuk saya di dunia ini hanya tidak sampai separuh atau sesuku pun daripada usia 53 tahun itu - sudah teramat singkat - tetapi saya tetap berdoa agar Allah panjangkan usia saya dalam keimanan.
Saya sudah diuji sakit berkali-kali - endometriosis pada 1998, supraventricular tachycardia (SVT) pada 2019, dan gallstone pada 2024, juga sudah lima kali masuk bilik bedah (1998, 2006, 2006, 2023, 2024) - namun saya tetap berdoa agar Allah beri saya kesihatan yang baik sepanjang hayat.
Mungkin dari segi kewangan, setakat ini saya tidaklah teruji hebat. Alhamdulillah, Allah beri saya keupayaan mengurus kewangan dengan teratur dan baik. Pun, segala kelebihan kewangan tidak bererti tanpa masa dan kesihatan. Saya tetap berdoa semoga Allah berkati dan murahkan rezeki saya.
Begitulah hidup, jalan ceritanya diatur berbeza untuk setiap hamba Tuhan. Mungkin saya rasa teruji dengan segala ketetapan tetapi saya terima semuanya sebagai anugerah dan kurnia. Allah itu Maha Baik, sentiasa ada untuk saya mengadu. Usah dibanding kisah kita dengan kisah orang lain, kerana jalan cerita dan bilangan episodnya tidak sama.
Wednesday, March 05, 2025
Healing
Apa itu healing? Memang famous benar perkataan tu sekarang, dulu-dulu tak ada dengar sangat.
Suami saya cukup suka memelihara binatang. Di kebunnya ada kambing, itik, ayam dan burung. Kucing juga ada. Setiap hari dia membelai dan menguruskan binatang peliharaannya tanpa jemu. Kalau nak ke mana-mana, urusan peliharaannya mesti didahulukan. Pada saya, itu sangat menyusahkan tetapi baginya tidak. Dia seronok begitu. Berada di sisi binatang-binatang itu memberi ketenangan katanya.
Saya? Kalau kucing datang dekat pun saya dah serabut. Saya akan buat apa saja agar kucing itu pergi jauh. Saya jadi tak tenang dengan adanya makhluk-makhluk lain di sisi saya. Apatah lagi kambing dan ayam! Lagi saya jadi tak tenang.
Ketenangan saya adalah apabila bersendirian. Semakin berusia saya semakin seronok dengan privasi. Bertemu dengan orang ramai amat menyeksakan perasaan, apatah lagi jika orang yang baru dikenali. Saya jadi penat.
Untuk healing process saya, cukuplah beri saya ruang untuk bersendirian di rumah. Saya boleh melayan diri sendiri dengan pelbagai cara - tidur, makan, membaca, menulis, menonton, dan apa saja, termasuk memasak - asalkan sendirian. Saya tidak perlukan teman pun untuk bersantai. Sungguh!
Begitulah cerita saya hari ini, sementara menanti giliran saya masuk ke bilik doktor di HUSM ini.
Saturday, March 01, 2025
Seluar Panjang
Sewaktu bersekolah menengah dahulu, saya memang biasa berseluar panjang kerana budaya di asrama saya begitu. Waktu kelas pagi dan prep malam sahaja kami kena berbaju kurung. Selain waktu itu, memang kami hanya berbaju-t dan berseluar panjang. Tudung pula, hanya skaf diikat belakang.
Semakin dewasa, saya semakin melupakan seluar panjang. Selama belajar di universiti saya selesa berbaju kurung setiap masa. Pada saya, memakai seluar panjang tidak sesuai dengan saya. Janggal kelihatannya.
Apabila bekerja, saya masih mengekalkan penampilan saya yang sentiasa berbaju kurung. Sampailah pada tahun 2009, apabila saya bertukar ke SMK Kampong Chengal. Di sini, saya susah untuk tidak mengikut arahan. Selalu saja kami akan diberi kod pakaian setiap kali ada sebarang acara atau majlis.
Saya kekok. Saya tiada sehelai pun seluar panjang waktu itu, walaupun seluar trek. Tetapi kerana patuh arahan, saya membeli sehelai seluar trek biru gelap saiz xxxl, dan juga seluar biasa berwarna coklat muda saiz xxxl juga di pasar raya. Dua helai itulah yang saya gilirkan setiap kali ada acara sukan. Itu pun, ada ketikanya saya memakai skirt labuh menggantikan seluar.
Saya sungguh tidak suka berseluar panjang. Pertama, kerana saya rasa saya hodoh berpakaian begitu. Badan saya besar, paha saya macam kayu balak. Memakai seluar semakin menyerlahkan saiz gergasi saya ini. Kedua, saya tidak pandai masuk tandas dengan seluar. Ia sangat susah dan akan menyebabkan saya sangat lama dalam tandas.
Tetapi begitulah, saya tetap akan berpakaian seperti arahan jika keadaan tidak menyeksakan. Seperti Khamis lepas, sewaktu acara Merentas Desa di sekolah saya, seperti tidak kena pula jika saya berbaju kurung. Jadi saya memakai t-shirt labuh berwarna biru, seluar trek berwarna kelabu, bertudung biru muda dan berkasut kanvas dari Skechers. Selesa juga, cuma saya bertahan untuk tidak ke tandas sampai balik. Mujur kami balik awal hari itu, jam 1.00 sudah dibenarkan pulang.
Sekian.
Ramadan
Esok, Ramadan kembali lagi bersama sejuta rahmah dan maghfirah. Tentunya, sekalian umat Islam akan cuba sehabis daya memanfaatkan bulan ini kerana mungkin ini kali terakhir kita bertemunya.
Saya juga tidak terkecuali. Ingin sekali saya menjadikan bulan mulia ini sebagai satu peluang untuk saya mengumpul sebanyak-banyak pahala, juga memohon sebanyak-banyak keampunan. Berdosanya diri saya, hinanya diri saya, seakan tidak cukup sebulan ini untuk saya penuhi. Pun saya bersyukur sungguh-sungguh kerana Allah masih memberi saya nikmat Ramadan kali ini, Insya Allah.
Walaupun saya akan meneruskan rutin menjaga mek setiap malam, tetap saya akan mencari ruang untuk diri sendiri demi sebuah kesempatan yang diberi. Semoga ada.
Selamat datang Ramadan.
Subscribe to:
Posts (Atom)